Jumaat, 31 Mei 2013

Karaikkal Ammaiyar

 

Om Swasiastu!

Bahagian yang ini dari wayang gambar Karaikkal Ammaiyar. Ertinya "Ibunda Terhormat dari Kota Karaikkal". Beliau ini salah satu daripada tiga wanita alim dalam kalangan 63 Nayanmar serta merupakan salah satu tokoh awal terkenal dalam kesusaasteraan bahasa Tamil. Beliau dilahirkan di kota Karaikkal, India Selatan kemungkinannya pada abad ke-6 M. Selain itu, beliau seorang wanita Hindu dari aliran Saiwa.

Kota Karaikkal merupakan sebuah kota pelabuhan dalam negara Chola di Tamil Nadu kini. Ammaiyar adalah anak perempuan seorang pedagang, bernama Dhanathathanar. Nama sebenar beliau adalah Punithawatiyar. Sejak kecil lagi beliau memang sudah menunjukkan tanda menjadi wanita suci serta cintakan Sang Hiyang. Beliau pernah membuat Siwalingam dengan pasir. Beliau membaca mantra lima aksara Namaciwaya dan akan memenuhi keperluan pengikut Betara Siwa lain. Semasa kecil pun, Ammaiyar mengambil berat hal kebajikan penganut Hindu Saiwa lain bagaikan seorang ibu.

Ammaiyar diwiwahakan dengan Paramanathan, seorang anak lelaki kepada pedagang kaya di kota Nagapattinam. Penganut Hindu aliran Saiwa akan membanjiri rumahnya kerana beliau memberi persemahan makanan, kain baju dan juga permata manikam kepada mereka sebagai kerja kebajikan.

Keajaiban Ammaiyar

Suatu hari, suami Ammaiyar, Paramanathan menghantarkan dua biji buah mempelam untuk disimpan dan dimakan di rumah. Hari itu juga, datang seorang anak bakti Saiwa ke rumah mereka. Kerana persiapan semahan belum siap maka Ammaiyar tak sempat memasak sempurnyanya lalu diberikan anak bakti tersebut sebiji dari mempelam suaminya dan juga nasi kepal. Kemudian pulangnya si suami, diberinya sebiji lagi buah mempelam untuk dimakan si suami.

Terlalu sedap mempelam itu, maka si suami meminta sebiji lagi. Ammaiyar masuk ke dapur dan dia terlupa yang mempelam sebiji lagi sudah disemahkan kepada Adiyar atau anak bakti Betara Siwa. Dengan karunia Betara Siwa, mempelam sebiji muncul di tapak tangan Ammaiyar. Ammaiyar suka hatinya menyediakan buah mempelam itu kepada suami tercinta.

Buah tersebut bukan buah mempelam biasa tetapi pemberian kahiyangan. Si suami pun bertanya bagaimana diperolehnya buah tersebut kerana rasa enaknya lain benar. Kerana suaminya itu bukan pemuja Betara Siwa yang sebenarnya, maka Ammaiyar takut hendak mendedahkan anugraha Betara Siwa. Peraturannya, anugraham jangan didedahkan kepada bukan anak bakti. Tapi satu lagi peraturan pula, isteri haruslah memberitahu suami kebenaran jika ditanya. Maka disemahlah padam Betara Siwa meminta Betara Siwa menunjukkan kebenaran kepada suaminya. Suaminya tidaklah percaya. Disuruh Ammaiyar membuat mempelam lain dengan kesaktian kahiyangan.

Lalu disemah pujalah Ammaiyar akan Betara Siwa bahawa jika tidak dikaruniai mempelam sebiji lagi maka nama Betara Siwa akan diburukkan bukan anak bakti. Lalu Betara Siwa memberi sebiji buah yang serupa seperti sebelumnya. Diberinya kepada suami namun sebaik buah sampai ke tapak tangannya, maka ia menghilang. Maka disedarilah si suami akan kesaktian isterinya. Paramanathan memahamilah bahawa si isteri tidak boleh dilayan seperti isteri sebaliknya layak menerima semah puja.

Paramanathan meninggal Ammaiyar dan menjalankan pekerjaan pedagang. Dia mengahwini anak perempuan pedagang lain dan mendapat anak. Anak perempuannya dinamakan sempena nama isteri pertamanya. Bila didengari keluarga Ammaiyar hal ini, keluarga berasa harus Ammaiyar dibawa bertemu suaminya itu. Kelak dilihatnya isterinya itu, Paramanathan bercakap penuh hormat menyatakan bahawa Ammaiyar bukan wanita biasa. Paramanathan memuja Ammaiyar bersama isteri dan anak nya. Ammaiyar terkejut serta sedih melihat hal ini. Lalu disemahnya Betara Siwa memuja meminta pahala. Moga beliau boleh memuja Betara Siwa sebagai bentuk tak berupa. Beliau mendapat pahala itu, lalu ditinggalkan segala kecantikan rupa dan tubuhnya. Dinyanyikanlah Arpudha Thiruvandhadhi dan Thiru Yirattai Mani Malai.

Beliau mengembara berseorangan ke Gunung Kailasa di Utara sana dan memanjatnya dengan kepala dan bukan kaki. Dewi Parwati bertanya kepada Betara Siwa mengenai Ammaiyar. Betara Siwa menyatakan bahawa dia itulah ibunda yang mengambil berat mengenai kita. Ammaiyar memuja Betara Siwa, lalu Betara Siwa memberikan semah pulang dengan memanggilnya wahai Ibu. Ammaiyar memanggil Betara Siwa sebagai Bapa pula kepada semua. 

Betara Siwa bertanya, "Apa mahu mu?"
Ammaiyar, "Aku mahu cinta suci abadi dari Mu! Aku tidak mahu dijelmakan semula. Jika ada pun jelmaan ku maka jangan aku melupakan Mu! Bila Engkau menjalankan tandawa, aku mahu berada di bawah duli Mu dan menyanyikan pujaan suka hatinya."    

Pahala pun dikaruniakan dan disuruh Ammaiyar pergi ke Thiruwalangadu. Di sana, Betara Siwa menjalankan Wordhuwa Thandawam. Ammaiyar pergi ke sana dengan menggunakan kepalanya. Dinyanyikannya nyanyian berbunyi, "Thirualangaatu muutha thirupatigam 1 Thirualangathu muutha thirupathigam 2"

Rakaman lakonan di atas itu adalah gambaran Ammaiyar melihat Wordhuwa Thandawam dari wayang gambar lama. Harap rakan-rakan Hindu tersayang terhibur.

Satyam Ciwam Cundaram

Tiada ulasan:

Catat Ulasan