Ahad, 13 Oktober 2013

Cara Membaca Mantra


Om Swastiastu!


Diketahuilah bahawa semua widya itu tercetus di India purwa. Maka tidak juga mengejutkan kalau diketahui bahawa mahawidyalayam yang pertama di loka ini iaitu Mahawidyalaya Nalanda itu dibangunkan di India purwa pada 427 SM. Sarjana seluruh pelosok lokamaya ini pernah diberikan pengetahuan dan pencerahan mengenai pelbagai mata pelajaran di mahawidyalaya ini. Maka, pengetahuan berkaitan mantra dan ilmu ghaib itu tersebar dari India purwa sampai ke benua dan rantau lain hari ini bersama tersebarnya bangsa Hindu. Makanya, kita pun melihat ada saja bacaan mantrakata di pelbagai negara dan budaya hari ini.

Pembacaan mantra ini merupakan satu bentuk parampara yang istimewa yang diperturun oleh guru-guru purwa di India lama. Mereka yang juga merupakan para resi dan muni itu memberikan beberapa tata kelakuan untuk sesiapa yang ingin mendapat kebajikan dari pembacaan mantrakatha. Prinsip ini semua mestilah dituruti dengan penuh patuh. Jika tidak, maka orang yang membacanya pun akan terkena malang celaka lah. Dalam rencana yang ini, kita ingin membincangkan beberapa cara bagaimana mendapatkan kebajikan daripada mantrakatha.

Mula

Utamanya sekali, seseorang yang ingin mengalami kenaikan ke pembacaan mantrakatha mesti pergi berdepan dengan seorang Guru. Mencari Guru sebenar ini merupakan tugasan yang sangat sukar. Kebanyakan orang akhirnya langsung tak bertemu Guru. Caranya tuan mencari Guru itu adalah dengan memastikan tubuh dan pemikiran tuan suci dan murni. Ertinya, tuan jangan terlibat dalam perbuatan buruk tabiat buruk. Pikiran mesti dikawal jangan menerawang ke yang bukan-bukan. Cuba baca dulu pustaka kerohanian dan cetera-cetera mengenai para Guru dan cuba mengembangkan bhawana atau rasa bakti kepada-Nya dan Guru lampau seperti Mpu Sankara, Mpu Ramanuja, Mpu Madhawa, Mpu Rama Kresna Paramahamsa, Mpu Wiwekananda, Mpu Ramana Maharesi dan lain-lain. Menerusi cara ini maka pemikiran tuan akan disucikan secara tak disedari. Bila pemikiran, hati dan tubuh sudah murni maka Guru akan berhubung dengan tuan. Guru yang Agung sekali untuk tuan teliti ceteranya adalah Betara Siwa, Betara Wisnu Narayana, Sri Begawan Kresna menerusi purana-purana dan kekawin suci. 

Eka Bija atau bacaan mantra satu suku kata itu boleh dibaca tanpa seorang Guru. Bagi mantra lain dengan dua atau lebih suku kata digabungkan, maka perlu kepada seorang Guru! Ada orang membaca mantra menerusi dengar-dengar dari pustaka atau dengar cakera padat dengan memuat turunnya dari laman sesawang. Yang ini bukan cara sebenar. Aku ada juga meletakkannya di sini tetapi ia bukan cara sebenar mendapatkannya. Tuan mesti pergi cari Guru sendiri. Tujuan ku letakkannya adalah untuk memperkenal sahaja. Jika sudah diketahui maka boleh pergi mencarinya. Mantrakatha utamanya dari weda-weda suci bukan untuk dijual sebagai barangan jualan di pasar-pasar! Kita sangat menjaga kesucian weda suci segala!

Ramai orang bertanya mengenai mantrakatha ini dan menyatakan sukarnya hidup mereka maka mereka mau membaca mantrakatha bagi menghapuskan masalah mereka. Setengah mengatakan menghadapi masalah kewangan dan maukan mantrakatha untuk menang loteri atau menang judi. Pemuda mau kan mantra sebab mau menarik gadis perawan. Ada yang mau mantra sebab maukan anak-anak jangan degil jangan ketegar. Bacaan mantra untuk tujuan ini semuanya adalah karut belaka!

Mari lihat semula apa tujuan mantra diwangsitkan dan diajarkan! Mantrakatha yang diambil mesti terus dibaca sampai ke putus nyawa! Bukan dibaca setakat untuk mendapatkan untung laba loka, tapi lepas itu ditinggalkan! Rupakara weda mengajarkan bahawa seseorang itu mesti menerima dan mengikut prinsip tertentu dalam hidup bagi mencapai kebebasan jiwa. Tujuan mantrakatha itu adalah untuk menghapuskan kesan karma buruk kehidupan lampau tuan. Ia akan menjadi batu dasar bagi kehidupan yang lebih baik pada kehidupan akan datang!

Tujuan kenapa Guru perlu ada adalah untuk mendapatkan mantrakatha itu kerana hanya Guru saja yang tahu mantra mana yang sesuai dengan si pembaca. Guru akan mengajarkan bacaan betul sebutannya dan susunannya. Bila diberikan kepada tuan, saktipatha akan disalurkan juga supaya jangan ada halangan bila tuan membacanya.

Tahap Membaca Mantra

1. Bacanya kuat-kuat biar didengari oleh semua sekeliling tuan. Semasa membaca kuat, tumpuan hanya kepada bunyi mantra sahaja. Untuk tahap awal ini, ia akan berlarutan selama tiga sampai enam bulan.

2. Baca mantrakatha seperti berbisik pula yang hanya tuan sahaja boleh dengarnya. Yang ini tumpuannya pada bunyi dalaman yang terbit dalam diri tuan. Yang ini pun selama tiga sampai enam bulan.

3. Baca mantrakatha secara senyap tanpa bibir digerakkan. Pada tahap yang ini, tuan mesti tumpukan perhatian kepada dewa atau dewi penunggu mantrakatha itu. Ini tahap terakhir, mesti diperbuat tuan sampai ke putusnya nyawa!

Susila Membaca Mantrakatha

Sebelum mantrakatha dibacakan, nyalakan pelita dengan minyak sapi depan rupa atau murti dewa penunggu mantrakatha atau dewi penunggu mantra. Duduk menghadap ke Timur atau Timur Laut. Semasa membaca mantrakatha, mata ditutup dan biar arah anak mata ke depan. Tulang belakang biar lurus! Longgarkan semua bahagian sendi tubuh dan jangan ada tekanan pada mana-mana bahagian pun.

Prinsip Mesti Ikut

Dasar

Bila sudah mengambil mantra, mesti tinggalkan segala tabiat busuk seperti merokok, makan makanan berdaging, tuak, serta bermukah dengan wanita yang bukan isteri tuan.

Jangan marah dengan sesiapa pun dan jangan mudah sentao. Harus dikembangkan rasa bahawa setiap perkara itu merupakan ketentuan-Nya dan kita ini cuma penonton saja dalam loka ini. Pada tahap kejiwaan, kita langsung tiada rakan atau musoh.

Jangan bercakap bohong dan jangan bercakap banyak. Bahasa harus dijaga bercakap cuma dengan tatakrama. Bukan bahasa mencarut atau bahasa longkang. 

Wanita yang datang bulan jangan disentuh langsung. Jika disentuh saja pun, tuan mesti segera mandi dan pakai pakaian cawat besi. Kalau masa kini, cukup pergi mandi sahaja. Yang ini biasa terjadi bagi yang sudah berkahwin. 

Baca mantrakatha jangan duduk atas lantai tanpa dilapik. Tubuh yang berhubung dengan lantai itu akan membuatkan mantra itu bocor saktinya ke pertiwi. Duduk atas para kayu dengan kain sutera dilapis atasnya. Sebab itu tuan selalu nampak orang membaca mantra tidak duduk terus atas lantai.

Gayattri Mantra

Gayattri mantra mesti ambil dari Guru tuan. Bukan diambil dari buku atau dengar-dengar dari punca kedua atau ketiga. Selesai baca Gayattri mantra 100,000 kali, maka baru boleh diambil mantrakatha lain menurut pilihan tuan.

Mesti dibaca 108 kali pagi hari. Kemudian baca pula mantrakatha pilihan tuan sekurang-kurangnya 108 kali atau dikali dengan dua atau tiga dan seterusnya. Dinasihatkan guna japa mala yang nilainya 108 biji bagi mengira mantrakatha. Lagi baik dipakai rudraksha atau yang diperbuat dari manik kaca.

Semasa mengira itu, tarik biji mala itu menggunakan jari tengah dan ibu jari tangan kanan. Yang ini lambangnya tuan tidak menghiraukan ahamkara (ego). Selepas 108 kali, jika mau membaca bacaan lain untuk 108 kali maka dikira terbalik pula. Maka bacaannya akan bermula semula dalam arah yang sama.

Mantrakatha pun ada kelahiran dan kematian sama macam manusia. Pada saat tuan ambil mantrakatha dari Guru, ia melambangkan mantrakatha itu menjelma dalam diri tuan. Bila tuan berhenti, maka ia matilah dari jiwa tuan. Maka, jika tuan berhenti membaca sebelum putus nyawa tuan maka tuan berdosa papa lah kerana tuan sudah membunuh jiwa lain dalam jiwa tuan!!!!

Mantrakatha tak boleh dibaca bila saudara-mara terdekat atau ahli keluarga tuan meninggal. Mantrakatha mesti berhenti selama sebulan dari tanggal upacara pengebumian atau pembakaran tubuh. Selepas satu bulan, mula sekali mesti dibaca Gayattri Mantra sebanyak 1000 kali dan kemudian teruskan semula bacaan seperti biasa.

Masa terbaik membaca mantra-mantra adalah satu jam sebelum timbul mentari. Boleh diteruskan semula bacaan mantrakatha itu kemudian selepas satu jam terbitnya mentari. Contoh, katakan jika tuan berada di Jepun masa timbul mentari pada jam 4:00 maka tuan kena bangun jam 2:30 bagi bersiap-siap. Jam 3:00 itu boleh mula baca. Kemudian boleh diteruskan sampai jam 5:00.

Setiap kali gerhana candramasa dan suryamasa tuan mesti beri tenaga kepada mantrakatha. Pergi mandi dengan biar air luruh atas kepala tuan sebelum mula gerhana. Kemudian mula bacaan apabila gerhana masuk dan teruskan sampai selesai. Selepas selesai gerhana, mandi sekali lagi dengan biar air luruh atas kepala. Baca mantra sekali semasa gerhana itu diperkira sama dengan membaca mantra 1000 kali pada hari biasa.

Amawasya atau wulan baru akan selalu terjadi pada wara Aditya. Sama seperti gerhana juga. Maka hari itu pun dinasihatkan membaca mantrakatha seberapa lama yang mampu. Jangan didedahkan mantrakatha kepada sesiapa pun kecuali jika dibenarkan oleh Guru.

Jika tuan tiada Guru, maka tuan tidak masuk pun dalam bacaan mantrakatha menurut cara waidika. Maka, boleh tuan dan puan baca stottram contohnya Astottram iaitu 108 nama dan Sahasram iaitu 1000 nama dewa atau dewi. Stottram tidak seperti mantrakatha dan tak memerlukan guru. Ada aku tempek juga dalam ini. Tuan, puan, abang, adik dan kakak semua dijemput membaca stottram itu semua kerana tak perlukan guru. Boleh minta bantuan pujari atau pendita sahaja bagaimana cara membaca atau menyebutnya dengan betul. Boleh dengar juga dari cakera padat atau audio. Mantra weda-weda sahaja sangat kita kawal supaya kesucian jangan dicemari. Bukan sebab kita melarang orang bangsa lain membacanya. Boleh saja baca terjemahannya dalam bahasa lain. Yang tertulis dalam bahasa Sanskerta dan aksara Brahmana itu suci dan mesti ditinggikan.

Selesai Tempoh Tertentu

Selesai tempoh pembacaan mantra itu sebanyak beberapa ratus ribu kalinya, sehari itu tuan akan mendapat mantra siddhi atau sempurna mantram. Dalam proses ini, muka tuan akan menjadi cerah dan tubuh bersinar macam emas. Tuan akan mendapat sedikit sakti yang membolehkan tuan mempunyai pra-rasa bagi perkara yang terjadi di masa ke depan dalam kehidupan tuan atau kehidupan orang lain. Semua perkara yang tuan mahu akan terjadi menurut kepada keinginan tuan.

Ada masa, mungkin tuan boleh mempunyai sakti mengawal setengah daripada unsur panchamahabhutam iaitu air, api, tanah, angkasa atau angin. Sebagai contoh, tuan boleh menghentikan hujan lebat pada masa tertentu. Tuan dilarang sama sekali bercakap mengenai perkara ini dengan sesiapa pun! Dilarang keras berbangga sekelumit pun dengan semua ini!!!! Tujuan sebenar mantrakatha bukan untuk mencapai sakti loka! Tujuan mantrakatha itu adalah untuk menyedari Nya.

Yang ini sangat-sangat penting. Tuan boleh ambil perhatian dengan masukan yang ini, aku tidak marah kalau tuan mau salinnya dan simpan untuk tuan perguna bagi diri tuan. Yang ini bagi penganut Hindu yang memakai benang suci yagnopawittam. Memang untuk tujuan kebajikan dan peringatan bersama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan