Terjemahan oleh NG
Berapa banyak jenis hantu yang ada dan macam mana ya rupa mereka? Abhidharmanyayanusara menyatakan bahawa ada tiga jenis hantu semuanya.
A. Roh Mewah
Roh ini mewah sama macam manusia. Menerima banyak jenis sembahan dan juga tak pernah berkeinginan dengan makanan atau pun persalinan. Contoh roh jenis ini termasuklah mereka yang dimuliakan di tempat penyembahan untuk nenek moyang atau mereka yang dihormati sebab kesaktian dan restunya.
B. Roh Tak Begitu Mewah
Jenis roh ini pun sama macam manusia hidup. Walaupun dapat semahan, tapi masih kuranglah daripada roh-roh mewah.
C. Roh Papa
Roh jenis ini pun sama macam orang gelandangan. Tak ada tempat tinggal. Kadang-kadang makan dan kadang-kadang tidak makan. Kehidupan pun bergantung kepada pemberian orang saja. Untuk kebanyakan masa, jenis roh ini selalu berkeliaran sendirian di tempat-tempat jin bertendang dalam dunia. Hanya apabila ada penyemahan tertentu untuk mereka di biara atau koil saja maka mereka mendapat makanan.
Pandangan Abhidharmmaha Wibhasa
Sastera Abdhidharmmaha Wibhasa menyatakan bahawa ada dua jenis roh orang yang sudah mati....
A. Roh Bermaruah dan Ternama
Jenis roh yang ini adalah kuat dan tinggi. Memakai hiasan diri di kepala, berbunga malai dan persalinan indah. Makan makanan pelbagai dan menaiki kereta ditarik kuda atau gajah. Ada pelayan yang melayan mereka dan mengikut mereka. Di mana sahaja mereka berada pasti gembira suka bahagia. Mereka ini macam kerbat diraja dalam alam manusia hidup. Dewa rakyat Cina, seperti Cheng Huang Laoye adalah jenis roh sebegini.
B. Roh Tak Bermaruah dan Hina
Jenis ini rambutnya serabut, tertutup habis mukanya. Baju koyak-koyak, kadang-kadang tak berpakaian langsung telanjang bulat. Muka pucat dan buruk. Selalu membawa mangkuk minta sedekah yang lama dan pecah. Mereka ini lebih kurang peminta sedekah dalam alam manusia yang jatuh pokai lah.
Rupa Roh Orang Mati
Prettam
Roh orang mati ini terbahagi kepada pelbagai kumpulan sama ada kecil atau besar. Yang besar-besar sekurangnya setinggi satu yojana, berdasarkan kepada pengiraan Hindu. Satu yojana sejauh tujuh batu. Boleh bayangkan tidak? Mereka ini jenis makhluk yang besar-besar. Dalam bahasa Cina, yang ini selalu disebut sebagai hantu kepala besar sebab kepalanya besar macam gunung. Tapi tekaknya pula sempit sebesar jarum saja jadi tak boleh lah nak menelan makanan. Sebab itulah, mereka ini lemah dan terpaksa gunakan tongkat untuk berjalan. Rambut panjang, kusut masai dan kotor. Berbeda dengan hantu kecil yang sebesar bayi baru lahir sahaja.
Ada juga yang lawa dan yang buruk. Yang lawa selalunya nampak macam dewa-dewi tapi dia bukan dewa-dewi lah. Yang buruk pulak dengan hidung jatuh dan luka di badan berdarah-darah mercik nanah semua. Ada roh mulia yang mewah, dan yang miskin hina nak mampus. Roh mulia ini macam Raja Hantu Kesaktian Agung yang dihormati orang ramai. Yang rendah-rendah pula adalah yang sebatang kara berkeliaran merata-rata. Roh ini tak kira kaya atau miskin, lawa atau buruk, yang mulia dan ternama, yang kecil dan sebagainya semua mewakili manusia dalam beberapa segi. Mereka bukan berdiam dalam petala neraka. Pernahkah anda sedar kehadiran mereka dalam dunia ini?
Guru Dhyana, bernama Ju Man pernahlah berkawan dengan seorang lelaki bernama Wang. Apabila Wang meninggal, Guru Ju Man mengadakan upacara menurut dharma Buddha serta membaca sutra supaya membantu rakannya itu untuk masuk ke penjelmaan seterusnya. Setahun selepas kematian Wang itu, Guru Ju Man keluar ke Yangzhou di wilayah Jiangsu. Semasa di perjalanan, Guru Ju Man tiba-tiba nampak kawan lamanya itu berdiri depannya. Guru Ju Man terpegun bila terpandang kawannya itu. "Kau ni belum mati lagi kah? Macam mana kau boleh ada di sini siap berjalan-jalan lagi?" tanya Guru Ju Man.
Wang cepat-cepat menongkah, "Shhh, janganlah cakap kuat-kuat. Ikut saya ke dalam gunung dan biar di sana saja kita bercakap panjang". Bila kedua mereka sampai ke cenuram gunung, Wang berkata, "Tuan, biar aku ceritakan. Aku ini bukannya manusia lagi. Aku ini cumalah roh saja. Aku tak pernah pun berbuat jahat dan selalu tolong orang ramai semasa hayat aku. Tambahan pulak, tuan pun ada bacakan untuk aku sutra-sutra selepas aku mati. Jadi, Raja Yama melantik aku menjadi penyiasat untuk baginda dalam alam manusia ini". "Hebat, jadi apakah kau ini menjadi penyiasat roh atau hantu?!", Guru Ju Man menyatakan rasa kagumnya sambil bertanya.
Wang menjelaskan lanjut lagi, "Kerja saya ini adalah untuk membuat catitan tindakan-tindakan orang yang masih hidup berkaitan dengan pembunuhan, rasuah, kecurian, kekejaman dan sebagainya. Saya mencatitkan segala yang saya lihat serta melaporkannya kepada baginda Raja Yama. Baginda Raja Yama akan menyimpan segala catitan ini dan memastikan segala tindakan itu dibalas seadanya. Yang membunuh akan dibunuh pula selepas itu. Yang mencuri itu nanti akan dicuri pula daripada mereka serta lain-lain". Selesai bercakap, Wang meraba pakaiannya dan menarik bunga merah lalu memberikannya kepada Guru Ju Man sebagai tanda berterima kasih kepada kebajikan beliau ke atasnya semasa dia masih lagi hidup sebagai manusia. Guru Ju Man bila ternampak bunga itu terus menolak, "Aku ini cuma seorang pertapa buat apa lah aku diberikan bunga ini?".
Wang berkata, "Bunga ini bukan bunga biasa, wahai tuan. Bunga ini jika dipegang oleh tangan tuan nanti akan memberitahu tuan yang mana manusia yang mana roh". Guru Ju Man bertanya lanjut, "Macam mana bunga yang dipegang di tanganku ini boleh membantu aku dalam hal itu?"
"Kalau tuan berjalan dengan bunga ini di lorong-lorong, seorang yang baik tidaklah akan memandang tuan. Hantu pula akan memandang bunga itu dengan penuh minat. Jika orang itu memandang bunga itu dan cuba menarik perhatian tuan maka tuan akan tahu bahawa itu adalah hantu suka menunjuk. Jika yang melihat bunga itu melihat kepada tuan, tahulah tuan nanti bahawa dia itu hantu gatal. Jika hantu itu melihat bunga itu lalu melihat dirinya sendiri, tahulah tuan bahawa dia itu hantu tamak. Jika hantu itu melihat bunga itu lantas menyapu-nyapu tangannya, maka tahulah tuan yang itu adalah hantu penipu".
Kemudian Guru Ju Man dan Wang pun berpisah. Guru Ju Man berjalan ke pekan membawa bunga di tangannya. Orang pertama yang datang mendekatinya itu berjalan terus tanpa memerhatikan pun bunga itu. Katanya dalam hati, "Bagus, ini mungkin seorang yang baik". Kemudian guru berjalan jauh lagi dan nampak seorang wanita bergaya berpakaian cantik. Dia mula melihat bunga itu lalu menampar-nampar pipinya sendiri. "Oh tidak, ini mesti hantu menunjuk-nunjuk!", getus hati Guru Ju Man.
Tak lama lepas itu, ada lagi seorang lelaki berpakaian elok mendekati Guru Ju Man. Dia melihat bunga itu lalu memandang Guru Ju Man. Kemudian dia berkata, "Hmhhh, ini cuma seorang pertapa tua saja". "Oh tidak, ini mesti hantu gatal!", guru bercakap sendirian tak senang hati. Guru Ju Man meneruskan perjalanannya, dan tak lama lepas itu ada seseorang memandang bunga itu dan memandang dirinya sendiri. "Oh, tidak ini mesti hantu tamak!", jerit hati Guru Ju Man.
Guru Ju Man berpusing dan masuk ke lorong lain. Jauh ke dalam lorong ada lagi seorang memandang bunga di tangan beliau dan menyapu-nyapu tangannya. "Oh, tidak aku terserempak dengan hantu penipu. Bunga ini memang ajaib. Lihat saja apa yang ditunjukkannya kepada aku!". Guru Ju Man berjalan lagi dan berpikir apa lagi yang akan ditemuinya. Tak lama lepas itu, beliau sampai di depan gerbang koil. Beliau pikir tidak sopan memegang bunga warna merah bila masuk ke koil. Jadi bunga itu dibuangnya ke tanah dan beliau pun masuk ke gerbang. Sebaik saja beliau berada di dalam gerbang koil, beliau terdengar hiruk pikuk bising di belakangnya. Beliau memusingkan badan melihat dan ternampak hantu-hantu di pekan tadi sedang berkelahi berebut bunga yang dilemparnya tadi. Rupanya, mereka mengikuti beliau sejak dari pekan tadi. Akhirnya, seekor hantu berjaya mendapatkan bunga itu. Sebaik saja hantu-hantu lain berhenti melihat ke bunga, Guru Ju Man nampak bunga merah yang cantik itu bertukar menjadi seketul tulang orang mati.
Dalam dunia ini, kadangkala kita cuba sekuat mungkin mendapatkan kemewahan, nama dan kuasa tapi akhirnya apa yang kita dapat? Bukankah macam cerita ini juga pengakhirnya? Akhirnya yang tinggal dengan roh kita itu cuma sebaldi tulang tua dan kotoran dari daging reput saja.
Pepatah penganut Buddha tua berkata, "Hari ini kita tak tahu tentang besok. Kenapa nak bazirkan masa dengan pertelingkahan, pertikaman lidah dan pergaduhan?" Makanya, tak patutlah kita bergaduh sebab bunga dan kemuliaan palsu yang menyia-nyiakan hidup. Patut kita bekerja secara jujur dan sesungguhnya mencapai matlamat hidup yang lebih bermakna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan