Isnin, 22 April 2013

Mistik: Tempat Tinggal Roh

Oleh Bapa Bhagyasali
Terjemahan dan adaptasi oleh NG


Manusia ini tinggal di bumi dalam alam manusia. Tapi di manakah tempat hantu atau roh-roh ini berkeliaran dan meneruskan kehidupan mereka selepas keluar dari tubuh manusia atau sebagainya yang legap? Dalam kehidupan sebagai manusia itu ada kesenangan dan kesakitan. Apakah pula yang menyakitkan hantu atau roh-roh ini?

Abhidharma Mahawibhasa Sastram

Bagi penganut agama "langit", mereka mungkin mengatakan penganut "agama-agama" yang menurut dharmma itu memuja setan.  Agama itu sendiri bagi kita berasal dari kata bahasa Sanskerta atau bahasa Hindu golongan pinandita. Ia terserap ke dalam bahasa Melayu kerana orang Melayu sekitar abad kesatu masehi lagi sudah menganuti bentuk ajaran Brahmana dan ajaran Buddha sebelum kedatangan kelompok pendita dari Timur Tengah yang kemudian menyerap kata "agama" itu untuk diartikan dengan perkataan "religion". Arti agama itu, kitab suci atau kesusasteraan mengenai kerohanian, disiplin untuk pengikut, ulasan kitab suci serta sebagainya yang berkaitan. 

Pada pemahaman kita pula, pengamal dharmma dan jalan para Arya itu sebenarnya memberikan tabik hormat kepada segala makhluk; yang kelihatan atau yang ghaib jika menurut kepada gaya bahasa penganut agama "langit". Sama ada kelihatannya pengamal dharmma itu tertungging di depan "berhala" yang mewakili tokoh-tokoh yang dihormati atau pun tidak itu bukan perkara penting. Boleh sahaja menghormati roh-roh makhluk dalam alam ini atau para guru tanpa sebarang "bahan tumpuan". Tiada dosanya langsung. Bagi pengikut ajaran Brahmana pula, bentuk murti yang dikatakan dipuja itu cuma lambang suci bagi dewata atau lain-lain "diri" dalam jagat raya ini. Segala bentuk amalan itu adalah perlambangan kepada disiplin diri yang sepatutnya dijadikan sebagai tauladan dalam melayani segala makhluk berperasaan. Di India Selatan pun, lambang lingam dan yoni banyak digunakan. Lambang trisulo pun ada digunakan dengan dipacak di tanah bagi mewakili Betara Guru yang menunjukkan jalan tapa kepada pengikut. Kalau tak ada pun bukannya masalah besar terutamanya bagi mereka yang sudah mencapai siddhi tertentu.   

Tempat Berdiam Roh

Dalam sastra ini, diceterakan bahawa roh yang banyak punyamnya itu berdiam di lembah-lembah pergunungan serta di cenuram-cenuram, di pantai-pantai lautan di bumi, di udara, di hutan atau pun di koil-koil tempat mereka menerima tabik hormat atau dipuja. Jenis roh tak bertubuh legap yang ini samalah macam manusia yang tinggal di rumah-rumah apartment tingkat atas sekali atau di resort mewah dalam kelab-kelab desa. Roh yang papa pula tinggal di kawasan terpencil seperti kuburan, di busut-busut, di longgokan tanah atau pun di kayu-kayu, di jamban dan di kawasan yang ditinggalkan orang. Roh papa ini tiada tempat berdiam atau pun rumah. Mereka berkeliaran tanpa tujuan seperti peminta sedekah, terdedah sepenuhnya kepada unsur alam seperti angin dan hujan. Disebabkan hal ini, maka mereka diselaputi oleh rasa benci yang menyebabkan mereka dikenali sebagai hantu.

Setengah roh itu menderita teruk dan setengahnya pula menikmati kehidupan mereka sebagai hantu sedih. Roh yang menderita merasai kelaparan peringkat kebuluran dan dahaga yang tak terhingga. Mereka tak boleh makan atau minum pun walaupun mereka nampak sungai mengalir depan mereka. Kalau dicuba juga minum, maka air akan berubah menjadi api membara dalam tekak mereka. Kalau diletakkan makanan yang enak-enak sebagai semahan pun tiadalah guna kerana kebuluran mereka itu tidak akan berakhir begitu saja. Jika mau membantu mereka, beri saja semahan yang ringkas seperti buah-buahan dan sayuran seperti dalam sutra Ullambana. Melalui pahala dan restu yang dibacakan dari kata-kata Buddha dan mantra Brahmana, maka api dalam tekak hantu itu boleh dihilangkan dan membolehkan mereka makan. Janganlah disemahkan korban mangsa atau daging pula kerana perkara ini akan menambahkan karma buruk serta derita mereka!  

Sutra Ksitigarbha menyebut bahawa pahala dalam pembacaan kata dari sutram serta memberi semahan kepada roh itu, enam daripada tujuh bahagiannya memberikan manfaat kepada manusia sedangkan hanya sepertujuh sahaja yang memanfaatkan si mati. Melalui sebutan ini, bolehlah dilihat kepentingan menggunakan masa kita sebaiknya semasa masih sihat dalam menjalankan kebajikan sebanyak yang mungkin sebagai bekalan pahala selepas roh meninggalkan jasad. Kalau kita tunggu waktu nazak dah nak mati, waktu roh ditarik oleh nariyabalan dari jasad sudah lewat lah. Orang lain pun tak mampu nak menghantar pahala kebajikan sebanyak yang diperbuat diri sendiri kerana mereka pun sibuk dengan hal mereka.  

Roh yang suka itu menikmati semahan makanan yang enak dan menerima persalinan bagus. Ada wahana untuk mereka jadi mereka mendapat kesenangan dalam kehidupan selepas mati untuk sementara itu. Roh yang bahagia itu disebabkan kebajikan mereka terhadap makhluk lain semasa hayat dalam tubuh manusianya. Tapi mereka masih lagi berada dalam alam hantu itu disebabkan mereka selalu berasa menyesal berbuat kebajikan selepasnya atau rasa kedekut ada dalam hati semasa hendak memberi dana derma. Walaupun senang berkeadaan begini di alam hantu atau alam roh, tapi waktu yang baik untuk berbuat kebajikan dan menjana karma baik itu adalah waktu bertubuh manusia. Roh begini sangatlah jinak dan hanya berani berkeliaran di lewat malam. Mereka takutkan cahaya dan tidak pernah muncul di siang hari. Kalau terserempak manusia pun mereka akan lari sembunyi di tempat gelap kerana takut hendak menyentuh manusia. Bila kita sudah pahami bahawa hantu itu takutkan manusia hidup, maka kita pun tidak perlu lagi berasa takut sangat dengan hantu, bukan begitu?

Cerita Hantu Diganggu Orang

Kadangkala, manusia secara tak sengaja mengacau hantu. Di negara Taiwan, ada tradisi kampung yang mengahwinkan anak gadis yang meninggal dengan seseorang yang hidup supaya dia akan mempunyai tempat di meja pemujaan keluarga seseorang. Ceritanya begini, ada sepasang suami isteri yang berusaha keras mencari lelaki untuk dikahwinkan dengan anak gadis mereka yang meninggal dara. Anak gadis itu tidak berkahwin sebab dia tidak mau berkahwin. Perbuatan mereka memaksanya berkahwin walaupun selepas mati telah menyebabkan jiwanya marah lebih lagi maka dia menyebabkan lebih kesengsaraan kepada keluarganya itu! Rohnya itu muncul lalu berkata, "Wahai ibu, wahai bapak, semasa aku ini masih hidup kamu telah memaksa aku berkahwin bagi meneruskan keluarga orang lain. Kini sesudah matiku menjadi roh pun kamu masih memaksa aku berkahwin!!"

Kerana lelaki muda yang mengahwini rohnya itu dipikirkan tiada berguna kerana mengahwini hantu sepertinya, maka roh gadis itu menyusahkan "suaminya" terus-terusan. Pada malam perkahwinan mereka, gadis itu mendatangi "suaminya" itu dan memukulnya di kepala, meninju telinganya dan menghentam mukanya. Dia terus memukul dan menolak lelaki itu sepanjang malam. "Pengantin lelaki" itu tidak nampak langsung "pengantin perempuan" itu tetapi menjelang siang, didapati wajahnya itu bengkak seperti ditumbuk-tumbuk. Keesokan harinya, lelaki itu menghantar semula papan nama pemujaan roh gadis itu kembali kepada ahli keluarganya semula kerana tidak tahan diperlakukan begitu.      

Kenapakah manusia melakukan perkara jahil-jahil begini?? Tidakkah pelik seorang itu dianggap bersama dengan seekor hantu dan meletakkan papan nama pemujaannya di sanggar sembahan keluarganya? Apa kebaikannya berbuat begini? Di Taiwan, setengah orang ada pula mengamalkan adat membakar kertas-kertas yang dibentuk menjadi seperti kereta, rumah, wang Amerika Serikat, set televisyen, peti sejuk dan lain-lain barangan. Katanya perkara ini semua akan dihantar ke alam roh atau alam hantu supaya boleh dinikmati ahli keluarga yang sudah meninggal. Asap dan api itu dianggap menyampaikan perkara itu semua ke alam roh. 

Kebenarannya wahai tuan-tuan budiman sekelian, hantu atau roh itu mempunyai lima jenis kesaktian. Mereka boleh bergerak sesuka hati mereka dengan hanya menggunakan pemikiran. Mereka tidak memerlukan kereta pun. Kalau digunakan kereta, tentu saja lebih lambat daripada menggunakan kesaktian mereka. Jika seseorang itu membakar kereta kertas untuk ahli keluarga yang disaayangi, sudah tentulah neraka nanti dipenuhi oleh kereta. Akan terjadi kemalangan jiwa di sana dan tiada siapa pun yang akan boleh ke mana-mana selepas itu. Dalam alam manusia ini, perkakasan rumah berkuasa sama ada 110 watt atau pun 220 watt. Jika tidak ada sambungan yang betul dalam neraka, tak berguna juga segala perkakasan itu. Matawang dollar diterima hampir di seluruh dunia, tapi kita pasti kah yang ia diterima di neraka? 

Hantu atau roh orang mati ada cara hidup mereka sendiri. Kita tak perlu terlampau sibuk hendak menjaga mereka. Yang kita sayangi yang meninggal dunia itu mungkin dijelmakan di sorga loka atau pun dijelmakan kembali dalam tubuh manusia. Kita tidak pasti yang mereka menjadi hantu dan hidup sedih sahaja memerlukan bahan-bahan keperluan hidup sama seperti manusia hidup. Jika kita hendak menghormati nenek moyang, tak perlulah dibakar wang kertas kerana wang kertas itu cuma menjadi selonggok abu tak berguna. Lebih baik didermakan wang itu kepada manusia lain yang memerlukan dengan meletakkan nama nenek moyang supaya kita boleh menghantar pahalanya itu kepada mereka. Kita boleh bangunkan sekolah, mewujudkan biasiswa, dan berbuat pelbagai lagi kebajikan dengan nama mereka. Dengan cara ini maka nenek moyang pun mendapat pahala yang mengalir di alam manusia serta menjana karma kebajikan mereka di alam yang satu lagi itu.

Cerita Roh Menipu Orang

Dalam kesusasteraan Cina, ada lagi cerita yang menarik dan jelas tentang hantu. Sekali itu, ada roh yang baru saja meninggalkan jasad manusianya. Sebagai roh baru, dia mendapati bahawa dia kurang pengalaman dan tak dapat nak cari makan langsung. Jadi, dia mula terasa lapar dan terjumpa hantu tua. Hantu tua berkata, "Hai orang muda, kenapa kau ni kurus sangat dan muka kau pun pucat lesi??" Roh baru menjawab, "aku baru saja menjadi bentuk roh ini beberapa hari", "aku tak berjaya mencari sesuatu pun untuk dimakan. Sebab itulah rupaku teruk. Kawanku, kau dah lama jadi roh. Cubalah kau ajarkan aku cara cari makan." "Mudah saja kawanku", jawab hantu tua itu. "Aku selalu saja bermain muslihat hantu dan menggunakan kuasa ghaib. Itu saja cara aku mendapat makanan". "Jadi begitu caranya kau lakukannya", kata hantu baru itu. "Pahamlah aku kini". 

Hantu baru suka hatinya dengan pemahaman baru itu segeralah berlari ke timur kota. Dia memasuki rumah seorang miskin dan di situ ada orang mengisar tepung. Sebaik sahaja mendapat peluang, dia melangkah ke roda pengisar lalu menggerakkannya. Bila orang dalam rumah itu nampak roda itu berputar sendiri, maka dia pun terjerit kerana terkejut, "Mak oiiii, roda ini berputar sendiri lah. Tapi tak ada orang pun yang memegangnya!!!! Mesti ada hantu di sini! Mesti baginda Buddha yang Penyayang yang menghantar beliau ke sini membantu kita yang papa kedana dan teruk bekerja!"

Hantu baru terus mengisar tepung sepanjang malam. Penatlah dia dan matanya pun mengantuk. Tapi menjelang subuh pun dia masih belum dapat makanan lagi. Jadi dia kembali ke hantu tua semula. "Woi, si tua! Kau yang suruh aku bermain muslihat hantu supaya dapat hidup yang lebih baik!", jerkah hantu baru kemarahan. "Aku ikut segala saranan kau. Bekerja sepanjang malam, tapi aku tak dapat apa pun untuk dimakan!"

"Tongong sungguh engkau ini", kata hantu tua. "Rumah tempat kau pergi tu rumah penganut ajaran Buddha! Penganut ajaran Buddha manalah takut dengan hantu macam kau tu. Kenapa dia nak berikan semahan untuk kau makan pula?!" "Begitukah? Baru aku tahu. Baiklah, aku cuba tempat lain pula malam ini", kata hantu baru. Malam itu, dia menyelinap di celah bayangan dan pergi ke rumah lain di bahagian timur kota di tempat orang menghentam padi. Dia mengangkat penumbok padi dan mula menghentam padi untuk orang di situ. Bila dilihatnya mereka, maka terkejutlah sambil berkata, "Hebat, tengoklah itu! Semalam baginda Buddha menghantar seekor hantu ke rumah seseorang untuk membantunya mengisar tepung. Malam ini Lao Tzu pula menghantar seekor hantu menghentam padi untuk kita!

Hantu baru bekerja keras sampai ternampak matahari menyingsing di ufuk timur dan kedengaran ayam jantan berkokok. Tangan dan belakangnya terasa sakit, penatlah seluruh tubuh halus itu tapi satu apa pun tak dapat untuk dimakan. Dia pulang bertemu hantu tua dengan rasa lebih marah lagi. "Oi, si tua! Cuba kau jelaskan kenapa aku tidak disemahkan dengan makanan??? Aku tak paham!!!!"

"Kawanku orang muda, penduduk di sebelah situ adalah penganut ajaran Tao. Bukan saja mereka tak takut dengan hantu, sebaliknya kau pun mungkin dicekup oleh mereka!" "Jadi apa patut aku lakukan? Aku kena kelaparan beginikah siang malam? Susahlah aku begini!", kata si hantu muda.

"Macam inilah", jawab si hantu tua. "Kau pergi ke rumah yang tiada rupa Buddha atau pun lambang dewata penganut ajaran Tao. Di situ, segala benda pun ada".  

Hantu baru mencari di segenap pelosok kota dan akhirnya bertemulah dengan sebuah rumah tanpa sebarang lambang dewata atau pun rupa Buddha. Di dalamnya, ada sebuah bilik yang di dalamnya ada orang sedang menikmati hidangan ikan, daging, sayuran dan tuak. Apabila hantu baru nampak makanan yang enak begitu terliur lah dia. Dia mula berpikir bermacam cara supaya mereka itu memberinya makanan. Lalu ternampaklah dia seekor anjing kurus yang tempang sebelah kakinya di bawah meja mengibas ekornya menunggu orang membalingnya tulang. Hantu itu memegang anjing itu dan mengangkatnya supaya nampak ia seolah-olah beterbangan seluruh bilik itu. "Tengok tu!!!!" jerit seorang lelaki. "Pelik, anjing tu boleh terbang macam itu! Ada orang baca jampikah di sini???"

Seluruh bilik pun riuh rendah melihat anjing itu terbang ke sana ke sini. Seseorang menyarankan supaya diseru Yesus Kristos supaya membantu mereka meredakan keadaan. Seorang lagi berkata, "Mengarutlah, Yesus boleh membantu manusia berubah, tapi baginda tak mampu berbuat apa pun bila ia berkaitan dengan hantu!

Seseorang lagi berkata, "Jom kita baca kata-kata hikmat Konfusius kuat-kuat. Mungkin ia membantu menghalau hantu!" Lalu disahut seorang lelaki, "Tak payahlah, kau dah lupa kah yang Konfusius menolak untuk berbicara mengenai hantu? Beliau suruh kita jauhi hantu! Bagaimana beliau akan membantu kita?"

Perkara itu terusan dengan orang ramai bertengkar untuk beberapa lamanya. Akhirnya mereka berkeputusan untuk menyeru hantu itu menerusi pawang hantu itu supaya boleh diredakan keadaan itu. "Hantu ini sudah merasuk anjing ini. Bunuh saja anjing ini dan sediakan meja sajian dengan tiga jenis daging dan tuak. Mungkin ini akan menenangkannya!". Orang ramai pun berbuatlah seperti arahan dan menyediakan banyak sesajian untuk hantu itu, dan hantu pun menikmatinya. "Hebatnya!" kata hantu selepas menikmati sajian. "Makanan semua sedap!" Hantu baru mula terasa berat hati hendak meninggalkan rumah itu. Setiap malam dia mula membuat muslihat baru supaya mendapat lebih banyak makanan. Jadi cubalah lihat, inilah caranya anda menjemput roh kelaparan masuk dalam rumah anda.  

Pengajaran Aryadharma

Dalam hidup ini, kita mestilah berhati-hati dan melayani makhluk semua dengan kebajikan. Kita juga mesti berpada-pada dalam kebajikan. Ada pepatah, buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali. Yang dimaksudkan itu berkaitan juga dengan hal ini. Janganlah menjemput hantu atau roh masuk ke rumah anda! Setengah orang itu terkena dengan roh pembunuh atau penyamun. Jika kita meminta walaupun seorang yang sebegitu membantu kita, dunia kita sebenarnya sudahlah jatuh dalam masalah yang diperbuat tangan sendiri. Kita mungkin kehilangan nyawa pula sebagai taruhannya. 

Di Taiwan dan di merata tempat di dunia pun, adat jahiliah ini tetaplah terjadi. Orang memuja kepada hantu, pokok, batu dan hampir segalanya. Memang setiap benda itu mempunyai nyawa dan jiwa tetapi bukan semuanya itu patut disajikan dan disemahkan. Jika adat ini diikuti membuta tuli maka segala mak nenek roh dan hantu atau roh jahat pun dihormati sebagai tetamu pula. Nanti akan membawa padah kalau yang dijemput itu bukannya roh yang baik.

Kita harus berhati-hati dengan memberi tabik hormat hanya kepada mereka yang benar-benar layak sahaja, iaitu mereka yang mulia pada hayatnya seperti para guru. Bagi penganut ajaran Buddha, kita memastikan keselamatan dan kebajikan dengan cuba sebolehnya menjauhi mereka yang mengamalkan pemujaan semangat atau pun yang mengamalkan ilmu kesaktian kerana bimbang dengan unsur-unsur yang tidak ditapis itu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan