Memaparkan catatan dengan label koil. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label koil. Papar semua catatan

Khamis, 24 Oktober 2013

Tamil Nadu: Pura Meenakshi Amman

Om Swastiastu



Pura Minakshi Amman atau Minakshi Sundareswarar Thirualawai atau Koil Sri Minakshi Amman ini merupakan pura Hindu bersejarah yang terletak di selatan tebing sungai Waigai dalam kota suci Madhurai di Tamil Nadu. Pura ini terkenal dengan tiang 1000 nya.

Ia ditujukan buat dewi Parwati bergelar Sri Minakshi Amman yang merupakan sakti kepada Betara Siwa. Betara Siwa digelar sebagai Sri Sundareswarar. Pura ini membentuk jantung kepada kota suci itu dengan kehidupan yang sudah berlangsung sejak 2,500 tahun lampau di kota Madurai. Kompleks pecandian ini merumahkan 14 gopuram, yang berketinggian antara 45-50 m dan yang tertinggi sekali berketinggian 51.9 m atau 170 kaki tinggi nya. Pura ini mempunyai dua wimana berarcakan emas dengan bumbung di atas balai berdiam dewata utama. Pura ini sangat penting peranannya bagi masyarakat Tamil sekelian dan disebut sejak samaya purwa dalam Sastera Tamil lagi walaupun bangunan yang kini terbina pada 1623-1655 M.

Pura ini menarik seramai 15,000 pelawat setiap hari dan pada Sukrawara pula seramai 25,000 orang. Modal tahunan derma dana orang ramai setiap tahun sebanyak 60 juta rupee. Dianggarkan ada lebih kurang 33,000 arca dalam pura ini dan ia dibariskan sekali dalam 30 calon Tujoh Keajaiban Dunia. Perayaan tahunan di sini adalah Thirukaliyanam Minakshi selama 10 hari lamanya dirayakan sekitar wulan Chaitra yang menarik sekitar sejuta pelawat.

Kimwadanti

Sri Minakshi merupakan jelmaan kepada dewi Parwati, sakti Betara Siwa. Baginda merupakan salah satu daripada dewi yang dipuja terutama di pura tersebut. Nama Minakshi itu bererti mata seperti ikan yang terbit dari bahasa Sanskerta jua.

Dewa utama di pura itu bukan Betara Siwa tapi adalah dewi Minakshi sendiri. Tak seperti pura Saiwa lain di India Selatan yang pemujaan ditujukan buat Betara Siwa sebagai dewa utama. Menurut cetera, permintaan baginda raja kedua dari Pandiyawamsa, Sri Maharaja Malaya Dwaja Pandiyan dan baginda permaisuri, Dewi Kancanamalai telah terjawab apabila dewi Parwati menjelma dari api suci semasa pengorbanan Putra Kamesti Yagna atau pengorbanan bagi anak-anak yang dijalankan sang raja.

Cetera lain menyebut, dewi Parwati memberikan diri baginda sendiri sebagai karunia buat dewi Kancanamalai dalam salah satu penjelmaan sebelumnya bahawa dewi Kancanamalai itu akan mendapat keistimewaan menjadi ibunda buat dewi. Gadis yang terjelma dari api pengorbanan itu berdada tiga. Kemudian terdengar suara di kahiyangan memberitahu bahawa janganlah raja bimbang dengan perkara pelik itu kerana gadis itu akan hilang dada ketiganya itu tak lama lagi sebaik sahaja bertemu dengan calon suaminya. Suka bahagia sang raja dinamainyalah anakanda itu Tadagatai dan menjadi pewaris pula kepada singgahsana raja. Puteri Tadagatai dilatehlah dengan 64 sastram dengan pelbagai pendidikan. Pada masa hampir dimahkotakan baginda puteri menjadi pewaris negara, baginda melancarkan peperangan terhadap tribuana merentasi delapan arah. Selepas ditaklukinya Bramhaloka, Satyaloka, Waikunta, dan Amarawati Daiwalogam, baginda terus ke Kailasa. Mudah sahajalah baginda mengalahkan bhutaganah dan Nandi. Lalu baginda meluru mau menakluki Betara Siwa. Tatkala bertentang mata dengan Betara Siwa, tak mampu lah baginda berlawan lantas ditundukkan mukanya malu. Dada ketiga baginda itu hilang terus. Baginda puteri Tadagatai sedar bahawa Betara Siwa itu calon suaminya. Baginda sedarlah bahawa baginda itu jelmaan dewi Parwati. Maka kedua-dua mereka berpulang ke Madurai dan diadakan pewiwahan mereka.

Pewiwahan itu merupakan pewiwahan terbesar serata loka, dengan serata loka menghadiri upacara pewiwahan di Madurai. Betara Wisnu, kekanda dewi Parwati pun bersedia dari Waikuntam bagi berada di perwiwahan itu. Baginda Betara Wisnu turut terkena muslihat Betara Indra semasa dalam perjalanan jadi lambatlah baginda sampai. Selepas perwiwahan itu, kedua-dua mempelai memerintah Madurai lama sekali dan mengambil rupa Sri Sundareswarar dan Sri Minakshi yang berdiam di pura kota suci. Menurut adat, setiap petang sebelum ditutup pura itu, akan diadakan perarakan yang dikepalai oleh pemukul gendang dan juga bunyian yang membawa murti kedua-dua mempelai ini bersatu, sebelum diambil semula keluar pagi besoknya. Perwiwahan ini dirayakan setahun sekali sebagai Chitrai Thiruwizha di Madurai. Semasa samaya pemerintahan kelompok Nayakar di Madurai, mereka turut mengaitkan perayaan ini dengan Azhakar Thiruwizha.

Itihasa

Pura ini dipercaya diasaskan oleh Betara Indra semasa dalam pengembaraan menyembuhkan karma buruk baginda. Baginda terasa segala bebanan baginda terangkat semasa mendekat dengan Swayambhu Lingam yang menjadi perlambangan Betara Siwa di Madurai. Baginda mendapati perkara ini terjadi disebabkan lingam tersebut lantas dibina perumah buat lingam itu. Betara Indra memuja Betara Siwa, menyebabkan teratai emas di kolam berdekatan pun muncul.

Sastera Tamil menyebut bahawa pura ini bertahan beberapa juta tahunnya. Thirugnana Sambandar, seorang ahli falsafah Saiwa menyebut bahawa pura ini sudah ada semenjak kurun ke-7 M. Digambarkan dewata pura itu sebagai Alai Yirawan. Disebut jua pura itu pernah dilanda oleh penakluk Muslim bernama Malik Kafur sekitar 1310 M dan semua ciri-ciri purwa nya hancur habis. Usaha membangunkan semula bangunan pura dijalankan semula oleh raja-raja Nayakawamsa di Madurai, Sri Wiswanatha Nayaka (1559-1600). Usaha itu dipantau oleh Mudaliar Aryanatha, perdana menteri Nayakawamsa dan juga pengasas rupakara Polighar.

Rekabentuk asal bangunan pura ini direka oleh baginda Sri Wiswanatha pada 1560 dan kemudian diperkembang lagi sampai jadi seperti hari ini semasa pemerintahan Sri Thirumalai Nayaka (1623-1655). Baginda sangat-sangat berminat dengan menegakkan banyak kompleks lagi dalam pura. Sumbangan utama baginda raja ini adalah pembinaan Wasantha Mandapam bagi merayakan Wasanthorsawam atau perayaan musim bunga dan Kilikondu Mandapam atau kaki lima burung kakak tua. Kaki lima bagi kolam pura serta Minakshi Nayakar Mandapam dibina oleh usaha Rani Mangammal.

Kepentingan Keagamaan

Ciri istimewa pura ini adalah dari segi perlambangan yang mempunyai burung kakak tua di sebelah tangan kanan dewi Minakshi. Burung kakak tua selalunya dikaitkan dengan orang suci Waisnawa, iaitu Azhwar Andal. Panca Sabhai merujuk kepada lima Nataraja istana diraja yang dijalankan oleh Betara Siwa. Perkataan Tamil iaitu Welli atau Perak dan Ambalam atau Tetangga. Arca Nataraja ditutup dengan tetangga pera yang besar digelar Welli Ambalam. Bentuk ini berbeda dengan gegangsa arca Cholawamsa. Arca kesenian Cholawamsa selalunya mempunyai rupa kaki kiri diangkat, tapi arca Madurai pula kaki kanan Sang Nataraja yang diangkat. Menurut Thiruliyadal Puranam atau Permainan Suci Betara Siwa, atas permintaan Sri Maharaja Rajasekhara Pandiyawamsa yang merupakan seorang pemuja setia Betara Siwa telah meminta dewata bertukar kedudukan. Dirasakannya kalau kedua-dua kaki diangkat maka akan tegang sangat dan tak cantik kedudukan bagi seorang tuan agung yang menguasai kesenian suci.

Upacara

Ada hampir 50 orang pedanda pura yang menjalankan pemujaan semasa perayaan dan pada hari-hari biasa. Sama seperti pura Saiwa lain di Tamil Nadu, kelompok pedanda berjati Brahmana Adisaiwa. Pedanda tinggal di kawasan tertutup di utara pura. Pura mempunyai penanggalan enam kali pemujaan setiap hari, setiap satunya itu mengandungi empat upacara seperti abisekam (mandi), alangaram (hiasan), neiwethanam (semah makanan), dan dipa aradanai (lambai pelita) bagi kedua-dua dewata, Sri Sundareswarar dan Sri Minakshi.

Upacara pemujaan diadakan dengan iringan nagaswaram dan tawil, arahan-arahan melalui bacaan mantra weda suci dan juga pemuja sekelian akan bersujud di depan balai puja. Amalan biasanya adalah memuja Sri Minakshi dulu baru memuja Betara Siwa. Upacara Margazhi dalam bulan Pausa sangat terkenal bagi gadis-gadis yang mencari suami sempurna dijalankan dalam perayaan Yennai Kappu.

Perayaan

Perayaan utamanya di sini adalah Minakshi Thirukaliyanam dalam bulan Chaitra. Perkahwinan yang dikuasai wanita ini digelar Perkahwinan Gaya Madurai. Perkahwinan yang dikuasai lelaki pula digelar Perkahwinan Gaya Citambaram merujuk kepada kekuasaan Betara Siwa dan upacara berkaitannya di Pura Saiwa Citambaram. Perkahwinan suci ini akan mengumpulkan semua orang kampung, orang ulu, orang bandar, dewata dan yang bukan dewata, para pemuja Betara Siwa dan Betara Wisnu bersama-sama merayakan dewi Minakshi sebagai kerabat diraja dewata.

Dalam masa sebulan itu, ada lagi beberapa peristiwa yang dirayakan seperti Ther Thiruwizha atau perayaan pedati dan Theppa Thiruvizha iaitu perayaan terapung. Perayaan Hindu utama lain seperti Nawaratri dan Siwaratri dirayakan jua di sini. Sama seperti pura sakti lain di Tamil Nadu, hari Jumaat dalam bulan Adi atau bulan Srawan dan bulan Thai atau bulan Magha dirayakan dalam pura oleh beribu-ribu pemuja. Kemudian ada Awani Mula Utsawam iaitu perayaan 10 hari hanya untuk Betara Siwa yang menggambarkan permainan kahiyangan Betara Siwa seperti dalam Tiruwilayadal.

Pura dalam Sastera

Dalam beberapa kurunnya, pura menjadi pusat pendidikan kebudayaan orang Tamil dari segi sastera, tarian, silapa, bunyian dan tarian. Semua perkumpulan bahasa Tamil dalam Tamil Sangam kira-kira kurun ke-3 SM sampai ke-3 M diadakan di kota suci Madurai.

Kawi Tamil dari pelbagai samaya menyertai perkumpulan bahasa Tamil dan karangan mereka digelarkan sastera Sangam. Semasa Tamil Sangam Ke-III, perbandingan nilai kesusasteraan dibuat dengan kekawin yang dikarang para kawi dibiarkan terapung dalam kolam teratai di pura. Dipercayai sakti pura akan menimbulkan kekawin yang paling tinggi nilainya dan yang kurang nilainya akan tenggelam.

Karya penganut Saiwa dalam kalangan kawi Tamil atau para Nayanar terkenal adalah dari Mpu Appar, Mpu Cundarar dan Mpu Thirugnana Sambandar. Pura ini diagungkan menerusi sloka dalam Tewaram yang dikarang ketiga-tiga mpu ini. Sloka lain oleh Mpu Sambandar menyebut permaisuri negara Pandiya, serta keinginan Mpu Sambandar yang sangat ingin mengalahkan penganut ajaran Jina dalam perbahasan. Kemudian diceterakan mengenai beliau menyembuhkan raja yang demam, dan provokasi penganut ajaran Jina yang membakar rumahnya dan mencabarnya supaya berdebat dengan mereka. Mpu Sambandar tetap menang juga dan mereka kalah.

Antara terjemahan kekawin Mpu Sambandar mengenai peristiwa itu dalam Thirumurai Ketiga:
"Cik puan yang bermata seperti kancil yang terpegun itu! Permasuri agung Waluti! Dengarlah kata-kataku ini. Janganlah tuanku bersedih hati bahawasanya anak kecil yang dari mulutnya meleleh susu itu. Yang tatkala dewa di Thiruwalawai berdiri di sisi aku sebagai bantuan, tak akan mudahlah aku dikalahkan oleh manusia rendahan yang berbuat onar menyebabkan duka nestapa orang lain yang berdiam di gunung bermula dengan Annaimalai"
Ada banyak lagi kawi dalam sejarah Tamil yang menyanyikan pujian mengenai dewi Parwati. Utamanya seperti Mpu Kumara Guru Parar dalam kurun ke-17 M yang mengarang Minakshi Pillai Tamizh. Raja Tirumalai Nayaka turut memberi sokongan kepada Mpu Kumara maka baginda turut mendapat tempat teristimewa dalam sejarah Pillai Tamizh. Mpu Kumara melawat banyaklah pura dan tatkala dilawati pura ini, beliau terus sahaja mengarang Pillai Tamizh buat dewi Minakshi.

Lagenda menyebut bahawa dewi muncul dalam mimpi raja Tirumalai mengarahkan supaya pembacaan kekawin Mpu Kumara itu dijalankan di depan orang-orang terpelajar. Raja bersusah payahlah menyusun segala aturan majelis supaya diadakan pembacaan itu. Dewi Minakshi kemudian menjelma mengambil rupa seorang gadis kecil dan mendengar pembacaan sambil bersuka hati. Tatkala dibaca sloka ke-61 itu, dewi dalam rupa gadis itu terus mengalungkan kalungan mutiara lantas menghilang.

Kesimpulannya, pura ini sangatlah menarik untuk tuan budiman sekelian lawati. Jika ke Tamil Nadu itu, cubalah ke pura ini dan beri sembah kepada dewi saktinya kemudian lawatilah ceruk kota suci itu sambil merasai suasana di Tamil Nadu. Diharapkan masukan yang tak seberapa ini memberi sedikit sebanyak buah pikiran buat tuan budiman yang dihormati sekelian.

Sabtu, 31 Ogos 2013

Pura India Selatan: Sri Maha Mariamman

Wanaggam


 

Koil Sri Mahamariamman ini merupakan pura Hindu tertua di Kuala Lumpur di negara Malaysia. Ia dibangunkan pada 1873, bertempat di hujung pekan Cina Jalan Bandar. Pada 1968, bangunan baru iaitu Raja Gopuram dibina menurut gaya binaan India Selatan. Pura ini mulanya memberi khidmat pelayanan bagi pemujaan masyarakat Tamil yang berhijrah ke Tanah Melayu pada awal abad ke-19 M. Ia kini menjadi pusat kebudayaan Hindu dan juga warisan kebangsaan negara moden ini. Video oleh Encik Marcus Vinicius Carvalho.  

Itihasa

Pembangun awal pura ini, tuan K. Thambusamy Pillai menggunakan kawasan itu sebagai tempat pemujaan keluarganya. Kemudian keluarga Pillai membuka pintu pura keluarga mereka untuk pemujaan orang ramai pada lewat 1920an dan kemudian pengurusan pura diserahkan kepada badan amanah.

Pura ini merupakan antara pura yang paling tua berfungsi semula di Malaysia. Ia diperkatakan sebagai antara terkaya sekali dalam negara. Sebelum itu, ia terletak dekat-dekat dengan Stesyen Kereta Api Kuala Lumpur. Kemudian ia berpindah ke lokasi terkini di Jalan Tun H.S. Lee pada 1885. 

Struktur atap pura diruntuhkan pada 1887 dan sebuah bangunan batu-bata didirikan di situ. Kemudian ia dirobohkan lai bagi memberikan ruangan yang lebih baik kepada bangunan pura yang seperti kini sejak 1968. Gerbang masuk ke pura itu dikenali sebagai gopuram, siap terbina pada 1972. Bangunan pura yang baru dibuka semula pada 1973. 

Senibina

Gopuram

Terbina dengan gaya India Selatan. Ia mempunyai lima lapisan semuanya. Antara yang tertinggi dalam pura tersebut iaitu 22.9 m atau 75 kaki. Bentuknya seperti piramid menegak, dihiasi dengan gambaran dewata sekelian oleh tukang-tukang ukir Selatan India. Kepala tukang ukir, mendiang tuan S. T. Muniappa dari Tamil Nadu dan beliau bertanggungjawab mengukir 228 lambang dewata pada gopuram pura itu.

Garbagraham

Pura ini menyerupai rupa manusia berbaring dengan kepalanya mengadap ke Barat dan kaki ke Timur. Gopuram lima lapisnya itu bertindak seperti kaki manusia. Ia menjadi gerbang antara loka kebendaan dengan kejiwaan. Pada sisinya pula ada garbagraham atau lapangan pemujaan. Ia bertindak sebagai kepala. Ia merupakan bangunan yang sendiri dengan bumbung dan tembok sendiri serta ada pintu masuk satu yang menghadap ke Timur. Tapak ini merupakan tapak suci dalaman yang menempatkan lambang dewi Sri Maha Mariamman. Pedanda selalunya akan berdiri di depan garbagraham tatkala menjalankan puja.

Dalam pura ada lapangan pemujaan utama yang lelangitnya sarat dengan hiasan. Kedudukan tiga bangunan suci dalam pura utama itu ditandai dengan bumbung bentuk kubah bawang yang kelihatan di luar. Ada empat lagi bangunan suci dalamnya yang tersusun secara mengelilingi bangunan pura utama. Sang Pillaiyar (Ganesa) ada dalam bangunan suci yang ke kiri dan Sang Muruga (Skandha) pula di sebelah kanan. Sang Pillaiyar juga ditemui pada pintu masuk bertindak sebagai Wiganeswara menolak malang dan halangan. Lapan patung wanita menghiasi dinding-dinding dalaman pura pula adalah lambang Dewi Sri Laksmi. Sekali dalam 12 tahun menurut tradisi Hindu, pura akan disucikan semula.

Pedati Perak

Pedati perak juga turut dirumahkan di pura ini. Pedati ini akan diperguna semasa perayaan Thaipusham. Ia akan menanggung vigraham Sang Muruga dan peneman baginda, Si Walli dan Si Deiwayanni menerusi laluan di bandar itu sehingga ke Batu Malai. Ia terbuat pada 1893 dengan menggunakan 350 kg perak berharga RM350,000. Pedati ini ditukangkang pandai dari India dan dikapalkan ke Kuala Lumpur dengan 12 bahagian tercerai yang disambungkan di situ. Tinggi pedati itu 6.5 m dengan 240 loceng bersama dengan sepasang kuda padanya. Sebelum pedati perak diperguna, pedati kayu yang diperbuat pada 1930 oleh seorang tukang India berharga RM50,000.  

Bangunan Mariamman

Baru-baru ini, Pura Sri Maha Mariamman selepas 40 tahun penantian akhirnya mendapat bangunan tersendiri. Sebanyak RM13 juta diperuntukkan bagi pembinaan enam tingkat bangunan di belakang pura itu di Jalan Tun H. S. Lee. Ia diresmikan oleh Menteri Kerja Raya dan Presiden Kongres India, Datuk Sri S. Samy Wellu.

Pengerusi pura, R. Nadarajah berkata bahawa idea membina bangunan itu sebenarnya diutarakan oleh Datu Sri S. Samy Wellu sendiri sejak 38 tahun lalu tatkala beliau menjadi jawatankuasa pura tersebut. Bangunan itu dipanggil Bangunan Mariamman dibina sebelah Stesen Bas Klang dan berdepan Stesyen LRT Putra. Ia dihubungkan dengan pura dan ada dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah, serta tiga tingkat untuk dua auditorium serta ada satu dewan keramaian.

Dewata Pura

Dewi Maha Mariamman terkenal dipuja dalam kalangan orang Hindu yang berada di luar India. Terutamanya dalam kalangan orang Tamil. Baginda dilihat sebagai pelindung semasa mereka berada di tanah asing. Dewi Maha Mariamman merupakan jelmaan dewi Parwati yang merupakan rupa kepada ibu pertiwi yang berkuasa mengawal persekitaran. Baginda dewi dikaitkan dengan penyakit, wabah demam, dan melindungi pemuja baginda daripada kekotoran dosa serta kejadian-kejadian yang disebabkan oleh asura.

Pengurusan Pura Hindu

Pura Sri Maghaa Mariamman ini diuruskan oleh Badan Pengurusan Pura Sri Maghaa Mariamman Dewastanam. Badan pengurusan ini turut menguruskan Pura Sri Subramaniam Batu Malai dan juga Pura Kortumalai Pillaiyar. Badan pengurusan ini juga memainkan peranan sebagai Konsultan Keagamaan Hindu bagi Kerajaan Persekutuan Malaysia terutamanya dalam perkiraan bintang, purnima dan penentuan penanggalan Hindu bagi Hari Raya Hindu.  

Ahad, 14 April 2013

Koil Sri Padmanabha Swami


Koil ini terletak di Thiruwanandapuram di India Selatan. Ia ditujukan untuk Betara Wisnu Narayana. Kediaman suci dewa diuruskan oleh amanah yang dikepalai oleh keluarga diraja Travancore. Koil ini adalah salah satu daripada 108 diwiya desam atau kediaman suci Betara Wisnu yang menjadi pusat pemujaan utama bagi penganut Hindu aliran Waisnawa.

Begawan Bala Rama menurut kepada Srimad Bhagawatam (19.70.18) telah berhenti singgah di Phalgunam yang kini dikenali sebagai Thiruwanandapuram sebagai sebahagian daripada tirtayatramnya. Baginda mandi di Pancha Apsara atau di Padma Tirtham selain memberi karunia 10,000 lembu kepada orang-orang alim.

Koil ini juga disucikan dalam diwiya prabandha, sastera awal zaman pertengahan Tamil oleh orang alim Tamil iaitu Alwar sekitar abad ke-6 sampai ke-9 M. Penambahan pada tubuh bangunan itu diperbuat sepanjang abad ke-16 M, gopuramnya pun dibina ketika itu. Koil ini merupakan pratikerti kepada koil terkenal di Thiruwattar, Koil Sri Adi Kesawa Perumal. Padmanabha Swami ini menyebabkan ibu kota negeri Kerala ini dipanggil sebagai Thiruwanandapuram. Thiru ananda puram artinya kediaman suci Sang Ananda Padmanabha. Kota ini juga dikenali sebagai Ananda Puram atau Kota Kesukaan dan Syananduram ataupun kesukaan itu tak jauh lagi.

Ananda ini merujuk kepada baginda Sri Padmanabha sendiri. Sastera suci Hindu merujuk Yang Maha Tinggi itu sebagai Sakshinanda atau pun Kebenaran Mutlak, Kesedaran Mutlak atau Kesukaan Mutlak. Dewata utama berdiam di situ, adalah Seri Padmanaba Swami yang dipasak dalam kedudukan ananda sayanam atau tidur abadi berdasarkan yoga nedra di atas ular ananda. 

Maharaja di Travancore memegang gelaran Sri Padmanabha Dasa atau pun Pelayan kepada Seri Padmanabha. Selari dengan Omkara Memasuki Koil, hanya penganut agama Hindu sahaja dibenar masuk ke koil! Orang yang ingin berbakti puja mestilah berpakaian menurut kepada peraturan pakaian sopan di koil! 

Jumaat, 5 April 2013

Gua Ellora: Koil Jina


Lima gua yang menjadi kompleks keagamaan penganut ajaran Jina merupakan binaan pada abad ke-9 sampai ke-10 M. Semuanya dibina untuk aliran Digambara. Gua-gua agama Jina ini mendedahkan segi khusus bagi falsafah ajaran Jina dan tradisinya. Semuanya memaparkan suasana weragiya yang bersangatan. Kecil-kecil sahaja ruangan semua tak seperti yang lain. Tapi masih mengekalkan kesenian tersendiri. Antara pawitrastana yang menarik binaannya adalah Chota Kailasa iaitu gua ke-30 dan gua Indera Sabha iaitu gua ke-32. Selain itu, gua ke-32 atau Jaganata Sabha pun menarik juga. Gua ke-31 tidak sempurna chatustambhanya dan mempunyai satu pawitrastana. Gua ke-34, kecil sahaja boleh didekati melalui bukaan kiri gua ke-33.  


Gua Indera Sabha

Gua ini merupakan gua dua belahan dengan satu pawitrastana eka batu dalam lamannya. Ia mempunyai pahatan teratai yang sangat cantik di langitan gua. Dikenali sebagai Indera Sabha mungkin karena dihiasi oleh arca Yaksha Matanga di atas seekor gajah, yang disalah anggap sebagai betara Indera. Di tingkat atas gua pula ada pawitrastana yang dijumpai dari carigali purba di sebelah laman, dengan murti sang Ambiga, seekor Yakshini dari Neminatha. Murti sang Ambiga ditemui didudukkan di atas singanya di bawah pohonan mempelam, sarat dengan buahan.


Lain-Lain Gua Jina

Semua gua kompleks agama Jina ini mempunyai ciri rekaan yang rumit. Kebanyakan binaannya itu mempunyai pahatan ukiran dinding di langitannya, percanya pun masih kelihatan sehingga kini. Keseniannya memang boleh dibanggakan semua orang Hindu tak mengiralah sama ada pengikut Jina atau pun Buddha atau lain-lain. Haruslah kita bangga dengan kesenian kita!