Bagi penganut ajaran Buddha aliran Mahayana, dewa Skandha ini merupakan makhluk yang dicerahi atau pun bodhisattwa. Dalam bahasa Cina, baginda dipanggil sebagai Weituo. Tradisi penganut ajaran Buddha Cina menyebut beliau sebagai Hufa Weituo Zuntian Pusa atau pun Pelindung Dharmma Terhormat, Sang Bodhisattwa Skandha. Baginda ini mengepalai sekumpulan 24 dewata penunggu yang disebut dalam Sutra Cahaya Keemasan.
Di biara Buddha Cina, wigraha Skandha akan dipasak berdepan dengan wigraha Phra Buddha di balai puja utama. Yang lainnya, baginda sentiasa berada di sebelah kanan balai pemujaan. Sebelah kiri balai pemujaan pula ada Sangharama yang diberi rupa Jeneral Guanyu orang Cina. Sutra bertulisan Cina selalu mempunyai gambaran baginda, sebagai peringatan bahawa baginda ada mengangkat sumpah melindungi dan memelihara ajaran dharmma.
Caritra menyatakan bahawa baginda Skandha ini merupakan kumara seorang raja yang tinggi kebajikannya. Raja tersebut sangat berkeyakinan dengan ajaran Buddha. Tatkala masuknya Phra Buddha ke nirwana, baginda Phra Buddha mengarahkan Skandha melindungi dharmma. Tugasan baginda itu adalah melindungi ahli-ahli Sanghom apabila mereka diganggu oleh Sang Mara, yang menyesatkan dan juga menyelesaikan pertelingkahan yang timbul dalam kalangan ahli Sanghom. Beberapa hari kemangkatan baginda itu dan juga pembakaran sarira baginda yang suci, setan jahat cuba mencuri tinggalan baginda. Sumpah Sang Skandha itu terbukti apabila baginda mengalahkan setan itu dan mengembalikan semula tinggalan suci baginda Phra Buddha Chao.
Terbit Cetera
Penerimaan baginda ini dalam kelompok dewata orang Cina tradisional yang menganut ajaran Buddha ada banyak sekali ceteranya. Setengahnya menyatakan bahawa dewa Skandha ini disesuaikan dari seorang dewa Cina yang muncul dalam pustaka Perlantikan Para Dewa dari wangsa Ming. Tapi kewujudan gambaran baginda Skandha ini sudah ada sejak sebelum wangsa Ming lagi jadi kemungkinannya cetera mengenai baginda sudah ada di empayar China sejak awal perkembangan ajaran Buddha di tanah China lagi.
Baginda selalu digambarkan sebagai seorang pemuda yang berpakaian besi dan memakai topi besi gaya tentera Cina, dan memegang Wajra. Setengah orang berpendapat bahawa baginda ini adalah Skandha orang Hindu yang turut dikenali sebagai Kartikeyan dan Muruga. Yang lain pula merasakan baginda ini mungkin juga jelmaan Sang Wajrapanni, iaitu bodhisattwa yang berhubungan dengan Skandha jua kerana kedua-duanya pun memegang Wajra sebagai senjata. Gambaran belakang mereka pula selalu ada api membara, dan kedua-duanya merupakan malaikat pelindung ajaran Buddha. Sang Skandha mungkin dikaitkan dengan Wajrapanni menerusi ajaran Buddha yang dianuti oleh orang Yunani. Rupa baginda sebagai Weituo pun hampir menyerupai gambaran Wajrapanni sebagai Heracles. Walaupun Sang Skandha ini dari jenis dewa atau malaikat tapi baginda selalu dirujuk sebagai Bodhisattwa jua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan