Memaparkan catatan dengan label durga dewi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label durga dewi. Papar semua catatan

Jumaat, 18 Oktober 2013

Ayudha Puja: Tumpek Landep

Om Swastiastu!


 

Ketika ini, aku menemui samacara bahawa orang Bali sana ada menjalankan Ayudha Puja sama seperti di rantau India Tanah Besar. Aku sudah agak, namun aku tak tahu namanya apa bagi orang tempatan. Jadinya, Tumpek Landep ini ertinya itu Dekat dan Tajam. Kalau ada salah ku mohon ampun dahulu kerna aku bukan orang Bali. Tersebut perayaan Tumpek Landep disambut di Bali dalam Saniscara Keliwon Wuku Landep. Setiap enam bulan sekali.

Di sini, baru minggu lepas Adityawara 13 hb Ogos 2013 berjalan perayaan ini... Kiraan panchang Hindu kita di sini Nawami Agong Kesamilan Saraswati Wisara pada Wijaya Muhurtham 14:58 sampai 15:46 Choghadiya Subha.

Menurut Ida Pedanda Gede Made Gunong, erti falsafahnya itu merupakan tonggak penajaman bagi chitta, buddhi dan manah. Dengan demikian maka orang Hindu sekelian diharapkan menurut pikiran jernih dan landasan nilai agama bila hendak bertindak. Dengan pemikiran murni maka barulah kita mampu membedakan mana baik dan mana yang buruk.

Pada Hari Raya Tumpek Landep, pemujaan dihalakan kepada Sang Hiyam Siwa Pacupati sebagai dewata Taksu. Selepas Hari Raya Saraswati sebagai penghargaan kepada sakti pengetahuan, maka kemudiannya pula rerahinan Tumpek Landep dijalankan pula bagi menyucikan pesaka leluhur seperti keris, tombak, dan sebagainya dan masyarakat awam menyebutnya sebagai hari pawetuan wesi atau peringatan bagi besi. 

Sama saja di mana-mana pun, hari ini ia sudah menyimpang sedikit dari tradisi. Orang ramai turut memuja tabik kereta, barangan besi lain dan sebagainya. Sebenarnya tiada masalah langsung cuma jangan dilupakan bahawa perlunya dihayati pengertian pemujaan dijalankan. Ia bukan semata-mata memuja benda kenampakan itu sahaja. Pemujaan dijalankan demi berterima kasih kepada sakti di sebalik yang menggerakkan bahan-bahan itu. Tanpa sakti maka tiada gerakan pun mampu dijalankan oleh bahan-bahan buatan itu semua.

Ahad, 31 Mac 2013

Ramanawami 2013


Bulan April sudah pun menjelma. Apakah perayaan yang bakal berlaku dalam bulan ini ya? Yang aku ketahui, akan ada Tahun Baru Hindu dan juga perayaan yang melibatkan peristiwa dari Ramayana. Perayaan ini akan jatuh sekitar 20-25hb April, Saniwara (Sabtu) menurut penanggalan Barat. Tak pasti jika di Nusantara (Indonesia) ada dirayakan juga oleh penganut Hindu tempatan dari Jawa Timur mahupun di Bali. Jika ada pun, mungkin namanya berlainan atau berlainan tradisi.

Perayaan ini kadang-kala kita sebut juga sebagai Seri Rama Nawami. Ia merupakan perayaan yang meraikan penjelmaan Seri Rama sebagai anakanda kepada raja Dasaratha dan permaisuri Kausaliya dari kerajaan Ayodhya. Seri Rama ini adalah penjelmaan ketujuh daripada 10 jelmaan Dewa Wisnu. Bertahun kemudian, Seri Rama berkahwin dengan Sita Dewi dalam peristiwa yang kita sebut sebagai Wiwaha Panchami. Perkahwinan suci ini diadakan pada Margashira Sukla Panchami menurut kepada Sita Kaliyanam dari kekawin Ramayana susunan Maharesi Walmiki. 

Perayaan ini jatuh pada Sukla Paksa Nawami, Terang Bulan Hari Kesembilan dari bulan Chaitra menurut penanggalan Hindu kita. Makanya, ia dikenali sebagai Chaitra Masa Suklapaksa Nawami, menandakan penamat kepada hari kesembilan bulan Chaitra bagi perayaan Wasanta Nawaratri. Sembilan malam yang diakhiri oleh Rama Nawami ini sebenarnya ditujukan untuk sembilan jelmaan Dewi Sakti dan sekarang ini dalam musim bunga. Nawaratri sendiri ada lima kali dalam setahun menurut penanggalan Hindu iaitu dari Wasanta, Gupta, Sarada, Pausa dan Magha. Semua lima kali sembilan malam tersebut pun ditujukan untuk sembilan jelmaan Dewi Sakti dimulai dengan Dewi Durga.

Perayaan ditandai dengan bacaan berlanjutan Akhand Patha, biasanya dari Ramacaritamanasa, ada bhajana, kirtanna, dan juga pengagihan manisan suci prasadam selepas puja dan arthi. Murti Seri Rama yang dalam bentuk bayi akan diletakkan dalam buaian dan dihayunkan oleh para bakti pemuja. Disebabkan baginda Seri Rama adalah jelmaan ketujuh Wisnu Narayana, lahir pada tengah hari, maka kuil dan juga meja pujaan keluarga biasanya dihiasi dan ada dibuat bacaan bhajana bersama keluarga pada waktu pagi.        

Di koil atau pura, ada hawan samagri dibakar, bersama dengan bacaan Weda mantram dan sembahan buah-buahan serta bungaan. Pemuja nanti akan memulakan hari ini dengan wratam atau puasa sepanjang hari diikuti dengan berbuka puasa petangnya apabila sampai ke kemuncak perayaan.

Di India Selatan, dalam Koil Sri Bhadrachalam, dirayakan juga ulang tahun perwiwahan baginda Seri Rama dan juga Sita Dewi. Sita Rama Kaliyanam, atau upacara perwiwahan kedua pasangan mempelai kahiyangan ini diadakan di pura atau koil seluruh India Selatan diikuti dengan bacaan nama Seri Rama atau Ramanama Smaranam. Sementara itu perwiwahan baginda Seri Rama dan Sita Dewi dirayakan di Mithila dan Ayodhya di Gujerat pada hari yang satu lagi, mengikut kepada kekawin Ramayana Walmiki dengan dikenali sebagai Wiwaha Panchami.

Perayaan penting berlaku juga di Ayodhya di Uttar Pradesh, Sita Samahit Sthala di Sitamarhi dan Uttar Pradesh, di Bhadrachalam di Andhra Pradesh, dan di Sri Rameswaram di Negara Tamil. Pemuja Seri Rama akan memenuhi kawasan kompleks koil. Ratha Yatra atau Shobha Yatra atau pun kereta berhias membawa murti Seri Rama, Sita Dewi dan Sang Hanuman diarak ke merata tempat termasuklah ke Ayodhya di mana orang ramai menyelam dalam sungai suci, iaitu sungai Sarayu.