Rabu, 17 April 2013

Bangsa Hindu: Agniwangsa


Bangsa kesatria Hindu yang ini aku pasti jarang disebut di Asia Tenggara jika dibandingkan dengan Suryawangsa-Nagawangsa atau Chandrawangsa. Dalam itihasa Hindu dan kebudayaan Hindu, Agniwangsa dikatakan berketurunan dari dewa Agni. Dewa Agni adalah penyampai berita dari alam manusia ke alam dewata. 

Kimwadanti Agnikunda

Kimwadanti ini memberikan cetera tentang terbitnya kesatria dari wangsa Agni ini. Hakikatnya, ia cuba menerangkan asal-usul kaum kesatria berjati kesatria Rajaputra dan kesatria Agnikula di sebelah selatan. Ada banyak jenis cetera untuk kimwadanti ini.

Bhawishya Purana menceterakan tentang Parasurama yang merupakan jelmaan Betara Wisnu, menghapuskan segala puak kesatria di tanah itu. Dikatakan bahawa, resi Wasista menjalankan upacara yagna meminta prawadhana atau peruntukan supaya kebenaran dapat dilindungi di bumi. Kesannya, timbul seorang belia dari agnikunda atau pun api pengorbanan. Belia itulah yang menjadi rajaputra wangsa Agni yang pertama di muka bumi. 

Cetera lain pula menyatakan bahawa kelompok rajaputra dari agnikunda itu termasuklah puak Paramara, Bista, Gurjara-Pratihara, Chauhan atau Chahamana, dan Solanki. Puak Pratihara membuka kerajaan rajaputra pertama di Marwara di sebelah barat daya Rajastan pada abad ke-6 M. Kerajaan itu merupakan kerajaan yang terhebat selepas kerajaan Asoka dan Harshawardhana, kerajaan Chauhan di Ajmer di tengah Rajastan, kerajaan Solanki di Gujerat dan kerajaan Paramara di Malwa. Bhawisya Purana yang dibaca kini kemungkinannya mempunyai penambahan terkemudian, mungkin dari tahun 1850 pun ada.     

Banyak sekali catatan batu bersurat atau dokumen bertulis lain yang ditemui sejak seabad lalu yang membolehkan semua orang mengesan sejarah kaum rajaputra dan juga perkembangan cetera mereka dengan lebih lengkap. Cetera Agnikunda itu pertama kalinya dimuatkan dalam Nawasahasangka Carita oleh Padma Gupta. Ia merupakan cereka rekaan percintaan dengan perwiranya dikenali sebagai Sindhuraja, pelindung Padma Gupta. Dalam cetera ini, diceterakan bahawa nenek moyang Paramara dicetuskan dari api oleh maharesi Wasista. Selepas kejatuhan Dhara Paramara, cetera itu dimasukkan ke dalam batu bersurat dipasak oleh kerabat diraja. Kemudian, cetera diperkembang lagi bagi memasukkan juga dua atau tiga lagi puak rajaputra.

Ada juga setengah sarjana mencadangkan bahawa semua rajaputra itu tercetus dari Agnikunda. Sejarwan seperti Vincent Arthur Smith, K.M Munshi, D.B Bhandarkar menyatakan bahawa kesatria Agnikula antaranya adalah puak Gurjara-Pratihara dari bangsa Gurjara. Teori Agnikula ini mendakwa perkembangan turunan asal itu dari Suryawangsa juga.  

Selatan India

Selepas diteliti rujukan beberapa buku dan kajian oleh Aradani Bhanu Prakash Warma dari Kakinada, Andra Pradesh, tercatat bahawa, "Kesatria Agnikula kini di Andra Pradesh juga dikenali sebagai rajaputra Suryawangsa. Ada cerita mengenai gabungan dua wangsa puak rajaputra ini. 

Dalam Ramayana, menurut kepada saranan resi Wasista, raja Dasaratha dari Ayodhya menjalankan Yagna Putrakamesti dengan diperhatikan oleh Munni Resisringa yang pakar sekali dalam Yajurweda. Beliau mempunyai tatacara untuk upacara yagna tersebut. Selepas penyempurnaan upacara itu, dewa Agni muncul dan memberikan semangkuk manisan kepada raja Ayodhya. Manisan itu diberikan kepada tiga orang isteri raja supaya dibedakkan kepada anakanda baginda, Seri Rama, Laksamana, Bharata dan Shatrughna.

Oleh itu, kesatria Agnikula di Andhra Pradesh kebanyakannya bergotram Rawikula atau Raghukula. Dasarnya, kesatria Agnikula ini berasal dari India Utara dengan setengahnya menyebar ke Kerala melalui Gujerat, Maharastra, Goa, Karnataka dan ke Tamil Nadu. Mereka dikenali sebagai Pallawa atau pun Palli di selatan Andra dan sempadan negara Tamil dan kesatria Wannikula atau Wanniyar. Kemudiannya, setengah kesatria Agnikula dan Pallawa ini berhijrah ke rantau tepi laut di negeri Andhra Pradesh bagi menyelamatkan diri selepas kalah perang dengan wangsa Chola dan wangsa Pandiya.

Dalam bahasa Sanskerta juga, ada mantra kata omkara "Om" itu merupakan gabungan tiga aksara a,u,m. Kara 'a' mewakili nadi pingala surya, kara 'u' mewakili nadi ida wulan, dan kara 'm' mewakili nadi susumna agni. Kerana bangsa ini tercetus dari api di mata ketiga Betara Siwa, maka mereka dikenali sebagai 'ma' karulu di setengah rantau. Di mana sahaja tempat berpenempatan atau diperintah oleh kesatria Agnikula, kesatria Pallawa dan kesatria Wannir maka akan kelihatan juga koil ditujukan untuk Betara Siwa atau Betara Wisnu. 

Di negeri Tamil, di koil Sirkazhi Waidiswaran, batu bersurat tentang terbitan Agniwangsa ini disimpan selalu. Mereka menggelarnya sebagai Wanniyar Puranam. Ia menceritakan bahawa pada samaya purwa, ada dua asura dikenali sebagai Watapi dan Mahi. Mereka memuja Betara Brahma dan mendapat kekebalan dari kematian. Mereka kemudian bertindak kejam dan memerintah bumi. Atas permintaan para dewa dan begawan, Jambuwa Mahamuni atau Sambu Maharesi (resi Wasista) menjalankan Yagam atau Yagna dengan kesaktiannya. Tak lama lepas itu, muncul tentera berkuda dari cetusan api dikenali sebagai Wanniraja atau Rudra Wanniyan di selatan. Mereka turun ke bawah dan menghancurkan asura-asura lalu membebaskan bumi. Kepala mereka menggalas tanggungjawab memerintah negara dengan gelaran Sri Rudra Wanniya Maharaja atau Sri Wira Wanniyan. Anakanda baginda lima semuanya. 

Semua lima putera raja itu adalah nenek moyang jati Wanniyan. Mereka berpecah ke beberapa rantau dan mula menjadi pemerintah. Pandara Wanniyan antara raja Wanniyar yang terkenal. 

Kalakrama Agnikunda

949 M : Piring tembaga Harsola anugerah Siyaka menyebut Paramara sebagai keluarga Rastrakuta, langsung tiada sebutan tentang Agnikunda.

1005 M :  Padma Gupta menulis Nawa Sahasangka Carita semasaa pemerintahan Paramara Sindhuraja yang memerintah dari 995-1055 M di Dhara. Beliau menyebut mengenai puak Paramara dari Agnikunda oleh upacara resi Wasista untuk pertama kalinya.

1000-1055 M : Tak ada langsung sebutan tentang Agnikunda dalam piring tembaga dan batu bersurat raja Bhoja.

1042 M : Batu bersurat Wasantagarha menyebut asal usul Paramara dari Agnikunda.

1070-1093 M : Prasasti Udaya Aditya di Udaya Pura menyebut asal-usul Paramara dari Agnikunda.

Haribulan Tak Pasti : Prithwiraja Raso mengarang dan cetakan tertua langsung tak sebut tentang Agnikunda.

Haribulan Tak Pasti : Teks tak diketahui kemudian dicari untuk Ain-e-Akbari.

Ain-e-Akbari oleh Abul Fazl (1551-1602) menyebut cetusan Dhanaji dari Agnikunda, di suatu tempat di lembah Dekkan bagi melawan ajaran Buddha. Dhanaji datang ke Malawa lalu memerintah di situ. Apabila Puraraja dari turunan kelima mangkat tiada beranak maka seorang Paramara dipilih pula menggantikannya.

Kimwadanti Agnikunda dalam karangan Prithwiraj Raso menyatakan ada tiga puak iaitu Parihara, Chalukya dan Parwara dicetuskan dari Agnikunda. Dalam Bhawisya Purana pula disebutkan empat puak iaitu Paramara, Chauhan, Chalukya dan Parihara tercetus untuk menghapuskan pengikut ajaran Buddha semasa samaya maharaja Asoka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan