Jurugambar, Erwin Luesik
Puak Semelai ini merupakan bangsa penutur bahasa Melayu Tua di daratan Tanah Melayu. Asal-usul mereka ini menurut cetera adalah anak cucu dari kelompok bangsa Mon-Khemir iaitu puak Temoq dan Semoq Beri yang terselamat daripada serangan buas seekor rimau, bergelar Petaling Juntai. Mereka terbahagi kepada dua disebabkan oleh satu kelompok suku kaum Semelai bertutur bahasa bercampur dengan bahasa Melayu Tua sedangkan satu lagi kelompok berbahasa Mon-Khemir.
Dua lelaki bersaudara dari puak Temoq iaitu Si Tam dan Si Ler kebetulannya bertemu dengan dua beradik wanita puak Semoq Beri (I Tang dan I Ler) semasa mereka berdua bersembunyi ketakutan bimbang diserang Petaling Juntai di pondok sebuah kampung pinggir Sungai Serting. Pasangan adik beradik itu kemudian berkahwin dengan lelaki-lelaki puak Temoq itu setelah Petaling Juntai berjaya dibunuh mati mereka.
Anak cucu mereka ini kemudian ada yang membentuk puak baru yang bertutur bahasa Melayu Tua. Mereka hidup bertaburan sekitar Tasek Bera dalam daerah Temerloh di Pahang. Perangkaan dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) menyatakan bahawa ada seramai 1260 orang orang asli suku kaum Semelai dari sebanyak 238 keluarga di Pahang.
Program Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) dikendalikan pihak JHEOA telah menghimpunkan mereka dalam satu kawasan khas dalam zon penempatan dan perlindungan puak orang asli di bawah pengurusan bersepadu Tasik Bera kelolaan kerajaan negeri Pahang menerusi perunding profesional dari Wetlands Antarabangsa.
Kawasan hilir Sungai Bera dari jeti Bera dihuni puak ini yang membuat rumah tiang tinggi di tengah-tengah atau tebing sungai berserabut dengan tali dan jaring disebut sebagai tapuk dan jermai. Tapuk merupakan pondok kecil yang dibina di tengah sungai manakala jermai pula adalah pondok dibina di tebing sungai untuk menangkap ikan. Pondok ini semua menjadi tempat sokongan jaring atau pukat yang dipasang di permukaan sungai.
Sekolah Kebangsaan Iskandar mempunyai lapan buah kelas dari tahun satu sampai tahun lima sejak 1996 dengan 14 guru disediakan kerajaan Persekutuan untuk mereka. Ada juga anak-anak puak Semelai dihantar ke Sekolah Sungai Dua di Bentong dekat Karak atau di Bahau, Negeri Sembilan. Ada dalam tiga orang anak suku kaum ini berjaya masuk ke institusi pengajian tinggi.
Biasanya samaya kini, mereka ini merupakan pemandu pelancong terlatih dan menyediakan perkhidmatan bot kuasa rendah untuk pelancong menikmati keindahan hutan di tasik. Mereka bergantung juga dengan perikanan di tasik tetapi mereka perlu mendapatkan lesen supaya spesis ikan di tasik itu selamat. Seperti puak orang asli lain, mereka turut bergantung hidup dengan menjual hasil hutan atau pun anyaman hasil tangan kepada penduduk luar.
Adat-istiadat mereka menurut pula kepada adat Perpatih dan mempunyai tradisi bersunat sama seperti orang Melayu di luar. Tarian tradisional mereka antaranya adalah tarian burung buai, jambul cip-cip dan jindrai yang dipersembah juga kepada pelancong. Ada lima kampung puak Semelai sekitar Tasik Bera iaitu Kampung Putat, Baapak, Gau, Jelawat, dan Lengut (Kuin). Anak-anak muda puak Semelai ada yang reti bahasa Inggeris juga...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan