Hindu Dharma hari ini bolehlah dianggap sebagai satu gabungan antara tradisi weda-weda yang diwangsitkan para dewata kepada para Maharesi serta tradisi kaum Sramana yang kedua-duanya saling mempengaruhi perjalanan falsafah dharma.
Dalam aliran Astika Hindu Dharma itu ada Wedanta, Sangkhiya dan Yoga. Aliran-aliran awal Hindu Dharma kita ini turut mempengaruhi dan juga dipengaruhi oleh falsafah kaum Sramana dengan asal-usul tercetusnya di Lembangan Indus dalam samaya 3000-2000 SM.
Yoga menurut kepada falsafah Sangkhiya dalam membebaskan diri seseorang itu daripada cengkaman prakerti (alam semulajadi) melalui usaha persendirian. Proses panjang yang digariskan dalam yoga bagi mencapai kebebasan perseorangan itu dijalankan menerusi pranayama atau pun cara bernyawa, asana atau kedudukan dan dhiyana iaitu tapa semadi mencari gnana. Salah satu sumber bagi pelajaran falsafah yang ini, tuan dan puan boleh carinya dalam Yoga Sutra Patanjali. Aliran yoga yang lain serta tradisi tantra (animisme) juga penting dalam terbitan dan juga cawangan amalan kaum Sramana. Yang aku ketahui, di Nusantara dan Tanah Besar Asia Tenggara ini; tradisi tantra sangatlah berpengaruh tidak mengira sama ada kita ini adalah pengamal ajaran Brahmana atau ajaran baginda Buddha.
Pergerakan Sramana ini menjadi lebih pesat ketika samaya Mahawira dan Siddharta Gautama apabila adat istiadat weda menjadi tradisi utama di beberapa bahagian di tanah Hindu. Kaum Sramana memakai jalan lain bagi menggantikan upacara weda dalam tujuan mencapai kebebasan jiwa sambil meninggalkan kehidupan berumah tangga. Biasanya, mereka itu akan melibatkan diri dalam kegiatan seperti amalan disiplin ketat, pertapaan dan juga pandangan teori yang berkaitan. Bagi penguatkuasaan kerohanian, Sramana merupakan sudut pandangan lain bagi Brahmana tradisional. Ada juga kaum Brahmana yang menyertai kelompok Sramana seperti Canakya dan juga Sariputra. Sariputra merupakan anak siksya kepada baginda Siddharta Gautama yang dicerahi sedangkan beliau berjati Brahmana manakala baginda Siddhartha Gautama berjati Kesatria. Dalam Jinagama pun begitu lah juga. Ada kaum Brahmana yang menerima Mahawira dan menjadi Gandhara atau kepala anak siksa baginda sedangkan baginda Mahawira itu seorang Kesatria.
Berkenaan dengan ajaran Buddha pula, Randall Collins berpendapat bahawa ajaran Buddha itu merupakan pergerakan pembaharuan yang berlaku dalam kalangan golongan terpelajar Hindu. Dalam gerakan itu ada juga kaum Brahmana, lebih ramai daripada pergerakan yang lain, dengan bilangan bhikkhunya dalam kalangan puak Brahmana ramai sekali. Kebanyakan bhikkhu Buddha pun dilatih dalam kalangan puak Brahmana dan puak Kesatria.
Mahawira yang merupakan Jina ke-24 dan juga baginda Siddhartha Gautama merupakan pemimpin kepada susunan puak Sramana. Menurut kepada sastera Jinagama dan sastera Bali Buddha, ada lagi beberapa kepala puak Sramana lain pada masa itu. Dalam Mahaparinirwana Sutram (DN 16) disebut tentang Sramana bernama Subhadra:
"... dalam kalangan orang alim itu, Sramana dan Brahmana yang mempunyai tata kemasyarakatan dan juga pengikut, yang menjadi guru, terkenal sebagai pemula aliran, dan terkenal sekali sebagai orang suci, seperti Purana Kassapa, Makkhali Gosala, Ajita Kesakambali, Pakudha Kaccayana, Sanjaya Belatthaputta dan juga Nigantha Nataputta..."
Nigantha Nataputta di sini merujuk kepada Mahawira atau nama Sanskertanya, Nirgrantha Gnataputra. Yang lain-lain itu merujuk kepada guru-guru yang dikenalpasti melalui sastera Bali dan Jinagama seperti Purana Kassapa, Makkhali Ghosala dan Sanjaya Belatthaputta. Ajita Kesakambali dan Pakudha Kaccayana hanya disebut dalam sastera Bali.
Baginda Siddhartha Gautama menganggap perbuatan amalan melampau serta menyeksa diri sebagai tak ada manfaat pun atau tak perlu bagi mencapai pencerahan. Baginda cuma mencadangkan orang ramai memilih jalan tengah antara hiburan lokamaya melampau dengan dengan seksaan diri melampau. Sebenarnya aku bersetuju dengan baginda Siddhartha Gautama yang dicerahi tetapi aku tak pula berpandangan seperti orang lain yang setengahnya itu sampai mencerca amalan atau kepercayaan orang lain kerana pada pandangan aku perkara sebegitu cuma dilakukan oleh orang-orang yang tidak tahu erti kesabaran atau kebijaksanaan.
Dewadatta yang merupakan sepupu kepada Siddhartha Gautama menyebabkan Sanghom Buddha terpecah dengan menyuruh amalan melampau dijalankan oleh penganut ajaran Buddha. Penganut Jinagama yang mengikuti baginda Mahawira pula masih meneruskan amalan puasa dan juga amalan-amalan lain menurut guru-guru Jina lain.
Buah pikiran Sramana mengenai melilau berkeliaran ini mula berubah dalam ajaran Buddha yang awal. Pada awal ajaran Buddha, para bhikkhu atau ajar-ajar yogi semua bertapa semadi dalam hutan-hutan. Dalam bahasa kami di Siam, mereka ini digelar sebagai Chao Phanawa. Samaya seterusnya, bhikkhu Buddha mula tinggal di biara atau wiharam. Pada mulanya, dalam musim hujan sahaja para ajar-ajar Buddha berdiam dalam biara dan kemudian keluar mengembara semula. Tetapi kini mereka bertempat tinggal terus dalam biara. Kini di Siam masih wujud lagi ajar-ajar yang bertapa dalam hutan dan tidak berdiam langsung dalam biara. Di tempat lain aku kurang pasti. Aku pun biasa dengan tradisi ajar-ajar dalam hutan ini tetapi bila masuk ke masyarakat ramai aku terpaksa melaraskan diri supaya tidak menakutkan orang lain.
Dalam Jinagama samaya pertengahan pun, tradisi mengembara melewar sudah hilang tetapi pada abad ke-19 M dihidupkan semula amalan ini. Keadaan ini pun berlaku dalam Dharma Buddha. Yang lain yang aku tahu, tradisi Hindu Saiwa pun ada juga pertapa yogi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan