Pengetahuan Siddha ini merupakan pengetahuan perubatan yang purwa sekali dalam rupakara yang dikembangkan dari kebudayaan Drawidia. Siddha berkembang dalam samaya tamadun Lembangan Indus. Manuskrip daun lontar menyebut bahawa rupakara Siddha ini pertama kalinya diajarkan oleh Betara Siwa kepada isteri baginda, Dewi Parwati. Dewi Parwati lantas mengajarkannya pula kepada baginda, Sang Kumara Skandha. Sang Kumara Skandha mengajarkan pengetahuan ini kepada pelajar baginda, Maharesi Agastiya. Maharesi Agastiya mengajarkannya pula kepada 18 orang Mahasiddha dan mereka mengembangkannya dalam kalangan manusia.
Kata Siddha ini terbit dari kata Siddhi yang membawa erti bahawa sesuatu bahan itu mencapai kesempurnaan atau anugerah kahiyangan. Siddha menumpukan kepada Astamahasiddhi atau Delapan Tenaga Ghaib. Sesiapa yang mencapai atau menggapai Siddhi, maka dialah Siddha. 18 orang Mahasiddha Tamil itu mengembangkan rupakara perubatan di Selatan India. Maka perubatan tersebut dipanggil perubatan Siddha Tamil. Pengetahuan mereka dicatitkan dalam daun lontar, yang pecahannya banyak ditemui di beberapa bahagian India Selatan.
Siddha mempunyai konsep jiwa yang sihat itu boleh dibangunkan menerusi tubuh yang sihat. Aku pernah mendengar juga pepatah orang Arab walaupun mereka bukan orang Hindu dan berlainan agama ada menyebut, "akal yang sihat itu, letaknya pada jasad yang sihat". Maka cara perawatan dan perubatan Siddha ini dipercayai memperkuat raga dan juga jiwa. Lelaki dan wanita ramailah yang menyumbang kehidupan mereka mengorbankan diri mereka dalam perkembangan pendidikan perubatan Siddha ini maka mereka inilah para Siddha agung.
Mereka mengamalkan amalan yoga yang berterusan, bertahun-tahun berpuasa pada masa tertentu dan bertapa mengawal nyawa, dan dipercayai mereka mencapai kesaktian ghaib dan kebijaksanaan tinggi sekaligus menjadikan jiwa mereka senantiasa bernyawa. Melalui pengetahuan yang diperolehi menerusi kejiwaan, mereka menulis sutra dalam segala aspek bidang kehidupan, dari kesenian, sains pengetahuan, dan kebenaran hidup, sampai kepada penyembuhan penyakit secara semulajadi. Dari manuskrip, rupakara Siddha ini dikembangkan menjadi sebagian daripada pendidikan sains perubatan India moden. Hari ini, sudah ada institusi pengajian perubatan Siddha yang dipantau selia universiti kerajaan, dengan perubatan Siddha dan teori konsep semua diajarkan di situ.
Ubat Siddha bererti ubat yang sempurna. Ia didakwa menyuburkan semula anggota tubuh yang tak berfungsi yang menyebabkan penyakit merebak-rebak ke bahagian badan lain dan mengekalkan keseimbangan Waadham, Pitham dan Kapham. Ubat-ubatan Siddha terdiri daripada dedaunan, bungaan, buahan, dan bermacam akar-kayu yang dicampur-campur asasnya. Dalam setengah kes tertentu, pesakit dinasihatkan menggunakan mineral seperti emas atau Thangapashpam dalam cara pemakanan.
Kebanyakan pengamal perubatan Siddha dilatih secara tradisional, utamanya dalam suatu keluarga dan oleh guru-guru tertentu. Kalau guru seorang pengamal seni pertahanan diri, dia akan dipanggil achan. Mereka akan memeriksa pesakit selepas pesakit datang bertemu mereka dan akan merujuk manuskrip sutra mereka bagi mencari cara sesuai bagi penyembuhan. Cara perubatan ini membantu mengenalpasti banyak jenis penyakit dan formulasi pelbagai ubat yang kadangkala melebihi 250 bahan dalam satu masa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan