Isnin, 14 Oktober 2013

Tradisi Pertapa Hutan Siam

Swasti Srih!


Tradisi ini merupakan tradisi kebiaraan dalam aliran ajaran Buddha Therawada. Pengamal ajaran akan mendiami ceruk-ceruk alam sekitar seperti padang pasir, gunung-ganang atau pun hutan tebal bagi mengamalkan ajaran kerohanian.

Dua tradisi kebiaraan di Siam mempunyai tradisi biara dalam hutan iaitu Mahanigaya dan Dhammayuttika Nigaya. Tradisi ini banyak diamalkan orang Thailand yang berbahasa Lao terutamanya di negeri Timur Laut. Ia menekankan pengalaman terus menerusi amalan pertapaan dan berpegang teguh dengan winaya berbanding dengan pengajian Tripitaka Bali. Pertapa hutan ini biasanya dianggap sebagai pakar pertapaan dan ajar-ajar. Ia biasanya dikaitkan dengan pencapaian alam ghaib atau abhinna. Selain itu ia merupakan sisi tradisi ajaran Buddha yang ortodoks, konservatif dan mengamalkan kesederhanaan. 

Atas ciri-ciri yang ini, ia mendapat kehormatan dan dikagumi masyarakat Siam tak mengira bangsa apa pun. Para ajar-ajar mengamalkan gaya hidup baginda Buddha dan juga pelajar awal ajaran Buddha. Mereka digelarlah dalam bahasa kita sebagai Chao Phanawa atau penghuni hutan kerana hidup menurut ajaran baginda Buddha seperti dalam sejarah itu, yang sentiasa berdiam dalam hutan, bagi pencarian jiwa dan juga kehidupan selepasnya atau akhirat. Aku periksa makna akhirat dalam bahasa orang Arab itu, ertinya alam yang lain-lain.

Sejak samaya baginda Buddha lagi, sudah ada ajar-ajar dan ubun-ubun yang masuk ke kedalaman hutan, naik pergunungan dan masuk dalam gua mengasingkan diri bagi membantu mereka mengembangkan tapa semadhi dan menyedari dharmma, iaitu kebenaran ajaran baginda Buddha. Sama ada ajar-ajar itu masuk berseorangan atau secara berkumpulan, meninggalkan kehidupan kota masuk ke dalam kehidupan ringkas, penuh peringatan dan usaha yang berterusan. 

Mereka itu antaranya adalah guru-guru tapa agung sejak samaya baginda Buddha sendiri. Jauh dari kesibukan kota dan pekan, mereka sanggup berhempas pulas dalam kesusahan hidup dalam kehidupan yang liar bagi mempelajari alam sekitar. Mereka tak berminat lagi dengan nama keduniaan atau mencari pangkat pengaruh lagi. Selalunya, mereka ini akan terus berada dalam misteri, tak dikenali. Kehidupan mereka hilang di celah-celah hutan tebal dan pergunungan.

Tradisi Pertapa Hutan Siam kini sangat-sangat rendah hatinya. Ia kembali kepada pergerakan akar yang mengambil contoh amalan tapa semadhi dan gaya hidup baginda Buddha sendiri semasa turunan awal masyarakat Sangha. Penyebaran tradisi ini masih dihidupkan menerusi tradisi purwa berdasarkan kepada rukun winaya yang merupakan kod latehan pelajar disusun baginda Buddha.

Sampai pertengahan kurun ke-20 M pun, kebanyakan biara di Siam atau Thailand merupakan pusat pengajian utama. Bhikkhu dalam pekan-pekan dan kampung mengajar budak sekolah termasuk budak sekolah penganut agama lain seperti pelajar Muslim menulis membaca dan menekankan pengajian kesarjanaan pustaka Buddha bagi penganut ajaran Buddha. Upacara turut memainkan peranan penting dalam kehidupan mereka. Hampir semua bahagian biara di kampung tidak menekankan pertapaan sangat, menggunakan wang, dan tidak mengikut sangat rukun winaya.

Penyuburan semula tradisi ini pada kurun ke-19 M merupakan satu cubaan bagi membawa masuk kembali gaya hidup latihan yang diamalkan bawah pemantaun baginda Buddha. Dua tokoh utama gerakan ini adalah Yang Mulia Guru Mun Bhuridatta dan Yang Mulia Guru Sao Kantasilo.

Niat mereka itu adalah untuk menyedari ciri-ciri hati sendiri dan minda tenang dalaman serta kebijaksanaan dharmma. Biara kampung ditinggalkan dan dibiarkan tenang sunyi sepi. Winaya diikuti dengan patuhnya dengan penekanan diberi terhadap semua perinciannya! Bhikkhu hidup tanpa wang, menerima sahaja semua yang diberikan dengan sabar menahan lapar jika tidak menerima semahan. Ajar-ajar mengamalkan ajaran yang disarankan baginda Buddha dan menggabungkannya dalam cara hidup mereka. Contohnya, makan sekali sehari dari makanan yang dibubuh dalam bejana oleh upasaka, memakai kain kasar, dan hidup di dalam hutan atau atas kuburan candi. Mereka akan merayau-rayau mencari tempat sesuai bertapa, sambil membawa bejana, tiga pasang kain, payung yang ada kelambu, yang disangkut dalam hutan macam khemah dan beberapa barang peribadi lain.

Daripada Guru Mun dan Guru Sao serta beberapa lagi pelajar yang lain, mereka menjadi contoh kepada kehidupan yang ringkas dan berdisiplin. Ajaran mereka diarahkan kepada sesiapa yang ingin memurnikan pemikiran menerusi cara hidup baginda Buddha. Jantung kepada Tradisi Hutan adalah perkembangan tapa semadhi. Menerusi pencarian ketenangan mendalam dan secara teratur mengkaji tubuh dan minda, pandangan dalam timbul sebagai ciri benar kewujudan.

Bila masuk ke biara hutan yang baik, semangat beramal itu ada di mana-mana saja di situ. Ada udara yang ringkas. Bangunan bersih teratur. Latar tempat yang terpencil membantu suasana menjadi lebih tenang. Kuti-kuti yang biasa tiada hiasan muncul di celah-celah hutan. Ajar-ajar dan ubun-ubun dengan peka dan senyap membuat kerja atau terlibat dalam tapa duduk atau tapa berjalan.

Dalam perkembangan tapa semadhi, banyak rintangan akan dihadapi seseorang. Maka guru-guru di hutan disedari mempunyai kekreatifan tersendiri dalam mengatasi halangan, goncangan jiwa dan kekotoran minda. Mereka ini sangat berani dalam usaha menyedari kecerahan minda. Kini, tradisi ini mula berkembang di negara-negara Barat juga. Rasanya di Sriwijaya suatu ketika dahulu pernah wujud jua tradisi ini. Begitu juga di rantau Pulau Jawa ketika dahulu kerana aku ada membaca karya sastera Jawa seperti Panji Samirang yang turut memberikan gambaran latar di rantau Jawa. Begitu juga di rantau Tibet dan Himalaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan