Jumaat, 24 Januari 2014

Bangsa Brahmana

Om Svasti Astu!

Gambar: Peter Horner

Kalau disebut mengenai masyarakat Chaturvarna itu, pastinya akan disebutkan bahawa bangsa Brahmana itu adalah bangsa peneraju dalam Chaturvarna. Sebenarnya tidaklah begitu sebaliknya bangsa Brahmana cuma menduduk tempat kedua dalam susunan kemasyarakatan. Bangsa Kesatria lah bangsa yang menduduki tempat teratas atau boleh jadi juga bangsa Kesatria dan Brahmana sama-sama menduduk tempat setara.

Brahmana ini perkataan Inggerisnya adalah Brahmin. Ia merupakan masyarakat tradisional yang wujud di India, Pakistan, Nepal dan Timur Jauh termasuklah di Pulau Jawa dan Pulau Bali yang masih mempunyai tinggalan masyarakat Hindu lama nya. Perkataan bahasa Sanskerta seperti Brahmana, Brahma dan Brahman itu sebenarnya berbeda pengertiannya. Brahman merujuk kepada Jiva Tertinggi. Brahmana merujuk kepada Brahmin atau kelompok masyarakat pedanda, karyawan seni, guru-guru, kelompok pekerja dan juga orang perseorangan yang tergolong dalam puak atau bangsa Brahmana disebabkan oleh keturunannya. Kata Brahma pula merujuk kepada unsur penciptaan bagi Kesedaran Sejagat. Unsur penciptaan itu bukan Tuhan dan inilah kefahaman penganut ajaran Buddha-Brahmana. 

Disebabkan kelompok pedanda atau acharya itu berpengetahuan mengenai unsur penciptaan dan bertanggungjawab pula kepada upacara keagamaan di pura-pura serta rumah-rumah orang serta diberi tanggungjawab pula buat menjalankan upacara pengorbanan selepas tempoh pengajian veda suci yang bersungguh-sungguh, maka mereka pun memberikan nasihat dan memindahkan pengetahuan mengenai Jiva Tertinggi itu kepada ahli masyarakat seluruhnya dan membantu mereka mencapai moksha. Mereka digelarlah Brahmana. Sebenarnya, Brahmana itu bukannya suatu perkara yang sepatutnya dibanggakan. Ia merupakan tanggungjawab yang berat! Ramai orang Brahmana sendiri yang degil dan tidak mahu mengikut jati dharma mereka menyebabkan mereka jatuh dari jati mereka menjadi Sudra atau lebih teruk lagi, Svapakah.    

Menurut kepada ahli falsafah Hindu dan sarjana-sarjana Hindu, bangsa manusia ini sebenarnya terbahagi kepada empat tiang atau varna. Dalam sastera agama Hindu seperti Smrti, Veda Suci, Upanishad, Purana dan lain-lain, Chaturvarna atau Empat Warna itu terdiri daripada......
  • Brahmana, kelompok acharya dan pedanda.
  • Kesatria, kelompok pemerintah, pahlawan dan tentera.
  • Vaisya, kelompok pedagang dan petani.
  • Sudra, kelompok pembantu-pembantu dalam masyarakat.  
Acharya dan pedanda Brahmana dilibatkan dalam pencapaian pengetahuan kerohanian tinggi dikenali sebagai Bramhavidyam bagi mengetahui mengenai Brahman (Tuhan) dan menurut kepada sakha-sakha veda yang pelbagai pula. Brahmana bertanggungjawab bagi upacara keagamaan di pura dan rumah orang Hindu dan diberi pertanggungjawaban selepas selesai pengajian veda yang bersungguh-sungguh selain menjalankan upacara pengorbanan suci bagi hubungan antara manusia dengan Tuhan. Umumnya, kegiatan keluarga dan perniagaan diwarisi oleh sesuatu keluarga kepada anak-anak, maka begitulah juga kepedandaan pun diwarisi oleh keluarga Brahmana turun-temurun. Ia memerlukan latihan bagi pengamalan ayat-ayat suci veda bertahun-tahun lamanya selepas pengenalan rasmi ke tahap bramhacari semasa kecilnya menerusi kenaikan upanayanam pengaruniaan benang pada usia lima tahun. 

Orang perseorangan dari jati atau puak Brahmana boleh juga menjalankan kegiatan sebagai pedanda, orang alim, sarjana, peniaga atau pun pahlawan, seperti dijelaskan dalam kekawin Rajatarangini oleh Kalhana (12 M). Menurut kepada Valmiki, seorang pemburu dan juga pengarang cetera itihasa Ramayana, Brahmana Parasurama yang merupakan titisan jelmaan Betara Wisnu, mengangkat senjata demi menegakkan keadilan! Parasurama digambarkan sebagai seorang pahlawan yang sakti mengalahkan para kesatria Haiheya sebanyak 21 kali. Beliau itu mahir dalam kesenian mempertahan diri dan penggunaan senjata seperti kapak dan panah. Beliau turut melatih Brahmana lain untuk berlawan tanpa memakai senjata. Kresna Dvaipayana Vyasa, anakanda kepada Brahmaresi Parashara, dan wanita pemancing, Satyawati, dalam cetera Mahabharata, menggambarkan mengenai beberapa orang pahlawan yang datang dari puak Brahmana, seperti Dronacharya, Kripacharya, Parasurama, dan lain-lain. Walaupun mereka itu bangsa Brahmana tapi mereka pun terlatih juga dalam seni peperangan dan mempertahan diri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan