Memaparkan catatan dengan label kuil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kuil. Papar semua catatan

Jumaat, 9 Januari 2015

Pura Hindu di Bali


Di Bali, kuil tempat pemujaan dikenali sebagai pura. Pura boleh ditemui di seluruh pulau Bali, di Lombok dan di Jawa selain tempat-tempat yang didiami oleh orang Hindu Bali. Pura bermaksud kubu atau kota yang bermenara.

Rekabentuk Pura


Berbeza dengan bentuk kuil orang Hindu di India Utara, pura dibina dalam sebuah kawasan terbuka yang dipagari oleh tembok di sekelilingnya. Halaman bertembok itu mengandungi:
  • Gedung-gedung.
  • Meru atau menara.
  • Balai, atau astaka.
Konsep Trimandala digunapakai dalam pembangunan pura atau kuil. Ciri-ciri tersebut adalah:
  • Nita mandala, jajahan luar.
  • Madhya mandala, jajahan tengah.
  • Uttama mandala, singgahsana Ida Sang Hyang Viddhi Vasa.
Pura-Pura Penting

Berikut merupakan pura-pura terpenting di Bali:

Pura Kayangan Jagat
Pura Sagara
Pura Desa
Pura Tīrtha

Sumber: Pura Hindu Tradisional Republik Indonesia

Jumaat, 5 April 2013

Gua Ellora: Biara Buddha


Dalam bahasa Marathi, kita menyebutnya sebagai gua Werul. Ia merupakan tapak carigali sejarah yang letaknya 29 km ke Barat Laut bandar Aurangabad di negeri Maharstra di Republik India. Ia terbina ketika pemerintahan wangsa Rastrakuta. Tapak sejarah ini merupakan antara tapak warisan dunia. Ia memaparkan senibina potongan batu orang Hindu. Nama asal kepada kompleks-kompleks keagamaan Hindu ini adalah Elapura. Mungkin disebabkan penduduk tempatan malas menyebut nama panjang berjelanya maka namanya yang enak di telinga menjadi Ellora sahaja.  

Untuk pengetahuan tuan-tuan pembaca budiman, gua ini sebenarnya terbahagi kepada 34 gua. Ia digali keluar dari muka mencancang di bukit Charanandri. Ada koil-koil orang Hindu, pengikut ajaran Buddha, dan pengikut agama Jina serta biara dan matham yang terbina sekitar abad ke-5 M sampai ke-10 M. Sebanyak 12 gua merupakan kompleks keagamaan pengikut Buddha iaitu gua pertama sampai ke-12, gua ke-13 sampai ke-29 merupakan kompleks keagamaan orang Hindu yang umum, dan gua ke-30 sampai ke-34 pula kompleks keagamaan pengikut Jina Mahawira. Hal ini mencerminkan keharmonian beragama kerana penduduk mengamalkan ajaran agama masing-masing dalam satu kawasan yang sama. Bukit Chandanandri ini diwartakan sebagai kawasan dilindungi oleh Kaji Selidik Carigali Purba India.

Gua Keagamaan Buddha

Gua-gua ini dipahat semasa abad ke-5 sampai ke-7 M. Mulanya, ramai orang yang ingat bahawa gua-gua keagamaan Buddha ini merupakan binaan-binaan awal yang tercetus semasa abad ke-5 hingga ke-8 M, dengan gua pertama sampai kelima dalam fasa pertama, dan gua ke-6 sampai ke-12 tercetus dalam fasa keduanya sekitar abad ke-7 sampai ke-8 M. Kini ramai sejarawan moden mendapat gambaran jelas pula bahaawa setengah gua-gua Hindu iaitu gua ke-27, ke-29, ke-21, ke-28, ke-19, ke-26, ke-20, ke-17, dan ke-14 sebenarnya dibina lebih awal daripada gua-gua keagamaan Buddha di situ.

Gua Buddha terawal adalah gua ke-6, diikuti ke-5, ke-2, ke-3, dan ke-5 di bagian sayap kanan. Kemudian gua ke-4, ke-8, ke-10, dan ke-9. Gua ke-11 dan ke-12 merupakan yang terakhir dipahat dalam bahagian penganut Buddha. Semuanya dibina antara tahun 630 M sampai tahun 700 M.

Semua binaan ini kebanyakannya merupakan binaan biara. Besar-besar dan banyak belahan dipahat dalam muka bukit, termasuklah ruang pertemuan, kuti, dapur dan bilik-bilik lain. Sesetengah biara dalam gua ini mempunyai pawitrastana yang menempatkan pahatan rupa Gautama Buddha, Bodhisatwa dan orang suci lain. Dalam kebanyakan gua, pengarca cuba menjadikan batu-batan gua kelihatan seperti kayu-kayan. Gua ke-10 adalah gua yang terkenal sekali. Ia merupakan sebuah dewan chetiya atau chandrasala. Dikenali juga sebagai gua Wiswakarma atau Gua Tukang Kayu. Di langit atas gua ini terdapat pahatan seolah-olah garisan-garisan kayu. Di tengah gua ini ada rupa Buddha dalam asana duduk berceramah sepanjang 15 kaki. Gua pertama sampai ke-9 adalah biara-biara. Gua ke-11 dan ke-12 mempunyai tiga bahagian setiap satunya.  

Gua Pertama

Gua ini merupakan sebuah biara dengan lapan kuti, empat di dinding belakang dan di dinding kanan. Ia juga mempunyai beranda terjulur di depan dengan satu lai kuti. Mungkin ia dipahat sebagai tempat simpanan bekalan makanan untuk biara-biara lain.  

Gua Wiswakarma

Gua ini adalah gua ke-10 yang satu-satunya menjadi griha chetiya antara semua kumpulan gua. Orang tempatan menyebutnya sebagai Wiswakarma atau pun Sutar ka Jhopda bermaksud Gubuk Tukang Kayu. Ia mencontohi rekabentuk binaan gua ke-19 dan ke-26 dari kawasan Ajanta. Menurut kepada kesenian rekabentuknya, didapati bahawa ia mungkin sekali terbina pada tahun 700 M. Chetiya ini pernah mempunyai dinding paparan tinggi yang sudah pun hancur hari ini. Bahagian laman depannya dipotong dari sebuah batu, orang boleh masuk ke dalamnya dengan tangga gantung. 

Di kedua-dua bahagian ada juga beranda bertiang dengan bilik-bilik di belakang dinding. Mungkin pemahat mahu membuat pawitrastana tambahan tetapi tidak sempat disempurnakan. Beranda bertiang dari chetiya mempunyai pawitrastana kecil di kedua-dua penghujungnya dan satu kuti tunggal dalam penghujung akhir dinding belakang. Liku sepanjangnya pula ada pallawa ghata.

Dewan utama merupakan sebuah maherabadra yang dirancang dan dibahagikan kepada pusat dan ruangan tingkap oleh 28 stambha astakona dengan tiang tinggi berkurung. Di penghujung maherabadra di dewan chetiya pula ada stupa di mukanya dengan ketinggian 3.30 m. Di stupa itu, didudukkan pula pahatan rupa Sang Buddha dalam kedudukan wiyakhiyana mudra atau kedudukan mengajar ajaran. Sebuah pahatan pokok Bodhi yang besar pun ada di belakangnya. Dewan itu mempunyai bumbung berkubah yang rangka rusuknya itu dipahat seakan-akan diperbuat dari kayu.         

Ahad, 27 Januari 2013

Kuil Sri Kanchi Kamakshi Amman

 

Sri Kamakoti pitha vasini. Ayodhya madhura maya kasi kanchi avantika! Puri dwarakavathi saiva sathaithate mokshadaiyeka!

Kawi ini mendedahkan bahawa India yang suci mempunyai tujuh mokshapuri dan salah satunya itu terletak di selatan India dinamai lah ia sebagai Kanchipuram. Letaknya di wilayah Tamil Nadu dekat dengan kotaraya Chennai.

Pushpeshu Jhati: Purusheshu Vishnu: Naarishu Ramba: Nagareshu Kanchi: 

Dewi Kamakshi muncul dalam rupa Sakti. Ada 15 Sakti Pitam di seluruh benua India. Dewi bertakhta di Kanchi dikenali sebagai Nabisthana Ottiyana Pitam manakala dewi dipanggil Sri Kamakshi. Perkataan Kamakshi terhasil daripada suku kata "ka" bererti dewi Saraswati, "ma" merujuk dewi Lakshmi dan Akshi bererti mata. Maksud penuh Kamakshi adalah Tuhan yang bertakhta di Kanchi bersama dengan dewi Saraswati dan dewi Lakshmi menjadi mata-Nya. Lalitha Sahasranama merupakan kawi yang memberikan contoh kepada kesaktian dewi.    

Sachamara ramavani savya, dakshina sevitha

Kanchi juga dikenali dengan nama Satyavritam Kshetram. Dewi memuja dewa Siva Maheswara dengan menciptakan berhala dari lumpur di Kanchi. Pada kala itu, dewa Siva Maheswara muncul sebagai sungai Kamba yang pasang bagi menguji pemujaan dewi. Dewi memeluk erat berhala itu dengan tangan semasa air pasang mengalir deras menghentamnya. Makanya berhala tidak runtuh disebabkan oleh air bah itu. Dewi juga menjalankan pemujaan dengan duduk di atas hujung jarum dikelilingi dengan panchakagni atau lima gelungan api bagi membebaskan dirinya dari keinginan untuk perkara-perkaara dalam kehidupan duniawi. Dewa Siva Maheswara berasa gembira lalu muncul di hadapannya dan berkahwin dengan dewi.   

Walaupun ada banyak koil dewa Siva di bandar, tapi satu-satunya koil yang mempunyai tempat simpanan berhala dewi itu, hanyalah koil Sri Kamakshi Amman. Ada lapan lagi dewi Sakti yang mengelilingi koil itu. Tempat dewi Kamakshi tinggal dikenali sebagai Gayattiri Mandapam. Dewi tinggal di koil dalam tiga rupa iaitu Sri Kamakshi, Sri Bilahasam dan Sri Chakram. Dewi digambarkan dalam kedudukan padmasana. Pada dewi ada pasa, angusa, pushpabana dan tebu di tangan-tangannya.  

Dewi Mahalakshmi dan Kanchipuram

Dewi Mahalakshmi pernah dikutuk oleh dewa Vishnu yang baginda hanya menjelma dalam rupa arupam. Dewi Mahalakshmi pergi ke Kanchipuram seraya menjalankan pemujaan membaca nama-nama dewa Vishny bagi membebaskannya dari arupam. Selepas lama memuja, barulah baginda dibebaskan dari arupam lalu mendapat rupam. Maka wujud lah keparcayaan bahawa kumkum dewi Kamakshi mesti lah dipersembah kepada berhala arupa Lakshmi dalam kawasan suci supaya hajat pemuja terkabul. Kawasan suci koil mengandungi dewata Adivaraha Perumal dan ia merupakan salah satu daripada 108 dewata kaum Vaisnava yang dipuja di kuil. 

Raja Dasaratha di Kanchipuram

Itihasa menyatakan bahawa raja Dasaratha pernah menjalankan putrakameshi yagam di kuil itu sempena memohon kelahiran putera dalam kerajaannya. Raja menjalankan puja Nabisthanam untuk dewi penunggu koil. Raja Dasaratha tergolong dalam Iksvakuwangsa, maka dewata utama mereka adalah dewi Kamakshi. Kisah ini ada dalam Markandeya Puranam. Dipercayai jika memuja dengan ikhlas hati kepada dewi, maka akan dikurniai anak bagi pasangan yang tiada beranak.

Adisankara di Kanchipuram

Guru Adisankara yang lahir di Kaladi dalam wilayah Kerala pun meredah semua kawasan untuk melawat Kanchiputam. Di kawasan suci kuil itu, guru Adisankara terasa panas dan merasai bahawa dewi dalam keadaan marah. Jadi Sri Adisankara cuba menenangkan dewi penunggu dengan membuat satu lagi berhala sambil menyanyikan kawi memuji dewi berjudul Soundarya Laghari. Maka tertegaklah berhala Sri Chakram di depan berhala dewi Kamakshi bagi menjadikannya tenang dan dicerminkan. Berhala Sri Chakram kelihatan hari ini dan semua puja pun dihalakan kepada Sri Chakram. Guru Sankara membangunkan Kanchi Kamakoti Pitam dan mendapatkan Sarwagyana Pitham di kota suci itu. 

Cetera Dewi Menyembuhkan Orang Pekak

Koil ini dilawati juga oleh seorang pekak bernama Mugan. Dia memohon kepada dewi penunggu supaya membebaskannya dari pekak supaya boleh lah dia menyanyikan kawi memuji dewi. Dewi merestuinya lants membebaskannya dari pekak selain memberikan kebolehan kepadanya mencetuskan kawi. Gembira dengan hal itu, Mugan menulis kawi dinamai Mugapanchashati yang memuji dewi disebabkan kebaikannya dan kecantikannya.  

Dewi dipercayai menghapuskan kejahatan dan membantu memakmurkan lagi kebajikan di seluruh dunia. Ada upacara khas dijalankan untuk dewi seperti semasa Navaratri, Brahmotsvam dan Purnami. Pada waktu-waktu tersebut, kesaktian dewi berada di puncak dan bertuah jika melawat koil pada hari-hari itu.    

Sabtu, 1 Disember 2012

Pemujaan kepada Dewi Mariamma


Sebelum ini aku pernah membuat masukan tentang dewi Kali Ambha atau Kaliamman. Dikatakan bahawa dewi ini berkait dengan dewi orang Tamil di India Selatan, iaitu Dewi Mariamman. Di negara aku, dewi ini banyak dipuja di kuil-kuil kampung di ladang getah dan ladang kelapa sawit atau kawasan dekat pantai. Di negeri Perak pun banyak kuil ditujukan untuk dewi ini. Lain-lain nama bagi dewi ini yang pernah ku dengar adalah Nagammah atau ibu pelindung para Naga. Walaupun aku bukan seorang Tamil, tapi masukan ini diperbuat supaya mudah orang ramai memahami ajaran Hindu dan kebudayaan masyarakat India Selatan.  

Doktrin

Benua India merupakan tanah yang mempunyai banyak perkampungan. Di India Selatan pun banyak lah kampung jika anda ada menonton wayang gambar berbahasa Tamil atau bahasa India Selatan lainnya. Dalam konteks kehidupan dalam kampung, kehadiran gramadewata atau dewa penunggu kampung adalah sangat penting. Sebuah kampung itu mungkin mempunyai beberapa dewata yang mempunyai kesaktiannya tersendiri. Dewata kampung ada lebih banyak daripada kampung orang Hindu itu sendiri. Yang dikenali melalui wilayah adalah seperti dewi Mariamman. Baginda dipanggil juga sebagai Mariammah, Maryamma dan Mari. Dalam Purana, baginda dikenali sebagai Marika dan pengikut baginda banyak di Selatan India.

Kampung yang memuja dewi itu dipunyai oleh dewi. Menurut ajaran agama Hindu, dewi penunggu berada di kampung sebelum pembukaan kampung dan hakikatnya baginda yang mencetuskan kampung itu. Kadang-kadang baginda dibuatkan berhala dengan hanya kepala sahaja muncul di atas tanah yang menggambarkan bahawa tubuhnya itu adalah seluruh kampung dan baginda berakar dalam tanah kampung itu. Orang kampung tinggal dalam atau di atas tubuh dewi itu. Dewi menjadi pelindung dan penunggu kampung serta sempadannya. Dewi tidak melindungi orang yang keluar dari lingkungan kampung. 

Kampung itu merupakan alam semesta yang sempurna dan pusat kepada kuasa kedewataan kampung adalah dewi sendiri. Hubungan antara kampung dengan dewi pada asasnya adalah sebagai seluruh kampung bukannya pada orang perseorangan. Mari boleh juga bermaksud sakti dan amma maksudnya ibu. Dia merupakan nadi kuasa bagi kampung tersebut. Walau bagaimanapun, hubungan ini bukan suatu hubungan yang ringkas. Pada setengah tempat dewi Mariamma diseru tiga kali dalam setahun untuk menyuburkan semula tanah kampung dan melindungi kampung dari penyakit dan kematian. Tempat lain mungkin mengadakan pesta untuk dewi Mariamma. 

Dewi Mariamma bukan sejenis dewi yang tenang dan lemah lembut. Baginda boleh jadi ganas, pendendam, tak dapat disekat dan sukar untuk ditenangkan. Asasnya, baginda adalah perlambangan kepada kuasa alam semulajadi dalam bentuk dewi dan melindungi kampung dari penyakit misalnya cacar, kejahatan, jenayah dan lain-lain. Peranan baginda ada bercabang pula iaitu baginda menurunkan penyakit dan juga melindungi penduduk kampung daripada penyakit. Munculnya penyakit atau bencana akan membawa kepada puja khusus atau pesta kuil bagi dewi kerana ia disebabkan oleh setan yang disebabkan oleh kuasa pelindung dewi dapat dipintas atau dewi murka kerana tidak dihiraukan dan tidak dihormati.  

Mariamman memberi peringatan kepada penduduk bahawa dunia yang teratur pun akan bergegar pada bila-bila masa dan pemujaan kepada nya membuatkan seseorang itu peka bahawa dunia lebih kurang nya mudah disakiti. Apabila kampung menerima bencana, dewi juga ditakluki oleh setan. Orang kampung dan dewi dijajahi bersama dan itu lah maksudnya dewi menyebabkan penyakit besar-besaran. Dewi menderita sehingga tak mampu menanggung penyakit lagi maka penyakit merebak ke kampung. Maka orang kampung mesti membantunya melawan penyakit yang ditapis. Mariamman berbuat kebajikan kepada sesiapa yang terkena sakit kerana orang sakit itu membantunya menanggung beban serangan setan. Korban darah haiwan dipersembah dalam pesta Mariamman, tapi perkara ini bukan selalu diperbuat. 

Whitehead misalnya dalam pengajian klasiknya berjudul "Dewata Kampung di India Selatan" (1921) menulis bahawa kajian mendapati kampung Vandipaliam di daerah Kuddalore yang mengadakan pesta 10 hari memuja dewi Mariamman langsung tak mempersembah semahan haiwan korban di pesta mahupun di kuil. Di Shiyali di daerah Tanjore pula, mereka akan menurunkan layar menutup berhala dewi Mariamman apabila mempersembah haiwan korban. Hal yang sama dilakukan kepada berhala dewa kampung yang lain. 

Cetera Kemunculan Dewi

Satu cetera berkaitan kewujudan dewi Mariamman ini adalah baginda ini asalnya isteri kepada kawi bernama Tirunalluvar di negara orang Tamil. Wanita ini dikatakan sebagai seorang chandala. Dia terkena demam campak dan mengetuk pintu rumah orang untuk makanan sambil mengibas dirinya dengan daun semambu bagi menghalau lalat daripada menghurung cacarnya itu. Dia kemudian sembuh pula maka orang ramai memujanya sebagai dewi cacar. Bagi menghalang penyakit cacar masuk ke rumah, orang ramai menggantung ranting dengan daun semambu di pintu rumah mereka.

Cetera kedua melibatkan seorang wanita bernama Nagavali. Beliau ini isteri kepada Piruhu yang merupakan salah seorang daripada sembilan resi. Satu hari, apabila resi keluar dan Brahma, Visnu serta Siwa muncul untuk menyaksikan sama ada kecantikan dan kebaikan wanita ini adalah benar. Nagavali tidak kenal mereka maka dia menghalang mereka menceroboh rumahnya. Dia menukar mereka menjadi budak kecil. Dewata itu tersinggung lalu menyumpahnya. Kecantikannya hilang dan wajahnya bercacar. Resi pulang dan terkejut apabila mendapati wanita tak dikenalinya berada di rumah. Nagavali pun dihalau. Disebabkan hal itu, dia akan dijelmakan dari seekor setan di dunia satu lagi dan akan menyebarkan penyakit serta membuat ramai orang menjadi seperti dirinya. Dia pun dipanggil lah Mari maksudnya berubah. Cetera ini kedua-duanya dilaporkan oleh kajian Whitehead. Dia turut menyatakan bahawa di Mysore, Mari dimaksudkan dengan sakti.    

Mariamman merupakan dewi purba yang pujaan terhadapnya mungkin berasal dari agama puak orang Drawidia di benua India sebelum ketibaan penganut agama dan adat istiadat Brahmana dari utara. Menurut tradisi, antara puak Drawidia yang berdiam di bukit misalnya puak Coorg di Karnataka, semahan manusia akan dipersembah kepada dewi Mariamman. Kemudian, amalan ini digantikan dengan amalan menyemah binatang dan kini langsung tiada darah lagi dipersembah kepada dewi. Perjalanan sejarah amalan dapat dilihat dari sini.

Dewi-dewi tempatan seperti Mariamman melindungi kampung-kampung dan mewakili kasta-kasta yang pelbagai bagi para pemuja amat penting dalam gambaran kehidupan beragama di India Selatan. Walau bagaimanapun, kita dapat sedari terdapat zaman yang mempunyai titik sejarah penting. Zaman Wijayanagaram dari 1336-1565, apabila kerajaan itu menggalakkan amalan agama orang kampung dijalankan juga di kuil-kuil. Hal ini menjadikan agama-agama kepercayaan orang kampung menjadi lebih penting dan berpengaruh serta mempunyai rekod bertulis. Ia turut juga mempengaruhi agama Brahmana di selatan. Dalam awal abad moden muncul pula kesedaran orang Tamil yang menghidupkan semula kebaktian terhadap dewa Murugan atau dewa Skandha. Pada pertengahan abad moden ini, dewi seperti Mariamman dikaitkan dengan tradisi hebat apabila satu susuhunan kemasyarakatan yang memuja dewi dijalinkan pula dengan susuhunan yang lebih besar dalam benua itu.    

Perlambangan

Batu pusat dipanggil sebagai bodhurayi akan ditempatkan di tengah-tengah perkampungan. Seperti yang tersebut dalam doktrin pemujaan, dewi ini boleh diwakili oleh berhala kepala di atas tanah kerana badannya adalah kampung itu. Bagi melindungi kampung, lambang dan sanggar dewi akan ditempatkan di sempadan kampung. Biasanya lambang ini ringkas sahaja iaitu batu yang tak dipahat, ketinggian antara lima ke enam inci dan dihitamkan dengan lumuran minyak atau boleh jadi batu tiang. Jika ada kuil pun ia cuma binaan yang ringkas sahaja. Di Kuala Lumpur dekat kawasan Central Market tu ada juga Kuil Mahamariamman, tapi binaannya dalam bangunan dan ada berhala-berhala lain juga. Warna dewi Mariamman adalah kuning dan kadangkala batu dibalutkan dengan kain kuning. Bahagian atas batu akan dibiarkan terdedah. Kadangkala, ada trisula yang dipacak pada tanah di tempat yang dipasak batu.

Dalam kampung yang besar sikit, akan ada batu berukir yang digambarkan sebagai wanita dengan empat, enam atau lapan tangan atau tak ada tangan langsung. Dalam tangan berhala batu berukir itu, ada pisau, gendang, loceng, kepala setan dan trisulo. Biasa juga rupa batu berukir atau pun ukiran besi digunakan dalam kuil bagi memudahkan perarakan keagamaan. Dewi Mariamman ada juga digambarkan menunggang kaldai dengan tampi atas kepalanya dan penyapu dan kamandalu di tangannya.

Kadangkala juga, tiada sebarang berhala berukir mewakili dewi ini sebaliknya ada kendi berisi air dan dihiasi dengan daun semambu sahaja. Daun semambu merupakan lambang suci bagi dewi ini. Manakala di kampung miskin banyak kendi tanah digunakan sebagai wakil dewi. Keadaan ini sering kelihatan dalam perkahwinan perlambangan antara dewi yang dianggap sebagai teman kepada kampung dan kedua-dua kampung dan dewi saling bergantungan. Korban darah pada pesta dewi adalah untuk menenangkan kemurkaan dewi kerana ia adalah lambang kepada haba penyakit atau ia melambangkan kepada kekalahan penjajahan setan. Secara tradisi, kerbau dikorbankan. Kemudian ia akan dipenggal dan kakinya disumbat dalam mulut. Lemak dari perut dilumur di matanya dan lilin dipasang atas kepalanya. Ia disemah kepada dewi sebagai tanda memalukan mangsa atau musuh, iaitu setan yang menyebabkan penyakit atau bencana.