Memaparkan catatan dengan label mahawira. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mahawira. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Oktober 2013

Mahawira Jina: Ajaran dan Jelmaan

Jaya Jinendra!


Selepas mencapai Kewala Jnana, selama 30 tahun pula baginda Mahawira mengembara serata-rata benua India mengajar pandangan falsafah baginda. Falsafah baginda itu terbahagi kepada delapan prinsip dengan tiga daripadanya itu berkaitan dengan benda ghaib dan lima pula berkaitan susila. Matlamatnya itu, meningkatkan tahap kehidupan seseorang manusia.

Prinsip Asas Susila Jina

1. Ahimsa atau jangan ganas jangan keras. Mahawira mengajarkan bahawa setiap makhluk hidup itu mempunyai maruah dan kesucian jiwa sendiri maka haruslah ia dihormati seperti mana kita pun menjangkakan kehormatan terhadap kesucian jiwa dan maruah kita dihormati yang lain. Ringkasnya itu, bersopan santun seboleh-bolehnya, dan bertindak baik termasuk terhadap perasaan makhluk lain.

2. Satya iaitu kebenaran yang membawa kepada prinsip kejiranan baik dalam masyarakat. Seseorang itu mestilah bercakap kebenaran dan menghormati hak milikan sesama sendiri dalam masyarakat. Seseorang mesti benar dalam pemikiran sendiri, kata-kata dan perbuatan bagi menghasilkan suasana keyakinan bersama dalam masyarakat.

3. Asteya iaitu jangan mencuri merampok iaitu keadaan yang mana seseorang itu takkan mengambil benda yang tak diberikan kepadanya dengan cara yang benar. 

4. Bramhacarya iaitu kesucian diri yang menekankan keteguhan tetapi juga menahan diri daripada tanha keinginan sentuhan atau kesenangan yang membawa kepada hubungan jenis. Yang ini terpakai dalam golongan yang menjadi Jina penakluk jiwa.

5. Apagriham iaitu tidak memiliki harta, tiada terikat dengan kebendaan yang memerlukan juga seseorang itu mengelakkan dirinya daripada terikat dengan manusia lain, tempat dan barangan kebendaan.

Baginda mengajarkan bahawa pencarian kepada kesenangan dan keseronokan itu permainan yang tak pernah akan berkahir. Jadi, mestilah manusia melatih pemikiran bagi mengatasi keinginan persendirian dan rasa syahwat. Dengan cara begitu, seseorang akan mencapai ketenangan minda, tumpuan minda dan keseimbangan rohani. 

Seseorang itu patutlah membataskan pemilikan harta sebagai satu ahli masyarakat yang berkebajikan dan menghasilkan keadilan sosial menerusi pengagihan adil komoditi prasarana. Yang kuat dan kaya janganlah cuba menekan yang lemah dan miskin menerusi pengumpulan harta tak terbatas sampai menjadikan rupakara pengagihan kemewahan dalam masyarakat itu kacau-bilau dan menyebabkan kemiskinan yang lain. 

Cubaan bagi menguatkuasakan lima prinsip ini menerusi kekuasaan dalaman negeri, peruntukan perundangan atau luaran pula akan membawa kepada kemunafikan atau kecenderungan melakukan jenayah dalam diam. Maka orang perseorangan atau ahli masyarakat itu sendiri mesti mengamalkan menahan hawa nafsu bagi mencapai ketenangan sosial, keselamatan dan masyarakat yang dicerahi minda mereka. Baginda mencapai nirwana pada usia 72 tahun sekitar 527 SM. Digambarkan baginda sebagai duduk atau berdiri bersemadi dengan lambang singa di bawah duduknya atau berdirinya baginda.      

Penjelmaan Semula

Kelahiran sebelum baginda ada dibincangkan dalam sastera Jinagama seperti dalam Ceritera Trisastisalakapurusa dan Jinasena oleh Mahapurana. Sementara jiwa itu melalui pelbagai jelamaan dalam putaran tengahan antara sengsara hidup dan mati, kelahiran sebagai Thirtankara diperkirakan dari masa dia itu diperkatakan mambawa penyebab karma dan mengembangkan Ratna Trayah. Sastera agama membincangkan 26 kelahiran jiwa Mahawira sebelum kelahiran baginda menjadi seorang Thirtankara.

Ada pelbagai sastera agama lagi mengenai kehidupan baginda. Yang utama adalah Kalpa Sutra oleh Mpu Bhadrabahu. Yang pertama dalam bahasa Sanskerta pula adalah biografi hidup baginda bertajuk Cetera Wadhamana oleh Mpu Asaga pada 853 M.

Mahawira dikaitkan dengan Thirtankara pertama oleh lagenda Jina, iaitu Risabha. Baginda lahir mulanya sebagai seorang cucu kepada Risabha dikenali sebagai Marici. Marici ini tak mengikut agama benar pada mulanya. Semasa samaya baginda, ramai orang yang mengaku-ngaku menjadi Thirtankara ke-24. Antaranya, Puran Kachapa, Makhali Goshala, Ajit Kesakambli, Pakuda Kachchhayan dan Sanjaya Wellaputra. Namun semua mereka langsung tiada tempat istimewa dalam Jinagama kecuali Mahawira jua.

Sabtu, 8 Jun 2013

Sramana dalam Jinagama


Para Biarawan Jinagama biasanya dipanggil juga sebagai Sramana, manakala pengamal umum dipanggil sebagai Srawaka. Agama bagi kaum biarawan dipanggil sebagai Sramana Dharma. Agama-agama berkuatkuasa dipanggil sebagai Acaranga Sutram dan sastera terkemudiannya ada merujuk kepada Sramana. Satu ayat ada memberi paribahasa kepada Sramana yang baik...

"Tanpa menghiraukan segala bencana kesusahan, dia itu hidup bersama biarawan yang cerdik, tak pernah peduli dengan kesakitan mahupun kesenangan, tidak mencederakan barang yang bergerak mahupun yang kaku, tidak membunuh, menanggung semua; makanya ini semua gambaran kepada muniwara agung, resi mulia, sramana yang terbaik!"

Bab berkenaan dengan membebaskan diri daripada loka itu mengandungi sumpah Sramana tidak memiliki barangan lokamaya atau dipunyai sesiapa pun:

"Aku akan menjadi Sramana yang tiada berumah, tiada berharta, tiada anak, tiada lembu sapi, yang memakan dari pemberian dana yang lain; Aku tidak akan melakukan tindakan berdosa; Tuanku, aku tinggalkan dari menerima sebarang benda yang tak diberikan kepada aku. Bersumpah sebegini rupa, maka pengemis tak patutlah masuk ke kampung-kampung mahu pun pekan-pekan bebas, mengambil barangan, atau memujuk yang lain untuk mengambil barangan atau membenarkan yang lain mengambil barangan yang tidak diberikan kepada mereka!" 

Acaranga Sutram memberi tiga nama merujuk kepada Mahawira, iaitu Thirtankara ke-24 mereka. Salah satunya itu adalah Sramana...

"Tapaswi mulia Mahawira dari gotra Kasyapa. Tiga namanya dirakamkan dalam catitan tradisi. Oleh orang tuanya itu dipanggil Wardhamana kerana baginda itu tiada cinta mau pun benci. Dipanggil Sramana kerana menanggung ketakutan dan marabahaya yang dahsyat serta penderitaan loka ini; Nama Mahawira baginya pula dikarunia kepadanya oleh para dewata".

Dalam Sutra Kertanga pula dijelaskan bahawa Sramana ini adalah yogi pertapa yang mengambil sumpah Mahawratam terdiri daripada lima perkara... 

"Dia itu Sramana atas sebab dia tak pernah tertahan disebabkan halangan, bebas dari kehendak, tidak peduli dengan harta benda, tak membunuh, tak menipu, tak berhubungan jenis; bebas dari murka, bebas dari kebongkakan, bebas ketamakan, bebas cinta, bebas benci: maka dilepaskan segala nafsu keinginan yang menjatuhkan seseorang dalam papa dosa misalnya membunuh jiwa lain. Maka dia itu Sramana, yang menakluki derianya, layak bagi tujuan kerjanya dan meninggalkan tubuhnya".

Dalam perbincangan dengan guru-guru widharma lain, putera Ardraka yang menjadi anak siksya Mahawira memberitahu Makkhali Gosala tentang ciri-ciri seorang Sramana:

"Dia yang mengajarkan mahawratam bagi pertapa yogi dan lima wiralawratam dengan tiga daripadanya itu untuk srawaka, lima Asrawa dan pemberhentian Asrawa, dan kawalan, yang mengelakkan karman dalam kehidupan penuh karunia Sramana semua, dia itulah ku panggil sebagai Sramana".

Jumaat, 5 April 2013

Gua Ellora: Koil Jina


Lima gua yang menjadi kompleks keagamaan penganut ajaran Jina merupakan binaan pada abad ke-9 sampai ke-10 M. Semuanya dibina untuk aliran Digambara. Gua-gua agama Jina ini mendedahkan segi khusus bagi falsafah ajaran Jina dan tradisinya. Semuanya memaparkan suasana weragiya yang bersangatan. Kecil-kecil sahaja ruangan semua tak seperti yang lain. Tapi masih mengekalkan kesenian tersendiri. Antara pawitrastana yang menarik binaannya adalah Chota Kailasa iaitu gua ke-30 dan gua Indera Sabha iaitu gua ke-32. Selain itu, gua ke-32 atau Jaganata Sabha pun menarik juga. Gua ke-31 tidak sempurna chatustambhanya dan mempunyai satu pawitrastana. Gua ke-34, kecil sahaja boleh didekati melalui bukaan kiri gua ke-33.  


Gua Indera Sabha

Gua ini merupakan gua dua belahan dengan satu pawitrastana eka batu dalam lamannya. Ia mempunyai pahatan teratai yang sangat cantik di langitan gua. Dikenali sebagai Indera Sabha mungkin karena dihiasi oleh arca Yaksha Matanga di atas seekor gajah, yang disalah anggap sebagai betara Indera. Di tingkat atas gua pula ada pawitrastana yang dijumpai dari carigali purba di sebelah laman, dengan murti sang Ambiga, seekor Yakshini dari Neminatha. Murti sang Ambiga ditemui didudukkan di atas singanya di bawah pohonan mempelam, sarat dengan buahan.


Lain-Lain Gua Jina

Semua gua kompleks agama Jina ini mempunyai ciri rekaan yang rumit. Kebanyakan binaannya itu mempunyai pahatan ukiran dinding di langitannya, percanya pun masih kelihatan sehingga kini. Keseniannya memang boleh dibanggakan semua orang Hindu tak mengiralah sama ada pengikut Jina atau pun Buddha atau lain-lain. Haruslah kita bangga dengan kesenian kita! 

Jumaat, 26 Ogos 2011

Ajaran Jain


Asal-Usul dan Sejarahnya

Ajaran Jain merupakan antara ajaran yang lama berasal dari timur benua kecil India. Penyebarannya sekitar abad ke-6 SM disebabkan oleh ramai orang yang pada mulanya menentang susunan atur masyarakat dan upacara yang dijalankan dalam ajaran Brahmana.

Pekataan Jain berasal dari kata Jina bermaksud yang berjaya menakluki diri dalamannya sendiri dan dunia luaran. Para Jina dihormati dan disembah melebihi sembahan kepada para dewa. Ada seramai 24 Tirthankara atau orang alim menurut ajaran Jain. Yang terakhir sekali dalam Thirthankara tersebut adalah Mahawira (599-527 M) yang merupakan pengasas Jain hari ini.

Sastera suci pengikut ajaran Jain merupakan hasil kumpulan tulisan Mahawira dalam bahasa Sanskrit. Selepas kematian Mahawira, terjadi lah perpecahan antara masyarakat Jain kepada dua aliran yang terbesar. Aliran-aliran tersebut adalah aliran Swetambara dan Digambara. Perpecahan ini terjadi kerana masalah ketidaksefahaman dalam hal tatacara kebiaraan.

Kaum Swetambara percaya bahawa sami dan sami wanita haruslah memakai pakaian warna putih manakala kaum Digambara percaya bahawa Mahawira sebagai seorang sami mengembara dengan tiada berpakaian langsung dan wanita tidak boleh menjadi sami kerana seorang itu tidak boleh mencapai kebebasan rohaniah dalam jasad wanita. Makanya aliran Digambara ditendang keluar oleh aliran Swetambara dari perhimpunan Jain Ortodoks.

Kira-kira 4 juta lebih penganut ajaran Jain tinggal di negara India masa kini manakala yang selebihnya merupakan penduduk di negara seperti Britain, Amerika Serikat, dan Europa. Ramai juga orang Jain yang disalah laporkan sebagai penganut ajaran orang Hindu berasaskan tradisi Brahmana kerana kepercayaan asas mereka sama.

Masyarakat Jain tetap menjadi masyarakat terpencil dari masyarakat lain. Walau bagaimanapun, mereka ini merupakan golongan yang berpengaruh dalam bidang kewangan dan perdagangan selain ramai yang kaya-kaya.

Kepercayaan

Jain merupakan kepercayaan yang percaya kepada penaklukan segala godaan dan musuh dalaman seperti kemarahan, ketamakan, dan kebongkakan dengan meninggalkan keinginan duniawi serta hidup harmoni dengan alam. Mereka lebih teliti dalam menjaga keselamatan alam jika dibandingkan dengan penganut ajaran-ajaran dari guru-guru Brahmana atau orang Hindu biasa.

Mereka ini menekankan kepada ketidakganasan atau ahimsa. Ahimsa juga menyerap masuk dalam ajaran Buddha dan ajaran-ajaran lain yang berasal dari benua kecil India purba. Oleh itu, perkataan ahimsa juga ada ditemui pada lambang Jain yang berbentuk telapak tangan terbuka yang bermaksud berhenti. Walaupun ahimsa merupakan amalan dalam kebanyakan ajaran yang berasal dari benua kecil India, namun ajaran Jain lebih luas lagi konsep tidak ganasnya. Ia melibatkan segala jiwa di bumi termasuklah tanah, kuman-kuman, dan tumbuhan. Pemakanan mereka sangat dijaga agar tidak mencederakan jiwa yang lain. Mereka hanya memakan makanan seperti buah-buahan, kekacang dan susu. Mereka tidak menebang pokok, tetapi hanya mengambil apa yang gugur dari tumbuhan. Sesetengah orang Jain memakai penutup mulut dan hidung bagi menghalang benda-benda halus disedut oleh nyawa mereka dan membunuh benda-benda halus tersebut. Hal ini tidak bagus untuk karma.

Kepercayaan mereka terhadap karma sama dengan kepercayaan penganut ajaran Buddha dan penganut aliran agama orang Hindu yang lain cuma mereka lebih teliti. Karma merupakan perundangan perbuatan alam jagat yang mana perbuatan baik dan buruk itu memberikan kesan terhadap pelakunya. Dalam hal ini, karma boleh juga mempengaruhi penjelmaan roh dalam jasad pada masa akan datang. Karma yang baik akan menjelmakan roh dalam jasad yang baik serta menjaga roh tersebut manakala karma yang tidak baik pula sebaliknya.

Hidup dan Selepas Mati

Pemikiran Jain berpandangan bahawa jiwa atau roh itu terikat dengan jasad. Roh mempunyai ukuran yang boleh dibentur jadi roh yang sama dalam jasad seekor kucing misalnya boleh juga dimasukkan dalam jasad manusia.

Sastera suci Jain menyatakan bahawa ada lebih kurang 8.4 juta jenis jiwa atau roh. Jiwa sebenarnya tidaklah diciptakan sebaliknya abadi dan mempunyai kuasa tidak terhad, serta pengetahuan. Oleh itu, jiwa mempunyai potensi yang sama dengan ketuhanan.

Ada lima tahap dalam perkembangan manusia:

Sadhu dan Sadhuwi

Peringkat menjadi sami, kedua-dua lelaki dan wanita menjadi sami menurut aliran Swetambara.

Upadhyaya

Guru-guru sastera suci dan falsafah.

Acharya

Ketua kepada masyarakat kebiaraan.

Arihanta

Jiwa yang terbebas dan menerima keselamatan. Orang biasa dan Thirthankar menerima ketuhanan. Mereka yang menjadi Arihanta boleh membantu orang lain. Sehingga kematian mereka, mereka akan menjadi Siddha.

Siddha

Siddha bermaksud roh atau jiwa yang bebas tinggal di surga tertinggi sekali. Mereka sudah tiada rupa lagi serta tiada kaitan dengan bumi.

Tujuan kehidupan pengikut ajaran Jain sama seperti orang Hindu biasa. Mereka ingin mencapai Moksha. Moksha bermaksud menerima keselamatan dan bebas dari dijelmakan semula dalam kesengsaraan di semua triloka. Mereka harus menghapuskan karma yang menghalang jiwa mereka bebas. Untuk mencapai keadaan ini, seseorang itu haruslah hidup dengan tidak mencederakan jiwa dalam jasad lain serta berada dalam keadaan manusia. Jika seseorang itu tidak menerima moksha, selepas kematian jasad, rohnya akan dijelmakan semula atau terseksa dalam neraka. Neraka itu ada lapan tahap semuanya, setiap tahap akan menjadi semakin sejuk. Penyeksaan dalam neraka tidak kekal. Selepas diseksa roh seseorang itu dalam neraka, ia akan dijelmakan semula dalam bentuk lain di dunia. Ada banyak jenis surga juga untuk karma baik, ia juga tidak kekal.

Pahaman Ketuhanan dan Pandangan Semesta Jain

Orang Jain berpahaman banyak dewata atau tuhan. Mereka juga berpahaman segalanya adalah tuhan. Kepercayaan begini mempercayai bahawa segala makhluk hidup berpotensi menjadi tuhan. Mereka percaya dengan penjelmaan semula dan mencari moksha. Apabila roh itu terbebas maka ia layak dilabelkan sebagai tuhan. Orang Jain menolak sebarang sebutan mengenai Pencipta. Mereka tidak percaya kepada benda luar yang boleh membantu jiwa atau roh dalam jasad duniawi. Pemahaman begini juga menyebabkan setengah orang menganggap orang Jain sebagai ateis.

Pandangan semesta Jain berpandangan bahawa jagat raya dan segala yang ada ini abadi. Tiada apa pun yang wujud kini diciptakan atau dihapuskan. Jagat raya mengandungi tiga bahagian iaitu bahagian surga, bahagian bumi dan bahagian neraka.

Kebiaraan

Mahawira ada membangunkan tradisi kebiaraan. Menurut setengah orang, seramai 14000 sami dan 36000 sami wanita pernah menjadi sebahagian daripada masyarakat kebiaraan Jain pada saat kematian Mahawira. Sami-sami semuanya terikat dengan kehidupan petapa dan memegang "Lima Janji Agung" iaitu:

1. Ahimsa - tiada keganasan
2. Satiya - kebenaran
3. Asteya - tiada mencuri dan merampas hak orang dengan paksa
4. Brahmachanga - bujang
5. Aparigraha - tiada pemilikan

Sami-sami Jain lelaki atau wanita keduanya mesti mematuhi amalan seperti tidak makan depan orang awam, tidak memakai kasut, tidak tinggal di sesuatu tempat lama-lama, mesti botak kepala dan sami wanita mesti memakai pakaian warna putih.

Pemujaan

Pemujaan biasa dijalankan untuk meminta dewata membantu perjalanan pembebasan jiwa. Pemujaan ini berjalan di tempat awam seperti di koil batu atau di rumah yang ada pura nak serupa koil. Pemujaan melibatkan pembacaan montra dan puja sambil melihat ke rupa-rupa dewata.

Koil-koil Jain mempunyai pelbagai bentuk. Yang paling ringkas bentuknya sampai ke yang terbesar dengan hiasan-hiasan yang dicorakkan menurut cara mereka.

Koil kaum Digambara biasanya hanya ada berhala Thirthankara biasa sahaja manakala koil Swetambara mempunyai berhala dicat dan dihiasi dengan berlian, emas, bungaan, dan sebagainya sebagai satu cara mengabdi diri kepada dewa dan guru.

Hakikat Menarik

- Ajaran Jain dan ajaran Buddha diasaskan pada masa yang hampir sama.

- Mahawira juga meninggalkan hak warisan takhta keluarga diraja menjadi pertapa.

- Pekerjaan seperti berladang dihindari oleh pengikut Jain kerana bimbang membunuh serangga apabila membajak tanah.

- Masyarakat Jain di Europa, misalnya Belgium kebanyakannya terlibat dalam perniagaan berlian mahal.

- Tapa atau Samayika merupakan amalan harian bagi orang Jain waktu pagi. Kebanyakan orang Jain membaca Panka Namaskarais atau Sembahyang Lima bagi menghalau kejahatan, menyembuh penyakit dan nasib yang baik.