Memaparkan catatan dengan label pipal. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pipal. Papar semua catatan

Selasa, 9 April 2013

Pohon Pipal


Pokok ini dipanggil sebagai Aswattha dalam bahasa Sanskerta. Pokok Pipal atau Ficus Religiosa ini besar sekali pokoknya. Kulitnya berwarna perang muda, lembut dan terkoyak-koyak pada percanya. Daunnya berbentuk hati panjang dan tirus hujungnya. Sedikit sahaja angin menghembus, mendayu-dayu dedaunannya. Buahnya berwarna ungu apabila masak.

Pohon Pipal ini pertama kalinya dikenali di India purba menerusi cap mohor yang ditemui di Mohenjodaro, iaitu salah satu kota di Tamadun Lembah Indus (3000 SM - 1700 SM). Cap mohor itu menunjukkan pokok Pipal dipuja orang. Semasa zaman Weda, kayunya itu digunakan untuk menyalakan api dengan geseran.

Pokok Pipal ini digunakan juga dalam perubatan Ayurveda. Kayunya itu mengeluarkan tannin yang digunakan untuk menyamak kulit. Daunnya pula, apabila dipanaskan dengan minyak sapi boleh digunakan untuk menempek luka.

Brahma Purana dan Padma Purana menyatakan tentang bagaimana asura telah mengalahkan para dewa. Dewa Wisnu Narayana pun bersembunyi dalam pokok Pipal. Makanya, pemujaan terus boleh dijalankan kepada dewa Wisnu menerusi semahan ke pokok Pipal tanpa perlu pergi koil atau pun menggunakan rupa-Nya. 

Skanda Purana pula menyebut bahawa pokok Pipal dianggap sebagai lambang kepada Dewa Wisnu. Baginda dipercayai dijelmakan di bawah pohon ini. Setengah orang percaya bahawa pokok ini merumahkan Trimurti. Akarnya itu Sang Brahma, kayunya itu Sri Wisnu dan dedaunnya itu Betara Siwa. Para dewa dikatakan bersabha di bawah pokok ini, jadi ia sering dikaitkan dengan pemahaman kerohanian. Pokok Pipal ini berkait rapat dengan Seri Kresna. Kata baginda yang tercatat dalam Bhagawad Gita, "Antara pohonan, aku lah itu Aswattha". Seri Kresna dipercayai mangkat di bawah pohon ini, sejurus selepas kemangkatan baginda bermula lah Kali Yuga iaitu masa kita berada sekarang ini.

Dalam Upanishad, buah dari pokok ini digunakan sebagai umpama bagi menjelaskan perbezaan antara tubuh dan jiwa. Tubuh itu seperti buah yang menjulur di luaran, merasai dan menikmati segala benda, manakala jiwa itu seperti biji di dalam buah yang menjadi saksi segalanya. Menurut Skanda Purana lagi, jika seseorang itu tiada anak lelaki, maka anggaplah pokok Pipal itu anaknya. Selagi pokok itu hidup, maka nama keluarga itu akan terus hidup.

Menebang pokok Pipal merupakan dosa besar, dosanya sama seperti membunuh seorang Brahmana. Ia merupakan salah satu daripada lima dosa besar atau Pancha Petaka. Skanda Purana menyatakan orang yang menebangnya akan terus masuk ke neraka!

Setengah orang pula menyentuh pokok Pipal hanya pada Saniwara (Sabtu). Brahma Purana menerangkan bahawa Aswattha dan Pipala dulunya adalah dua ekor asura yang mengganggu orang ramai. Aswattha akan mengambil rupa pokok Pipal manakala Pipala mengambil rupa Brahmana. Brahmana palsu itu akan menasihati orang supaya menyentuh pokok itu. Sebaik sahaja orang memegang pokok itu, Aswattha akan membunuh mereka. Mereka kemudian dibunuh oleh dewa Sani. Kerana pengaruh baginda, maka selamat menyentuh pokok Pipal pada Saniwara. Dewi Laksmi dipercayai juga mendiami pokok Pipal pada Saniwara. Maka Saniwara merupakan hari bertuah untuk menjalankan pemujaan kepada dewi di pokok tersebut. Wanita-wanita juga memohon pokok Pipal supaya memberi anugerah kepada mereka dengan karuniaan anak lelaki. Mereka akan mengikat kain merah atau benang warna merah pada batang pokok.

Pada bulan Amawasi, penduduk kampung akan menjalankan upacara perwiwahan simbolik antara pokok Semambu dengan pokok Pipal. Biasanya pokok-pokok ini ditanam berdekatan. Walaupun pengamalan ini tiada dasarnya dalam agama, tetapi ada pelbagai kepercayaan berkenaan dengan arti kepada perwiwahan pokok-pokok ini. Dalam kepercayaan begini, buah pokok Semambu mewakili Siwalinga dan unsur kelelakian. Daun pokok Pipal pula mewakili Yoni, iaitu unsur kewanitaan. Perwiwahan ini memberi gambaran kepada cetusan ciptaan melalui hubungan jenis dua jantina maka kedua-dua pokok ini diwiwahakan. Selepas upacara itu, penduduk kampung akan mengelilingi pokok-pokok bagi menerima tempiasan pengampunan dosa.

Pokok Pipal juga merupakan pokok suci bagi pengikut ajaran Buddha, karena Sang Buddha Gautama dipercayai menerima pencerahan baginda di bawah pokok Pipal. Maka ia dikenali juga sebagai pokok Bodhi atau pokok Pencerahan. Kalau jumpa pokok ini tolong jaga sebaik mungkin. Boleh juga diambil dan ditanam di kuil, rumah atau pura di kawasan anda. Minta bantuan pedanda Brahmana di tempat anda untuk mengambilnya bagi non-Brahmana. Bagi Brahmana, boleh ambil sendiri.