Jumaat, 24 Januari 2014

Zaratosht: Kepercayaan Dasar


Dalam ajaran Zaratosht, Ohr Mazda (Asura Medha) merupakan yang mula dan yang penghabis. Yang menciptakan segala sesuatu yang boleh dipandang dan yang ghaib. Yang abadi, yang murni dan satu-satunya Kebenaran. Dalam Gathas (Katha), sastera paling suci sekali bagi penganut agama Zaratosht dan dianggap sebagai karya catitan resi Zaratosht sendiri, beliau menjelaskan bahawa kebaktian hanyalah ditujukan kepada Ohr Mazda sahaja! Tidak kepada yang lain-lain yang dipandang rendah kedudukannya daripada Ohr Mazda. 

Daena

Daena atau Din dalam bahasa Parsi moden merupakan perundangan alam semesta abadi, yang susunannya didedahkan kepada kemanusiaan menerusi Mathra Spenta (Kalimah Suci). Orang Arab pun menyerap kata bahasa lama ini ke dalam bahasa mereka menerusi bahasa Aramia (Mesopotamia) berkurun-kurun lamanya bagi mengisyaratkan mengenai perundangan alam semesta. Kemudian ia dipakai bagi salah satu pengertian untuk istilah kata Syariah (Jalan) yang diperguna oleh Muslim. Kata Daena ini turut diperguna bagi mengertikan agama, kepercayaan, perundangan, dan juga disepadankan dengan sabdavali Hindu dan penganut ajaran Buddha, Dharma. Yang disepadankan dengan kata Dharma itu adalah untuk tafsiran kata, "Tugas" tetapi boleh juga diertikan dengan pengertian seperti susunan samudayam (kemasyarakatan), tingkah laku yang benar atau kebajikan. Perlambangan bagi kata "Daena" ini diwakilkan oleh penganut ajaran Zaratosht dengan baju kain Muslin yang disebut sebagai Sudra mewakili Jalan Suci dan 72 bebenang Kushti diikat di pinggang mewakili Pencari Jalan.  

Kata Daena ini tak sama dengan prinsip-prinsip asas yang disebut dalam bahasa Parsi lama sebagai Asha (bahasa Sanskerta kita, Artha), iaitu perundangan-Nya yang memastikan jagat raya ini berada dalam keseimbangan, dan yang memerintah kehidupan orang Arya lama. Bagi sabdavali Asha ini, ia merangkumi perkara yang boleh diperhatikan dengan mata kepala manusia seperti pergerakan planet-planet atau bintang atau pergerakan bahan-bahan di angkasa, perubahan musim, dan corak-corak kehidupan pengembala yang berpindah randah, yang dikaitkan dengan kejadian-kejadian metronomi seperti terbit atau terbenamnya sang Surya.   

Segala geti (makhluk) makanya bergerak dan berfungsi seperti rencana besarnya, yang hanya diketahui oleh Ohr Mazda, dan pelanggaran aturan ini yang disebut sebagai druj merupakan pelanggaran yang melawan hukum penciptaan, seterusnya juga melanggar perintah Ohr Mazda.

Konsep asha lwn. druj ini bukan seperti konsep kebaikan lwn. kejahatan yang kenampakan dalam agama-agama orang di sebelah rantau Barat seperti agama Kristian atau agama Islam walaupun konsep-konsep itu nampaknya memberi ungkapan kepada pertelingkahan susila juga. Konsep druj itu lebih tersusun dan kurang peribadi. Contohnya, kacau-bilau berlawanan dengan susunan dalam dunia; atau "ketidakciptaan" itu, nampak jelas sekali sebagai kebejatan yang semulajadi yang melawan ciptaan; atau yang lebih mudah lagi, "penipuan" itu berlawanan dengan kebenaran dan kebajikan. Maka dalam pendedahan wahyu yang diterima oleh resi Zaratosht, Ohr Mazda itu diperhatikan sebagai Pencipta segala yang baik-baik saja (Yasna 31.4), Pemelihara Tertinggi yang Maha Agung (Yasna 43.11) yang nantinya akan tetap jaya (Yasna 48.1).

Dalam konsep asha lwn. druj itu, makhluk yang mempunyai ajal seperti manusia atau binatang memainkan peranan yang agak kritikal juga kerana mereka merupakan yang diciptakan. Dalam kehidupan mereka, mereka seringkali lah terlibat dalam pertelingkahan, dan tugas mereka adalah mempertahankan susunan alam, yang memang akan mereput pun tanpa sebarang tindakan melawannya. Menerusi Gatha suci, resi Zaratosht menekankan bahawa perbuatan dan tindakan, serta pemikiran bhiksuka itu tidaklah dipandang mempunyai kedudukan pun. Dalam ajaran Zaratosht terkemudian, dijelaskan bahawa tindakan masuk ke bhiksuka atau biara itu merupakan tindakan lari dari pengalaman kehidupan yang sebenarnya penting pula bagi urvan kerana memang itu tujuannya urvan (roh) dihantar ke alam tak abadi. Tujuannya mengumpulkan pengalaman hidup. Mengelakkan dari sebarang aspek kehidupan, termasuklah mengelakkan kesenangan kehidupan itu, merupakan perbuatan mengelakkan pertanggungjawaban dan tugas bagi diri orang perseorangan, terhadap urvan nya, dan terhadap kewajiban bagi keluarga dan masyarakatnya.   

Yang terutama dalam ajaran ini juga, penekanan kepada pilihan susila itu diberikan, iaitu pemilihan terhadap adhikara atau tanggungjawab bagi seseorang itu dalam loka maya, atau meninggalkan tugasannya dan memulakan kerja ke arah druj. Hukum takdir yang memang sudah ditentukan juga ditolak dalam ajaran resi Zaratosht. Katanya, manusia bertanggungjawab terhadap segala keadaan yang menyebabkan mereka terperangkap dalamnya, dan juga cara mereka bertindak terhadap makhluk lain. Pahala, hukuman, kesukaan, dan kesedihan itu bergantung kepada cara seseorang itu menjalankan penghidupannya.

Kebajikan hanya akan mengalir bagi mereka yang berbuat kebenaran dan kebajikan. Yang berbuat jahat pula membuat salah kepada jiwanya sendiri jika dia hancur. Susila Zaratosht ini bolehlah diringkaskan dalam ayat mudahnya, "pemikiran baik-baik, kata-kata baik, perbuatan baik-baik" atau dalam bahasa Avestannya, Humata, Hukhta, dan Hvarshta. Menerusi ketiga-tiga dasar ini, maka asha dapat dipelihara manakala druj dapat diperhatikan jangan terlepas.

Menerusi kenaikan juga, beberapa kepercayaan lain diperkenal dalam tubuh ajaran Zaratosht, untuk beberapa bahagiannya, melebihi pula perkara yang diungkapkan menerusi Gathas. Dalam kurun ke-19 M, konsep kuasa susila dan tunasusila diperkenal dalam pemahaman penganut ajaran Zaratosht, diwakili oleh Spenta Mainyu dan lawannya, Angra Mainyu, iaitu roh baik dan roh jahat yang terpancar dari Ohr Mazda juga. Walaupun nama-nama ini adalah nama yang tua, namun bentuk pemahaman ini dipengaruhi oleh pemahaman Barat yang dipelopori oleh Martin Haug pada 1880-an, dan merupakan kesan daripada garis tebal kepercayaan penganut Zaratosht cawangan Zurvan, yang menceterakan tentang Zurvan, bagi menjelaskan mengenai cawangan kembar, susila dan tunasusila (Yasna 30.3). Walaupun aliran Zurvan ini sudah mati ketika kurun ke-10 M, persoalan kritikal berkenaan saudara kembar disebut dalam Yasna 30.3 itu masih tetap begitu sahaja sehinggalah Haug mempertahankan kepercayaan agama Kristian dan mubaligh Kristian, dengan menjatuhkan hujah mereka berkenaan dvaita itu menerusi persoalan saudara kembar ini. Konsep ini kemudiannya disebarkan oleh tafsiran Parsi, dan membenarkan teori Haug itu. Maka buah pikiran ini menjadi terkenal sampai diterima pula sebagai doktrin merata-rata walaupun tiada rujukan pun mengenainya dalam ulasan pendita Parsi.

Samaya Achaemenid (648-330 SM) ajaran Zaratosht memperkembang konsep abstrak berkenaan sorga dan neraka, sebagai pengadilan peribadi dan muktamad, yang disebut secara tak langsung juga dalam Gathas Avestan. Yasna 19 yang terselamat dalam samaya wangsa Sassan (650 M) dan ulasan Zenda Avesta berkenaan seruan Ahuna Vairya menjelaskan mengenai Jalan Pengadilan yang disebut sebagai Chinvat Peretum atau Jambatan Chinvat. Rujukan dalam agama Islam digelarkan sebagai Sirat Mustaqim. Katanya, semua roh akan menyeberanginya dan perlaksanaan pengadilan bermula di situ apabila kata-kata, pemikiran dan perbuatan semasa hayat kehidupan dunia mereka itu membantu mereka dalam menyeberangi jambatan itu. Namun, pengadilan peribadi dalam pemahaman agama ini tidaklah mukatamat. Pada penghujung masanya, kejahatan itu akan dikalahkan juga, dan semua makhluk (jiva) akan bersatu semula dengan Fravashi mereka. Bolehlah dikatakan bahawa ajaran Zaratosht ini bersifat sejagat pula apabila melibatkan konsep "penyelamatan".      

Penganut samaya Achamenid sangat-sangatlah dipengaruhi oleh amalan keagamaan orang Babylon dan Akkadia (Semitik), jadi mereka turut membina mandel dan pura-pura, yang bentuk pemujaannya itu sebenarnya asing bagi orang Parsi sekelian. Dalam kebangkitan empayar Achaemenid itu, mandel dibina di seluruh empayarnya dan membawa juga pengaruh-pengaruh deva seperti Mitra, Aredvi Sura Anahita, Verethreghna dan Tishtrya, yang semuanya itu memegang peranan deva-deva orang Arya lama, dan mempunyai juga fungsi kedewataan dalam keagamaan Perso-Babylon. 

Penciptaan Alam Semesta

Menurut cetera penciptaan mereka, Ohr Mazda itu dilitupi dengan cahaya-cahaya kebajikan atas, sementara Angra Mainyu itu wujud dalam kegelapan dan kejahilan bawah. Kedua-dua tokoh ini wujud dan tak berkaitan antara satu sama lain bila-bila masa pun, dan menjelmakan bahan-bahan yang berlawanan.

Ohr Mazda mula-mula sekali mencetuskan makhluk-makhluk samawi yang digelar sebagai Amesha Spentas, yang menjadi pesuruh-pesuruh-Nya dan mewakili aspek-aspek belas kasihan-Nya, bersama dengan Yazatas, iaitu makhluk-makhluk yang lebih rendah lagi tapi layaklah disemah (dihormati) makhluk yang bawah lagi kedudukannya. Kemudian diciptakan alam semesta ini bagi memerangkap kejahatan. Ohr Mazda menciptakan alam semesta berbentuk telur yang terapung terbahagi kepada dua bahagian pula iaitu bahagian menog (kejiwaan) dan 3000 tahun kemudiannya bahagian getig (jisim). Ohr Mazda menciptakan juga, Gayo Mard, iaitu manusia yang pertama sekali sebagai acuan sempurna serta lembu yang pertama. Kau boleh perhatikan beberapa keselarian juga dengan parapancavijnana Hindu kini yang berbuih-buih bercakap mengenai Hiranyagarbha.  

Sementara Ohr Mazda mencetuskan alam semesta dan kemanusiaan, Angra Mainyu, yang nalurinya itu memusnahkan pula, mencetuskan setan-setan, yazatas jahat dan khrafstar iaitu makhluk-makhluk berbisa dan menjijikkan seperti ular, semut dan lalat. Angra Mainyu mencetuskan yang berlawanan bagi yang dicetuskan oleh Ohr Mazda. Yang tak mampu diciptakan berlawanan cuma lah manusia kerana dia tak bertemu dengan padanannya. Angra Mainyu menakluki alam semesta menerusi dasar langit, mengganggu Gayo Mard dan menyebabkan kematian dan kesengsaraan dalam kalangan makhluk-makhluk itu. 

Namun, kuasa kejahatan terperangkap dalam alam semesta dan tak boleh keluar. Manusia pertama yang akan mati dan lembu pertama kemudian mengeluarkan benihnya. Daripada benih lembu tumbuhlah tumbuhan-tumbuhan berguna dan haiwan lain dalam dunia, manakala dari manusia pertama pula tumbuh tumbuhan yang daunnya itu menjadi pasangan manusia yang pertama. Manusia selepas itu berusaha untuk terus wujud dalam alam semesta dua lipatan terperangkap bersama dengan kejahatan.

Kejahatan dunia jisim ini bukanlah disebabkan oleh kelemahan yang elas, sebaliknya datang dari gangguan Angra Mainyu dan cetusannya. Gangguan ini menyebabkan dunia yang raya, aman dan sentiasa cerah bercahaya menjadi tempat yang ganas yang sebahagiannya adalah malam.

Pengubahsuaian Dunia dan Pengadilan

Ada juga kepercayaan mengenai alam semesta nanti akan diubahsuai dan berlakunya hari pengadilan perseorangan dan yang tertentu, termasuklah yang sudah mati akan menjelma hidup kembali.

Pengadilan perseorangan pada kematian itu diwakili oleh Jembatan Pengadilan, yang membawa pengertian bahawa manusia kena merentasinya, dan menghadapi pengadilan kerohanian. Tindakan manusia disebabkan oleh kebebasan memilih mereka sebab akal itu akan memberi hasilnya ketika itu. Seseorang itu sama ada disambut di jambatan dengan gadis berbau wangi semerbak dan cantik atau oleh wanita tua hodoh yang bau busuk. Gadis akan membawa jiwa yang sudah mati melintasi jambatan menuju ke Amesha Spenta, Pemikiran yang Baik, yang kemudian akan membawa si mati itu ke sorga loka. Wanita tua pula akan membawa si mati atas jambatan sempit sampai si mati itu jatuh dalam kedalaman neraka. 

Neraka dalam ajaran Zaratosht itu bersifat senantiasa diperbaharui; hukuman yang sepadan saja dikenakan dengan jenayah. Roh yang berada di neraka pun tak dilaknat sampai selama-lamanya. Neraka mengandungi makanan yang busuk baunya, jijik dan hina, dan sesak sekali walaupun yang diseksa dalamnya itu percaya bahawa mereka terasing.

Dalam kepercayaan ghaib Zaratosht, berlaku pergelutan antara baik dan jahat selama 3000 tahun, ditandai oleh kejahatan itu melakukan angkara murka terakhir. Pada penghujung masa akan berhenti, matahari dan bulan akan hilang sinarannya dan manusia pun akan hilang hormat pada agama, keluarga dan orang tua. Dunia akan jatuh dalam musim sejuk dan cetusan Angra Mainyu paling ditakuti, Sang Azi Dahaka, akan terbebas dan mengganas dalam dunia.

Penyelamat di bumi akan muncul, Sang Saosh Yant, dijelmakan oleh wanita perawan yang mengandung disebabkan oleh "benih" resi Zaratosht ketika mandi dalam sungai. Sang Sao Shyant akan menghidupkan yang sudah mati, termasuklah mengembalikan yang diseksa dalam neraka dan yang diberi ganjaran dalam sorga untuk pengadilan terakhir, dan yang jahat akan dikembalikan ke neraka bagi menghadapi semula seksaan dalam rupa jisimnya semula.

Kemudian, semua akan berjalan menerusi sungai besi cair dengan yang beramal baik tidak akan terbakar. Tentera dari langit akan mencapai jaya atas kejahatan dan menyebabkan kejahatan menjadi mandul tidak mampu mencetuskan kejahatan lain lagi. Sang Sao Shyant dan Ohr Mazda akan mempersembahkan seekor lembu sebagai korban terakhir bagi semua masa, dan manusia pun menjadi kekal abadi tidak mati-mati lagi. Gunung-ganang menjadi rata semula dan lembangan kembali timbul. Sorga akan turun ke bulan, dan bumi akan naik bertemu kedua-duanya. Manusia memerlukan pengadilan dua kali kerana mereka mempunyai dua aspek kejadian pula iaitu aspek menog (kerohanian) dan getig (kemanusiaan).   

Pemakaian Tudung Kepala

Penganut wanita mengamalkan menutup kepala sama seperti penganut agama Yahudi dan agama Islam. Ia merupakan amalan yang penting dan menurut pula kepada Hoshang Bhadha....
Seorang wanita itu digalakkan menutup kepalanya sepanjang masa. Ia merupakan disiplin dasar yang utama bagi wanita. Jika kau melihat gambar wanita samaya lampau pun, kau akan mengenali mereka kerana mereka memakai kopiah atau serban yang menutupi kepala mereka. Jika kau baca kenyataan mengenai orang Parsi zaman dulu... Dijelaskan bahawa baik kanak-kanak, wanita dan lelaki pun menutupi kepala mereka.

Malang sekali masyarakat kita sendiri mengetawakan kita yang memakai kopiah, yang merupakan dasar bagi segala amalan agama. Tak perlu kita sebutkan lagi, penganut Zaratosht yang memakai kopiah akan dipandang dengan pandangan pelik. Orang sekeliling akan tersenyum-senyum kepadanya dan menganggapnya sebagai manusia Zaman Batu. Namun, tindakbalas begitu tak kelihatan pula apabila penganut yang mengetawakan penganut Zaratosht lain itu melihat penganut agama Yahudi atau agama Islam menutup kepala dengan kopiah semasa upacara agama mereka atau semasa berada di luar. Nampak juga penganut Zaratosht akan segera membuang kopiah mereka bila sampai di gerbang pusat pemujaan kerana malu hendak memakai kopiah di khalayak awam atau semata-mata menjaga gaya rambut mereka. Wahai penganut Zaratosht sekelian, memakai kopiah itu tak wajib atas kita tapi ia merupakan penawar (lambang) supaya kita melindungi kepala (pemikiran) daripada pemikiran yang memusnahkan....   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan