Memaparkan catatan dengan label jinagama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jinagama. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Oktober 2013

Mahawira Jina: Ajaran dan Jelmaan

Jaya Jinendra!


Selepas mencapai Kewala Jnana, selama 30 tahun pula baginda Mahawira mengembara serata-rata benua India mengajar pandangan falsafah baginda. Falsafah baginda itu terbahagi kepada delapan prinsip dengan tiga daripadanya itu berkaitan dengan benda ghaib dan lima pula berkaitan susila. Matlamatnya itu, meningkatkan tahap kehidupan seseorang manusia.

Prinsip Asas Susila Jina

1. Ahimsa atau jangan ganas jangan keras. Mahawira mengajarkan bahawa setiap makhluk hidup itu mempunyai maruah dan kesucian jiwa sendiri maka haruslah ia dihormati seperti mana kita pun menjangkakan kehormatan terhadap kesucian jiwa dan maruah kita dihormati yang lain. Ringkasnya itu, bersopan santun seboleh-bolehnya, dan bertindak baik termasuk terhadap perasaan makhluk lain.

2. Satya iaitu kebenaran yang membawa kepada prinsip kejiranan baik dalam masyarakat. Seseorang itu mestilah bercakap kebenaran dan menghormati hak milikan sesama sendiri dalam masyarakat. Seseorang mesti benar dalam pemikiran sendiri, kata-kata dan perbuatan bagi menghasilkan suasana keyakinan bersama dalam masyarakat.

3. Asteya iaitu jangan mencuri merampok iaitu keadaan yang mana seseorang itu takkan mengambil benda yang tak diberikan kepadanya dengan cara yang benar. 

4. Bramhacarya iaitu kesucian diri yang menekankan keteguhan tetapi juga menahan diri daripada tanha keinginan sentuhan atau kesenangan yang membawa kepada hubungan jenis. Yang ini terpakai dalam golongan yang menjadi Jina penakluk jiwa.

5. Apagriham iaitu tidak memiliki harta, tiada terikat dengan kebendaan yang memerlukan juga seseorang itu mengelakkan dirinya daripada terikat dengan manusia lain, tempat dan barangan kebendaan.

Baginda mengajarkan bahawa pencarian kepada kesenangan dan keseronokan itu permainan yang tak pernah akan berkahir. Jadi, mestilah manusia melatih pemikiran bagi mengatasi keinginan persendirian dan rasa syahwat. Dengan cara begitu, seseorang akan mencapai ketenangan minda, tumpuan minda dan keseimbangan rohani. 

Seseorang itu patutlah membataskan pemilikan harta sebagai satu ahli masyarakat yang berkebajikan dan menghasilkan keadilan sosial menerusi pengagihan adil komoditi prasarana. Yang kuat dan kaya janganlah cuba menekan yang lemah dan miskin menerusi pengumpulan harta tak terbatas sampai menjadikan rupakara pengagihan kemewahan dalam masyarakat itu kacau-bilau dan menyebabkan kemiskinan yang lain. 

Cubaan bagi menguatkuasakan lima prinsip ini menerusi kekuasaan dalaman negeri, peruntukan perundangan atau luaran pula akan membawa kepada kemunafikan atau kecenderungan melakukan jenayah dalam diam. Maka orang perseorangan atau ahli masyarakat itu sendiri mesti mengamalkan menahan hawa nafsu bagi mencapai ketenangan sosial, keselamatan dan masyarakat yang dicerahi minda mereka. Baginda mencapai nirwana pada usia 72 tahun sekitar 527 SM. Digambarkan baginda sebagai duduk atau berdiri bersemadi dengan lambang singa di bawah duduknya atau berdirinya baginda.      

Penjelmaan Semula

Kelahiran sebelum baginda ada dibincangkan dalam sastera Jinagama seperti dalam Ceritera Trisastisalakapurusa dan Jinasena oleh Mahapurana. Sementara jiwa itu melalui pelbagai jelamaan dalam putaran tengahan antara sengsara hidup dan mati, kelahiran sebagai Thirtankara diperkirakan dari masa dia itu diperkatakan mambawa penyebab karma dan mengembangkan Ratna Trayah. Sastera agama membincangkan 26 kelahiran jiwa Mahawira sebelum kelahiran baginda menjadi seorang Thirtankara.

Ada pelbagai sastera agama lagi mengenai kehidupan baginda. Yang utama adalah Kalpa Sutra oleh Mpu Bhadrabahu. Yang pertama dalam bahasa Sanskerta pula adalah biografi hidup baginda bertajuk Cetera Wadhamana oleh Mpu Asaga pada 853 M.

Mahawira dikaitkan dengan Thirtankara pertama oleh lagenda Jina, iaitu Risabha. Baginda lahir mulanya sebagai seorang cucu kepada Risabha dikenali sebagai Marici. Marici ini tak mengikut agama benar pada mulanya. Semasa samaya baginda, ramai orang yang mengaku-ngaku menjadi Thirtankara ke-24. Antaranya, Puran Kachapa, Makhali Goshala, Ajit Kesakambli, Pakuda Kachchhayan dan Sanjaya Wellaputra. Namun semua mereka langsung tiada tempat istimewa dalam Jinagama kecuali Mahawira jua.

Mahawira Jina: Pencapaian Jiwa

Jaya Jinendra!


Ketika berusia 30 tahun, baginda meninggalkan segala keselesaan hidup diraja lalu keluar dari kedatuan meninggalkan keluarga hidup mencari jati diri baginda. Baginda mengamalkan amalan yang sangat ketat lalu meninggalkan semua pakaian. Terdapat pelbagai penerangan mengenai kesukaran dan bagaimana baginda dimalukan walaupun baginda seorang putera raja dalam Acaranga Sutra.

Di Timur Bengal, baginda menghadapi ujian yang maha berat. Baginda dilontar dengan batu oleh kanak-kanak kecil, dan orang ramai selalu sahaja memalukan baginda.

Kalpa Sutra memberi keterangan lanjut mengenai hidup kerohanian baginda:
Yang Mulia Jina Mahawira selama setahun sebulan memakai pakaian; selepas itu baginda menanggalkan pakaian lalu berjalan telanjang bulat, dan menerima dana yang disampaikan ke tangan baginda. Lebih 12 tahunnya Yang Mulia tidak menghiraukan tubuh baginda dan meninggalkan penjagaan tubuh; baginda dengan ketenangan, melalui dan menerima kedukaan kesukaan menyenangkan yang timbul dari diwiya sakti manusia atau binatang. - Kalpa Sutra 117
Kerananya baginda tiada berumah, teliti walaupun berjalan merayau, teliti dalam pengucapan, teliti dalam mendapatkan dana, teliti dalam menerima suatu apa pun, dalam pembawaan pakaian dan bekas minuman, teliti dan jaga dalam membuang air besar, air kecil, air ludah, hingus dan segala kotoran tubuh; teliti pada pemikiran baginda, teliti bagi kata-kata, teliti dalam tindakan; menjaga pemikiran; menjaga tindakan, menjaga deria baginda, menjaga maruah diri, menjaga kemarahan, tanpa bangga, tanpa muslihat, tanpa tamak; tenang, damai, penuh bijaksana, bebas, bebas daripada godaan, tanpa mementingkan diri, tanpa harta; baginda memutuskan segala ikatan keduniaan, dan tidak dikotori dengan sebarang keduniaan: bagai air tidak melekat pada bekas tembaga, atau celak pada mutiara (makanya baginda itu tiada dosa dalam diri); tujuan baginda itu tidak dihalang oleh Hidup; seperti langit baginda tidak mahu sebarang dokongan; seperti angin baginda tidak tahu halangan; hati baginda murni bagaikan air (sungai atau kolam) dalam musim luruh; tiada yang dapat menyeluti baginda bagaikan daun teratai; deria baginda terjaga baik seperti kura-kura dalam cengkerang; baginda berseorangan bagai tanduk badak sumbu; bebas bagaikan burung; baginda selalu berjalan bagaikan burung yang ayu Bharundal, berani bagaikan gajah, kuat bagaikan lembu, sukar diserang bagai singa, tegap dan kukuh bagai Gunung Mandara, dalam bagaikan lautan, lembut bagaikan sinaran bulan, terang bagaikan sinar mentari, murni bagai emas padu; bagai bumi baginda menahan segala-galanya; bagaikan api terjaga baik baginda bersinar dengan agungnya. - Kalpa Sutra 118  
Selepas 12 tahun setengah, kebaktian yang menyakitkan dilalui baginda itu maka baginda mencapai Kewala Jñana. Acaranga Sutra menggambarkan baginda sebagai mampu nampak segala perkara. Sutra Kritanga menambah lagi konsep segala tahu dan memberi perincian ciri-ciri lain baginda Mahawira.

Jumaat, 11 Oktober 2013

Jina Mahawira: Hidup Awal

Jaya Jinendra!


Sebelum aku terlupa, tradisi Jinagama ini seringlah dilupakan orang. Selalu yang kedengaran di telinga kita ini mengenai agama Saiwa, agama Waisnawa, ajaran Buddha dan lain-lain aliran yang macam-macam cabangnya. Tapi, mengenai Jinagama sangat sedikit kedengarannya sedangkan mereka ini diperkirakan sebagai Hindu jua. Gambar disertakan itu adalah sebuah balai pemujaan tempat bertabik pada rupa Thirthankara Jina. Pedanda aliran Digambara biasanya tak pakai seluar. Pandangan mereka bahawa pakaian mereka adalah pakaian kahiyangan dan mereka sebolehnya mahu mengelakkan mencederakan sebarang jiwa pun.

Tokoh kita pada pagi ini, baginda Wardhamana Mahawira (599 SM - 527 SM). Baginda ini Thirthankara Jinagama yang ke-24 dan yang penutup bagi pengikut baginda. Baginda dilahirkan dalam keluarga diraja di negeri Behar dalam India moden. Jadi, tuan nampaklah mengapa aku menggunakan rujukan bahasa Melayu bagi ganti dirinya itu sebagai baginda kerana baginda memang kerabat diraja. Sama seperti Siddhartha Gautama yang terkenal serata loka. Bukan asal orang biasa-biasa. 

Tatkala kelahiran baginda, seluruh kota itu ditandai dengan kemakmuran pertanian, kesihatan, kemewahan harta dan kebijaksanaan. Makanya baginda dinamai Wardhamana yang terbit dari kata bahasa Prakerta Wriddhi oleh ayahanda dan bonda. Pada usia 30 tahun, baginda keluar dari kubu istana lantas mencari Diksha, kesedaran jiwa. Untuk 12 tahun dan setengah selepas peristiwa itu, baginda menjalani tapa semadhi bersangatan dan sadhana lampau. Kesannya, baginda mencapai Kewala Jnana atau pencerahan. Lanjutnya, baginda mengembara serata rantau India purwa selama 30 tahun pula mengajarkan pandangan kebijaksanan baginda berdasarkan ahimsa, satya, asteya, bramhacarya dan aparigraham. Baginda mencapai nirwana selepas kemangkatan baginda (mati tubuh) pada usia 72 tahun. Bagindalah penyebar ajaran Jina yang terkenal sekali dan dianggap sebagai pembaharu agama berbanding sebagai pengasas agama baru.

Kehidupan Awal

Tempat kelahiran sebenar baginda tak diketahui. Sejarawan mengenalpasti tiga tempat dalam negeri Behar sebagai tempat yang mungkin beliau dilahirkan iaitu di Basokund bhumipada Waisali, Lachhuar di Jamui dan Kundalpur di Nalanda. Umumnya, Kundalagramam di kota purwa di Waisali itulah dianggap tempat kelahiran baginda; tapi kedudukannya masih tak ditemui kerana terlampau lama sangat.

Menurut penganut Jina, baginda dilahirkan pada 599 SM. Setengah sejarawan mengenalpasti baginda ini sebagai pemuda sezaman dengan Siddhartha Gautama cuma lebih muda, menjadikan tanggal kelahiran baginda ini menjadi kabur. Namun ramai setuju tahun kelahiran baginda itu adalah 599 SM dan diletakkan tanggal kelahiran baginda dalam hari ke-13 wulan naik, Caitra dalam penanggalan Wira Nirwana Samwat. Penanggalan orang puteh sekitar bulan Mac atau April.

Ayahanda baginda, Sri Raja Siddhartha dari kota Kundagramam dan ibunda baginda, Dewi Trisala, adinda Raja Cetaka dari kota Waisali. Nama baginda, Phra Kumara Wardhamana. Ayahanda dan ibunda baginda merupakan pengikut setia kepada Sang Natha Parswa dari wangsa Ikswaku di negeri Waranasi. Sang Natha Parswa itu merupakan Thirthankara ke-23 menurut tradisi Jina. Pada samaya sebelum Mahawira belum menyebarkan ajaran pandangan beliau, Jinagama belumlah dipanggil sebagai agama Jina. Ia cuma sebuah aliran Sarmana yang dipelopori orang Hindu belaka.

Menurut parampara Swetambara, telur (ovari) yang akan menjadi Mahawira itu dipindahkan dari tubuh wanita wangsa Brahmana bernama Dewananda ke tubuh wanita Kesatria, iaitu ibu baginda, Dewi Trisala. Yang ini dijelaskan dalam Acaranga dan Kalpa Sutra. Dalam Wiyakhiya Prajnapati, baginda Mahawira mengetahui, Dewananda itu adalah ibunda baginda yang kandung.

Sebagai kumara raja, baginda Mahawira mendapat segala kesenangan hidup dan hanya memerintah sahaja. Pagelaran Mahawira itu ertinya Pahlawan Teragung. Ketika kecilnya baginda pernah mengawal seekor ular yang menakutkan dan atas sebab itu baginda digelar Mahawira. Nama lain baginda, adalah Wira, Sanmati dan Ñataputra. Sastera purwa merujuk baginda sebagai Ñataputra atau anakanda para Ñata. Ñata merujuk kepada asal-usul puak baginda, iaitu puak Ñatta.

Parampara Jina tak begitu jelas mengenai kedudukan perkahwinan baginda. Menurut satu parampara, dinyatakan baginda ini bramhacari tiada kawin manakala yang lain menyebut baginda pernah kahwin dengan seorang gadis, Yasoda namanya dan mempunyai puteri seorang bernama, Priyadarsana. Disebut menerusi Jinagama sendiri, baginda mencapai moksa pada 527 SM. Yang lain pun dicadangkan sejarawan Barat, iaitu sekitar 425 SM.

Ahad, 9 Jun 2013

Pengaruh Pemikiran Sramana


Hindu Dharma hari ini bolehlah dianggap sebagai satu gabungan antara tradisi weda-weda yang diwangsitkan para dewata kepada para Maharesi serta tradisi kaum Sramana yang kedua-duanya saling mempengaruhi perjalanan falsafah dharma.

Dalam aliran Astika Hindu Dharma itu ada Wedanta, Sangkhiya dan Yoga. Aliran-aliran awal Hindu Dharma kita ini turut mempengaruhi dan juga dipengaruhi oleh falsafah kaum Sramana dengan asal-usul tercetusnya di Lembangan Indus dalam samaya 3000-2000 SM.

Yoga menurut kepada falsafah Sangkhiya dalam membebaskan diri seseorang itu daripada cengkaman prakerti (alam semulajadi) melalui usaha persendirian. Proses panjang yang digariskan dalam yoga bagi mencapai kebebasan perseorangan itu dijalankan menerusi pranayama atau pun cara bernyawa, asana atau kedudukan dan dhiyana iaitu tapa semadi mencari gnana. Salah satu sumber bagi pelajaran falsafah yang ini, tuan dan puan boleh carinya dalam Yoga Sutra Patanjali. Aliran yoga yang lain serta tradisi tantra (animisme) juga penting dalam terbitan dan juga cawangan amalan kaum Sramana. Yang aku ketahui, di Nusantara dan Tanah Besar Asia Tenggara ini; tradisi tantra sangatlah berpengaruh tidak mengira sama ada kita ini adalah pengamal ajaran Brahmana atau ajaran baginda Buddha.  

Pergerakan Sramana ini menjadi lebih pesat ketika samaya Mahawira dan Siddharta Gautama apabila adat istiadat weda menjadi tradisi utama di beberapa bahagian di tanah Hindu. Kaum Sramana memakai jalan lain bagi menggantikan upacara weda dalam tujuan mencapai kebebasan jiwa sambil meninggalkan kehidupan berumah tangga. Biasanya, mereka itu akan melibatkan diri dalam kegiatan seperti amalan disiplin ketat, pertapaan dan juga pandangan teori yang berkaitan. Bagi penguatkuasaan kerohanian, Sramana merupakan sudut pandangan lain bagi Brahmana tradisional. Ada juga kaum Brahmana yang menyertai kelompok Sramana seperti Canakya dan juga Sariputra. Sariputra merupakan anak siksya kepada baginda Siddharta Gautama yang dicerahi sedangkan beliau berjati Brahmana manakala baginda Siddhartha Gautama berjati Kesatria. Dalam Jinagama pun begitu lah juga. Ada kaum Brahmana yang menerima Mahawira dan menjadi Gandhara atau kepala anak siksa baginda sedangkan baginda Mahawira itu seorang Kesatria.

Berkenaan dengan ajaran Buddha pula, Randall Collins berpendapat bahawa ajaran Buddha itu merupakan pergerakan pembaharuan yang berlaku dalam kalangan golongan terpelajar Hindu. Dalam gerakan itu ada juga kaum Brahmana, lebih ramai daripada pergerakan yang lain, dengan bilangan bhikkhunya dalam kalangan puak Brahmana ramai sekali. Kebanyakan bhikkhu Buddha pun dilatih dalam kalangan puak Brahmana dan puak Kesatria.

Mahawira yang merupakan Jina ke-24 dan juga baginda Siddhartha Gautama merupakan pemimpin kepada susunan puak Sramana. Menurut kepada sastera Jinagama dan sastera Bali Buddha, ada lagi beberapa kepala puak Sramana lain pada masa itu. Dalam Mahaparinirwana Sutram (DN 16) disebut tentang Sramana bernama Subhadra:

"... dalam kalangan orang alim itu, Sramana dan Brahmana yang mempunyai tata kemasyarakatan dan juga pengikut, yang menjadi guru, terkenal sebagai pemula aliran, dan terkenal sekali sebagai orang suci, seperti Purana Kassapa, Makkhali Gosala, Ajita Kesakambali, Pakudha Kaccayana, Sanjaya Belatthaputta dan juga Nigantha Nataputta..."    

Nigantha Nataputta di sini merujuk kepada Mahawira atau nama Sanskertanya, Nirgrantha Gnataputra. Yang lain-lain itu merujuk kepada guru-guru yang dikenalpasti melalui sastera Bali dan Jinagama seperti Purana Kassapa, Makkhali Ghosala dan Sanjaya Belatthaputta. Ajita Kesakambali dan Pakudha Kaccayana hanya disebut dalam sastera Bali.

Baginda Siddhartha Gautama menganggap perbuatan amalan melampau serta menyeksa diri sebagai tak ada manfaat pun atau tak perlu bagi mencapai pencerahan. Baginda cuma mencadangkan orang ramai memilih jalan tengah antara hiburan lokamaya melampau dengan dengan seksaan diri melampau. Sebenarnya aku bersetuju dengan baginda Siddhartha Gautama yang dicerahi tetapi aku tak pula berpandangan seperti orang lain yang setengahnya itu sampai mencerca amalan atau kepercayaan orang lain kerana pada pandangan aku perkara sebegitu cuma dilakukan oleh orang-orang yang tidak tahu erti kesabaran atau kebijaksanaan.

Dewadatta yang merupakan sepupu kepada Siddhartha Gautama menyebabkan Sanghom Buddha terpecah dengan menyuruh amalan melampau dijalankan oleh penganut ajaran Buddha. Penganut Jinagama yang mengikuti baginda Mahawira pula masih meneruskan amalan puasa dan juga amalan-amalan lain menurut guru-guru Jina lain. 

Buah pikiran Sramana mengenai melilau berkeliaran ini mula berubah dalam ajaran Buddha yang awal. Pada awal ajaran Buddha, para bhikkhu atau ajar-ajar yogi semua bertapa semadi dalam hutan-hutan. Dalam bahasa kami di Siam, mereka ini digelar sebagai Chao Phanawa. Samaya seterusnya, bhikkhu Buddha mula tinggal di biara atau wiharam. Pada mulanya, dalam musim hujan sahaja para ajar-ajar Buddha berdiam dalam biara dan kemudian keluar mengembara semula. Tetapi kini mereka bertempat tinggal terus dalam biara. Kini di Siam masih wujud lagi ajar-ajar yang bertapa dalam hutan dan tidak berdiam langsung dalam biara. Di tempat lain aku kurang pasti. Aku pun biasa dengan tradisi ajar-ajar dalam hutan ini tetapi bila masuk ke masyarakat ramai aku terpaksa melaraskan diri supaya tidak menakutkan orang lain.

Dalam Jinagama samaya pertengahan pun, tradisi mengembara melewar sudah hilang tetapi pada abad ke-19 M dihidupkan semula amalan ini. Keadaan ini pun berlaku dalam Dharma Buddha. Yang lain yang aku tahu, tradisi Hindu Saiwa pun ada juga pertapa yogi. 

Sabtu, 8 Jun 2013

Sramana dalam Jinagama


Para Biarawan Jinagama biasanya dipanggil juga sebagai Sramana, manakala pengamal umum dipanggil sebagai Srawaka. Agama bagi kaum biarawan dipanggil sebagai Sramana Dharma. Agama-agama berkuatkuasa dipanggil sebagai Acaranga Sutram dan sastera terkemudiannya ada merujuk kepada Sramana. Satu ayat ada memberi paribahasa kepada Sramana yang baik...

"Tanpa menghiraukan segala bencana kesusahan, dia itu hidup bersama biarawan yang cerdik, tak pernah peduli dengan kesakitan mahupun kesenangan, tidak mencederakan barang yang bergerak mahupun yang kaku, tidak membunuh, menanggung semua; makanya ini semua gambaran kepada muniwara agung, resi mulia, sramana yang terbaik!"

Bab berkenaan dengan membebaskan diri daripada loka itu mengandungi sumpah Sramana tidak memiliki barangan lokamaya atau dipunyai sesiapa pun:

"Aku akan menjadi Sramana yang tiada berumah, tiada berharta, tiada anak, tiada lembu sapi, yang memakan dari pemberian dana yang lain; Aku tidak akan melakukan tindakan berdosa; Tuanku, aku tinggalkan dari menerima sebarang benda yang tak diberikan kepada aku. Bersumpah sebegini rupa, maka pengemis tak patutlah masuk ke kampung-kampung mahu pun pekan-pekan bebas, mengambil barangan, atau memujuk yang lain untuk mengambil barangan atau membenarkan yang lain mengambil barangan yang tidak diberikan kepada mereka!" 

Acaranga Sutram memberi tiga nama merujuk kepada Mahawira, iaitu Thirtankara ke-24 mereka. Salah satunya itu adalah Sramana...

"Tapaswi mulia Mahawira dari gotra Kasyapa. Tiga namanya dirakamkan dalam catitan tradisi. Oleh orang tuanya itu dipanggil Wardhamana kerana baginda itu tiada cinta mau pun benci. Dipanggil Sramana kerana menanggung ketakutan dan marabahaya yang dahsyat serta penderitaan loka ini; Nama Mahawira baginya pula dikarunia kepadanya oleh para dewata".

Dalam Sutra Kertanga pula dijelaskan bahawa Sramana ini adalah yogi pertapa yang mengambil sumpah Mahawratam terdiri daripada lima perkara... 

"Dia itu Sramana atas sebab dia tak pernah tertahan disebabkan halangan, bebas dari kehendak, tidak peduli dengan harta benda, tak membunuh, tak menipu, tak berhubungan jenis; bebas dari murka, bebas dari kebongkakan, bebas ketamakan, bebas cinta, bebas benci: maka dilepaskan segala nafsu keinginan yang menjatuhkan seseorang dalam papa dosa misalnya membunuh jiwa lain. Maka dia itu Sramana, yang menakluki derianya, layak bagi tujuan kerjanya dan meninggalkan tubuhnya".

Dalam perbincangan dengan guru-guru widharma lain, putera Ardraka yang menjadi anak siksya Mahawira memberitahu Makkhali Gosala tentang ciri-ciri seorang Sramana:

"Dia yang mengajarkan mahawratam bagi pertapa yogi dan lima wiralawratam dengan tiga daripadanya itu untuk srawaka, lima Asrawa dan pemberhentian Asrawa, dan kawalan, yang mengelakkan karman dalam kehidupan penuh karunia Sramana semua, dia itulah ku panggil sebagai Sramana".

Pergerakan Sramana


Hanya ada dua rujukan sahaja bagi kata Sramana ini dalam sastera weda. Satunya dalam Brighadaranyaka Upanishad iaitu ia dicatatkan selepas sabdawali tapasa yang membayangkan bahawa seorang Sramana itu seperti juga kelompok tapasa digolongkan dalam kelompok besar kaum pengemis. Sebenarnya, menolak keduniaan bukanlah sesuatu yang asing dalam kebudayaan pengamal ajaran weda kerana ada kaum Munni dan juga Yati dalam kalangan pengamal ajaran weda.

Selalunya, mereka yang menolak keduniaan ini akan bertapa semadi merenung kematian, hubungan antara kematian dan jelmaan yang disyaratkan dengan keterikatan terhadap hawa nafsu. Latarbelakang ini semua ada disebut untuk pertama kalinya dalam sastera weda seperti upanishad-upanishad. Selepas melalui samaya kepercayaan kepada Sang Hiyang Tertinggi dan juga penembusan Sang Hiyang dalam segala mata benda, pemerupaan weda-weda masuklah pula ke samaya bahawa jagat raya ini pada hakikatnya Satu jua dengan Sang Hiyang Widhi Wasa yang diterangkan menerusi upanishad segala. Dalam samaya upanishad inilah teori-teori yang dijelaskan menerusi buah pikiran kaum Sramana itu bertautan dengan buah pikiran kaum Brahmana.

Menurut Ananda Guruge yang merupakan seorang pemimpin kaum Buddha terkenal, pergerakan Sramana ini memberi kesan kepada pendidikan kewedaan melalui upanishad. Dengan segala mak nenek debatnya dan perbincangan mula muncul jika dibandingkan dengan sebelumnya orang cuma membaca mantra weda berulang-ulang seperti burung kakak tua tak ketahuan erti suruhan-Nya. 

Banyak upanishad mengumpulkan kedudukan-kedudukan yang gaya debatnya itu mengajukan persoalan kepada orang lain sehingga dia tidak mampu menjawabnya lagi. Hujah-hujah dalam upanishad tak melibatkan pencarian yang berkaitan dengan pertentangan logik dalam ajaran-ajaran yang bertentangan. Sifat kepelbagaian dalam upanishad ini menunjukkan peredaman unsur kemasyarakatan dan juga unsur falsafah yang menunjukkan perkembangan ajaran-ajaran baru yang tercetus dari sumber-sumber bukan Brahmana. Sementara ajaran mengenai Brahman dan Atman boleh dikesan datang dari weda-weda dan brahmana-brahmana, namun ajaran mengenai punarjelma, karma dan juga moksa tak menurut pula keselarasan dari tradisi weda kerana kesemua perkara ini merupakan asas kepada agama-agama Sarmana. 

Setengah pergerakan Sramana yang diketahui wujud di benua Hindu purwa, sejak sebelum abad ke-6 SM lagi mempengaruhi kedua-dua tradisi Astika dan Nastika dalam falsafah darsana Hindu. Baginda Phra Buddha Chao meninggalkan istana keluarganya serta mengamalkan kelampauan amalan sebagai seorang Sarmana. Sutra Brahmajalam juga menyebut bahawa baginda Phra Buddha Chao pun tak bersetuju dengan ramai orang Sarmana. 

Setengah sarjana berpendapat bahawa Sarmana dari tradisi Jinagama banyak sekali tersebar di lembangan Indus dengan sarira yang ditemui di ketamadunan lembangan Indus banyak memaparkan kebudayaan tradisi Jina seperti rupa tokoh lelaki bertelanjang dikenali sebagai Jaina Kayotsargah, berhala dalam kedudukan Padmasana dan rupa-rupa kepala ular di samping lambang lembu Wersahabadewa. Sarjana lain-lain pula berpendapat bahawa kebudayaan Sarmana ini muncul dan berkembang di sekitar Sungai Gangga, berbanding dengan lembangan Indus. Tambahan lagi, setengah sarjana pula berpendapat bahawa kaum Sarmana ini muncul dalam teks agama Brahmana sebagai salah satu susuhunan keagamaan yang tercetus di luar tradisi weda, disebut sebagai Astika.

Tradisi Sarmana yang dianggap tertua sekali adalah tradisi Jinagama, yang muncul sebelum ajaran Buddha muncul (Bhaskara, 1972). Dicadangkan juga bahawa sudah ada sejak sebelum kemunculan kebudayaan Brahmana tersusun. Dari pacakan prasasti, ditemui bahawa kaum Brahmana dan juga kaum Sarmana Buddha menerima kehormatan yang serupa dan setara.   

Walaupun tradisi Sramana ini dikaitkan dengan kerohanian, setengah tradisi Sarmana lain pula lebih cenderung ke arah kebendaan dan mereka mengajarkan mengenai kewujudan lokamaya dan menjatuhkan serta mencerca kelompok Brahmana ortodoks dengan melampaunya. Tradisi Sarmana ini mempunyai banyak jenis kepercayaan seperti yang dipunyai kaum Carwaka yang pada penghujung pandangan kehidupan hidup secara bermewah-mewah, sehingga kepada kepercayaan kaum Jina, yang mengembangkan teori kekangan diri melampau. Setengah kaum Sarmana dengan terbukanya mencerca tradisi pengorbanan kaum Brahmana dan mengutuk konsep karma dengan dakwaan bahawa ia cuma satu bohongan...  
"Jangan engkau percayainya, bahawasanya bila engkau mati, maka engkau mati. Semua kata-kata tentang karman itu bohong belaka. Satu dari kaum Carwaka berkata, 'Kalau seorang itu pergi ke utara Sungai Gangga lalu membunuh, menyeksa, mencuri, menjarah dan membakar bangunan, maka dia tak berbuat karma buruk pun. Jika seorang lelaki itu pergi ke selatan Sungai Gangga, memberi dana kebajikan membantu yang lemah menyembuhkan yang sakit, tidak dia perbuat karma baik pun. Kamu itu hidup sebagai gabungan empat unsur, tapi apabila engkau mati maka segalanya pun berakhir. Makanya, pinjamlah wang dan hidup sukalah. Kerana bila engkau mati, karma tak pernah menghantui kau pun!"
Lokayata Carwaka menekankan pemahaman semulajadi yang murni, mendakwa bahawa loka ini hanya mengandungi unsur-unsur yang berlegar-legar. Pertelingkahan lain boleh juga ditemui dalam karya Dharmakirti yang merupakan ahli logik Buddha abad ke-7 M dari Nalanda Mahawidyalayam.

Wedapramanyam kasyacit karterwadah. Snane dharmeccha jatiwadawalepah. Santaparambhah papahanaya ceti. Dhuwastaprajnanam pancalirigani jadye.

Kekuasaan weda tak tersanggah; kepercayaan kepada pencipta loka; usaha menyucikan menerusi mandi merendam diri dalam air; pembahagian jati yang angkuh; amalan menyeksa diri bagi menyucikan dosa. Ini lima perkara merupakan tanda orang tak berakal lagi mangkuk ayun. 

Erm, aku agak tersinggung dengan kenyataan Dharmakirtti ini kerana aku percaya kepada Sang Pencipta, mengamalkan juga penyucian merendam mandi dalam air dan percaya dengan jatiniyam. Aku cuma tak mengamalkan penyeksaan diri melampau sahaja. Dharmakirti boleh dikatakan sebagai salah seorang daripada kelompok Sarmana juga.    

Dalam tradisi Sramana inilah konsep Karma dan Sengsara menjadi latarbelakang utama dalam perdebatan. Terdapat pendapat menyatakan bahawa perkara ini mungkin diperkenal ke umum oleh kaum Kesatria. Dalam Jinagama, karma ini berdasarkan kepada unsur darsana kebendaan, yang menyatakan bahawa karma itu merupakan buah kepada tindakan seseorang yang dipandang sebagai manik-manik kebendaan yang melekat pada jiwa dan menyebabkan jiwa terhalang daripada sarwa pengetahuan yang semulajadi. Baginda Phra Buddha Chao melihat karma sebagai satu rantaian penyebab yang membawa kepada keterikatan kepada loka benda dan menyebabkan penjelmaan semula. 

Ajiwika dari Makkhali Ghosa merupakan pergerakan ketiga yang berjaya ketika itu. Mereka merupakan kelompok yang percaya bahawa takdir tak boleh diubah lagi dan mengangkat karma menjadi takdir yang tak boleh dilepasi sesiapa pun, kehidupan seseorang itu melalui rantaian akibat dan menjelma sehingga ke penghujungnya nanti. Setengah ahli falsafah ketika itu seperti Pakkudha Kaccayana dan Purana Kachapa menafikan kewujudan karma. Ia dikatakan sebagai ciptaan turunan Sarmana dari kurun ke-5 dan ke-4 SM. Ajaran karma ini menjadi tumpuan utama, yang meletakan akibat yang meluas ke dalaam gaya kehidupan dan pemikiran masyarakat Hindu sampai hari ini. Pendapat aku, karma ini merupakan satu konsep yang digunakan bagi menerangkan mengenai perkara yang terjadi dalam lokamaya. Aku memahami perkara ini menerusi pemahaman seorang Buddha dan Brahmana.

Dalam samaya terekemudian, kelompok penganut Jinagama berhijrah ke Barat dan Selatan India. Mereka membangunkan masyarakat yang makmur di negara Chalukya dan Rastrakuta. Digambara Jina tak boleh mengajar ajaran yang melawan susunan kemsayarakatan disebabkan mengelakkan pemusnahan mereka oleh kelompok masyarakat. Untuk mengikut pustaka-pustaka perundangan Brahmana pun mereka tak boleh kerana hal ini melanggar ajaran agama mereka pula. Maka dalam abad ke-8 M, Jinasena menghasilkan pustaka perundangan Jina dalam rupa purana yang memuji Thirtankara Jina semua serta mengomkarakan bahawasa Warna itu bukan cetusan Brahmana sebaliknya diajarkan oleh Thirtankara Jina pertama daripada semua 24 Thirthankara iaitu Wersabha pada permulaan kalpa kini. Wersabha turut mengajarkan upacara kelahiran, perwiwahan, kematian dan juga mewujudkan kelompok Brahmana dalam Jinagama bagi memberi kehormatan kepada golongan Brahmana yang menganuti Jinagama.    

Tradisi Sramana


Sramana merupakan pergerakan agama Hindu purwa, yang selari dengan agama Weda tetapi bukan sebahagian daripada wangsit Weda. Tradisi ini mencetuskan agama seperti agama Jina, agama Buddha dan Yoga serta banyak membicarakan mengenai konsep seperti sengsara dan moksa. 

Cetusan Kata

Kata Sramana ini merujuk kepada tradisi pertapaan yang meninggalkan keduniaan dari pertengahan abad pertama sebelum masehi. Pengamal tradisi ini merupakan orang perseorangan yang mengamalkan pelbagai amalan secara bebas dan mengalami segala pengalaman rohaniah sendiri. Mereka seringkali bersaingan dengan kelompok pedanda Brahmana, yang kebanyakan masanya menentang kelompok Sramana dengan penekanan mereka terhadap penguasaan sastera weda dan juga upacara.

Kata Sramana ini mungkin berasal dari kata kerja akar srama, yang bererti "menumpukan usaha dan kerjaan atau melaksanakan amalan melampaui batasan". Jadi, Sramana bererti "orang yang berusaha" atau "bekerja" dalam bahasa Sanskerta. Sabdawali ini terpakai kepada sesiapa yang sepenuh hatinya mengamalkan amalan-amalan demi pencerahan dan digunakan juga bagi merujuk kepada sami-sami. Tradisi ini boleh juga diterangkan menerusi kata pariwrajaka yang bererti si melewar berkelana. Sejarah pertapa berkelana di benua Hindu purwa hampir tak dapat dikesan. Sabdawali pariwrajaka ini juga mungkin digunakan bagi merujuk semua pertapa yang berkelana dari benua Hindu.

Jurutatabahasa Sanskerta menggunakan sabdawali "Sramana" dan "Brahmana" bagi menggambarkan pertentangan sengit antara kedua-dua kelompok yang datang dari pelbagai contoh agama. Bahagian daripada tradisi Sramana ini berada di luar dari lipatan agama Hindu disebabkan oleh tidak menggunapakai weda-weda misalnya seperti kaum Jina, kaum Buddha, kaum Ajiwika dan lain-lain kelompok yang keluar dari lipatan ajaran Brahmana. Sebahagian lain daripada tradisi Sramana ada juga diserap ke dalam sastera Hindu dharma contohnya tradisi Sannyasi dan empat tahap jiwittam atau asrama.

Perkataan ini dikesan digunakan awalnya dalam Taittiriya Aranyaka (2-7-1) dengan erti "pengamal amalan melampau". Ulasan ajaran Buddha mengaitkan kata ini dengan samita papam atau meninggalkan dosa seperti ayat dalam Dhammapadam ayat 265 berbunyi, "Samitatta papanam 'samano' pawuccati". Ertinya, "Seseorang yang mengamankan dosa kejahatan itu digelarlah dia Samana". 

Aku tidak pasti sekiranya rencana mengenai ini sudah aku siarkan. Jika sudah diulang tayang aku memohon ampun pula kepada tuan-tuan sekelian kerana merasai jemu, hahaha... Aku cuba mempelbagai siaran masukan supaya rakan-rakan kehinduan mendapat manfaat lebih. Untuk masukan selanjutnya aku cuba juga mengumpulkan bahan-bahan mengenai bahasa Melayu Hindu-Buddha atau bahasa Melayu Purwa. Aku tak pandai bahasa Jawa atau bahasa Bali tetapi aku tahu bahasa Melayu Utara yang dituturkan di kawasan Selatan Thailand dan juga di Burma Bawah menurut langgam Hindu-Buddha tempatan.

Selasa, 27 November 2012

Navakar Mantram

Kuil agama Jina Laksameswara

Namo arihantanam, namo siddhanam, namo ayariyanam, namo uvajjhayanam, namo loye savva sahunam. Eso panch namoyaro. Savva pavapannaso. Mangalanam cha savvesim. Padhamam havai mangalam.

Tabik hormat kepada arahant, tabik hormat kepada para siddha, tabik hormat kepada para guru, tabik hormat kepada upadhyaya, tabik hormat kepada semua sadhu. Ini lima tabik hormat. Memusnahkan segala dosa. Dan antara perkara bertuah. Ia lah yang paling bertuah.

Penganut ajaran Jina akan membaca tabik ini beberapa kali dalam sehari. Mereka akan tunduk dan membuat tangan sembah anjali di semua empat arah iaitu timur, barat, selatan dan utara.

Semasa Navakar mantram dibacakan, kita akan tunduk hormat kepada arahant, siddha, acharya yang menjadi kepala kepada semua sadhu dan sadhavi, updhyaya yang mengajarkan kitab suci kepada sadhu dan sadhavi, para sadhu dan sadhavi. Lima jenis orang ini dikenali sebagai panch parmesthi atau lima orang yang bergelumang dalam kerohanian tertinggi. Dalam mantra ini, kita memuja kepada hikmat-hikmat mereka. Bukannya memuja kepada orang tertentu atau thirthankara. Mantra ini juga dikenali sebagai namoskar atau namokar mantram kerana ia melibatkan sembah.