![]() |
Wanita Mon di Siam, tahun 1904 |
Bahasa Mon merupakan bahasa jenis Daratan atau bahasa Austroasia, dipertutur dalam kalangan orang Mon yang berdiam di Kesatuan Myanmar dan Thailand. Bahasa ini berkaitan bau-bau bacang dengan bahasa Kemboja dan bahasa jenis Sengoi di Malaysia dan Selatan Thailand. Orang Sengoi sudah biasa dengan konsep Mimpi Sedar atau Lucid Dream sejak samaya lampau lagi. Diperkatakan sejarawan dan ahli antropologi bahawa orang Sengoi di Tanah Melayu dan Segenting Kra pernah berhubungan dengan orang Mon Purwa pada samaya sebelum empayar Siam.
Bahasa Mon bukan jenis bahasa seperti bahasa Thai atau bahasa Burma yang mempunyai pelbagai nada suara. Hampir sejuta jiwa menuturkan bahasa ini hari ini. Beberapa tahun kebelakangan ini, bahasa ini mula kurang dipertutur oleh turunan orang muda. Di Myanmar, anak-anak muda sebelah Bawah mula menjadi penutur bahasa Burma sahaja. Penutur bahasa ini berada di negeri Mon dalam Kesatuan Myanmar, diikuti pecahan Tanintharyi (Tanah Seri, bahagian Tanah Melayu dalam Kesatuan Myanmar) dan negeri Kayin. Bahasa Mon ini menggunakan tulisan Hindu Brahmi yang juga menjadi punca penulisan bahasa negeri jirannya, negeri Burma.
Itihasa
Bahasa ini merupakan salah satu bahasa terpenting dalam sejarah Myanmar. Sampai kurun ke-12 M, ia menjadi bahasa lingua franca di lembangan Irrawaddy dan bukan sahaja di negeri-negeri Mon di bawah lembangan itu tapi sampai ke negeri Pagan iaitu negeri orang Burma.
Bahasa bertulis Mon ini terus menjadi bahasa utama sampai kejatuhan kerajaan orang Mon, kerajaan Thaton diserang kerajaan Pagan pada 1057. Raja negeri Pagan, raja Kyansittha (1084-1113) mengagumi kebudayaan orang Mon dan bahasa mereka turut dilindungi negeri Pagan. Tulisan mereka dipakai menjadi tulisan bangsa Burma semasa pemerintahan baginda. Raja ini meninggalkan banyak prasasti dalam bahasa Mon. Semasa samaya ini, prasasti Myazedi, yang mengandungi cetera serupa dalam bahasa Bali, bahasa Pyu, bahasa Burma dan bahasa Mon dipahat di semua empat bahagian batu itu. Selepas kemangkatan baginda raja ini, penggunaan bahasa ini mula menurun dalam kalangan orang Burma sebab itu bukan bahasa ibunda mereka. Bahasa Burma Lama mula mengambil tempat bahasa Mon dan bahasa Pyu yang sebelum itu menjadi bahasa perhubungan umum.
Dalam negeri Drawati dalam Thailand moden, ada juga prasasti bahasa Mon tapi banyaknya sudah berserpih pecah. Kurang jelas sama ada penduduk dalam negeri itu adalah campuran bangsa Mon dan bangsa Melayu atau bangsa Khemir Kemboja. Prasasti terkemudian menyebut bahawa kerajaan Lawapura atau Lavo menjadi negeri jajahan wangsa Angkor dari Kemboja.
Selepas kejatuhan kerajaan Pagan, bahasa Mon sekali lagi dipakai meluas dalam kerajaan orang Mon iaitu kerajaan Hamsawati yang memegang negeri Pegu di Bawah Myanmar sekitar 1287-1539. Bahasa ini terus dipakai di situ sampai tengahan kurun ke-19 M pun rantau itu masih dipenuhi oleh orang Mon yang bertutur bahasa Mon. Keadaan mula berubah bila empayar British menakluki negeri-negeri di Myanmar Bawah pada 1852 dan menggalakkan penghijrahan bagi membangunkan pertanian dan ladang di delta Irrawaddy. Penghijrahan besar-besaran yang bersambungan menyebabkan bangsa lain dari sekitar Burma, termasuk dari India dan China memenuhi negeri orang Mon di selatan lantas menjadikan bahasa Mon terperuk sebagai bahasa ketiga yang dipakai sesama orang Mon sahaja.
Bahasa ini mula pudar sinarnya dalam pemerintahan penjajahan British. Penduduk mula menggunakan bahasa Burma sejak kemerdekaan negeri-negeri yang disatukan dengan Burma pada 1948 oleh British. Dengan sedikit bantuan dan sokongan daripada kerajaan Burma moden, bahasa Mon utamanya yang bentuk sastera kembali disebarkan semula oleh bhikkhu-bhikkhu Buddha berbangsa Mon. Bahasa ini masih diperguna di sempadan Thailand-Burma di kawasan pemberontak puak Mon yang mengawal kawasan-kawasan itu. Pada 2013, diumumkan Than Lwin Times mula membuat berita dalam bahasa Mon. Ia mula menjadi penerbitan pertama dalam bahasa Mon sejak 1962.
Langgam Bahasa
Ada tiga jenis langgam bahasa Mon diperguna di Myanmar. Ia datang dari pelbagai kawasan yang didiami orang Mon sendiri. Antaranya bahagian Tengah iaitu kawasan Martaban dan Moulmein, Pegu dan Ye. Semua pun boleh memahami sesama sendiri walaupun berbeda sikit-sikit. Bahasa Mon di negara Thailand pun ada perbedaan digelar bahasa Nyah Kur atau bahasa Chao Bon. Tapi masih boleh dipahami oleh yang di Myanmar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan