Khamis, 16 Januari 2014

Melayu Tua: Puak Jakun


Puak Jakun dikenali juga sebagai Melayu Ulu berasal dari Yunan, Selatan China tapi sudah turun ke selatan ribuan tahun lamanya. Mereka berdiam utamanya di pantai Pahang, Rompin, Pekan dan Johor Utara. Ada juga di Selangor dan Perak. Mereka memang bangsa Melayu (Austronesia) cuma ada dalam kalangan mereka yang tidak beragama Islam sebaliknya beragama menurut agama nenek moyang, ada yang mengikut agama adat Cina sebab perkahwinan atau sebilangan kecil yang beragama Kristian hasil usaha penginjil dari Borneo. 

Mereka kebanyakannya masih berkepercayaan animisme dan dipengaruhi alam sekitar seperti gunung, lembah, bukit, batu, gua dan sebagainya. Mereka turun ke Tanah Melayu kira-kira 5000 tahun lampau. Pantang larang mereka pun banyak juga. Mereka juga berkepercayaan bahawa kampung akan ditimpa bencana jika dilanggar pantang larang.

Perkahwinan

Bermula dengan rombongan merisik diketuai oleh ketua puak keluarga lelaki dipanggil Tuk Batin. Risikan diperbuat senyap-senyap sahaja hanya diketahui oleh keluarga bakal pengantin. Setelah sepakat maka diikuti dengan upacara meminang dan hantaran akan menyusul dengan penetapan majlis kahwin.

Tanda pertunangan antaranya cincin belah rotan, pengeras (batu kepala) satu suku (25 sen) dan kelengkapan serba satu (sepasang pakaian, sepasang kasut, alatan solek, sapu tangan sehelai, perkakas jahitan iaitu gunting, jarum dan benang). Rombongan meminang anak dara terdiri daripada ibu bapa pihak lelaki, saudara mara dekat dan Tok Batin. Tok Batin selalunya menjadi saksi dan penasihat adat kahwin. Jika perkahwinan terjadi antara negeri atau kampung lain, maka Tok Batin kedua-dua tempat akan turut bersama. Kalau perlu, Tok Batin boleh menjadi wakil kepada anak dara mengikut keadaan.

Pada hari sebelum upacara kahwin bermula, jemputan rasmi diberikan kepada keluarga terdekat. Sama macam orang Melayu bandar, jemputan yang dihantar sendiri dari rumah ke rumah oleh pihak lelaki dan anak dara itu lebih terhormat. Jemputan terdiri daripada keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan jiran. Kedua-dua belah pihak akan berkumpul di rumah anak dara sehari sebelum perkahwinan bermula. Malamnya dimulakan dengan upacara berinai untuk persiapan besok hari.

Sebelum bersanding, perarakan pengantin lelaki ke rumah anak dara dan seterusnya akan ke jinjang pelamin. Perarakan diiringi oleh keluarga terdekat diikuti paluan gong dan gendang. Sampai di halaman rumah, salah seorang dari kumpulan perarakan mempelai lelaki akan memberi ucapan dalam bentuk pantun dan pantun akan dibalas pihak perempuan.

Setelah berbalas pantun, gendang diketuk diikuti dengan tarian lian buah pukul iaitu silat menyambut kedatangan pengantin lelaki. Wakil yang terlibat itu dari kedua-dua belah pihak. Pengantin perempuan akan duduk sebelah kiri pengantin lelaki atas pelamin. Pasangan pengantin digelar Raja Sehari dan diadakan pertunjukan silat yang menyembah dulu ke pengantin.

Upacara tepung tawar sebagai restu kepada pengantin dijalankan oleh keluarga, saudara-mara, rakan-rakan dan tetamu lain. Seusai upacara persandingan, kedua-dua pengantin akan masuk ke rumah diikuti majlis pesanan dari keturunan tua terdekat pasangan pengantin serta Tok Batin kedua-dua belah pihak. Perkahwinan itu suatu yang dianggap suci manakala perceraian dianggaplah sebagai sesuatu yang drojana. Ciri-ciri kasih sayang, sefahaman, serasi dan seumpamanya akan disebutkan oleh orang-orang tuha kepada pengantin supaya diikuti. Mereka yang bercerai dianggap mengabaikan tanggungjawab dan tak matang.

Kepercayaan

Suku kaum Melayu puak Jakun di negeri Johor mempunyai kepercayaan bahawa ada Kayangan dan Bumi. Ada juga devata, keramat-keramat, serta roh-roh penting yang terlibat dalam kehidupan manusia. Bumi dianggap sebagai unsur kelelakian yang menjaga sesuatu di bumi manakala Kayangan itu isteri Bumi yang memayungi sang suami. Terdapat juga cetera lisan keagamaan yang digelarkan sebagai Ruyub dan Raib. Ia biasanya diwariskan secara turun-temurun.   

Perayaan

Perayaan mereka ini ada saja setiap tahun. Biasanya diadakan sempena cuti Tahun Baru Cina kerana penduduk kampung memang mendapat cuti pun sempena Tahun Baru Cina. Tujuan perayaan diadakan adalah untuk memuja dan menjauhkan kampung dari mara bencana. Biasanya perayaan akan ditetapkan dahulu oleh Tok Pawang.

Dalam hari perayaan, orang luar tidak dibenarkan masuk kampung yang sedang menjalankan pemujaan! Dipercayai makhluk ghaib yang jahat akan ikut bersama orang luar sedangkan kampung ketika itu dicuci. Tuk Pawang akan membuka gelanggang upacara di satu tempat istimewa bagi pemujaan dan menghalau setan. Kawasan itu akan dipasangkan dengan sangkak dan disediakan satu tempat menjamu sajian kepada hantu dan setan. Mereka diseru untuk sama-sama makan di situ. Perkara itu cuma diketahui oleh Tok Pawang saja. Ketika itu, Tok Pawang dan pengiring akan memuja dan mengelilingi sangkak yang tersedia mengikut adat-istiadat dan kepercayaan kampung mereka.

Penduduk kampung diketuai Tok Batin pula akan mengadakan kenduri besar-besaran. Juadahnya seperti lemang, kuih-muih, dan lauk-lauk seperti ayam, daging dan lain-lain. Upacara biasanya berjalan selama tiga hari jadi tiga hari juga lah mereka kena berpantang seperti....
  • Pantang cangkul tanah atau membajak tanah.
  • Pantang mandi bising-bising.
  • Pantang petik daun kayu dan bahan-bahan hidup seperti pucuk ubi.
  • Pantang kupas batang pisang atau kulit kayu yang nampak seperti cahaya putih.
  • Pantang orang kampung lain atau orang luar pijak sempadan belaan (pagar) kampung.
Berjerom

Kepercayaan puak Jakun masihlah lagi berkisarkan kepada hantu, keramat, dewata, dan adat-adat pengubatan pesakit secara kejiwaan dan spiritual. Semangat puaka yang berkaitan dengan Kayangan dan Bumi masih lagi diamalkan sebilangan penduduk.

Upacara berjerom diadakan di tempat-tempat puaka seperti batu besar, gua batu, lubuk sungai, pokok-pokok seperti pokok sena, beringin, ara, merbau dan meranti. Untuk pengetahuan penduduk luar yang bukan puak Jakun, dilarang sama sekali mengganggu bahan-bahan pemujaan yang diletakkan di tempat-tempat tertentu.

Hari bejerom juga merupakan hari segala macam mak nenek ilmu penangkal dan jampi dari Tok Pawang akan diturunkan kepada mereka yang dipilih. Penduduk kampung akan berkumpul dalam upacara pada malam hari dan Tok Pawang serta bomoh-bomoh lain akan menurunkan penangkal dan jampi kepada bakal bomoh baru.

Lancang

Perayaan lancang diadakan setahun sekali iaitu hari pemujaan sungai. Pelbagai masakan diperbuat dan ia akan disemahkan kepada penunggu sungai bersama dengan perahu kecil berhias berisi patung kecil dilepaskan di sungai.

Kematian

Orang ramai biasanya akan mengunjungi kelurga yang kematian ahlinya. Berita akan disampaikan keluarga kepada penduduk kampung. Kegiatan seperti berotan, memburu, berladang dan lain-lain mesti dihentikan bagi mengelakkan malapetaka. Sumbangan dibuat dalam bentuk wang, makanan, minuman atau barangan masakan kepada keluarga si mati menurut kemampuan masing-masing bagi persiapan pengebumian. Setelah mendengar berita kematian, kanak-kanak akan diconteng telinganya dengan kapur sirih atau arang yang dibacakan jampi mengelakkan disampuk roh si mati atau hantu dan setan lain.

Sebelum dikebumikan, mayat akan dimandikan dahulu dengan air biasa dan tubuh mayat disapukan dengan bedak tepung tawar. Selesai mandi, ia akan dibalut dengan kain kapan putih tujuh lapis, tangan disilangkan di dada dan tebujur. Muka akan dibukakan serta mayat diikat tujuh ikatan diletakkan dlam keranda. Mereka akan dikebumikan di kawasan kuburan nenek moyang dengan liang kubur berbentuk empat segi bujur sedalam tak kurang paras dada. Amalan turun temurun mereka adalah kepala mayat yang dikebumikan itu menghadap ke matahari terbenam.   

Keluarga, rakan-rakan dan saudara si mati diberi peluang mencampak segenggan tanah dalam liang kubur sebelum dikambus. Tanah tersebut menjadi lambang bahawa si mati dilepaskan kembali ke asal-usul di Bumi. Kemudian dipacakkan tiga batu dengan tujuh lilitan tali kain kapan. Air disiram atas kubur dan ucapan selamat masuk ke alam baru diberikan. Roh si mati diingatkan supaya jangan mengganggu saudara-mara yang masih hidup dan janganlah bergentayangan.

Makanan seperti kapur dan juga bahan seperti rokok, air seperti kopi, teh, milo, susu, air kosong atau semuanya pun akan disemahkan di kaki kubur si mati. Api akan dipasangkan di situ. Pokok bungan Cempaka atau lain-lain pokok wangi akan ditanam di perkuburan sebagai tanda ingatan dan keindahan alam baru buat roh si mati. Selepas upacara selesai, keluarga dan pengunjung akan segera melangkah meninggalkan kubur dan tidak menoleh ke belakang lagi sejauh tujuh langkah.

Sampai ke rumah, masing-masing akan menyelitkan daun limau di dinding supaya roh si mati yang kalau-kalau mengekori mereka tak terlepas masuk ke rumah mereka. Yang terlibat dengan kegiatan mengebumikan mayat pula akan mandi dulu sebelum masuk ke rumah. Pakaian yang dipakai semasa melawat upacara kematian, alatan seperti cangkul, penggali dan lain-lain semuanya tak dibenarkan bawa masuk ke rumah. Semuanya akan ditinggalkan jauh di luar rumah. Kenduri akan diadakan selepas tujuh hari kematian, disebut "nujuh hari".

Makanan dan minuman biasa pada "nujuh hari" akan dihantar ke kubur awal pagi. Selepas genap 100 hari, akan dibuat pula upacara "meratus" iaitu kenduri besar-besaran. Semua orang kampung dijemput datang. Makanan dan minuman masih lagi dihantar ke kubu serta dipasang unggun api di situ.

Dalam upacara meratus, semua harta benda dan pesaka si mati diagihkan kepada waris yang layak atau menurut wasiat si mati sebelum meninggal. Barangan pesaka yang tak diperlukan akan dibakar, manakala yang selalu dipakai olehnya semasa hidup akan dihantar ke kuburnya.

Berdampingan


Masyarakat puak Jakun biasa saja mengamalkan amalan kunjung mengunjungi sama seperti orang lain. Mereka menerima tetamu dari masyarakat lain dan digalakkan melawat semasa musim buah, kenduri dan perayaan buka pantang.

Sesuai sekali melawat penduduk pada malam atau pagi hari. Selalunya cuba dengar dahulu percakapan penduduk kamoung dan jangan mengulas sebelum tahu letak duduk keadaan sebenar. Sama seperti masyarakat lain, mereka pun suka memberi ajaran jika orang berminat hendak belajar adat mereka.

Bila sampai di rumah penduduk kampung, tetamu jangan terus naik ke rumah sebaliknya tunggu biar dipelawa dulu untuk kesopanan. Dalam rumah pula, tetamu pilihlah tempat yang sederhana. Jangan duduk atau masuk dalam tempat tidur tuan rumah, pantang juga sentuh-sentuh bahan dalam rumah tuan rumah. 

Perkenalan biasanya dimulakan dengan perbualan. Kemudian menjamu rokok atau tembakau yang dihulurkan kepada tuan rumah dulu sebagai tanda hormat. Rokok biasanya dijamu kepada lelaki dahulu. Lelaki luar pantang bercakap dengan wanita sama macam masyarakat Timur lain. Kalau nak minta apa-apa minta melalui keluarga mereka. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan