8. Wajrasattwa muncul dalam ayat-ayat bahasa Sanskerta namun nama ini tidak tersebut dalam sastera kekawin bahasa Jawa purwa digantikan dengan Aksobhya. Lima dewi diperbincang lanjut dan setiap satunya dikaitkan dengan salah satu daripada Tathagata. Tersebut bahawa Dhatweswari dan Locana itu satu jua dan bilangan dewi itu makanya empat sahaja; sebagai pembantu kepada Wairocana maka dinamakan mereka Satwawajri, Ratnawajri, Dharmawajri dan Karmawajri. Setiap dewi pun ada bija dan sebagai pengertian kepada yang tersebut sebagai paramita, maitri, karuna, mudita dan upeksa. Ini lah dia Paramaguhya Tathagata: Mahabodhi, semadhi, segala mudra, mantra, yoga, bhawana dan kawicaksanam yang dirupakan sebagai dewi berempat dan yogeswara tak akan menemui Buddha jika dia itu tidak mencapai perupaan empat dewi ini semua. Maka ditutup seluruh karya.
Tampak ketara bahawa tak perlu dibahaskan walau dengan cara mana sekalipun bahawasanya Sang Hiyang Kamahayanikan ini merupakan sebuah karya tantra yang benar. Walaupun tanpa pendedahan terus menerus sekalipun sebagai satu karya tentang mantracarya sekelian, namun tak ada keraguan bahawa karya ini berbicara tentang permulaan jalan menuju kepada pencerahan yang diperkatakan sebagai mampu dicapai dalam jelmaan kini menerusi jalan puja, japa serta mantra. Sabdawalinya sendiri pun sudah menunjukkan terdapatnya unsur tantra dalamnya.
Kita jua tak perlu mempersoal keaslian unsur tantra dalam karya ini. Namun pada satu ketika kita boleh pertimbangkan sama ada pandangan karya ini umumnya terpakai atau diterima di Pulau Jawa atau mungkin juga karya yang ini merupakan keluaran aliran yang sebenarnya berada di luar jangkauan ajaran Buddha yang terdapat di Tanah Jawa. Mungkin ia merupakan satu bentuk saduran dari karya bahasa Sanskerta asal yang diperguna untuk tujuan penyebaran ajaran dalam bentuk kepercayaan baharu tetapi gagal mencapai kejayaan dan mungkin karya asing yang terpelihara ini berada di Pulau Jawa sementara sastera yang dicap sahih mewakili ajaran Buddha Mahayana yang diiktiraf di Jawa pula hilang.
Kemungkinan ini semua secara teorinya boleh sahaja diterima, tapi berapa benar pula tanggapan ini apabila terdapat bukti yang dikumpul dari sumber lain berkenaan ajaran Buddha di sebelah Jawa Timur?? Bagaimana dengan sastera Negarakertagama oleh Mpu Prapanca, berkenaan ulasan tentang ajaran Buddha yang diamalkan semasa pemerintahan kerajaan Hindu Majapahit berada di ketinggiannya ketika itu. Bukan sahaja sabdawali wajradhara ditemui dalam karya, sebaliknya seluruh sabdawali dari Sang Hiyang Kamahayanikan itu sendiri nampak sesuai bagi penjodohan itihasanya memandangkan Mpu Prapanca (Dang Acarya Nadendra) sendiri pun adalah bekas pemegang kepala pendita Buddha di keratuan Majapahit. Jadi, selamat bagi kita nyatakan bahawa semua sabdawali diperguna pada tempat yang betul dengan pengertian yang benarnya. Seorang penulis yang semata-mata merupakan seorang kawi itu mungkin sahaja menghapuskan maklumat istimewa mengenai ajaran Buddha di rantau itu namun jelas sekali bahawa keaslian sastera itu disahkan oleh kedudukan resmi sang penulis sendiri sebagai bekas Dharmadhiyaksa Kesogatan.
Tidak akan ku ulangi titik minat ini, telah tersebut dalam perincian pertamanya tentang sraddha dan juga masa pemerintahan raja Kertanegara. Rujukan pada Negarakertagama itu cuma merujuk mengenai keselarian ajaran Buddha yang diamalkan oleh pemerintahan negara Majapahit dengan pustaka Sang Hiyang Kamahayanikan ini sahaja. Ditunjukkan dengan jelas lagi bahawa pada pandangan pertama, ada sedikit perkara pelik iaitu disebutkan tentang Yang Maha Tinggi dalam pelbagai aliran; Perkara yang ini muncul dalam rupa sama dalam Sang Hiyang Kamahayanikan. Seloka kedua Negarakertagama memuji Buddhasmarana nenenda perempuan Seri Maharaja Kertanegara, yang juga sabdawali yang terdapat dalam sastera ini.
Tak perlu terkejut juga bahawa Seri Maharaja Kertanegara memilih untuk menjalani tarkka dan wiyakarana, yang keduanya ini merupakan haji yang terdapat dalam soal jawab pustaka Sang Hiyang Kamahayanikan seterusnya membawa kepada cetusan Haji Tantra. Pendeknya, ajaran Buddha yang digambarkan dalam Negarakertagama itu selari dan bersetuju dengan penyampaian sastera Sang Hiyang Kamahayanikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan