Sabtu, 21 September 2013

Tapa Merenung Astanga Arya Margah

Swasti Sri

Pada ketikanya, mungkin tuan-tuan budiman mengamalkan beberapa jenis yoga tapa. Setengahnya berbuat demikian demi ketenangan diri, manakala yang lainnya menjalani semua ini bagi membebaskan minda dari keterikatan lokamaya. Dapat kita perhatikan bahawa semua ini bertujuan bagi membebaskan pemikiran atau mental dari keterikatan, dendam amarah dan juga kejahilan atau lain katanya mencapai nirwana.

Hampir kesemua kita ini hidup kehidupan berkeluarga biasa. Kita pergi kerja di awal pagi dan balik mungkin pada petang harinya. Terasa letih tubuh ini kerana kita berpikir, bercakap, berurusan dan menjalani pekerjaan harian kita di siang hari. Pasti sekali tuan-tuan budiman bersetuju bahawa pemikiran atau otak pun menjadi lembap kesan daripada tindakan yang sentiasa berjalan ini.

Sang Buddha ada bersabda bahawasanya tak molek bagi meningkatkan ketenangan atau tumpuan jika pemikiran kita menurun menjadi lembap. Molek pula untuk ditingkatkan ciri pencerahan yang membedakan keadaan, ciri pencerahan tenaga dan juga ciri pencerahan yang menyenangkan tatkala lemah lesu pemikiran. Cubalah tuan budiman rujuk kepada Bojjhangasamyutta bagi maklumat lanjut.

Cara terbaik memulakan tapa semadi tuan itu adalah dengan kembali kepada Astanga Arya Marga. Ia merupakan jalan yang membawa kepada nirwana dan juga jalan membawa kepada peningkatan dasar-dasar tenaga kejiwaan. Selepas melalui tapa yang ini, tuan boleh sahaja hendak mengamalkan yoga tapa yang lain yang telah tuan jalankan sebelum ini. Sebenarnya, Jalan Arya ini memberikan perbedaan yang sangat ketara sekali dalam kehidupan tuan. Mungkin tuan telah pun mendengar mengenai Arya Marga Delapan ini namun kemungkinannya tuan mempunyai pandangan yang berbeda pula tentangnya. Makanya, harus tuan sekelian mempelajari Arya Marga Delapan ini sebaiknya menurut sabda Sang Buddha moga dapat diamalkan dengan semolek mungkin.

Selepas tuan mempelajari Astanga Arya Margah, mulakanlah tapa dengan pandangan benar dan melalui segala tapa langkah demi langkah. Beri perhatian kepada setiap bahagian dalam tapa itu dengan terperinci, bermula dengan "jelmaan" dan kemudian teruskan pula dengan "berusia" dan seterusnya, menguji erti setiap bahagian dan mengesahkannya satu persatu jika ia sudah boleh diterima. Sang Buddha bersabda bahawa, ada enam deria yang timbul dalam jelmaan dan juga sengsaranya. Patutlah tuan kaji perkara ini dalam masa tapa tuan. Mengapa sengsara derita itu ada enam dasar? Jawapannya adalah kerana tuan mempunyai mata yang tak abadi, telinga yang tak kekal, serta lain-lain.

Ambil sahaja contoh dari diri tuan sendiri dan orang lain. Jika tuan tak boleh melihat dengan cara yang sama seperti sebelumnya kini, dan tuan pun menderita disebabkannya maka pasti tuan akan bersetuju dengan Sang Buddha menerusi pengalaman tuan sendiri. Tuan bukan lagi setuju dengan Sang Buddha, sebab Sang Buddha yang bersabda begitu. Ambil pula ibu bapa tuan sebagai contoh atau kenalan tuan yang tidak dapat melihat sebab usia sudah lanjut. Pikirkan pula bahawa tuan pun tak mampu terlepas daripadanya. Jangan lupa pula untuk merenung ini dengan deria tuan yang lain seperti telinga, rasa di lidah, serta sebagainya. Jika tuan setuju bahawa semua ini adalah penderitaan, maka bolehlah tuan bergerak ke bahagian kedua. Usia lanjut itu Jarapi Dukkha atau penderitaan. Cuba kaji pula, sampai kepada kematian dan renungkannya sebaik mungkin dengan menerusi contoh kejadian.

Dengan cara inilah, tuan akan melalui seluruh tapa renungan diri tuan. Janganlah tergesa-gesa. Mungkin tuan mengambil masa 40 minit tapi tuan sedang berada di tahap merenung berkaitan dengan jelmaan itu derita sahaja sepanjang hari. Yang itu pun tiada masalah. Yang penting sekali adalah tuan sedar bahawa Sang Buddha bersabda itu menerusi kebijaksanaan tuan sendiri. Tuan bukan sekadar bercakap mengulangi sabda Sang Buddha sahaja tapi tanpa kesedaran. Ambil perhatian jua, tuan mungkin pikir bahawa tuan sudah pun menerima sabda Sang Buddha namun ia cumalah kepercayaan buta dan tanpa kesedaran. Jika tuan melakukannya sebaik mungkin, tuan akan melintasi setengah dharma yang tuan pernah dengari cuma tuan belum lagi menerimanya sahaja. Jangan tolak dharma itu kerana Sang Buddha itu bijaksana cuma kita tidak memahami baginda. Cubalah pula merenung lebih padanya. Akhirnya nanti, tuan pun akan setuju jua dengan Sang Buddha pada suatu hari yang mungkin merupakan hari bertuah tuan.

Tuan juga perlu menjalankan tapa ini beberapa bulan lamanya. Janganlah lupa untuk menyediakan masa sedikit bagi tapa merenung Pancha Skandha iaitu rupa, perasaan, pandangan, pembentukan mental dan kesedaran kepada gelendongan terikat pada yang sementara itu sebagai satu bahagian daripada tapa ini setiap hari. Selepas beberapa ketika, tuan pastu akan mempunyai kebolehan mengingati semula setiap minit daripada Kebenaran Mulia pertama dan tuan bolehlah mengesahkan beberapa bahagian daripadanya sendiri. Cuba tuan lihat jika tuan mendapat pandangan dalaman diri pada ketika menjalani tapa yang ini.   

Tuan bolehlah memberi perhatian kepada pembentukan Kebenaran Mulia kedua selepas mengembangkan kemahiran dalam melalui Kebenaran Mulia pertama. Cuba selama beberapa bulan untuk Kebenaran Mulia pertama dan kemudian untuk yang kedua.

Senantiasa mulakan dengan pandangan yang benar dan kemudian masuk ke gambaran Kebenaran Mulia yang pertama dan seterusnya ke Kebenaran Mulia yang kedua menurut susunan. Tuan mungkin akan mengambil masa beberapa bulan sebelum mengembangkan bahagian pertapaan yang ini dan seterusnya masuk ke Kebenaran Mulia yang ketiga. Apabila tuan masuk ke Kebenaran Mulia yang keempat, tuan dapati bahawa tuan sudah kembali semula ke dalam Jalan Mulia Lapan Lapis dan kemudian teruskannya dengan "pemikiran yang benar".

Senantiasa uji pengertian dharma yang tuan amalkan dan sahkannya jika ia sesuai dengan tuan. Jika tuan rasa tak sesuai maka tinggalkannya pada tahap ini dan langkau ke tahap seterusnya dalam tapa. Nanti kembali semula ke bahagian tersebut apabila masa terluang lagi. Tuan perlu pastikan yang tuan serasi dahulu baru mulakan tapa tersebut. Apabila beramal, periksa juga bagi melihat sama ada tuan mempunyai ciri-ciri tersebut. Tuan harus senantiasa menguji diri sendiri, sama ada tuan sudah meninggalkan segala kesenangan deria semampu yang mungkin? Sama ada tuan mempunyai pemikiran yang tidak merosak, atau pemikiran yang tidak mengganggu sesiapa pun? Jika tuan rasa selesa di situ, maka tuan bolehlah masuk ke tapa "ucapan benar" dan seterusnya.

Untuk pengalaman ku ini, ku kongsikan kepada tuan bahawa setiap pagi kita akan membaca Jalan Mulia Lapan Lapis ini supaya ia terpasak dalam dada. Kemudian sahaja kesedaran mendatang akan menyebabkan kita beramal dengannya. Cubalah tuan jalankannya dan perhatikan kesannya sendiri. Semoga berbahagia selalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan