Rabu, 16 Oktober 2013

Tradisi Weda Brahmana Nambuthiri

Om Swastiastu!


Weda Suci

Kebudayaan weda suci dipercayai dikembangkan oleh sekumpulan manusia yang melintasi pergunongan yang memisahkan Asia Tengah dari Iran dan benua kecil India, sekitar 1000-1500 SM. Mereka turut membawa masuk rupakara budaya dan kemasyarakatan kasar mereka bersama dengan bahasa jenis Indo-Arya yang kemudian berkembang menjadi bahasa pengantar weda suci iaitu bahasa Sanskerta.

Sama ada teori ini boleh dipercayai atau tidak, sudah hakikatlah bahawa kebudayaan weda suci telah mengalami pelbagai perkembangan. Berkembang dengan caturweda iaitu Rigweda, Yajurweda, Samaweda dan Atharwanawedam. Tercatit dalam bahasa Sanskerta murni. Kekawin suci weda ini menyeru para dewata yang memaparkan keadaan ketika itu seperti upacara pengorbanan dan peperangan. Ia turut mengandungi permohonan kepada dewata, manusia, benda sekeliling dan binatang. Setengah bahagian lagi ditujukan buat susila manusia dengan lain dan juga mempunyai nasihat berguna. Bacaan lain ada lagi untuk memaparkan keinginan tertentu mendapatkan tuah seperti kesihatan, pengetahuan, kecerdikan, kebijaksanaan, kekuatan, keberanian, keturunan, kejayaan, sorga dan keabadian.

Setengah mantram pula ditujukan bagi upacara atau peristiwa tertentu. Mantram diulangi beberapa kali dalam beberapa bentuk dan peristiwa, dipercayailah bahawa pengulangan itu meningkatkan keberkesanan. Seperti yang dijelaskan dalam buku "Agni" oleh Frits Staal, upcara weda suci ini bukanlah satu-satunya upacara manusia yang masih hidup tetapi juga turut memberikan punca terbaik bagi teori upacara. Upacara weda suci bukannya primitif. Ia sebenarnya canggih dan sudah pun melalui proses perkembangan yang begitu lama. Frits Staal yang berasal dari Belanda dan kemudian berdiam di Amerika Serikat, dalam seluruh sejarah weda suci merupakan orang bukan Brahmana Nambuthiri pertama yang dibenarkan menghadari upacara Yagam pada 1975. Beliau mengadakan, menghadiri dan mempelajari Athiraatram di Panjal dalam bhumipada Thrissur di Kerala. Ia dijalankan antara 12 dan 24 April 1975.  

Walaupun kemudiannya, beliau tak dibenarkan masuk dalam Yagasala atau bahagian suci dalaman. Beliau kemudian mengarang buku berjudul "Agni" selepas bertanya lanjut kepada beberapa pengamal upacara weda yang pakar dalam kalangan Brahmana Nambuthiri yang ketika itu setengahnya masih hidup lagi. Beberapa kalinya, beliau melawat negeri Kerala dan juga beberapa bahagian India yang laain. Menurutnya, "Upacara Nambuthiri bukannya direka-reka atau pun dibentuk semula secara ilmiah seperti yang terjadi di bahagian India yang lain". Setengah orang Eropah lain pun ada mengkaji mendalam mengenai upacara weda suci, amalan-amalan, bacaan, dan juga amalan.

Rigweda

Seperti sudah disebut merata-rata, ia merupakan kumpulan kekawin, bacaan suci, seruan kepada para dewa, memaparkan itihasa samaya itu, peperangan dan juga pandangan dalaman resi-resi agung. Sastera dan tatacara serta upacara Brahmana semuanya terbit dari sini.

Yajurweda

Mengandungi ayat-ayat dan juga seloka berkenaan dengan upacara Brahmana.

Samaweda

Mengandungi bahagian Rigweda untuk bunyi-bunyian dan juga kurang 100 seloka yang merupakan jati nya sendiri. Tapi cara bacaan Samaweda ini sangat-sangat beda dengan bacaan Rigweda serta Yajurweda. Ia dibaca berirama.

Atharwanaweda

Hampir serupa dengan Rigweda. Namun ia menekankan ciri-ciri amali dan ia kemungkinannya ditujukan untuk susunan pelbagai bagi sesuatu masyarakat. Setiap keluarga bangsa Brahmana Nambuthiri ini merupakan pengikut salah satu daripada tiga weda suci tapi mereka bukan pengikut Atharnawaweda.

Bentuk Weda Dipakai

Ada dua bentuk berbeda bagi Rigweda yang diperguna dalam kalangan Brahmana Nambudiri iaitu Kausitakan dan Aswalayanan. Kelompok Kausitakan memakai teks Baskala manakala Aswalayanan memakai Sakala. Walaupun kedua-dua teks ini merupakan tafsiran Rigweda, namun ia turut memberikan versi yang berbeda.

Yajurweda pula ada dua cawangan. Iaitu Kresna Yajurweda dan Sukla Yajurweda. Hampir semua Brahmana yang memakai Yajurweda datang dari cawangan Kresna Yajurweda. Bentuk teks dipakai mereka adalah teks Baudhaayana. Sekurang-kurangnya 15 keluarga lagi memakai Badholoka dan beberapa lagi keluarga memakai teks Aspastambha. Kelompok Brahmana Nambudiri yang mengikut Kresna Yajurweda: Apastambha umumnya sudah pupus. Mereka dah masuk ke pemakaian versi lain sebab kekurangan pakar dalam cawangan mereka yang sepatutnya menjadi guru penunjuk bagi upacara bangsa mereka.

Bentuk Tatacara

Semua Brahmana Nambudiri yang membaca Yajurweda menurut kepada tata-upacara Yajurweda bagi upacara seperti Yagam. Brahmana Samaweda pula memakai cara Kaudhumam, Ranayaniyam dan Jaiminiyam. Hari ini ramai Brahmana Nambudiri Samaweda memakai Jaiminiyam. Semua lima kelompok Brahmana Nambudiri berbeda dalam tatacara upacara, amalan, bacaan, dan perlaksanaan upacara. Seluruh orang Hindu yang memakai weda suci pun mempunyai perbedaan. 

Menurut Manusmrti, seorang Brahmana yang tak reti ayat-ayat suci weda, sekurang-kurangnya dalam satu weda sekalipun maka dia itu Brahmana yang tak guna seduit pun! Yang utama dalam Rigweda itu adalah "Gayattri, seloka tiga baris dari Rigweda... Moganya kita menerima cahaya diingini oleh Sang Sawitri, yang menerangi pemikiran kita". 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan