Kirata ini merupakan sabdawali atau istilah umum dalam sastera Sanskerta merujuk kepada mereka yang tinggal di pergunungan utamanya di Himalaya dan sebelah Timur Laut benua India atau pun mereka yang berasal usul dari jenis bangsa Mongol.
Ada teori juga mengenai kata kirata atau kirati ini membawa arti manusia dengan sifat singa. Ia dikatakan berasal dari gabungan kata kira yang bererti singa serta ti bererti orang. Rujukan singa ini serta penempatan di kawasan Himalaya memungkinkan hubungan mereka dengan jenis puak berkepala singa yang dikenali sebagai Kimpurusha.
Itihasa
Orang Kirat ini disebut bersekali dengan orang Cina dan berbeza pula dengan orang Nishada. Mereka pertama kalinya disebut dalam Yajurweda (Sukla 30.16; Kresa 3.4,12,1) dan dalam Atharwaweda (10.4,14).
Dalam Dharmasastra Manu (10.44), orang Kirata disebut bukan saja sebagai kelompok Kesatria yang dijatuhkan kedudukannya; tetapi juga berada di luar dari pengaruh tamadun Brahmana. Terdapat juga dakwaan bahawa sabdawali ini adalah dari proses pensanskertaan nama puak Tibeto-Burma, iaitu kaum Kiranta atau Kiranti dari Nepal sebelah timur.
Babad memberikan penandaan berdasarkan kedudukan muka bumi ditemui kaum tersebut. Dalam Mahabharata, Sang Bhima bertemu dengan kelompok Kirata di timur Wideha, di tempat kelahiran anakandanya Gatotkaca dilahirkan. Umumnya, penduduk Himalaya utamanya sebelah timurnya dikenali sebagai Kirata. Kulit mereka berwarna kuning keemasan, tak seperti kaum Nishada atau pun kelompok Dasa yang gelap-gelap.
Dalam Yoga Wasista 1.15.5, Seri Rama berkata, "kirartenewa wagura", bererti, "perangkap oleh kaum Kirata". Jadi, kira-kira abad ke-10 SM, mereka ini sudah pun dikenali orang dan dipikirkan sebagai pemasang jerangkap samar dalam hutan, yang menggali lubang untuk menangkap pelanduk berkeliaran. Teks yang sama juga bercakap mengenai raja Suraghu, yang merajai kaum Kirata dan menjadi rakan pula kepada raja Parsi, raja Parigha.
Kesarjanaan Kini
Sylvain Levi (1985) menyimpulkan bahawa kata Kirata ini merupakan sabdawali umum digunakan oleh orang Hindu dari kawasan rata merujuk kepada penutur bahasa Tibeto-Burma di banjaran Himalaya di Timur Laut.
Kepercayaan Agama
Orang Kirata mengamalkan kepawangan yang dipanggil sebagai agama Kirata. Mereka mempunyai kitab suci sendiri iaitu Kirata Mundhum. Orang Kirata suku kaum Rai memuja alam sekitar dan juga nenek moyang mereka. Kedua-dua kepercayaan animisme dan kepawangan ini diwarisi dari nenek moyang mereka zaman purwa lagi. Sumnima dan Paruham merupakan kebudayaan dan amalan keagamaan mereka. Nama-nama perayaan mereka seperti Sakela, Sakle, Tashi, Sakewa, Saleladi Bhunmidewa, Chiyaburung, Yokwa, dan Pholsiyandar. Perayaan Sakela Ubhauli dirayakan semasa musim menyemai dan Sakela Udhauli semasa musim menuai.
Mundhum atau Peylan merupakan kitab agama mereka dan kesusasteraan rakyat mereka yang di Nepal. Mundhum artinya "kuasa dari kekuatan agung" dalam bahasa Kirata. Mundhum banyak mencakupi ciri kebudayaan orang Kirata, kebudayaan dan tradisi yang wujud sebelum timbulnya kebudayaan Weda di benua Hindu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan