Rabu, 1 Mei 2013

Sastera Hindu-Buddha: Manimegalai

Bahagian Robam Pertama Manimegalai


 

Bahagian Kedua Manimegalai

 

Manimegalai ini merupakan satu kekawin yang dikarang oleh seorang kawi Tamil beragama Buddha, bernama Sri Cithalai Catanar. Pustaka ini merupakan salah satu daripada lima mahakawiam yang terdapat tradisi kesusasteraan bahasa Tamil. Yang empat lagi itu judulnya antaranya, Cilappatikaram, Ciwaka Cintamani, Walayapathi dan Kundalakesi. Pustaka ini terbahagi kepada 30 kandam. Cetera ini merupakan sambungan kepada pustaka sebelumnya iaitu Cilappatikkaram. Cetera sebelumnya itu bagi aku sangat menarik juga sebab aku dah baca terjemahan bahasa Inggerisnya di perpustakaan. Kalau nak lebih mengujakan, cuba baca Cilappatikkaram dahulu kerana walaupun hanya sebuah kawi tetapi penulisannya itu berdasarkan kajian sosiologi. Kemudian baru baca yang ini......

Mengenai Kawi

Kawi ini merupakan sambungan kepada kawi Cilappatikkaram karangan Elango Adigazh. Ia menceterakan tentang bagaimana, Si Manimegalai yang merupakan anak gadis kepada saudagar penganut agama Jina, Kowalan dan Dewi Mathawi suami isteri itu kemudian menganuti ajaran Buddha.

Menurut kepada kekawin ini, Si Manimegalai mengkaji enam tatadarsana Hindu dan lain-lain agama yang terkenal ketika itu serta membandingkannya dengan ajaran Buddha. Beliau sangat tertarik dengan ajaran Sang Buddha. Kemudian, beliau terdengar pengajaran oleh Bhikkhu Arawana Adigazh maka beliau terus menyerahkan dirinya menjadi ubun-ubun.  

Mahakawi ini memberikan maklumat tentang itihasa Tamil Desam, ajaran Buddha dan pautan kepadanya ketika kekawin ini ditulis, adat resam dan kebudayaan serta kesenian orang Tamil ketika itu. Pendedahan kepada ajaran Buddha dalam kekawin dibuat dengan penuh gaya memberi penerangan tentang Arya Satiyani atau Empat Kebenaran Mulia, Pratityasamutpadam atau Terbitan Kebergantungan, Cittam atau Minda dan amalan-amalan Buddha seperti Silsila iaitu Kebenaran Bijaksana dan Ahimsa iaitu Tiada Keganasan.

Tempat Latar Kawi

Kekawin ini diceterakan bermula di bandar pelabuhan Kaweipattinam, yang kini terletak di bandar Pughar di Tamil Nadu dan di Nainatheewu di Naga Nadu, iaitu pulau berpasir kecil di semenanjung Jaffna di Sri Lanka moden. 

Ringkasan Cetera

Si Manimegalai menjadi penari terkenal yang sangat diingini oleh putera diraja wangsa Chola, iaitu Kumara Udayan. Namun, Si Manimegalai langsung tak berminat dengan putera adiraja itu. Beliau lebih berminat dengan hidup keagamaan menurut dharmma dan membujang. Dewi Lautan, Dewi Manimegalai menyebabkan Si Manimegalai tertidur dan membawanya ke pulau Manipallawam iaitu di Nainatheewu.

Tatkala terjaganya beliau, teruslah terpinga-pinga lalu melilau-lilau di pulau itu. Ketika berjalan tiada keruan, Si Manimegalai melalui singgahsana Dharmma. Di atas singgahsana itu, Phra Buddha sedang mengajar dan menenangkan dua putera Naga yang sedang bergaduh. Singgahsana itu diletakkan di situ oleh Betara Indera. Mereka yang memuja di singgahsana itu akan dapat melihat kehidupan lampau mereka. Si Manimegalai terduduk di situ dan membaca puja di situ. Lalu beliau mendapat gambaran tentang kehidupan lampaunya. Beliau pun bertemu dengan dewi penjaga singgahsana itu, Dewi Tilak Dwipa atau Diwatilagai. Dewi itu menceterakan kepadanya kepentingan singgahsana itu dan memberikannya mangkuk dana yang tak pernah gagal diberi nama Amerta Surabhi atau Lembu Rezeki. Mangkuk itu akan menjelmakan makanan bagi mengangkat kelaparan.

Dewi itu memberi gambaran lagi bahawa di kampung Si Manimegalai nanti akan ada seorang ajar-ajar dikenali sebagai Bhikkhu Arawana Adigazh akan mengajar dharmma lebih kepadanya. Si Manimegalai lantas mengucapkan mantra yang diajarkan dewi Laut lalu pulang ke Kaweripattinam. Si Manimegalai pun bertemu dengan ajar-ajar itu di situ. Lalu, diajarkannya ajaran Buddha dan Dharmma serta memberi ajaran tentang rupa sifat kehidupan ini. Si Manimegalai lalu menjadi ubun-ubun dan mengamalkan ajaran bagi mengelakkan ikatan kelahiran dan kematian dan mencapai Nirwana.     

Watak Utama Cetera

Si Manimegalai: Anak gadis kepada Kowalan dan Madhawi yang lahir menjadi gadis berani dan penuh kebenaran.

Kumara Udayan: Putera kepada raja wangsa Chola yang jatuh cinta kepada Si Manimegalai. Putera ini sangatlah jahil walaupun kacak, baginda cuma mahukan benda dijalankan menurut kehendaknya sahaja.

Sudhamadhi: Rakan rapat yang setia dan amanah kepada Si Manimegalai.

Dewi Manimegalai: Dewi Lautan yang melindungi Si Manimegalai.

Perlinanya Kaweripattinam atau Pughar

Kekawin ini juga menceterakan bahawa bandar pelabuhan kampung Si Manimegalai itu tenggelam di bawah lautan akibat gelombang gempa bumi. Keadaan ini terjadi kerana baginda raja Cholawangsa tidak menjalankan perayaan menghormati Betara Indera. Dewi Lautan, Manimegalai menjadi murka lalu menenggelamkan bandar itu!

Baru-baru ini ada bukti carigali yang membenarkan cetera yang dicatat dalam kekawin ini yang menunjukkan bahawa ada runtuhan bawahan yang bercantum dengan bandar Poompuhar moden di pantai negeri Tamil. Runtuhan purwa itu merupakan biara Buddha abad ke-4 sampai ke-5 M, dengan arca Buddha, dan Buddhapadam atau tapak kaki Sang Buddha yang ditemui di bahagian lain di kota purwa yang kini berada di Pallawaneswaram. Kota Kaweripattinam itu dipercayai terhapus atau perlina antara abad ke-3 M sampai abad ke-6 M.

Aliran Buddha yang Didukung Kawi

Karya ini tak mengandungi rujukan terus kepada aliran Mahayana seperti yang disebut oleh Nagarjuna dan lain-lain. Nampak seperti ia adalah karya penganut Buddha awal, dari cawangan Srawakayana seperti aliran Sthawira atau Saurantika. Menurut kepada Aiyangar, penekanan kepada Tripitaka atauu Jalan Pitaka Agung, dan juga penekanan kepada Terbitan Kebergantungan dalam Bab ke-30 memberi gambaran bahawa pengarang kawi ini mendukung aliran Saurantika. A. K Warder pula mencadangkan bahawa kawi ini mungkin mempunyai kaitan dengan penganut aliran Theravada. 

Rumusan kawi ini, Arawaana Adigazh dikatakan menggalakkan kebebasan penuh dari tiga punca papa yang menimbulkan ketamakan dan kebencian iaitu raga, dosa dan moha. Ayat terakhir dalam kekawin menyatakan bahawa Si Manimegalai berjuang untuk membebaskan dirinya dari ikatan kelahiran. Hal ini menekankan pembebasan dari kilesa atau kekotoran diri, mengakhiri putaran kelahiran, usia tua dan kematian iaitu sengsara serta menjadi arahat. Keadaan ini memberi gambaran penulis kekawin ini berkaitan dengan aliran Srawakayana awal pula. Aiyangar (ms. 80) mencadangkan bahawa logik ajaran Buddha yang ditekankan oleh Arawana Adigazh dalam Bab ke-29 kepada Manaimegalai melepasi masa logik Dignaga dan alirannya sendiri.

Pengarang Kekawin dan Zaman Penulisan

Tujuan penulis, Sri Cithalai Cattanar ini adalah untuk membandingkan ajaran Buddha dengan ajaran agama lain di Selatan India. Beliau ingin menyebarkan ajaran Buddha. Beliau memberi kritikan kepada ajaran Jina Mahawira yang ketika itu bersaing rapat dengan ajaran Buddha. Dalam pada mendedahkan kelemahan ajaran agama sezamannya, beliau memuji ajaran Buddha, dan mengangkat Dharmma sebagai tanggungjawab terpenting. Walaupun ada beberapa pertelingkahan tentang tanggal penulisan karya, tapi kemungkinannya ia dikarang pada abad ke-6 M.

Terselamatnya Teks

Teks Manimegalai ini adalah satu-satunya karya sastera yang panjang. Punca ia selamat mungkin disebabkan oleh ia merupakan sekuel kepada karya Cilappatikkaram. Negeri Tamil mempunyai banyak guru ajaran Buddha yang menghasilkan karya bahasa Tamil, Sanskerta dan bahasa Bali. Rujukan karya merea memang ada dalam sastera itihasa dan bahasa Tamil. Karya bahasa Tamil yang hilang seperti kawiam Kundalakesi oleh Nagaguttanar, tatabahasa Wiracholiyam, karya Abhidarmma oleh Siddhantattogai, teks ucapan Tiruppadigam dan biografi Bimbisara Kadai.

Terjemahan

Yang pertamanya diperbuat R. B. K. Aiyangar, diterbitkan sebagai Manimegalai dalam Latar Sejarah. Cebisan yang ini diterbitkan semula oleh Hisselle Dhammaratana, judulnya Ajaran Buddha di Asia Selatan. Terjemahan terbaru kekawin diperbuat oleh Alain Danielou dengan kerjasama T.V. Gopala Iyer. Ada juga terjemahan bahasa Jepunnya oleh Shuzo Matsunaga terbitan 1991.

Kritikan dan Perbandingan

Setengah orang mengkritik, bahawa Manimegalai lebih menarik dari Cilappatikaram. Tapi dalam konteks evolusi kesusasteraan, ia nampak lebih rendah daripada Cilappatikkaram. Cetera ini mempunyai ciri-ciri superfisial dan penulis tak mempedulikannya disebabkan menyebarkan ajaran Buddha. Dalam doktrik agama, etika dan sebelumnya, itu berada di bawahnya. Karya ini mengkritik ajaran Jina sementara mengajarkan ajaran Buddha. Ia menunjukkan juga minat manusia dalam ciri-ciri ghaib. Jenis penceriteraan menurut kepada akawalam, tak ada sebarang titik penutup ayat seperti Cilappatikaram.

Bagi mereka yang membosankan, Manimegalai bukanlah sejenis mahakawiam. Tapi merupakan satu karangan darsana Buddha. Bentuknya pun tak sesuai dengan pembaca orang Barat yang tak faham budya orang Hindu sebab ada bentuk lagu dan tarian selang-seli dalam penceritaan. Maksudnya itu seperti teater. Menurut kepada pandangan Kolkata, tiga mahakawiam seluruhnya tak ada plot cerita dan tak ada pencirian pun sebagai sejenis mahakawiam. Plot Ciwaka Cintamani pula mendatar sahaja dan kurang kepelbagaian dalam kekuatan cetera serta watak. Jadi ia tak mempunyai kualiti sebagai sebuah mahakawiam. Pendapat aku lah, baca dulu jangan dengar sahaja pandangan. Kadang-kadang penelitian kita berlainan dengan pengalaman orang. Mengenai video tarian tradisional yang aku muatkan itu, ia adalah dari Kemboja. Cetera ini terkenal juga dalam kalangan orang Kemboja yang menganut ajaran Buddha dan mengikut tradisi-tradisi Hindu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan