Memaparkan catatan dengan label suci. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label suci. Papar semua catatan

Selasa, 9 April 2013

Pohon Pipal


Pokok ini dipanggil sebagai Aswattha dalam bahasa Sanskerta. Pokok Pipal atau Ficus Religiosa ini besar sekali pokoknya. Kulitnya berwarna perang muda, lembut dan terkoyak-koyak pada percanya. Daunnya berbentuk hati panjang dan tirus hujungnya. Sedikit sahaja angin menghembus, mendayu-dayu dedaunannya. Buahnya berwarna ungu apabila masak.

Pohon Pipal ini pertama kalinya dikenali di India purba menerusi cap mohor yang ditemui di Mohenjodaro, iaitu salah satu kota di Tamadun Lembah Indus (3000 SM - 1700 SM). Cap mohor itu menunjukkan pokok Pipal dipuja orang. Semasa zaman Weda, kayunya itu digunakan untuk menyalakan api dengan geseran.

Pokok Pipal ini digunakan juga dalam perubatan Ayurveda. Kayunya itu mengeluarkan tannin yang digunakan untuk menyamak kulit. Daunnya pula, apabila dipanaskan dengan minyak sapi boleh digunakan untuk menempek luka.

Brahma Purana dan Padma Purana menyatakan tentang bagaimana asura telah mengalahkan para dewa. Dewa Wisnu Narayana pun bersembunyi dalam pokok Pipal. Makanya, pemujaan terus boleh dijalankan kepada dewa Wisnu menerusi semahan ke pokok Pipal tanpa perlu pergi koil atau pun menggunakan rupa-Nya. 

Skanda Purana pula menyebut bahawa pokok Pipal dianggap sebagai lambang kepada Dewa Wisnu. Baginda dipercayai dijelmakan di bawah pohon ini. Setengah orang percaya bahawa pokok ini merumahkan Trimurti. Akarnya itu Sang Brahma, kayunya itu Sri Wisnu dan dedaunnya itu Betara Siwa. Para dewa dikatakan bersabha di bawah pokok ini, jadi ia sering dikaitkan dengan pemahaman kerohanian. Pokok Pipal ini berkait rapat dengan Seri Kresna. Kata baginda yang tercatat dalam Bhagawad Gita, "Antara pohonan, aku lah itu Aswattha". Seri Kresna dipercayai mangkat di bawah pohon ini, sejurus selepas kemangkatan baginda bermula lah Kali Yuga iaitu masa kita berada sekarang ini.

Dalam Upanishad, buah dari pokok ini digunakan sebagai umpama bagi menjelaskan perbezaan antara tubuh dan jiwa. Tubuh itu seperti buah yang menjulur di luaran, merasai dan menikmati segala benda, manakala jiwa itu seperti biji di dalam buah yang menjadi saksi segalanya. Menurut Skanda Purana lagi, jika seseorang itu tiada anak lelaki, maka anggaplah pokok Pipal itu anaknya. Selagi pokok itu hidup, maka nama keluarga itu akan terus hidup.

Menebang pokok Pipal merupakan dosa besar, dosanya sama seperti membunuh seorang Brahmana. Ia merupakan salah satu daripada lima dosa besar atau Pancha Petaka. Skanda Purana menyatakan orang yang menebangnya akan terus masuk ke neraka!

Setengah orang pula menyentuh pokok Pipal hanya pada Saniwara (Sabtu). Brahma Purana menerangkan bahawa Aswattha dan Pipala dulunya adalah dua ekor asura yang mengganggu orang ramai. Aswattha akan mengambil rupa pokok Pipal manakala Pipala mengambil rupa Brahmana. Brahmana palsu itu akan menasihati orang supaya menyentuh pokok itu. Sebaik sahaja orang memegang pokok itu, Aswattha akan membunuh mereka. Mereka kemudian dibunuh oleh dewa Sani. Kerana pengaruh baginda, maka selamat menyentuh pokok Pipal pada Saniwara. Dewi Laksmi dipercayai juga mendiami pokok Pipal pada Saniwara. Maka Saniwara merupakan hari bertuah untuk menjalankan pemujaan kepada dewi di pokok tersebut. Wanita-wanita juga memohon pokok Pipal supaya memberi anugerah kepada mereka dengan karuniaan anak lelaki. Mereka akan mengikat kain merah atau benang warna merah pada batang pokok.

Pada bulan Amawasi, penduduk kampung akan menjalankan upacara perwiwahan simbolik antara pokok Semambu dengan pokok Pipal. Biasanya pokok-pokok ini ditanam berdekatan. Walaupun pengamalan ini tiada dasarnya dalam agama, tetapi ada pelbagai kepercayaan berkenaan dengan arti kepada perwiwahan pokok-pokok ini. Dalam kepercayaan begini, buah pokok Semambu mewakili Siwalinga dan unsur kelelakian. Daun pokok Pipal pula mewakili Yoni, iaitu unsur kewanitaan. Perwiwahan ini memberi gambaran kepada cetusan ciptaan melalui hubungan jenis dua jantina maka kedua-dua pokok ini diwiwahakan. Selepas upacara itu, penduduk kampung akan mengelilingi pokok-pokok bagi menerima tempiasan pengampunan dosa.

Pokok Pipal juga merupakan pokok suci bagi pengikut ajaran Buddha, karena Sang Buddha Gautama dipercayai menerima pencerahan baginda di bawah pokok Pipal. Maka ia dikenali juga sebagai pokok Bodhi atau pokok Pencerahan. Kalau jumpa pokok ini tolong jaga sebaik mungkin. Boleh juga diambil dan ditanam di kuil, rumah atau pura di kawasan anda. Minta bantuan pedanda Brahmana di tempat anda untuk mengambilnya bagi non-Brahmana. Bagi Brahmana, boleh ambil sendiri.       

Ahad, 13 Mei 2012

Pemakanan Sattva


Pemakanan sattva merujuk kepada pemakanan yoga atau pemakanan yang menjana kesedaran. Ia merupakan pemakanan yang berdasarkan kepada ajaran ayurveda, yoga, jina dan mempunyai tahap guna yang tinggi. Ia membawa kepada minda yang lebih jelas, tenang dan berguna kepada tubuh. 

Makanan tersebut termasuk lah air, bijirin, kekacang bertangkai, sayuran, buah-buahan, kacang-kacang, susu yang tidak terpastur dan asli, serta bahan-bahan berasaskan susu misalnya seperti minyak sapi, mentega, keju, krim dan susu masam. Selain itu madu asli juga dianggap sebagai sattva.

Pemakanan yang Tradisional

Kekacang dan bijian yang segar dan tidak digoreng melampau atau tidak digaramkan merupakan satu tambahan yang baik dalam pemakanan sattva. Ia diambil secara sedikit-sedikit. Setengah pilihan seperti kacang almond terutamanya yang dikupas dan direndam semalaman, kelapa, kacang pokok rhu, bijan, biji labu dan biji bunga matahari. Minyak yang digunakan pula harus lah dari kualiti terbaik dan diperah sejuk. Setengah pilihan minyak yang baik adalah minyak zaitun, minyak bijan dan minyak biji bunga matahari.  

Sayuran

Kebanyakan sayuran yang lembut dikira sebagai sattva. Sayuran tajam seperti cili, tomato, terung, bawang puteh dan bawang terkeluar dari senarai sattva. Makanan lain seperti cendawan dan kentang merupakan punca angin. Jadi cendawan dan kentang dikira sebagai raja dan tama. Kadang-kadang kesan buruk makanan-makanan ini boleh dielakkan dengan mengatasinya melalui penyediaan makanan yang baik. Amalan meminum jus sayuran segar bagus untuk prana, enzim-enzim hidup dan mudah diserap tubuh.

Bijirin Penuh

Bijirin penuh membekalkan keperluan tubuh. Setengahnya termasuklah beras organik, gandum asli, gandum spelt (Eropah), oatmeal dan barli. Kadang-kadang bijirin digoreng sedikit sebelum dimasak bagi membuang kualiti beratnya. Roti beryis tidak digalakkan kecuali jika dibakar. Gandum dan bijirin lain boleh dibela sampai bertunas sebelum dijadikan tepung. Setengah persediaan adalah dalam bentuk kichari (beras basmati perang atau putih yang dimasak dengan kacang hijau, minyak sapi atau rempah lembut), khir (beras dimasak dengan susu dan dimaniskan), chapati (roti penuh yang tak diperbuat dari tepung atta) dan roti yang diperbuat dari bijiran bertunas. Setengah yogi akan mengelakkan bijirin sepanjang amalan-amalan yang khas.  

Kekacang

Kacang hijau, lentil, kacang dhal, kacang kuda, kacang merah, kacang biasa, tauhu organik dan taugeh dianggap juga sebagai sattva jika disediakan dengan betul. Umumnya kacang yang kecil lebih mudah untuk dihadamkan. Penyediaan kacang termasuklah memecahkannya dua, mengupas kulit kacang, mengisar, menjadikannya tunas, memasak dan merempah. Kekacang yang digabungkan dengan bijirin penuh mampu memberikan punca protein yang lengkap kepada tubuh.  

Pemanis

Setengah yogi menggunakan madu yang selalunya dicampur susu dan sejenis gula mentah. Dalam setengah tradisi, gula dan madu dielakkan dari pemakanan.

Rempah-Ratus

Rempah sattva biasanya jenis lembut termasuklah daun selasih, buah pelaga, kulit kayu manis, ketumbar, jintan puteh, halba, halia segar dan kunyit. Rempah yang raja seperti lada hitam, cili merah dan bawang puteh dielakkan dari pemakanan. Kadang-kadang sahaja digunakan dalam kadar sedikit untuk membersihkan hingus dalam saluran pernafasan dan untuk melawan tama dalam badan.

Herba Sattva

Herba lain yang digunakan untuk menyokong sattva dalam minda dan semasa bertapa adalah ashwagandha, bacopa, calamus, pegaga, pegaga cina, jatamansi, purnavarnava, shatavari, saffron, shankhapushpi, tulsi dan mawar.

Makanan Merangsang

Kadang-kadang disebut juga sebagai makanan raja atau yang boleh bermutasi sering menyebabkan keletihan kepada minda. Tak sepenuhnya berguna dan tak sepenuhnya merosak kepada minda dan tubuh. Makanan yang tak dapat dikategorikan sebagai tetap atau tak tetap akan dimasukkan ke dalam kumpulan makanan ini. Makanan sebegini dikatakan membawa kepada sikap ganas dan pemikiran suka menakluk terutamanya orang lain. Makanan sebegini memberi tenaga dan membangunkan chakra manipura di pusat serta tubuh tetapi tidak membawa seseorang itu ke chakra yang lebih atas.

Jenis makanan ini termasuklah teh dan minuman berkafein, coklat, makanan pedas dan berempah, serta garam.   

Makanan Penyebab Khayal

Juga disebut sebagai tama atau melemahkan. Menurut sistem yoga, makanan ini jika diambil membawa kepada kelemahan minda dan tubuh. Ia menyebabkan minda menjadi mudah bosan dan tahap kesedaran yang tidak begitu stabil.

Bagi tubuh pula makanan yang membahayakannya adalah yang menyebabkan tekanan kepada anggota badan secara terus atau tidak langsung melalui ketakseimbangan tubuh. Makanan begini penting semasa waktu tekanan besar dan kesakitan. Ia mengurangkan kesakitan dan merendahkan kesedaran kita, jadi tubuh badan kita boleh sembuh sendiri. Makanan seperti ini dianggap penting pada masa tekanan besar dan peperangan.   

Makanan tama merangsang dan menguatkan dua chakra rendah kita tetapi tidak membantu pembangunan kita ke chakra tertinggi. Ia tidak baik terhadap kemajuan kita ke chakra tertinggi. 

Makanan sebegini termasuklah daging, ikan, bawang, bawang puteh, bawang besar, segala mak nenek daun bawang, cendawan, minuman memabukkan, ganja, dan makanan basi. 

Rujukan Sutra

Patanjali dalam Yoga Sutra bahagian Niyama menyebut perkataan tapa. Tapa disini termasuklah ahara niyam iaitu makanan yang bertepatan dengan jumlah sedikit. Jadi, niyama merupakan disiplin individu yang antaranya termasuk juga peraturan dalam tabiat pemakanan. Dalam sutra lain misalnya Hatha Yoga Pradhipika pun ada menyebut mengenai pranayam yang menekankan tabiat pemakanan yang menurut kaedah betul. 

Kehidupan yang Sattva


Sattva merupakan perkataan bahasa Sanskrit yang bermaksud harmoni, jelas dan seimbang. Ada tiga guna dalam kehidupan seharian kita:

1. Sattva
2. Raja
3. Tama

Ketiga-tiga ini wujud dalam semua benda di persekitaran dan alam sekitar kita. Ia juga wujud dalam pemikiran kita. Sattva atau suci bermaksud keadaan minda seseorang itu berada dalam tahap yang tenang, sedar, sentiasa baik dan sentiasa berjalan. Seorang yang berminda terlalu rajasik atau terlalu cergas akan melencong dan tak berhenti-henti pikir.

Pemikiran tamasik pula merupakan minda yang kosong, bosan dan lesu. Minda lesu membawa kepada kejahilan dan kemalasan. Makan makanan yang sattva atau suci serta mengikut gaya hidup yang sattva menurut ajaran ayurveda merupakan matlamat utama dalam mencapai kesihatan penuh bagi jasad dan minda. Konsep kesihatan dalam pemakanan dan kehidupan yang sihat sudah wujud beribu-ribu tahun lampau di India purba. Ia masih lagi relevan pada hari ini.