Memaparkan catatan dengan label rama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label rama. Papar semua catatan

Rabu, 17 Julai 2013

Dharmayatram di Pura Seri Rameswara

Om Swastiastu!

 

Yang ini adalah cadangan bagi dharmayatram penganut Hindu kerana pura raya ini merupakan salah satu daripada paawitra catur dhama di benua Hindu. Video dimuat naik oleh tuan S. Rajamanickam. Pura ini dikenali sebagai Koil Seri Ramanathaswamy, Rameswara di negara Tamil.

Bagi seseorang menyelesaikan dharmayatramnya, maka perlulah dia melalui Rameswara ini. Seusai berdharmayatram di Waranasi, maka perlulah dia turun ke Rameswaram bagi menamatkan dharmayatram. Koil ini terletak di bhumipada Ramanathapuram di negara Tamil. Rameswaram sendiri mempunyai beberapa pura yang terkenal di serata India. Sebenarnya pura ini terletak di sebuah teluk dikenali sebagai Teluk Mannar sebelum ia disambungkan ke mendopo di Tanah Besar melalui jambatan Indira Gandhi yang disiapkan pada 1988. Rameswaram terletak di penghujung landasan kereta api laluan dari kota Chennai ke kota Madurai.

Menurut caritera, Seri Rama membina jambatan Rama Setu atau dipanggil juga Jambatan Adam di sini merentasi lautan ke Sri Lanka bagi menyelamatkan Sita Dewi dari istana Maharaja Rawana. Pura ini merupakan tapak suci yang ditandakan sendiri oleh baginda Seri Rama kerana baginda Seri Rama menjalankan upacara yagna mengucapkan terima kasih kepada Betara Siwa atas bantuan yang diberikan dalam usaha mengalahkan maharaja Rawana di sini. Jadi, tapak pura ini merupakan tapak suci bagi penganut agama Hindu dari kedua aliran iaitu Waisnawa dan juga Saiwa.  

Ahad, 31 Mac 2013

Ramanawami 2013


Bulan April sudah pun menjelma. Apakah perayaan yang bakal berlaku dalam bulan ini ya? Yang aku ketahui, akan ada Tahun Baru Hindu dan juga perayaan yang melibatkan peristiwa dari Ramayana. Perayaan ini akan jatuh sekitar 20-25hb April, Saniwara (Sabtu) menurut penanggalan Barat. Tak pasti jika di Nusantara (Indonesia) ada dirayakan juga oleh penganut Hindu tempatan dari Jawa Timur mahupun di Bali. Jika ada pun, mungkin namanya berlainan atau berlainan tradisi.

Perayaan ini kadang-kala kita sebut juga sebagai Seri Rama Nawami. Ia merupakan perayaan yang meraikan penjelmaan Seri Rama sebagai anakanda kepada raja Dasaratha dan permaisuri Kausaliya dari kerajaan Ayodhya. Seri Rama ini adalah penjelmaan ketujuh daripada 10 jelmaan Dewa Wisnu. Bertahun kemudian, Seri Rama berkahwin dengan Sita Dewi dalam peristiwa yang kita sebut sebagai Wiwaha Panchami. Perkahwinan suci ini diadakan pada Margashira Sukla Panchami menurut kepada Sita Kaliyanam dari kekawin Ramayana susunan Maharesi Walmiki. 

Perayaan ini jatuh pada Sukla Paksa Nawami, Terang Bulan Hari Kesembilan dari bulan Chaitra menurut penanggalan Hindu kita. Makanya, ia dikenali sebagai Chaitra Masa Suklapaksa Nawami, menandakan penamat kepada hari kesembilan bulan Chaitra bagi perayaan Wasanta Nawaratri. Sembilan malam yang diakhiri oleh Rama Nawami ini sebenarnya ditujukan untuk sembilan jelmaan Dewi Sakti dan sekarang ini dalam musim bunga. Nawaratri sendiri ada lima kali dalam setahun menurut penanggalan Hindu iaitu dari Wasanta, Gupta, Sarada, Pausa dan Magha. Semua lima kali sembilan malam tersebut pun ditujukan untuk sembilan jelmaan Dewi Sakti dimulai dengan Dewi Durga.

Perayaan ditandai dengan bacaan berlanjutan Akhand Patha, biasanya dari Ramacaritamanasa, ada bhajana, kirtanna, dan juga pengagihan manisan suci prasadam selepas puja dan arthi. Murti Seri Rama yang dalam bentuk bayi akan diletakkan dalam buaian dan dihayunkan oleh para bakti pemuja. Disebabkan baginda Seri Rama adalah jelmaan ketujuh Wisnu Narayana, lahir pada tengah hari, maka kuil dan juga meja pujaan keluarga biasanya dihiasi dan ada dibuat bacaan bhajana bersama keluarga pada waktu pagi.        

Di koil atau pura, ada hawan samagri dibakar, bersama dengan bacaan Weda mantram dan sembahan buah-buahan serta bungaan. Pemuja nanti akan memulakan hari ini dengan wratam atau puasa sepanjang hari diikuti dengan berbuka puasa petangnya apabila sampai ke kemuncak perayaan.

Di India Selatan, dalam Koil Sri Bhadrachalam, dirayakan juga ulang tahun perwiwahan baginda Seri Rama dan juga Sita Dewi. Sita Rama Kaliyanam, atau upacara perwiwahan kedua pasangan mempelai kahiyangan ini diadakan di pura atau koil seluruh India Selatan diikuti dengan bacaan nama Seri Rama atau Ramanama Smaranam. Sementara itu perwiwahan baginda Seri Rama dan Sita Dewi dirayakan di Mithila dan Ayodhya di Gujerat pada hari yang satu lagi, mengikut kepada kekawin Ramayana Walmiki dengan dikenali sebagai Wiwaha Panchami.

Perayaan penting berlaku juga di Ayodhya di Uttar Pradesh, Sita Samahit Sthala di Sitamarhi dan Uttar Pradesh, di Bhadrachalam di Andhra Pradesh, dan di Sri Rameswaram di Negara Tamil. Pemuja Seri Rama akan memenuhi kawasan kompleks koil. Ratha Yatra atau Shobha Yatra atau pun kereta berhias membawa murti Seri Rama, Sita Dewi dan Sang Hanuman diarak ke merata tempat termasuklah ke Ayodhya di mana orang ramai menyelam dalam sungai suci, iaitu sungai Sarayu.