Sabtu, 4 Mei 2013

Keagamaan Kerajaan Champa

Menjelang pertengahan abad ke-7 M, kuil-kuil diraja Champa mula dibuka di My Son. Pemujaan keagamaan yang terutama sekali ditujukan kepada Sang Hyang Siwa namun kuil-kuil untuk Betara Wisnu ada juga dibuka.

Sarjana juga memanggil senibina kuil pada abad tersebut sebagai senibina My Son E1 bagi merujuk bangunan-bangunan di My Son yang bergaya perlambangan. Karya-karya penting dari gaya ini yang terselamat adalah seperti pemegang lingam yang dipanggil sebagai Pemegang Lingam My Son E1 dan juga singgahsana Sang Brahma berbentuk teratai dari pusat Betara Wisnu yang sedang lena.

Dalam prasasti penting tahun 657 M ditemui di My Son, raja Prakasadharma yang memakai gelaran Wikrantawarmana I pada pemahkotaanya mendakwa keturunan ibundanya dari, Brahmana Kaundinya dan juga puteri Naga, Nang Soma yang juga merupakan nenek moyang diraja purwa di sebelah Kemboja. Prasasti ini seterusnya menggariskan perhubungan kebudayaan dan kepuakan antara Champa dengan empayar Funan di Kemboja yang juga merupakan saingannya sebelah Barat.

Prasasti raja Prakasadharma ini juga mencatat rekod mengenai bangunan yang ditujukan untuk memayungi mungkin lingam Sang Hyang Siwa. Dokumen catitan lain sang raja terhadap baginda Betara Siwa bunyinya, "Baginda Betara Siwa menjadi punca kepada pengujung hidup yang sukar dicapai; yang sifat sebenar-Nya itu melampaui batasan pemikiran dan ucapan, yang rupa-Nya serupa dengan jagat raya, terjelma melalui rupa-rupa Nya".

Kemuliaan Sementara Kota Kauthara

Pada abad ke-8 M, ketika negara Champa dipanggil sebagai Huan Wang oleh pihak China, kuasa pentadbiran pusat berpindah sementara dari My Son turun ke selatan di kota Panduranga dan Kauthara. Berpusat sekitar kompleks candi Po Nagar dekat Nha Trang moden yang ditujukan untuk Ibu Pertiwi tempatan, Dewi Yan Po Nagar. Pada 774 M, penjarah dari Jawa mendarat di Kauthara lalu membakar candi Hindu Po Nagar serta mencuri murti Betara Siwa negara Champa.

Baginda raja Satyawarmana bergelar Iswaralokam mengejar penceroboh tersebut dan mengalahkan mereka dalam peperangan di lautan. Pada 781 M, satu piring tembaga ditempek di Candi Po Nagar menjadi ongkara bahawa baginda raja mendapat semula kawalan di sekitar kawasan itu dan mengembalikan candi tersebut dalam keadaan baik. Pada 787 M, penceroboh Jawa datang sekali lagi dari selatan. Mereka menceroboh candi Bhadradipatiswaram yang ditujukan khusus untuk Betara Siwa dekat dengan Wirapura di Panduranga.

Wangsa Beragama Buddha di Inderapura

Pada 875 M, raja Inderawarmana II menubuhkan wangsa utara di kota Inderapura sekarang dikenali sebagai Dong Duong dekat dengan Da Nang. Baginda sangat berminat dengan kajian keturunan purwa dan dakwaan sampai ke samaya purwa. Baginda mengisytiharkan diri baginda sebagai keturunan maharesi Bhrigu yang merupakan resi terkenal dalam Mahabharata. Baginda menekankan bahawa Inderapura di Bharata purwa pun ditubuhkan oleh maharesi Bhrigu. Pada 877 M, orang China memanggil negara Champa sebagai Cheng Cheng.

Raja Inderawarman merupakan keluarga diraja pertama yang menerima ajaran Buddha aliran Mahayana dan menjadikannya sebagai agama payungan kerajaan baginda. Di pusat Inderapura, baginda membangunkan biara Buddha yang ditujukan untuk Bodhisattwa Lokeswara. Tapak percandian itu malangnya hancur semasa Perang Vietnam. Mujur ada beberapa gambar dan lakaran candi itu sebelum zaman perang terselamat. Sebagai tambahan, ada juga arca dari biara yang disimpan di muzium Vietnam. 

Gaya senibina dan arca orang Inderapura digelar sebagai gaya Dong Duong oleh sarjana. Gaya ini dipacu oleh dinamisme dan juga kesedaran etnik orang Champa. Karya agung yang masih selamat seperti arca tinggi beberapa dwarapala garang yang menjaga percandian yang diletak di beberapa bahagian biara Buddha. 

Kembali ke Agama Hindu

Samaya ajaran Buddha menjadi agama resmi kerajaan Champa berakhir kira-kira tahun 925 M. Gaya Dong Duong mula digantikan gaya kesenian lain dengan pengembalian ajaran Hindu aliran Saiwa sebagai agama kebangsaan. 

Raja dari wangsa Inderapura membina beberapa candi di My Son pada abad ke-9 dan ke-10 M. Candi mereka di My Son dibangunkan dengan gaya yang lain pula disebut sebagai gaya My Son A1 oleh sarjana kajian carigali purwa.

Rujukan kepada gaya percandian mereka kemudian dianggap juga sebagai gaya perlambangan. Kembalinya mereka ke agama Hindu Saiwa sekitar permulaan abad ke-10 M, maka pusat keagamaan mereka pun berubah kembali dari Dong Duong ke My Son.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan