!Om!
Pengenalan
Muniswarar ini merupakan sejenis dewata Hindu. Muni disini artinya "yang suci" dan iswara mewakili baginda Betara Siwa. Baginda Muniswarar ini merupakan satu bentuk titisan jelmaan Betara Siwa. Baginda dipuja bersama dengan Kula Dewata dalam kebanyakan keluarga penganut Hindu aliran Saiwa di negara aku. Kalau bertandang ke sini, pergilah melawat ke sanggar-sanggarnya dan melihat cara pemujaan. Pasti ia menjadi pengalaman menarik tuan-tuan.
Terbitan
Dewi Sati (Daksayani) merupakan puteri bongsu baginda Daksa Raja yang menjadi ketua dewata. Apabila dewi Sati membesar baginda jatuh hati pada Betara Siwa. Dalam diamnya memuja baginda Betara Siwa. Dalam Sayembara Sati, Raja Daksa menjemput semua dewata dan putera kesatria kecuali baginda Betara Siwa. Dewi Sati melemparkan bunga malainya ke udara dan menjerit meminta baginda Betara Siwa supaya menyambutnya. Dewi Sati memaut baginda Betara Siwa di tengah khalayak ramai dengan bunga malai terkalung di leher.
Baginda Daksa Raja tiada pilihan terpaksalah mengahwinkan baginda dewi Sati dan Betara Siwa. Suatu hari baginda Daksa Raja membuat persediaan Aswamedha Yagna. Dewata semua dijemput kecuali baginda Betara Siwa. Dewi Sati rasa terhina lalu pergi ke kenduri tersebut hanya untuk mendengar cacian terhadap Suami. Baginda dewi Sati melepaskan kemurkaannya dengan api dalam lalu jatuh terbakar di kaki ayahandanya.
Baginda Betara Siwa murka dengan berita yang diterimanya. Baginda mencabut satu ikatan rambutnya dan ia bercahaya dengan sakti yang dilemparkan di atas bumi. Muncul darinya Sang Wirabhadra darinya, tinggi tubuhnya mencapai sorga tinggi, kelam seperti awan hujan, beribu tangannya, tiga mata berapi dan rambut yang menakutkan. Di lehernya itu seikat tengkoran dan dipegangnya senjata yang maha dahsyat!
Wirabhadra bersujud di kak Betara Siwa seraya meminta arahan. Betara Siwa bersabda, "Kepalailah angkatan tenteraku ini memerangi Si Daksa, rosakkan pengorbanannya. Jangan bimbang dengan para Brahmana, kerana dikau itu bahagian dari Ku!". Seusai arahan tersebut, Wirabhadra muncul bersama gana-gana Betara Siwa di tengah perhimpunan semahan korban kudanya seperti angin ribut dan memecahkan bekas-bekas pengorbanan, mencemari semahan, menghina para pedanda dan memotong kepala Daksa Raja. Dipijaknya Betara Indera, dipatahkan tongkat Sang Yama, bersepah-sepah dewata ke sana ke sini terkejut dengan kejadian tak disangka itu.
Cetera tempatan di negara Tamil menyebut bahawa dalam pada melindungi jiwa-jiwa, Betara Siwa mencetuskan Muniswarar. Muniswarar ini berciri tujuh semuanya dan berdasarkannyalah baginda digelar Siwamuni, Mahamuni, Thawamuni, Naathamuni, Jadamuni, Dharammamuni, Pandi Muni, Eswara Muni dan Wazhmuni.
Gelaran Cetusan Muniswarar
- Karena baginda itu tercetus dari muka Betara Siwa, baginda itulah Siwamuni.
- Baginda menjadi Mahamuni yang memiliki kesaktian kayangan tak terhingga.
- Thawamuni menghapuskan halangan di tengah jalan pengorbanan para dewata dan resi.
- Nathamuni menyemahkan karunia kepada Dewagananga dan Puthaganga.
- Jadamuni menumbuhkan pepohon dan memiliki Rudraksamala Katgara serta pustaka.
- Dharmamuni melindungi kebajikan dan menghapuskan kejahatan.
- Wazhmuni dipuja dan dipuji oleh para Kapalika yang berdiam di dalam hutan.
- Pandi Muni yang terpuji, berbicara dengan pemujanya dengan cara rohaniah.
Pemujaan kepada Muniswarar ini terkenal sekali di India Selatan, di Malaysia dan di Singapura. Kebanyakan koil ditujukan untuknya. Senjatanya itu trisulo. Sanggar atau koil untuk Muniswarar ini mengandungi trisulo yang dipacakkan di tanah serta limau ditancap di hujung trisulo.
Kebanyakan kampung di India Selatan memberikan lambang kepada dewata dengan hanya meletakkan batu pasak sahaja. Apabila murti digunakan, ia dilukiskan dan diwarnakan. Keadaan ini berbeda dengan murti-murti batu granit hitam di koil-koil Hindu lain.
Murti Muniswarar ini dipakaikan kain dhoti, bukan seperti murti dewata lain yang hanya merupakan lambang ukiran. Baginda dipuja sebagai lambang kemurkaan atau ketenangan. Yang memujanya dalam rupa kemurkaan selalunya menyemahkan binatang ternak seperti ayam atau kambing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan