Pitru Paksha ini merupakan purnima bagi nenek moyang. Pada hari ke-16 Candramasa dalam penanggalan Saka tatkala penganut agama Hindu sekelian memberi tabik hormat kepada nenek moyang dan menyemahkan makanan. Setengah orang menyebutnya sebagai Sola Sraddha, Kanagat, Jitiya, Mahalaya Paksha dan Apada Paksha.
Peristiwa ini sebenarnya dianggap tidak bertuah oleh orang Hindu. Utamanya, upacara kematian dijalankan dalam peristiwa yang dipanggil sebagai Sraddha Bali atau Tarpam. Sebelah selatan dan barat India, ia jatuh dalam bulan candramasa Bhadrapada sekitar bulan September sampai awal Oktober. Mula dengan bulan penoh sebaik sahaja berlangsung perayaan Ganesa Caturthi dan pengujung bulan baru dipanggil sebagai Sarwapitri Amawasya, atau Mahalaya Amawasya. Garis musim luruh jatuh dalam tempoh ini, matahari kelihatan di garis utara ke selatan semasa samaya ini. Utara India dan Nepal pula jatuh pada bulan Aswin. Bagi bulan Aswin ini, penganut ajaran Buddha akan menyambut Pitru Paksha mereka atau Ullambana dalam bulan ini menurut kepada tradisi Buddha. Hari ini aku rasa sudah mula perayaan Nawaratri Puja.
Kimwadanti
Menurut cetera Hindu, roh nenek moyang selama tiga turunannya itu berada dalam Pitruloka. Iaitu alam antara bumi dan sorga. Alam ini, diperintah oleh Sang Yama, penjaga kematian yang mengambil nyawa orang nak mati dari bumi ke alam tersebut. Bila seorang daripada turunan seterusnya mati, turunan yang sebelumnya mati itu akan naik ke sorga atau kahiyangan dan bersatu dengan Nya. Maka semahan Sraddha tak diberi kepadanya. Hanya nenek moyang tiga keturunan di Pitruloka sahaja yang disemahkan dengan upacara Sraddha yang dalam alam itu Sang Yama berkuasa.
Itihasa Hindu menyebut, di mula Pitru Paksha itu, matahari masuk ke Tularasi (Libra). Bertepatan ketika itu, dipercayai roh-roh meninggalkan Pitruloka dan tinggal di rumah anak cucu selama sebulan sampai masuk semula matahari ke Wricchikarasi (Skorpio) bulan purnima. Orang Hindu kena menenangkan nenek moyangnya pada separuh awal bulan gelap penuh sepurnima. Bila sang pemberi dana, Karna mangkat dalam Mahabharata, roh atau jiwanya naik ke sorga. Di sana, dia disemahkan emas dan permata sebagai makanan. Tapi dia tidak boleh makan benda-benda itu dan memerlukan makanan sebenar. Lalu dipinta ke Betara Indra, apa sebabnya diberi emas sebagai makanan? Betara Indra menjawab, selama dia hidup itu cuma didanakan emas sahaja tapi tak pernah langsung didanakan makanan kepada nenek moyangnya selama upacara Sraddha di bumi. Disebut Karna, dia tidak sedar dan terlupa kepada mereka lalu tak pernahlah didanakan suatu apa pun bagi mengingati mereka. Bagi membetulkan keadaan, Karna dibenarkan pulang ke bumi dalam tempoh 15 hari, bagi beliau membuat Sraddha dan memberi sumbangan dana makanan dan air untuk memperingati nenek moyangnya. Maka sebab ini, disebut tempoh itu sebagai Pitru Paksha. Dalam setengah cetera, baginda Yama yang menggantikan Betara Indra.
Kepentingan
Annadana atau memberi makanan kepada jiwa yang lapar itu menjadi bahagian penting dalam upacara ini selama 16 hari. Tahun ini mula dari 20 Sept 2013 hari itu sampai 4 Oktober 2013. Dalam semua hari ini, semaan diperbuat bagi yang sudah pergi termasuk yang nama atau cara kematiannya itu tak diketahui. Pada hari ini, tarpam, sraddha, dan pinda dana disemahkan setiap hari mengikut tatacara yang diajarkan pendita. Walaupun setiap hari disemahkan semahan, tapi menjalankannya pada Mahalaya Amasya iaitu pada hari terakhir itu yang paling utama dan suci. Anak laki-laki wajib menjalankan upacara Sraddha semasa Pitru Paksha bagi memastikan jiwa nenek moyang naik ke kahiyangan.
Dalam konteks ini, Garuda Purana menyebut, "tiada keselamatan bagi sesiapa yang tak ada anak lelaki!". Purana menyebut bahawa anak cucu mestilah memberi hormat kepada nenek moyangnya, bersama dengan para dewa, bhuta dan tetamu. Markandeya Purana menyebut bahawa jika nenek moyang mu itu suka dengan Sraddha, maka mereka akan membantu memberi kekayaan, kesejahteraan, kesihatan, pengetahuan, umur panjang dan akhir sekali membawa kamu ke kahiyangan dan moksa. Maka, ini antara penyebab kenapa orang Hindu begitu mementingkan ada anak lelaki di rumah mereka.
Pengamalan Sarwapitri Amawasya boleh membantu memperbaik lompong dalam upacara Sraddha yang tertinggal. Ia biasanya dijalankan bagi membantu kebocoran dalam upacara peringatan nenek moyang. Upacara ini, merupakan upacara yang membantu anak cucu memperingati keturunannya. Upacara Sraddha ini bermula dengan membaca nama tiga keturunan yang lalu serta membaca nama gotra mereka. Seseorang itu akan mengetahui nama enam keturunannya, tiga keturunan lepas, keturunannya sendiri, dan dua keturunan seterusnya iaitu anak dan cucunya pada masa kehidupan, serta memperkuat semula tali kekeluargaan.
Pakar antropologi, Usha Menon dari Universiti Drexel menyatakan bahawa Pitru Paksha ini menekankan hakikat bahawa nenek moyang dan turunan sekarang serta turunan seterusnya yang masih belum lahir itu dihubungkan dengan hubungan darah. Turunan kini membayar hutang budi kepada nenek moyangnya dalam Pitru Paksha. Hutang ini dianggap penting di samping hutang budi seseorang dengan gurunya dan kepada ibu bapanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan