Selasa, 12 November 2013

Ahaṃkāra

Om Swastiastu!


Ahamkara ini merupakan sabdawali bahasa Sankserta yang berkaitan dengan ego atau keegoan yang tersebut sebagai pengenalan jati atau keterikatan kepada diri seseorang.

Sabdawali ini disebut dalam falsafah Wadika yang usianya lebih kurang 3000 tahun, yang mana kata Ahaṃ merujuk kepada "Diri" atau "Aku" dan Kāra pula merujuk kepada konsep bagi "sebarang benda yang diciptakan" atau "segala yang diperbuat". Sabdawali ini terbitnya dari falsafah Wedika dahulu, kemudiannya baru dijalinkan dalam falsafah Hindu utamanya falsafah Saṃkhyā.

Ahamkara ini merupakan satu daripada empat bahagian antah karana atau anggota dalaman jiwa yang dijelaskan dalam falsafah Hindu. Lagi tiga bahagian dalaman itu adalah Buddhi, Citta, dan Manas. Uttara Mimamsa atau cawangan Wedanta dalam falsafah Hindu, walaupun tak diperbincang lanjut dalam Bhagawadgitam, tapi ada menyebut bahawa Begawan Kresna pernah bersabda kepada Sang Arjuna bahawa ahamkara itu mesti dikeluarkan dari diri. Ia harus diserahkan kepada Sang Hiyam Widdhi. Sebab bagi perkara ini adalah kerana "Jiwa Murni" tidak akan wujud apabila seseorang itu berada dalam keadaan Ahamkara.  

Kesan Falsafah

Bagi memahami sabdawali ini, kita mesti mempunyai alat yang ampuh bagi memahami ciri dan tabiat diri kita serta yang lain. Falsafah Wedika mengajarkan bahawa apabila minda seseorang itu dalam keadaan ahamkara, maka dia berada dalam khayalan yang menjatuhkan. Mindanya terikat dengan konsep jiwa itu sebagai terikat dengan bahan yang diciptakan. Bahan yang diciptakan itu selalunya adalah satu fenomena yang boleh dipikirkan sebagai luaran bagi jiwa.

Ia boleh jadi bahan yang boleh dipegang, bahan berjisim contohnya seperti kereta, buku, pakaian, bangunan, dan sebagainya atau bahan yang tak boleh dipegang contohnya seperti konsep atau idea sebagai contoh konsep peperangan bagi mendapatkan keamanan. Ego ini terlibat dalam pembentukan khayalan.

Contoh ahamkara dalam tindakan:
  • Pertimbangkan bagaimana seorang lelaki muda yang sepatutnya bertimbang rasa mungkin berasa bahawa kereta sports barunya itu merupakan cerminan diri sebenarnya dan ia akan menggalakkannya berlumba kereta memandu dengan cuai tanpa menghiraukan kereta orang lain.
  • Begitu juga, pertimbangkan tentang bagaimana seseorang yang percaya bahawa berperang itu bagi mencapai keamanan, yang biasanya mungkin bertabiat dan bertindak secara lemah lembut serta sopan-santun, mungkin menghentam bocor kepala orang yang mengancam atau mencabar perkara yang dianggapnya sebagai "aman" itu.
Dalam kedua-dua keadaan ini, minda mencetuskan tahap khayalan, tetapi ia nampak sangat benar kepada orang yang berada dalam keadaan tersebut, dan tumpuan matlamat serta hakikat menjadi kabur. Tahap khayal mendalam ini adalah perkara yang selalunya menjadikan manusia berbuat perkara pelik-pelik, kadangkala jahat juga, dan tak mengikut peribadi tingkah laku manusia. Semua manusia boleh terlibat atau sekurang-kurangnya terlibat sekali-sekala dalam keadaan ini sama ada pada kehidupan ini atau kehidupan lain mengalami sengsara disebabkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan