Jumaat, 11 Oktober 2013

Jina Mahawira: Hidup Awal

Jaya Jinendra!


Sebelum aku terlupa, tradisi Jinagama ini seringlah dilupakan orang. Selalu yang kedengaran di telinga kita ini mengenai agama Saiwa, agama Waisnawa, ajaran Buddha dan lain-lain aliran yang macam-macam cabangnya. Tapi, mengenai Jinagama sangat sedikit kedengarannya sedangkan mereka ini diperkirakan sebagai Hindu jua. Gambar disertakan itu adalah sebuah balai pemujaan tempat bertabik pada rupa Thirthankara Jina. Pedanda aliran Digambara biasanya tak pakai seluar. Pandangan mereka bahawa pakaian mereka adalah pakaian kahiyangan dan mereka sebolehnya mahu mengelakkan mencederakan sebarang jiwa pun.

Tokoh kita pada pagi ini, baginda Wardhamana Mahawira (599 SM - 527 SM). Baginda ini Thirthankara Jinagama yang ke-24 dan yang penutup bagi pengikut baginda. Baginda dilahirkan dalam keluarga diraja di negeri Behar dalam India moden. Jadi, tuan nampaklah mengapa aku menggunakan rujukan bahasa Melayu bagi ganti dirinya itu sebagai baginda kerana baginda memang kerabat diraja. Sama seperti Siddhartha Gautama yang terkenal serata loka. Bukan asal orang biasa-biasa. 

Tatkala kelahiran baginda, seluruh kota itu ditandai dengan kemakmuran pertanian, kesihatan, kemewahan harta dan kebijaksanaan. Makanya baginda dinamai Wardhamana yang terbit dari kata bahasa Prakerta Wriddhi oleh ayahanda dan bonda. Pada usia 30 tahun, baginda keluar dari kubu istana lantas mencari Diksha, kesedaran jiwa. Untuk 12 tahun dan setengah selepas peristiwa itu, baginda menjalani tapa semadhi bersangatan dan sadhana lampau. Kesannya, baginda mencapai Kewala Jnana atau pencerahan. Lanjutnya, baginda mengembara serata rantau India purwa selama 30 tahun pula mengajarkan pandangan kebijaksanan baginda berdasarkan ahimsa, satya, asteya, bramhacarya dan aparigraham. Baginda mencapai nirwana selepas kemangkatan baginda (mati tubuh) pada usia 72 tahun. Bagindalah penyebar ajaran Jina yang terkenal sekali dan dianggap sebagai pembaharu agama berbanding sebagai pengasas agama baru.

Kehidupan Awal

Tempat kelahiran sebenar baginda tak diketahui. Sejarawan mengenalpasti tiga tempat dalam negeri Behar sebagai tempat yang mungkin beliau dilahirkan iaitu di Basokund bhumipada Waisali, Lachhuar di Jamui dan Kundalpur di Nalanda. Umumnya, Kundalagramam di kota purwa di Waisali itulah dianggap tempat kelahiran baginda; tapi kedudukannya masih tak ditemui kerana terlampau lama sangat.

Menurut penganut Jina, baginda dilahirkan pada 599 SM. Setengah sejarawan mengenalpasti baginda ini sebagai pemuda sezaman dengan Siddhartha Gautama cuma lebih muda, menjadikan tanggal kelahiran baginda ini menjadi kabur. Namun ramai setuju tahun kelahiran baginda itu adalah 599 SM dan diletakkan tanggal kelahiran baginda dalam hari ke-13 wulan naik, Caitra dalam penanggalan Wira Nirwana Samwat. Penanggalan orang puteh sekitar bulan Mac atau April.

Ayahanda baginda, Sri Raja Siddhartha dari kota Kundagramam dan ibunda baginda, Dewi Trisala, adinda Raja Cetaka dari kota Waisali. Nama baginda, Phra Kumara Wardhamana. Ayahanda dan ibunda baginda merupakan pengikut setia kepada Sang Natha Parswa dari wangsa Ikswaku di negeri Waranasi. Sang Natha Parswa itu merupakan Thirthankara ke-23 menurut tradisi Jina. Pada samaya sebelum Mahawira belum menyebarkan ajaran pandangan beliau, Jinagama belumlah dipanggil sebagai agama Jina. Ia cuma sebuah aliran Sarmana yang dipelopori orang Hindu belaka.

Menurut parampara Swetambara, telur (ovari) yang akan menjadi Mahawira itu dipindahkan dari tubuh wanita wangsa Brahmana bernama Dewananda ke tubuh wanita Kesatria, iaitu ibu baginda, Dewi Trisala. Yang ini dijelaskan dalam Acaranga dan Kalpa Sutra. Dalam Wiyakhiya Prajnapati, baginda Mahawira mengetahui, Dewananda itu adalah ibunda baginda yang kandung.

Sebagai kumara raja, baginda Mahawira mendapat segala kesenangan hidup dan hanya memerintah sahaja. Pagelaran Mahawira itu ertinya Pahlawan Teragung. Ketika kecilnya baginda pernah mengawal seekor ular yang menakutkan dan atas sebab itu baginda digelar Mahawira. Nama lain baginda, adalah Wira, Sanmati dan Ñataputra. Sastera purwa merujuk baginda sebagai Ñataputra atau anakanda para Ñata. Ñata merujuk kepada asal-usul puak baginda, iaitu puak Ñatta.

Parampara Jina tak begitu jelas mengenai kedudukan perkahwinan baginda. Menurut satu parampara, dinyatakan baginda ini bramhacari tiada kawin manakala yang lain menyebut baginda pernah kahwin dengan seorang gadis, Yasoda namanya dan mempunyai puteri seorang bernama, Priyadarsana. Disebut menerusi Jinagama sendiri, baginda mencapai moksa pada 527 SM. Yang lain pun dicadangkan sejarawan Barat, iaitu sekitar 425 SM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan