Ahad, 22 September 2013

Ajaran Buddha dan Orang Tamil

Swasti Srih!


Ajaran Buddha Tamil atau Tamizh Pelattam merupakan ajaran Buddha yang diamalkan dalam kalangan penganut ajaran Buddha berbahasa Tamil. Ia merujuk kepada pelbagai jenis aliran ajaran Buddha yang pernah berkembang dalam negara Tamil purwa. 

Walaupun terdapat bukti carigali yang sedikit sahaja berkenaan ajaran Buddha di negara Tamil purwa, tetapi terdapat banyak pula sastera bahasa Tamil klasik serta karya tatabahasa bahasa Tamil yang ditulis oleh penulis Tamil yang mengakui diri mereka sebagai penganut ajaran Buddha.

Tak ada persetujuan akademik pun berkenan dengan ajaran Buddha di negara Tamil purwa. Tapi pengkaji Barat, Peter Schalk membahaskan bahawa ajaran Buddha telah berada di negara Tamil sejak kurun ke-4 SM. Ia jarang diterima sebagai ajaran agama anutan oleh orang Tamil. Setengah sarjana dan juga aktivis Buddha baru mendakwa bahawa ajaran Buddha sebenarnya terkenal lebih awal di negara Tamil sebelum kurun ke-4 SM lagi. Ia memainkan peranan penting dalam masyarakat Tamil.

Negara Tamil

Kekawin Tamil purwa, Manimegalai oleh kawi Sithalai Sathanar berlatarbelakangkan kota Kaweripattinam. Runtuhan biara purwa kurun ke-4 dan ke-5 M, patung Buddha dan juga Buddhapadam ditemui di bahagian lain kota purwa itu, kini berada dalam Palawaneswaram.

Warisan kota Nagapattinam ditemui juga dalam babad itihasa Burma kurun ke-3 SM dan terdapat sebutan tentang Buddha Wiharam dibina oleh maharaja Asoka. Nagapattinam merupakan pusat penyebaran ajaran Buddha pada kurun ke-4 sampai ke-5 M. Stupa di situ datang dari kurun ini. Ajaran Buddha mula hilang dari kota itu tanpa diketahui bila tapi hidup kembali pada kurun ke-9 M (H. P. Ray, Angin Perubahan, Delhi 1994, ms. 142). Pada kurun ke-11 M, Wiharam Sri Cudamani dibina oleh raja Seriwijaya, Culamaniwarman dengan perlindungan maharaja Raja Raja Cholan. Piring tembaga Animangalam dipahat Maharaja Kulottunga Chola menyebut Kasiba Thera mengubahsuai biara Buddha dalam kurun ke-6 M dengan bantuan bhikkhu dari negara Naga. Wiharam Nagarannam ini kemudian dikenali sebagai Nagananawiharam. Ajaran Buddha berkembang sampai kurun ke-15 M dan bangunan biara itu terselamat sampai kurun ke-18 M.

Kota Kancipuram pula merupakan salah satu kota tertua di India Selatan. Ia merupakan kota pembelajaran bahasa Tamil, bahasa Bali dan bahasa Sanskerta. Dipercayai bhikkhu Buddha dari empayar China bergelar Huan Tsang atau Yuan Chuang melawat kota ini. Ketika itu, kota ini berada dalam wangsa Pallawawarman. Dari kurun ke-4 M sampai ke-9 M, Kancipuram mendapat perhatian sesungguhnya. Kota ini menjadi ibu kota negara Pallawa dan banyak biara terkenal dibina ketika itu. Menurut tradisi Tamil sendiri, Bodhidharma yang mengasaskan aliran Dhyana di Jepun turut dilahirkan di situ. Begitu jua penulis bahasa Sanskerta terkenal, Dandin yang menulis karya Dasakumaracaritam dilahirkan di situ. Kawi Bharawi juga membesar di Kanci dan menulis Kiratarjuniya dengan dana raja wangsa Pallawa, Sri Simhawisnu.

Sarjana ajaran Buddha terkenal seperti Mpu Dignaga, Mpu Buddhagosa dan Mpu Dharmapala tinggal di situ juga. Raja dari Kanci, Sri Mahendrawarman I, merupakan seorang sarjana agung pandai bermain bunyian, cerdik dan berpengetahuan dalam bahasa Sanskerta serta pementasan lakon. Huan Tsang melaporkan bahawa ketika kurun ke-7 M, kota Kanci itu berbentuk bulatan separa 6 batu luasnya. Penduduknya itu berani dan kuat beragama. Mereka suka keadilan dan mementingkan pendidikan. Dicatatkan jua bahawa Sang Buddha sendiri pernah melawat ke Kancipuram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan