Selasa, 14 Mei 2013

Jati Hindu Champa

Kini terdapat kira-kira 60,000 orang Champa yang beragama Hindu. Namun mereka tidaklah begitu ketat dengan adat kejatian seperti penganut Hindu di India atau kawasan lain. 

Menurut buku "India's Interaction with South East Asia", Bil. 1, Bahagian 3 oleh Govind Chandra Pande dalam Projek Sejarah Sains Hindu, Sastera, Falsafah dan Kebudayaan terbitan Pusat Pengajian Ketamadunan (Delhi, India) muka surat 231 dan 252 dinyatakan bahawa pada samaya lampau mereka mungkin terbahagi kepada kelompok jati Kesatria Nagawangsa dan sebilangan kecilnya pula adalah kelompok kaum Brahmana.

Pura Hindu di Champa dikenali sebagai Bimong, namun kini ia dikenali sebagai Thap sahaja dalam bahasa Vietnam oleh orang Champa warga Vietnam. Thap bermaksud pagoda atau candi. Kelompok pedanda terbahagi kepada tiga tahap dengan tahap tertinggi dikenali sebagai Po Adhiya atau Po Sah. Kemudian diikuti oleh pedanda Po Tapah dan pedanda muda, Po Paseh. Sami-sami Hindu Champa dipanggil, Halau Temunai Ahier.

Di wilayah Ninh Thuan, tempat kediaman masyarakat Champa ramai berdiam di Vietnam, kelompok Cham Brahmana atau Brahmon adalah seramai 44,000 orang. Kelompok Cham Bani atau Cham Islam Abangan yang beragama Islam tetapi mengamalkan adat Hindu seramai lebih kurang 31,000.

Daripada 34 kampung Champa di Ninh Thuan, sebanyak 23 kampung Champa itu adalah kampung penganut Hindu. Manakala 11 kampung lagi kampung Champa Bani. Di wilayah Binh Thuan, kelompok Hindu Champa seramai 25,000 dan kelompok Cham Bani seramai 10,000. Empat kampung pula dihuni orang Champa asli dan sembilan lagi kampung adalah kampung campuran.

Di bandar Ho Chi Minh pun ada penganut Hindu, seramai 4000 orang. Sebilangan kecil penganut Hindu itu dari etnik Champa, tetapi kebanyakannya adalah orang Hindu keturunan Tamil atau keturunan Tamil-Vietnam. Kuil terbesar di situ, kuil Sri Mariamman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan