Khamis, 2 Mei 2013

Itihasa Kerajaan Funan


Sarjana moden pertama yang mencetuskan semula itihasa berkenaan dengan cakra pemerintahan purwa ini adalah Paul Pelliot. Beliau menulis dalam rencana pemecah asasnya, "Le Founan" pada 1903 dengan menggunakan rekod dari China bagi menyusun semula kejadian-kejadian terdokumentasi selain menghubungkaitkan asas kerajaan purwa ini dari abad pertama masehi sampai abad ke-6 dan ke-7 M. Pengkritik kesarjanaan walau bagaimanapun menunjukkan rasa kurang percaya dengan sumber-sumber Cina yang digunakan oleh Pelliot bagi mendapatkan rumusan rencananya itu.

Rekod Cina dari abad ke-3 M, bermula dengan Catitan Tiga Kerajaan yang disusun oleh Chen Sou pada 233-197 M. Disebut dalam rekod itu bahawa dua rakyat kerajaan Funan menjadi rajaduta mereka sampai ke Istana Lu Dai, yang merupakan gabenor di kerajaan empayar China sebelah selatan, Wangsa Wu. Rajaduta pertama tiba antara 225-230 M. Yang kedua pada 243 M. Sumber kemudian seperti dalam Liang Shu karangan Yao Cha (533-606) dan Yao Silian (637) membincangkan mengenai rombongan balas dari kerajaan wangsa Wu ke kerajaan Funan dengan perwakilan Kang Tai dan Zhu Ying. 

Penulisan mengenai rombongan kedutan ini walaupun ringkas berbanding dengan kejadian sebenar merupakan antara yang tersimpan dalam rekod itihasa wangsa terkemudian. Hal ini lah yang membentuk pengetahuan kita kini mengenai kerajaan Hindu, Funan.

Sejak penerbitan rencana Pelliot, carigali arkeologi pun dimulakan di dua negara moden iaitu negara Kemboja dan negara Vietnam. Yang terutamanya di tapak kebudayaan Oc Eo, didukung dan ditambah oleh rumusan Pelliot dalam rencana ilmiahnya. Prasasti tempatan ditemui di Vietnam dan Kemboja terutamanya prasasti Thap Muoi di Dataran Lalang dan di My Son dekat Da Nang.

Itihasa

Terbitnya Kerajaan Funan

Menurut kepada sarjana moden yang cuma mendapat maklumat sejarah dari kesusasteraan Cina, seorang asing dikenali sebagai Huntian mengasaskan kerajaan Funan sekitar abad pertama masehi di Delta Mekong di Selatan Vietnam.

Kesaksian carigali purwa menunjukkan terdapat pendudukan manusia sepanjang rantau itu dan sudah wujud sejak abad ke-4 SM. Walaupun dianggap oleh sejarawan Cina sebagai satu empayar bersatu, namun ramai sarjana moden berpendapat bahawa kerajaan Funan mungkin sebuah kerajaan yang mempunyai banyak negara kota dengan raja-raja pelindung kota yang ada masanya bersatu dan ada masanya berperang.

Jenis puak dan terbitan bahasa mereka ini masih diperdebat sarjana. Tak ada sebarang "rumusan kukuh" pun diperbuat dengan berdasarkan bukti sejarah yang ada. Penduduk Funan boleh jadi dari puak Cheumpa atau puak berbahasa Austronesia (Orang Laut) lain. Boleh jadi juga penduduk Funan berbahasa Khemir Lama, atau pun berbahasa dengan bahasa rumpunan bahasa kelompok Austroasia (Orang Bukit). Kemungkinan juga penduduk kerajaan ini merupakan nenek moyang orang asli yang tinggal di selatan Vietnam yang dikenali sebagai Khmer Krom. 

Mungkin juga kerajaan Funan ini merupakan masyarakat pelbagai bangsa, dengan pelbagai puak dan pelbagai bahasa dituturkan di dalamnya. Penulisan orang tempatan Funan pun cuma ditemui pada prasasti Pallawa Grantham dalam bahasa Sanskerta. Bahasa ini digunakan oleh jati pemerintah dan jati terpelajar di Asia Tenggara dan juga di Asia Selatan. Prasasti tersebut langsung tiada maklumat mengenai bangsa penduduk atau bahasa tempatan selain ia pun adalah bahasa kedua pemerintah.  

Kimwadanti Huntian

Pustaka Liang mencatatkan cetera permulaan kerajaan Funan. Dikatakan baginda itu, seorang asing dikenali sebagai Huntian. Baginda datang dari negara selatan, iaitu negara Jiao. Tidak diketahui kedudukan negara itu, tapi besar kemungkinannya merujuk kepada negara purwa di Semenanjung Tanah Melayu. Baginda Huntian itu bermimpi bahawa seekor "penunggu" menghantar anak panah sakti dan menyuruhnya belayar dengan berangai perdagangan.

Suatu pagi, baginda terus ke koil. Di situ baginda ternampak alat pemanah di kaki pokok tempat penunggu itu tinggal. Baginda kemudian menaiki berangai atau kapal. Berangai tersebut diarahkan oleh penunggu untuk menghala ke tanah yang akan menjadi kerajaan Funan. Tanah tersebut diperintah oleh seorang wanita asli, iaitu puteri Liu Ye. Wanita tersebut mahu mengkaramkan berangai tersebut dan cuba menahannya. Huntian memanah anak panah sakti tersebut lalu ia memecahkan berangai tuan puteri itu. Tuan puteri berasa takut, lalu menyerahkan dirinya. Huntian mengambilnya menjadi isteri. Tapi baginda tidak suka melihat isterinya itu bertelanjang. Lalu, dilipatnya sehelai kain menjadi pakaian bagi isterinya lalu diserlumkan di kepala isterinya.

Baginda memerintah negara tersebut dan mewariskannya kepada anakanda baginda. Anakanda baginda membuka tujoh negara-kota. Cetera sama juga muncul dalam Pustaka Wangsa Jin karangan Fang Hsuanling pada 648 M. Tapi nama penakluk asing itu disebut Hunhoei dan isteri baginda Ye Liu.      

Kaundinya

Setengah sarjana mengenalpasti nama Huntian dalam Pustaka Wangsa Liang itu sebagai seorang Brahmana dengan gotram Kaundinya. Baginda berwiwaha dengan puteri Naga bernama Soma seperti yang tercatit dalam prasasti My Son pasakan tahun 658 M. 

Sarjana lain menolak pengenalpastian ini. Mereka menghujahkan bahawa Huntian itu cuma dua suku kata. Sedangkan Kaundinya itu tiga suku kata. Sarjana Cina tak mungkin menulis dua suku kata bagi mewakili bunyi bahasa asing yang tiga suku kata. 

Walau bagaimanapun, nama Kaundinya ini memang muncul dalam sumber-sumber bebas dan nampaknya berkepentingan juga dalam perkembangan negara Funan.

Kaundinya dalam Sastera Cina

Walaupun dalam bahasa Cina, nama Huntian ini bukanlah transkripsi bahasa Sanskerta, Kaundinya. Namun, nama Kaundinya ini penting dalam perkembangan itihasa negara purwa ini. Dalam penulisan sejarawan Cina lagi, ada nama ditulis sebagai Ch'iaochenru. Nama orang ini disebut dalam Pustaka Wangsa Liang dalam cetera yang hampir sama dengan cetera Huntian.

Menurut sumber ini, Ch'iaochenru ini merupakan salah seorang pewaris singgahsana maharaja Tianch'u Ch'antan (Chandana dari benua Hindu), salah seorang pemerintah Funan dari tahun 357 M. Baginda pernah menghantar gajah jinak kepada maharaja China, maharaja Mu dari wangsa Jin (nama kelahiran baginda, Sima Dan; 344-361 M). 

Tertulis: "Baginda (Ch'iaochenru) itu seorang Brahmana Hindu. Terdapatlah suara menyerunya: "Pergilah engkau ke Funan", dan baginda suka hatinya. Di selatan, baginda menjejak di negara-kota Panpan. Penduduk Funan muncul di hadapannya. Seluruh negara bergembira suka mengikutnya, memilihnya menjadi raja atas mereka. Baginda menukarkan semua adat sehingga sesuai dengan adat Hindu". 

Kaundinya dalam Prasasti My Son

Cetera Kaundinya ini ada disebut secara ringkas dalam bahasa Sanskerta pada C. 96 mengenai raja Cheumpa, baginda Prakasadharma di My Son. Dicatatkan, Adityawara, 18 Februari 658 (samaya sebelum Funan), dan negeri-negeri di bahagian berkaitan (seloka 16-18). "Di situ (Bhawapura), Kaundinya, terutama dalam kalangan Brahmana, mencacak lembing dari anakanda sang Drona, Sri Aswatthaman, Brahmana terbaik. Di situ, puteri sang Naga, disebut Soma bertemu keluarga di loka. Mencapai menerusi cinta, unsur ketara, baginda berdiam dalam alam manusia. Diperisterikannya oleh baginda Brahmana Kaundinya demi mencapai tujuan tertentu itu...."  

Kaundinya dalam Penglipurlara Khemir

Kimwadanti Kaundinya ini selari juga dengan penglipurlara orang Khemir Kemboja. Disebut anak raja asing dikenali sebagai Preah Thong dan permaisuri baginda, Neang Neak. Dalam versi yang ini, Preah Thong dikatakan tiba melalui lautan di sebuah pulau ditandai dengan pokok Telok. Di pulau itu, baginda mendapati bahawa ia sudah didiami oleh kelompok naga-naga (seperti dalam Mahabharata) lalu bertemu dengan Neang Neak. Baginda puteri itu, anakanda raja naga di situ. Mereka berwiwaha di bawah air lalu direstui raja naga. Kemudian mereka kembali ke alam manusia. Raja naga mengjirup air lautan sekeliling pulau lalu diberi nama Kambujadhipatti (sebutan Khemir, Kampuchea Thipdei). Artinya itu, Adhipatti Kemboja. Dalam versi cetera lain, disebut juga baginda Preah Thong berperang dulu dengan Neang Neak.

Sebutan Lain "Kaundinya" dalam Itihasa Funan

Nama Kaundinya ini terkenal dalam prasasti Tamil purwa pada abad pertama masehi. Nampaknya, kerajaan Hindu purwa ini diperintah sampai abad ke-6 M oleh puak dengan nama keluarga yang sama. Menurut Pustaka Wangsa Nanqi Selatan tulisan Hsiao Tzuhsian (485-537), raja Funan baginda Ch'iaochenru Sheyabamo (Kaundinya Jayawarmana) "menghantar beberapa pendita Buddha pada tahun 484 M, Yang Dipertua Nach'iehsian (Nagasena) bagi mempersembah hadiah kepada maharaja China dan memohon baginda membantu mereka menakluki Linyi (Utara Cheumpa)... Baginda maharaja China berterima kasih kepada Jayawarmana namun langsung tak menghantar sebarang tentera menakluki Linyi".

Kegemilangan dan Kejatuhan

Kerajaan Hindu ini mencapai kegemilangan bawah maharaja Fanshih Man pada abad ke-3 M. Baginda memperluas tentera kelautan baginda dan memperelokkan lagi birokrasi kerajaan Funan. Mencetuskan bentuk pemerintahan seperti feudal yang memberikan jatidiri kepada adat resam tempatan. Fanshih Man dan pewarisnya juga menghantar rajaduta ke China dan ke India bagi melancar perdagangan.

Proses penghinduan berlaku dengan pantasnya. Kemudian, kerajaan berdekatan yang lain seperti kerajaan Chenla pun meniru sistem pemerintahan istana Funan. Kerajaan Funan mempunyai sistem perdagangan dan sistem monopoli kewangan yang kukuh. Keadaan ini menjadi ciri kepada empayar ini.

Pada abad ke-6 M, kerajaan Funan ditakluki dan diserap oleh puak Khemir dari kerajaan Chenla. Prasasti berbahasa Khemir di selatan Kemboja boleh juga menggambarkan bahawa sejak awal lagi memang sudah ada hamba rakyat Khemir di situ. Walaupun tak ada bukti kukuh tentang kepuakan dalam kerajaan Funan, sarjana moden, Michael Vickery menyatakan bahawa "dengan bukti ada sekarang, sukar hendak mengatakan bahawa Funan sebagai satu kawasan yang penduduk hamba rakyatnya itu kebanyakannya bukan orang Khemir". Maksudnya itu, penduduk majoriti di negara Funan itu adalah puak Khemir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan