Selasa, 2 Julai 2013

Aliran Saiwa dengan Purana


Dengan melalui segala Purana lah aliran Saiwa ini berkembang pesat sehinggalah merentasi rantau benua Hindu. Aliran Saiwa tersebar meluas melalui usaha penyanyi-penyanyi dan juga penyusun cetera-cetera Purana.

Sastera Purana ini mempunyai terbitan dari samaya pemerintahan Gupta pada satawarsa ke-6 M. Ia berkembang kemudiannya pada satawarsa ke-8 dan ke-11 bersama-sama dengan pemujaan-pemujaan Brahmana Smarta. Pertembungan dan gabungan antara gaya semahan Saiwa dan Waisnawa yang kemudiannya mencapai puncak kegemilangannya mungkin juga merupakan kesan daripada wangsa Gupta yang menyerap masuk sumber-sumber dan juga ciri-ciri kebudayaan rantau yang dijajahi mereka ke dalam pemujaan Saiwa.

Bahan-bahan terkumpul dalam Purana mula berkembang ketika satawarsa pemerintahan wangsa Gupta dengan tambahan penting bentuk ulasan yang berlaku dalam samaya pertengahan terkemudian. Ada 18 Purana utama yang kemudian dikelaskan kepada tiga kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai enam cawangan dengan Betara Siwa dipuja sebagai dewata utama dalam Siwa Purana, Linga Purana, Matsya Purana, Kurma Purana, Skanda Purana dan Agni Purana. Namun, pengelasan tradisional ini adalah kurang tepat kerana didapati bahawa hanya Siwa Purana sahaja yang jelas menunjukkan penumpuan pemujaan kepada Betara Siwa manakala yang lain-lain tak nampak pula bercirikan aliran Saiwa yang ketat kerana mengandungi juga bahan-bahan cetera mengenai dewata lain, utamanya Betara Wisnu Narayana. 

Tubuh sastera Purana merupakan tubuh yang mengandungi bahan-bahan yang rumit yang memajukan pandangan-pandangan pelbagai kumpulan pemujaan yang saling bersaingan. Gavin Floods menyatakan bahawa:
Walaupun teks-teks ini berkaitan dengan sesama lain, dan bahan-bahan yang ada di semua teks ini pun selari namun setiap satunya pun memaparkan pandangan susunan lokamaya dari sudut-sudut berbeda. Purana-purana ini tak boleh dilihat sebagai kumpulan-kumpulan cetera purwa yang rawak sahaja, namun patut dilihat sebagai pendedahan dan juga persembahan mengenai pandangan semesta yang sangat-sangat ketat pilihannya dalam pemaparan bahan dan juga dicatit oleh para Brahmana yang menyebarkan pandangan tertentu, sama ada ditumpukan kepada Betara Wisnu, Betara Siwa atau pun Dewi Seri atau dewata-dewata lain.
Contoh yang ada, Wisnu Purana satawarsa ke-4 M mempersembah pandangan penganut Waisnawa apabila Betara Wisnu terjaga, menjadi Pencetus atau Brahma yang mencetuskan Jagat Raya, memeliharanya dan juga memusnahkannya sebagai Rudra (Betara Siwa).

Keagamaan penganut Saiwa pula terlihat dalam Agama-Agama, yang sebanyak 200 termasuk dengan Upagama-Upagama dicatit pada satawarsa sebelum satawarsa ke-7 M. Dalam satawarsa ke-7 M, Mpu Banabhatta memasukkan pemujaan Betara Siwa ke dalam catitannya mengenai aliran agama yang terkenal pada masa itu.

Dalam satawarsa ke-7 M juga, seorang bhikkhu Buddha Cina bernama Huen Tsang menjelajahi benua Hindu dan mencatit dalam bahasa Cinanya itu mengenai terkenalnya pemujaan kepada Betara Siwa ketika itu. Beliau menggambarkan tentang pura-pura Betara Siwa di Kanoj, Karachi, Malwa, Gandhar atau Kandahar di Afghanistan dan terutama sekali di Waranasi. Di Waranasi, Huen Tsang melihat sebanyak 20 pura raya yang ditujukan untuk Betara Siwa semata-mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan