Smarta ini merupakan aliran cawangan agama Hindu Saiwa yang menekankan pemujaan kepada pancha dewata berbanding dengan hanya menumpukan kepada satu dewata sahaja. Pemujaan Sang Hiyang dalam lima bentuk ini dikenali sebagai rupakara pancayatana puja. Ia disebarkan oleh joṃ dreśti, Mpu Adi Sankara atau Sankaracarya (650-800/788-820). Rupakara ini disusun semula oleh Mpu Adi Sankara bagi menyatukan dewata-dewata utama dalam lima aliran utama dengan meletakkan dewata ini pada kedudukan yang selaras bagi mewakili Sang Hiyang. Pemujaan biasanya dijalankan dengan menyeru Betara Siwa, Sang Ganesa, Betara Wisnu, Seri Dewi dan Sang Suriya.
Dreśti wedanta yang dibicarakan oleh Mpu Adi Sankara ini membolehkan seseorang itu memilih iṣta dewata bagi dirinya dalam masa yang sama juga turut memuja lagi chatur dewata sebagai rupa-rupa yang terpancar dari Brahman Maha Tinggi. Aku kurang pasti mengenai ajaran Hindu di bahagian Bali dan di Jawa Timur yang secara tradisinya memang pusat ajaran agama Hindu di bahagian Asia Tenggara kepulauan. Aku pernah mendengar mengenai aliran Siwa Buddha yang mungkin kita bicarakan serba sedikit tentangnya. Kalau salah itu ku pohon ampun dahulu dan minta rakan-rakan Hindu Nusantara membantu kita menceterakan pula serba sedikit bagi pencerahan bersama jika mempunyai samacara mengenainya kerana aku berpendapat penganut aliran Saiwa patut berkongsi mengenai tradisi sesama sendiri walapun berbeda-beda budaya supaya celik pada pandangan jagat.
Saiwa Siddhanta
Tradisi kehinduan ini mungkin terbitan dari aliran Saiwa Trika di Kashmir sana sebelum berkembang menjadi bentuk pengajian agama yang disebarkan oleh Mpu Sadajiyothi, Mpu Narayanakantha Bhatta dan putera beliau, Mpu Ramakantha Bhatta (950-1000 M).
Aliran ini dianggap sebagai aliran Saiwa-Tantra yang piawai. Ia memberikan bentuk upacara yang piawai, pandangan jagat dan juga bentuk pengajian agama yang bercirikan tantra. Dreśtinya yang dwaita ini bertujuan utama untuk mencapai rupa Siwa yang berbeda menerusi karunia Betara Siwa. Ia sudah diamalkan di seluruh tanah Hindu pada suatu ketika dahulu. Namun penaklukan orang-orang yang beragama Arab di kawasan India Utara menyebabkan Saiwa Siddhanta hanya hidup di sebelah Selatan Tanah Hindu dan kemudiannya terserap dalam pemujaan Saiwa orang-orang Tamil yang terpapar pada kekawin bakti para Nayanar dalam bahasa Tamil. Kerana perjalanan babad ini lah makanya aliran ini selalu dianggap sebagai tradisi "Selatan" dan masih utuh sebagai bentuk lamanya.
Para Nayanar
Menjelang satawarsa ke-7 M, Nayanar atau pengarang kekawin yang berkedudukan sebagai Mpu menurut tradisi bakti di India Selatan memberikan tumpuan kepada Betara Siwa seperti juga para Alwar aliran Waisnawa memandang utama kepada Betara Wisnu.
Kekawin bakti para Nayanar ini terbahagi kepada 11 kumpulan yang bersama dengan Purana Bahasa Tamil digelar sebagai Periya Puranam atau Purana Raya. Tujuh kumpulan kekawin mulaan dipanggil sebagai Thewaram dan dianggap oleh penganut Hindu aliran Saiwa keturunan Tamil sebagai setara dengan Catur Weda. Thewaram ini dikarang sekitar satawarsa ke-7 M oleh Mpu Sambandar, Mpu Appar dan Mpu Sundarar.
Kekawin suci lain yang terkenal adalah hasil karangan Mpu Tirumular berjudul Thiru Mantram. Ia dianggap oleh Mpu Tattwananda sebagai salah satu penerangan mengenai ajaran aliran Saiwa di rantau orang Tamil yang awal sekali. Thiru Mantram ini merupakan sumber pertama bagi rupakara Saiwa Siddhanta dan merupakan pustaka ke-10 dalam susunan pustaka suci Saiwa Siddhanta kini.
Di samping itu, ada juga Thiru Wacagam oleh Mpu Manikka Wacagar. Ia merupakan himpunan stotram penting yang dinyatakan oleh Sir Charles Eliot dalam tulisannya sebagai, "Tak pernah ku temui dalam sastera-sastera yang sudah biasa ku baca yang dalamnya itu terdapat kehidupan beragama, pergelutan jiwa dan juga ketika lemahnya jiwa, harapannya dan juga kebimbangan jiwa, keyakinan jiwa dan kejayaan yang dijelaskan secara ikhlas dan jelas dari hati sanubari". Pujian Thiru Wacagam memuji Betara Siwa ini merupakan karya penduduk negara Selatan, rantau negara Tamil tetapi menjadi bacaan puja oleh orang ramai di merata-rata negara tanpa ada sebarang sekatan dan dakwaan hak milik pun kerana ramai memang sedia tahu mengenai milikannya.
Ada banyak pura atau koyil yang ditujukan untuk Betara Siwa di negara Tamil, utamanya itu terletak di rantai Tanjawur yang dahulunya merupakan tapak utama bagi pemerintahan wangsa Chola antara 800-1200. Saiwa Siddhanta terkenal sekali di India Selatan, Malaysia, Singapura dan negara-negara yang terdapat warganegara berbangsa Tamil.
Siwa-Buddha
Aliran ini merupakan perpaduan antara tradisi Hindu dengan ajaran Buddha di Pulau Jawa. Pada samaya kerajaan Majapahit, ajaran Saiwa dan ajaran Buddha berpadu menjadi satu dan terlihat pada beberapa karya sastram di Pulau Jawa contohnya seperti Kekawin Sutosama dan Kekawin Arjuna Wijayam.
Kini, kedua-dua aliran Saiwa dan ajaran Buddha (Siwa-Buddha) dianggap sebagai aliran yang berbeda dalam satu agama yang sama iaitu agama Hindu. Di Pulau Bali, terdapat sebuah kampung yang dinamakan sebagai Buda Keling di kebupatian Karang Asem dengan seluruh penduduknya beraliran Siwa-Buddha.
Sebagai perkongsian juga, di kawasan Indo-China juga terdapat penduduk yang mengamalkan ajaran Buddha tetapi turut menjalankan pemujaan kepada sama ada Betara Siwa atau Betara Wisnu sehingga ke hari ini. Ajar-ajar yang menjalankan upacara biasanya berkain puteh dan berambut sanggul seperti resi-resi Hindu di India. Mereka cuma dipanggil sebagai Brahmana dan upacara yang dijalankan termasuk dalam kumpulan upacara pemujaan Brahmana. Upacara pemujaan kepada Sang Ganesa juga biasa dijalankan tatkala membuka perwayangan atau lakonan di pentas upacara bagi tujuan pengubatan dan sebagai dalam bentuk tabik guru bagi meminta perlindungan dari santet orang-orang yang dengki kepada dalang wayang atau pelakon wayang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan