Memaparkan catatan dengan label maklumat tambahan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label maklumat tambahan. Papar semua catatan

Jumaat, 26 Ogos 2011

Ajaran Jain


Asal-Usul dan Sejarahnya

Ajaran Jain merupakan antara ajaran yang lama berasal dari timur benua kecil India. Penyebarannya sekitar abad ke-6 SM disebabkan oleh ramai orang yang pada mulanya menentang susunan atur masyarakat dan upacara yang dijalankan dalam ajaran Brahmana.

Pekataan Jain berasal dari kata Jina bermaksud yang berjaya menakluki diri dalamannya sendiri dan dunia luaran. Para Jina dihormati dan disembah melebihi sembahan kepada para dewa. Ada seramai 24 Tirthankara atau orang alim menurut ajaran Jain. Yang terakhir sekali dalam Thirthankara tersebut adalah Mahawira (599-527 M) yang merupakan pengasas Jain hari ini.

Sastera suci pengikut ajaran Jain merupakan hasil kumpulan tulisan Mahawira dalam bahasa Sanskrit. Selepas kematian Mahawira, terjadi lah perpecahan antara masyarakat Jain kepada dua aliran yang terbesar. Aliran-aliran tersebut adalah aliran Swetambara dan Digambara. Perpecahan ini terjadi kerana masalah ketidaksefahaman dalam hal tatacara kebiaraan.

Kaum Swetambara percaya bahawa sami dan sami wanita haruslah memakai pakaian warna putih manakala kaum Digambara percaya bahawa Mahawira sebagai seorang sami mengembara dengan tiada berpakaian langsung dan wanita tidak boleh menjadi sami kerana seorang itu tidak boleh mencapai kebebasan rohaniah dalam jasad wanita. Makanya aliran Digambara ditendang keluar oleh aliran Swetambara dari perhimpunan Jain Ortodoks.

Kira-kira 4 juta lebih penganut ajaran Jain tinggal di negara India masa kini manakala yang selebihnya merupakan penduduk di negara seperti Britain, Amerika Serikat, dan Europa. Ramai juga orang Jain yang disalah laporkan sebagai penganut ajaran orang Hindu berasaskan tradisi Brahmana kerana kepercayaan asas mereka sama.

Masyarakat Jain tetap menjadi masyarakat terpencil dari masyarakat lain. Walau bagaimanapun, mereka ini merupakan golongan yang berpengaruh dalam bidang kewangan dan perdagangan selain ramai yang kaya-kaya.

Kepercayaan

Jain merupakan kepercayaan yang percaya kepada penaklukan segala godaan dan musuh dalaman seperti kemarahan, ketamakan, dan kebongkakan dengan meninggalkan keinginan duniawi serta hidup harmoni dengan alam. Mereka lebih teliti dalam menjaga keselamatan alam jika dibandingkan dengan penganut ajaran-ajaran dari guru-guru Brahmana atau orang Hindu biasa.

Mereka ini menekankan kepada ketidakganasan atau ahimsa. Ahimsa juga menyerap masuk dalam ajaran Buddha dan ajaran-ajaran lain yang berasal dari benua kecil India purba. Oleh itu, perkataan ahimsa juga ada ditemui pada lambang Jain yang berbentuk telapak tangan terbuka yang bermaksud berhenti. Walaupun ahimsa merupakan amalan dalam kebanyakan ajaran yang berasal dari benua kecil India, namun ajaran Jain lebih luas lagi konsep tidak ganasnya. Ia melibatkan segala jiwa di bumi termasuklah tanah, kuman-kuman, dan tumbuhan. Pemakanan mereka sangat dijaga agar tidak mencederakan jiwa yang lain. Mereka hanya memakan makanan seperti buah-buahan, kekacang dan susu. Mereka tidak menebang pokok, tetapi hanya mengambil apa yang gugur dari tumbuhan. Sesetengah orang Jain memakai penutup mulut dan hidung bagi menghalang benda-benda halus disedut oleh nyawa mereka dan membunuh benda-benda halus tersebut. Hal ini tidak bagus untuk karma.

Kepercayaan mereka terhadap karma sama dengan kepercayaan penganut ajaran Buddha dan penganut aliran agama orang Hindu yang lain cuma mereka lebih teliti. Karma merupakan perundangan perbuatan alam jagat yang mana perbuatan baik dan buruk itu memberikan kesan terhadap pelakunya. Dalam hal ini, karma boleh juga mempengaruhi penjelmaan roh dalam jasad pada masa akan datang. Karma yang baik akan menjelmakan roh dalam jasad yang baik serta menjaga roh tersebut manakala karma yang tidak baik pula sebaliknya.

Hidup dan Selepas Mati

Pemikiran Jain berpandangan bahawa jiwa atau roh itu terikat dengan jasad. Roh mempunyai ukuran yang boleh dibentur jadi roh yang sama dalam jasad seekor kucing misalnya boleh juga dimasukkan dalam jasad manusia.

Sastera suci Jain menyatakan bahawa ada lebih kurang 8.4 juta jenis jiwa atau roh. Jiwa sebenarnya tidaklah diciptakan sebaliknya abadi dan mempunyai kuasa tidak terhad, serta pengetahuan. Oleh itu, jiwa mempunyai potensi yang sama dengan ketuhanan.

Ada lima tahap dalam perkembangan manusia:

Sadhu dan Sadhuwi

Peringkat menjadi sami, kedua-dua lelaki dan wanita menjadi sami menurut aliran Swetambara.

Upadhyaya

Guru-guru sastera suci dan falsafah.

Acharya

Ketua kepada masyarakat kebiaraan.

Arihanta

Jiwa yang terbebas dan menerima keselamatan. Orang biasa dan Thirthankar menerima ketuhanan. Mereka yang menjadi Arihanta boleh membantu orang lain. Sehingga kematian mereka, mereka akan menjadi Siddha.

Siddha

Siddha bermaksud roh atau jiwa yang bebas tinggal di surga tertinggi sekali. Mereka sudah tiada rupa lagi serta tiada kaitan dengan bumi.

Tujuan kehidupan pengikut ajaran Jain sama seperti orang Hindu biasa. Mereka ingin mencapai Moksha. Moksha bermaksud menerima keselamatan dan bebas dari dijelmakan semula dalam kesengsaraan di semua triloka. Mereka harus menghapuskan karma yang menghalang jiwa mereka bebas. Untuk mencapai keadaan ini, seseorang itu haruslah hidup dengan tidak mencederakan jiwa dalam jasad lain serta berada dalam keadaan manusia. Jika seseorang itu tidak menerima moksha, selepas kematian jasad, rohnya akan dijelmakan semula atau terseksa dalam neraka. Neraka itu ada lapan tahap semuanya, setiap tahap akan menjadi semakin sejuk. Penyeksaan dalam neraka tidak kekal. Selepas diseksa roh seseorang itu dalam neraka, ia akan dijelmakan semula dalam bentuk lain di dunia. Ada banyak jenis surga juga untuk karma baik, ia juga tidak kekal.

Pahaman Ketuhanan dan Pandangan Semesta Jain

Orang Jain berpahaman banyak dewata atau tuhan. Mereka juga berpahaman segalanya adalah tuhan. Kepercayaan begini mempercayai bahawa segala makhluk hidup berpotensi menjadi tuhan. Mereka percaya dengan penjelmaan semula dan mencari moksha. Apabila roh itu terbebas maka ia layak dilabelkan sebagai tuhan. Orang Jain menolak sebarang sebutan mengenai Pencipta. Mereka tidak percaya kepada benda luar yang boleh membantu jiwa atau roh dalam jasad duniawi. Pemahaman begini juga menyebabkan setengah orang menganggap orang Jain sebagai ateis.

Pandangan semesta Jain berpandangan bahawa jagat raya dan segala yang ada ini abadi. Tiada apa pun yang wujud kini diciptakan atau dihapuskan. Jagat raya mengandungi tiga bahagian iaitu bahagian surga, bahagian bumi dan bahagian neraka.

Kebiaraan

Mahawira ada membangunkan tradisi kebiaraan. Menurut setengah orang, seramai 14000 sami dan 36000 sami wanita pernah menjadi sebahagian daripada masyarakat kebiaraan Jain pada saat kematian Mahawira. Sami-sami semuanya terikat dengan kehidupan petapa dan memegang "Lima Janji Agung" iaitu:

1. Ahimsa - tiada keganasan
2. Satiya - kebenaran
3. Asteya - tiada mencuri dan merampas hak orang dengan paksa
4. Brahmachanga - bujang
5. Aparigraha - tiada pemilikan

Sami-sami Jain lelaki atau wanita keduanya mesti mematuhi amalan seperti tidak makan depan orang awam, tidak memakai kasut, tidak tinggal di sesuatu tempat lama-lama, mesti botak kepala dan sami wanita mesti memakai pakaian warna putih.

Pemujaan

Pemujaan biasa dijalankan untuk meminta dewata membantu perjalanan pembebasan jiwa. Pemujaan ini berjalan di tempat awam seperti di koil batu atau di rumah yang ada pura nak serupa koil. Pemujaan melibatkan pembacaan montra dan puja sambil melihat ke rupa-rupa dewata.

Koil-koil Jain mempunyai pelbagai bentuk. Yang paling ringkas bentuknya sampai ke yang terbesar dengan hiasan-hiasan yang dicorakkan menurut cara mereka.

Koil kaum Digambara biasanya hanya ada berhala Thirthankara biasa sahaja manakala koil Swetambara mempunyai berhala dicat dan dihiasi dengan berlian, emas, bungaan, dan sebagainya sebagai satu cara mengabdi diri kepada dewa dan guru.

Hakikat Menarik

- Ajaran Jain dan ajaran Buddha diasaskan pada masa yang hampir sama.

- Mahawira juga meninggalkan hak warisan takhta keluarga diraja menjadi pertapa.

- Pekerjaan seperti berladang dihindari oleh pengikut Jain kerana bimbang membunuh serangga apabila membajak tanah.

- Masyarakat Jain di Europa, misalnya Belgium kebanyakannya terlibat dalam perniagaan berlian mahal.

- Tapa atau Samayika merupakan amalan harian bagi orang Jain waktu pagi. Kebanyakan orang Jain membaca Panka Namaskarais atau Sembahyang Lima bagi menghalau kejahatan, menyembuh penyakit dan nasib yang baik.

Rabu, 6 Julai 2011

Kaliyugam, Zaman Kehancuran!

Empat Yuga

Menurut kata kitab-kitab Hindu, semua makhluk semesta ada tertulis pada Brahma bahawa mereka itu akan melalui empat pusingan terbesar dalam tiap-tiap pusingan penciptaan dan kemusnahan. Pusingan dunia ini akan penuh pada penghujung tiap-tiap kalpa.

Satu kalpa dikira dengan satu yuga. Satu yuga sama dengan satu abad dikira menurut tahun Brahma 10, 000 tahun dan dibahagikanlah ia ke dalam empat zaman atau yuga. Yuga maknanya zaman lah dalam bahasa moden kita. Ikut satu pusingan, satu pusingan yuga dianggarkan selama 4, 320, 000 tahun dan satu kalpa sama dengan 4, 320, 000, 000 tahun.

Empat yuga dipanggil sebagai Satyayuga, Tretayuga, Dwaparayuga, dan Kaliyuga. Satyayuga merupakan Zaman Kebenaran. Dikatakan ia bertahan selama empat ribu tahun Brahma. Tretayuga bertahan selama tiga ribu tahun Brahma. Dwaparayuga bertahan selama dua ribu tahun Brahma manakala Kaliyuga bertahan selama seribu tahun Brahma bersamaan dengan 432, 000 tahun bumi.

Dipercayai juga bahawa dunia sudah melalui tiga yuga. Kita kini berada dalam Kaliyuga dan yang teerakhir. Apa yang dimaksudkan sebenarnya oleh kesemua zaman-zaman ini dan mengapa ada pembahagian semua? Susah nak diterangkan kerana nampak seperti tak masuk di akal yang biasa.

Lagu Kejahilan dan Pengalaman Manusia!

Kesemua yuga ini melambangkan empat fasa pengalaman hidup manusia yang secara berperingkat hilang kesedaran dalam diri atau dalam diri halus masing-masing. Dipercayai oleh orang-orang Brahman bahawa manusia ini ada lima jenis diri iaitu:

1. Annamayagosa (diri rendah yang keji)
2. Pranamayagosa (diri nyawa)
3. Manomayakosa (diri ragasukma)
4. Vignanamayagosa (diri kebijaksanaan)
5. Anandamayagosa (diri kesukaan)

Ada teori lain yang menyatakan bahawa zaman-zaman ini dibahagikan berdasarkan kepada tahap hilangnya kebenaran dari dunia ini. Dikatakan bahawa kebenaran hanya wujud secara mutlak semasa Satyayuga. Pada masa Tretayuga, kebenaran mula hilang seperempat darinya. Masuk ke Dwaparayuga, seperdua kebenaran hilang dan dalam Kaliyuga ini hanya tinggal seperempat kebenaran sahaja. Kejahatan dan ketidakadilan mula menggantikan kebenaran dalam tiga yuga yang dilalui dalam sejarah dunia ini.

Dasavataram

Dalam empat yuga yang dilalui ini, diceritakan oleh orang Brahman bahawa dewa Vishnu menjelma sebanyak 10 kali dalam avatara yang berbeza-beza. Penjelmaan ini dikenali dengan nama Dasavatara. Pada Satyayuga, manusia itu secara rohaninya maju dan mempunyai kuasa meraga sukma yang tinggi.

Dalam Tretayugam, ramai orang masih kekal berada dalam kebenaran dan mengikuti cara hidup yang mulia. Sang Rama yang merupakan watak dalam Ramayana hidup pada zaman Tretayugam. Pada ketika Dwaparayugam, manusia hilanglah ilmu pengetahuan dari diri kebijaksanaan dan diri kesukaannya. Sang Krishna dilahirkan dalam Dwaparayugam. Kaliyugam yang paling teruk kerosakan adab sopan serta cara hidupnya.

Hidup dalam Kaliyugam

Kita kini berada dalam Kaliyugam. Dunia yang penuh dengan ketidaksucian dan kemaksiatan. Ramai yang memiliki ketulusan hati mula hilang dari dunia ini hari demi hari. Banjir, kebuluran, peperangan, jenayah, penipuan, dan bermuka-muka adalah ciri-ciri utama zaman ini. Namun, diberitakan oleh kitab suci bahawasanya kebebasan mutlak diperolehi hanya melalui zaman ini.

Tanda-tanda Kaliyugam

Kaliyugam berjalan dalam dua fasa:

Fasa yang pertama

1. manusia mula hilang keilmuan dalam dua diri tertingginya iaitu ilmu dari diri nyawanya yang menghuni jasadnya.

Fasa yang kedua

2. ilmu-ilmu sendiri yang meninggalkan manusia.
3. yang tinggal cuma kesedaran jasad kotor yang keji dan rendah.
4. kesannya, manusia kini bersikap tamak dan tak pernah cukup dengan apa yang dimiliki jasad kemahuan diri kejinya (hawa nafsu).

Jadi disebabkan oleh kesibukan jasad kita dan juga diri keji, serta penekanan yang diberikan kepada pencapaian kepada kebendaan yang keterlaluan, maka zaman ini dikenali sebagai Zaman Kegelapan. Ia adalah zaman apabila kita hilang sudah hubungan dengan diri dalaman kita, zaman yang dipenuhi dengan kejahilan!

Apa kata kitab-kitab lama????

Kedua-dua epik terkenal tidak kira di benua kecil India, negara-negara dalam benua India Hulu seperti Indonesia, Malaysia, Kemboja, Thailand, Myanmar, dan Laos iaitu Ramayana dan Mahabharata ada menyebut mengenai Kaliyugam. Dalam Thulasi Ramayana, Kakbhushundi memberitakan bahawa: "dalam Kaliyugam nanti, ranjang panas berisi dosa, laki-laki dan wanita semuanya akan ditempuhi oleh ketidakbenaran dan berkelakuan menjauhi ajaran Veda... setiap kebenaran itu akan ditelan oleh dosa dalam Kaliyugam. Semua kitab yang baik hilang. Penipu menciptakan berbilang-bilang kepercayaan yang diciptakan mereka walaupun mereka sebenarnya tiada faham apa pun..."

Dalam Mahabharata (Santi Parvam) Yuddhisthir pernah berkata: "...perundangan-perundangan Veda hilang secara beransur-ansur dalam setiap penghabisan pusingan zaman... tugasan dan tanggungjawab dalam Kaliyugam adalah dari jenis yang lain. tugasan dalam Kaliyugam secara keseluruhannya menjadi terbalik. Tugasan tertakluk kepada kuasa manusia itu sendiri."

Resi Vyasa juga menerangkan bahawa: "Dalam Kaliyugam nanti, tanggugjawab dari suruhan itu hilang dan manusia terganggu oleh ketidakadilan. Manusia itu semuanya menjadi mangsa kepada bayangan dan semua perbuatan amal itu ditelan oleh ketamakan!"

Apa Seterusnya Terjadi?????

Dijangkakan bahawa pada penghujung Kaliyugam ini, Maheswara atau Shivaji akan memusnahkan jagat raya dan seluruh jasad akan mengalami perubahan besar. Selepas itu, Brahma akan menciptakan semula jagat raya dan manusia akan menjadi "makhluk kebenaran" semula.