Sabtu, 1 November 2014

Seni: Lakon Barongan



O Svasti Astu!

Sebagai penghargaan kerana keutuhan melestarikan dharma di Nusantara, orang-orang Hindu di Bali turut dianggap sebagai pelopor kebudayaan Hindu yang ulung di sebelah Asia Tenggara. Sekaligus menjadi satelit penyambung semula titik kebudayaan Hindu purba di seluruh benua Hindu dari Tanah Besar Benua India dan di kepulauan Hindu (Indonesia).

Untuk segmen kesenian, kita ingin mengumpulkan sedikit samacara penting supaya rakan-rakan kita semua memperoleh manfaat dan menghormati adat-istiadat penduduk tempatan jika berkunjung ke pulau dewata itu.

Topik kali ini, membicarakan mengenai persembahan Barong di pulau Bali. Barong ini berbentuk seperti singa. Ia adalah raja bagi roh-roh dan kesatria tertinggi bagi bala tentera kebaikan. Seterunya pula, Rangda, ratu setan dan ibunda bagi segala 'penunggu' di pulau Bali. Pertembungan antara Barong dan Rangda ini mewakili peperangan abadi antara kebaikan kejahatan.

Cetera Terbitan

Di Bali, roh baik diberi gelaran Sang Banaspati Raja. Roh ini merupakan 'saudara' atau 'anak roh' yang turut mengikut si anak yang lahir mengharungi kehidupan mereka. Roh inilah yang menggerakkan Barong. Ia merupakan roh pelindung yang merupa seperti seekor singa.

Selalunya, Barong sering digambarkan dengan dua ekor monyet pengiring. Rupa Barong itu seperti seekor singa berkepala merah, tubuh diselubungi oleh bulu putih yang tebal, dan memakai barang kemas dihiasi oleh kaca-kaca kecil. Rupa Barong ini kelihatan seperti seekor anjing jenis Pekingese. Tidak diketahui asal-usul tradisi ini, namun ia mungkin berasal dari rupakara kultus tantra tempatan dengan kepercayaan terhadap totem pelindung.

Calon Arang

Rangda merupakan penjelmaan Calon Arang. Tersebut ceritera, bahawasanya si Calon Arang merupakan seorang wanita sihir yang menyebabkan tercetusnya kekecohan di Jawa pada pemerintahan raja Airlangga sekitar abad ke-10 M.

Calon Arang merupakan seorang janda yang sakti sekali ilmu santetnya. Selalu sekali dia menjahanamkan tanaman petani serta menimbulkan penyakit. Anak perempuannya, Ratna Manggali, walaupun begitu ayu namun tidak sesiapa pun berani memperisterikannya kerana orang ramai takutkan ibunya. Calon Arang menjadi begitu marah lantas menculik seorang gadis muda. Gadis tersebut diberi sembah untuk dewi Durga di pura sebagai korban. Keesokan harinya, kampung tersebut dilanda banjir dan wabak penyakit.

Berita ini sampai ke pendengaran baginda raja Airlangga. Diturunkan perintah supaya raja purohita, mamanda Mpu Bharata supaya membantu menyelesaikan hal ini. Beliau lantas menyuruh muridnya, Mpu Bahula untuk memperisterikan si Ratna. Perkahwinan tersebut berlangsung tujuh hari, tujuh malam gegak gempitanya ia. Maka, keadaan pun pulih seperti sediakala.

Seterusnya, Mpu Bahula mencuri perimbon santet Calon Arang lalu diserahkannya kepada gurunya, Mpu Bharata. Calon Arang sebaik saja menyedari hal itu, terus mencari Mpu Bharata untuk bertikam. Mpu Bharata berjaya menewaskan Calon Arang disebabkan dewi Durga tidak menyebelahinya. Oleh itu, kampung tersebut pun bebas dari gangguan santet Calon Arang.

Judul Video: Barong Mesolah
Pura: Pura Bukit Buluh, Gunaksa Klungkung
Jasa Pemilik Video: Made Vijaya Filem 02; Youtube
Jasa Gambar: Guillaume

Tiada ulasan:

Catat Ulasan