Ahad, 29 September 2013

Bahasa Nepal

Namaste!

Kampung Ghandrung, Annapurna, Selatan Nepal

Kalau di sini, banyak saja orang Nepal yang menjadi pekerja di kedai-kedai makan yang berhawa dingin atau yang bekerja di bahagian keselamatan. Ada antara mereka merupakan penganut ajaran Buddha, ada yang Hindu. Pendek kata, buat sahajalah kawan selagi tuan mampu. Satu caranya itu, dengan belajar dan cuba bercakap dalam bahasa mereka. Dengan cara belajar bahasa mereka ini, tuan dapat mempelajari lebih banyak bahan berkaitan dharma dan kesusasteraan agama yang berguna pula buat diri tuan, siapa tahu tuan bertuah pada mengetahui ajaran para guru agung?

Nepal kini pun merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terkenal dalam kalangan para pengembara serata dunia. Ia mula membuka pintu kepada dunia luar pada 1951 selepas lamanya terpencil. Kebanyakan orang Nepal yang tuan temui pastilah tahu berbahasa Inggeris serba sedikit, utamanya mereka yang datang dari rantau bandar di Nepal. Tapi jika tuan mengembara ke pedalaman katakan mencari kebijaksanaan atau cuba mempelajari ajaran Buddha dan Hindu di sana maka mengetahui bahasa Nepal selain bahasa Sanskerta atau bahasa Hindu lainnya tidak kurang pentingnya. 

Bahasa Nepal ini merupakan sejenis bahasa Indo-Arya atau Indo-Iran (bukan merujuk Republik Iran) serta berhubungan rapat dengan bahasa Hindustan, bahasa Sanskerta, bahasa Bengali dan bahasa Pali. Ia bukan sahaja bahasa kebangsaan negara Nepal yang kini diperintah parti Komunis, sebaliknya juga merupakan bahasa yang dituturkan secara meluas di Sikkim, Darjeeling, beberapa bahagian lain di negara India dalam rantau Himalaya, Tibet dan juga Bhutan. Ia boleh dipahami juga di Burma kerana aku lihat ada orang Burma yang paham sekejap sahaja bahasa Nepal selepas bergaul dengan rakan-rakan pekerja migran dari Nepal. Bahasa Nepal ini merupakan bahasa pemersatu bagi lebih kurang 30 suku kaum yang berbeda bahasa, serta menjadi bahasa perhubungan bagi kelompok orang asing yang tinggal lama di Nepal. 

Bahasa Nepal mempunyai pelbagai langgam samalah seperti bahasa Hindi, bahasa Bengal dan lain-lain yang mempunyai langgam bahasa kecil dalam bahasa yang besar itu. Ia ditulis menggunakan aksara Dewanagri sama seperti aksara bahasa Hindustan. Tak susah sangat belajar bahasa Nepal, cuma perlu dihapal perkataan sahaja. Tatabahasa pun lebih kurang dengan tatabahasa bahasa Hindustan. Bahasa yang sukar dipelajari aku rasa adalah bahasa Benggali. Tulisannya pun sukar dan aku tak sanggup belajarnya pun walaupun ramai orang Bengal dari Bangladesh menyemak di kawasan perumahan aku.  

1 ulasan: