Tahukah anda, bahawa wanita-wanita Hindu pernah mengeringkan rambut mereka yang ikal mayang suatu ketika dulu sedangkan belum wujud lagi alat pengering rambut moden yang berkuasa elektrik?
Ya! Kita mempunyai cara tradisi sendiri untuk mengeringkan rambut dengan menggunakan udara panas yang harum. Bunyinya romantik dan selesa, bukan? Suatu ketika dulu, mengeringkan rambut basah selepas mandi merupakan sejenis upacara kosmetik, terutamanya dalam kalangan wanita Hindu di India Selatan. Pendupa Sambrani menjana asap menerusi pembakaran serbuk sambrani atas arang yang terbakar. Serbuk sambrani ini menghasilkan bau yang harum bila terbakar dan mengeluarkan aroma yang meresap dalam di permukaan bahan. Untuk hal ini, bekas pendupa diperbuat dari loyang yang dilubangkan di dasarnya supaya proses pembakaran serbuk sambrani menjadi lengkap.
Rujukan
Rujukan bahasa Melayu untuk sambrani, adalah getah damar kuning dari pokok Śāla dari spesis Shorea Robusta. Tradisi Vaiṣnava sangat mementingkan pokok ini kerana ia disukai oleh Betara Viṣnu. Getah pokok ini diproses sehingga menjadi seperti kristal dan sedia untuk digunakan. Sambrani disebut sebagai Jhuna di India Utara.
Nama botani sambrani adalah Benzoin Resin. Ia ditoreh dari kulit kayu pokok berspesis seperti Genus Styrax. Komponen utamanya adalah asid Benzoin. Jenis Styrax dihasilkan di Kemboja, Thailand, Laos, Vietnam dan di Sumatera, Indonesia kerana pokok jenis ini tumbuh di situ. Kemenyan jenis ini turut diguna di gereja-gereja Ortodoks di Rusia untuk mewangikan ruang sembahyang mereka. Di sebelah Timur Tengah dan India, getah kemenyan ini dibakar di atas arang sebaliknya di sebelah China, mereka menghasilkan colok dengannya.
Kegunaan
- Mengeringkan dan mewangikan rambut.
- Memurnikan udara di pura atau kuil.
- Menghambat roh-roh jahat.
- Memudahkan untuk masuk semadhi.
- Wasap beraroma hasil pembakaran sambrani boleh menjadi terapi penyembuh serta antibakteria.
- Memperkembang persepsi deria dan kejernihan minda.
- Konsep rohaniah dan ayurveda menyebut bahawa sambrani membantu kita untuk bertenang, menenangkan sistem saraf, menyucikan fikiran kotor, dan menggalakkan keheningan minda.
- Sambrani berguna untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan dalaman.
Konsep kemenyan dan sambrani ini sama saja sebenarnya. Ia boleh didapati dalam pelbagai budaya seperti budaya Hindu, China, Arab, Mediterania dan sebagainya. Di sini, kita menggunakan colok dan kemenyan jenama tempatan contohnya seperti Thurgas, Lotus, dan lain-lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan