Rabu, 1 Mei 2013

Kerajaan Kehinduan: Kerajaan Funan


Pengenalan

Kerajaan ini terkenal juga disebut dalam buku teks sejarah kerajaan purwa di dalam sukatan matapelajaran di negara aku. Aku tak ingat di tingkatan berapa mempelajari mengenai kerajaan Hindu purwa di Asia Tenggara tapi kami sangat peka dengan sejarah kerajaan purwa sekeliling, kerajaan-kerajaan Hindu.

Gambar hiasan masukan ini, diambil dari laman Paul Munoz yang dirakamkan di Muzium Negara Malaysia. Di situ, disebut bahawa kerajaan ini adalah jenis kerajaan yang berkaitan dengan orang Melayu. Aku kurang faham mengenai takrifan Melayu sebagai bangsa, etnik atau jenis manusia sebab ia dimasukkan sebagai jenis kebumiputeraan di negara Malaysia.

Tapi memang di Muzium Negara Malaysia disebut begitu. Kalau kamu sebutkan hal ini kepada golongan Nasionalis Khemir di Kemboja terutamanya penyokong Tuan Hun Sen pasti mereka akan menakek kepala kamu. Tapi di Muzium Negara, hanya kerajaan ini yang disebut berkaitan dengan orang Melayu di Tanah Melayu.

Kerajaan seperti Chenla tidak pula disebut berkaitan, walaupun merupakan salah satu wangsa dalam mandala anachakram tersebut. Berkaitan bukan membawa maksud sama. Tapi mempunyai pertalian sahaja. Tersebut, bahawa Brahmana yang memulakan kerajaan ini memang masuk dari Segenting Kra, iaitu kawasan yang dihuni puak Melayu.

Kedudukan

Kerajaan Funan ini merupakan nama bahasa Cina yang merujuk kepada sebuah kerajaan Hindu di dataran Indochina yang terletak sekitar delta Mekong di selatan Vietnam dan selatan Indochina. Nama kerajaan ini dicatitkan dalam rekod Cina yang menerangkan mengenainya secara panjang lebar. Tersebut bahawa dua rajaduta empayar China dari wangsa Wu di Nanjing dihantar ke kerajaan Hindu ini pada tengahan abad ke-3 M. Namun, nama Funan ini tiada dalam catatan yang dicatit penduduk aslinya. Tidak diketahui pula jika nama bunyi Cina ini yang dipakai bagi negara mereka ketika itu.

Spekulasi Nama Rujukan Kerajaan

Setengah sarjana membuat spekulasi sahaja tentang nama Funan ini. Dikatakan bahawa nama Funan ini adalah transkripsi bagi bunyi bahasa tempatan ke bahasa Cina kerana bahasa Cina menyebut bunyian secara tidak lengkap. Misalnya, sarjana Perancis George Coedes memajukan teori bahawa Funan itu mungkin nama bahasa Cina purba untuk mentranskripsikan bunyi Bnam atau Wnam. Dalam bahasa Kemboja moden, perkataan Phnom itu artinya Gunungan. Namun, diperhatikan juga ideogram bahasa Cina untuk suku kata hujungnya iaitu "Nam" itu bererti "Selatan". Sarjana Cina menggunakan sebab ini bagi merujuk kedudukan muka bumi kerajaan ini di rantau Asia Tenggara. Jadi ada kemungkinan nama kerajaan ini mempunyai arti atau pun bukan jenis transkripsi tapi langsung bunyi bahasa tempatan yang dicinakan. Ahli batu bersurat Claude Jacques, memajukan pula kenyataan bahawa nama Funan itu ditinggalkan bagi nama lain seperti Bhawapura, Aninditapura, Srestapura dan Wiyadhapura yang dibaca di prasasti-prasasti di negara kota sekeliling.

Kajian Etno-Linguistik

Kajian etno-linguistik mengenai sifat penduduk di situ menjadi tajuk perbincangan para pakar sejarah jua. Antaranya terdapat "hipotesis" bahawa penduduk kerajaan ini kebanyakannya dari suku bangsa Mon-Kemir atau mungkin juga kebanyakannya jenis suku bangsa Austronesia seperti di sebelah selatan jauh. Atau mungkin juga negara pelbagai bangsa. Bukti-bukti masih belum kukuh lagi merujuk isu ini. Berat pendapat aku bahawa kerajaan ini adalah kerajaan pelbagai bangsa kerana ia pernah menjadi sebuah empayar.

Tata Pemerintahan

Berdasarkan pengakuan sejarawan Cina, sistem pemerintahan Funan ini dipercayai diasaskan sejak abad pertama masehi lagi di Delta Mekong. Namun kajian carigali sejarah menunjukkan bahawa wujud penempatan manusia di rantau itu sejak abad ke-4 SM lagi. Walaupun sejarawan Cina menganggap kerajaan Hindu ini sebagai satu pemerintahan yang bersatu atau bermaharaja, namun kebanyakan sarjana moden lebih berat ke pendapat bahawa ia merupakan sebuah negara dengan negara-kota yang kadang-kala berperang sesama sendiri dan kadang-kala bersatu.

Pelabuhan Antarabangsa

Dari kesaksian carigali sejarah, termasuk dari barangan terpendam orang Cina, orang Hindu sendiri dan orang Romawi di pusat perdagangan purwa di Oc Eo atau Terusan Kaca di selatan Vietnam, diketahuilah bahawa Funan dahulu pernah menjadi pusat perdagangan penting. Penggalian sejarah di Angkor Borei di selatan Kemboja memberi maklumat penting tentang penempatan manusia. Pelabuhan Oc Eo pernah dihubungkan dengan pantai dan ke Angkor Borei oleh sistem terusan. Mungkin juga semua tempat ini membentuk ibu kota kerajaan Hindu purwa ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan