Sabtu, 16 November 2013

Nirmāṇa

Swasti Srih!


Kata nirmana atau nirmita ini bererti "membangunkan" atau "membina". Segi sabdawalinya pula bererti, "pancaran ajaib", "hantu", "barang tercetus" dan "hantu" dan merupakan konsep dalam mistik bagi barang-barang atau bahan yang dicetuskan menerusi disiplin kerohanian sempurna atau disiplin mental sahaja. 

Ia dinirwacanakan dalam sastera Hindu-Buddha sebagai bayangan cetusan minda yang tak benar atau bentuk khayalan. Alexandra David-Neel menjelaskan bahawa nirmana ini merupakan "pembentukan ajaib dijana oleh tumpuan pemikiran yang sakti". Ia menjelmakan pemikiran yang mengambil rupa jasadi dan ia selalu disama ertikan dengan rupa pikiran.   

Ajaran Buddha di India

Salah satu sastera awal Buddha, Samaññaphala Sutta menyenaraikan kemampuan mencetuskan "tubuh terperbuat dari minda" atau manomaya kaya sebagai salah satu daripada "buah daripada kehidupan penuh renunangan". 

Sastera ulasan seperti Patisambhidamarga dan Wisuddhimarga menyatakan bahawa tubuh terperbuat daripada minda ini adalah gambaran bagaimana Sang Buddh Gautama dan para Buddha lain mampu menjelajahi alam kahiyangan dan ia diperguna juga buat menjelaskan keajaiban pertambahan daripada Buddha yang dipaparkan dalam Diwiyawadanam, yang ketika itu Sang Buddha memperbanyak tubuhnya ke tubuh tak terkira banyaknya sampai penuh langit.

Ahli falsafah Buddha dari India, Wasubandhu menirwacanakan nirmita itu sebagai kesaktian melampaui manusia biasa yang disebut sebagai ṛddhi atau iddhi dikembangkan menerusi jalan semadhi dalam karya perkembangan falsafah Buddhanya, Abhidarmakosa. Asanga dalam Bodhisattwabhumi menjelaskan bahawa nirmana itu sebagai khayalan ajaib dan "dasarnya itu, sesuatu yang tanpa dasar kebendaan". Aliran pemikiran Madhyamaka melihat segala hakikat itu sebagai kosong pada patinya, segala hakikat dilihat cuma sebagai satu bentuk nirmita atau pun khayalan yang memukau sahaja.

Ajaran Buddha di Tibet

Nirmana ini merupakan konsep ajaran dan disiplin kerohanian dalam ajaran Buddha di Tibet dan tradisi Bon. Sabdawali rupa pikiran ini diperguna seawal tahun 1927 oleh Evans-Wents dalam terjemahan Pustaka Kematian Tibet mereka.

John Myrdhin Reynolds dalam catitan terjemahan bahasa Inggerisnya mengenai kisah hidup Garab Dorje menirwacanakan nirmana itu sebagai "pancaran atau jelmaan". Seorang Buddha atau makhluk yang mencapai kesedaran mampu menerbitkan cetusan seperti nirmita selari dalam rupa pelbagai tak terbatas.

Alexandra David-Neel

Sabdawali ini diperguna dalam karya penulis ini. Beliau seorang penjelajah keturunan Perancis dari negara Belgium, seorang pengkaji kerohanian dan juga penganut ajaran Buddha. Beliau memperhati amalan ini diamalkan di Tibet sekitar kurun ke-20 M. Beliau menulis bahawa, "Bodhisattwa yang sempurna itu mampu memberi kesan dengan mencetuskan kesaktian 10 jenisnya. Kesaktian membentuk cetusan ajaib, nirmana, atau khayalan yang pendek-pendek masanya menjelma menjadi rupa itu, tak semestinya dipunyai oleh makhluk mistik begitu sahaja. Sesiapa pun dalam kalangan makhluk suci atau makhluk setan boleh juga dipermainkannya. Bedanya ia datang dalam darjah-darjah kesaktian, dan ia bergantung pula kepada kekuatan penumpuan dan kualiti minda makhluk itu sendiri". 

Alexandra menyebut lagi bahawa nirmana ini mampu mengembangkan mindanya sendiri, "Sebaik sahaja nirmana ini dikarunia dengan kesuburan mencukupi maka ia mampu memainkan peranannya sebagai juga peranan makhluk benar-benar wujud, ia akan cenderung membebaskan dirinya daripada kawalan pencetusnya. Sebut para pengkaji ilmu ghaib Tibet, terjadi hampir sendirinya, seperti anak kecil yang apabila tubuhnya itu sempurna dan mampu hidup sendiri, maka ia keluarlah daripada kandungan ibu nya menjadi bayi".

Alexandra mendakwa bahawa beliau sendiri pernah mencetuskan rupa yang suka gembira seperti Friar Tuck, yang kemudian hidupnya mula berkembang sendiri dan mesti dihapuskan pula. Alexandra menimbulkan kemungkinan bahawa pengalamannya itu mungkin satu khayalan dan menyebut bahawa, "Aku mesti sudah mencetuskan halusinasi ku sendiri". Maka sebab itu, ajaran Buddha mengajarkan bahawa kita mesti senantiasa sedar supaya jangan dimakan oleh khayalan dan terus menghadapi hakikat loka ini.

Rupa Pikiran 

Rupa pikiran ini merupakan konsep setara dengan nirmana atau tulpa yang terdapat dalam tradisi ilmu ghaib orang Barat. Pemahaman mereka dipercayai berasal daripada penafsiran konsep sebaran dari orang Tibet juga. Ia merupakan konsep yang berkaitan dengan falsafah Barat dan pengamalan magis.

Sudut Pandangan Moden

Seperti konsep dipakai oleh orang Tibet dijelaskan dalam buku Magical Use of Thoughtforms, pelajar dijangka akan memahami bahawa nirmana itu cuma halusinasi atau khayalan sahaja. Sementara mereka diberitahu bahawa nirmana yang muncul itu adalah dewata yang sejati, "Pelajar yang menerima perkara ini sebagai benar akan dipandang sebagai gagal, dan dia akan terus hidup seumur hidupnya dengan halusinasi yang tak menyenangkan hidupnya itu!"

Hari ini, ada ramai orang cuba mencetuskan nirmana mereka sendiri. Mereka cuma membuat kawan ketika keseorangan dan proses ini melibatkan membayangkan satu makhluk yang jelas sekali rupanya sampai kewujudannya itu dirasai, dan kadangkala ia bercakap dan bertindak sendiri. Banyak juga laman sesawang yang menjelaskan tentang cara mewujudkan nirmana semacam ini.

Saranan aku pula, jangan cuba-cuba buat kerana sangat berbahaya terutama jika anda tak terlatih dalam penumpuan semadhi!! Seeloknya, cuba sahaja hadapi hakikat hidup seberani yang mungkin. Kalau kera sumbang tiada berkawan pun tak apa tapi jangan cuba cetuskan "nirmana" kerana nanti otak anda sendiri yang akan jadi tak betul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan