Khamis, 3 Oktober 2013

Falsafah Adwaita Wedanta

Om Swastiastu!


Sudah banyak kali sebenarnya aku rasa dibicarakan mengenai ini. Namun ingin aku perbuatnya sebagai satu ikatan bagi memudahkan rujukan sekelian penganut agama Hindu buat pendidikan setakat yang dipilih dan mampu oleh kita terutamanya menyentuh tentang yogatapa. Bahan adalah sumbangan Adwaita Yogasramam.

Titik Permulaaan

Setiap manusia itu, ada sahaja yang tak senang di hatinya. Ada sahaja rasa sesuatu tak cukup dalam hidupnya itu. Manusia mau lebih. Tak kira berapa banyak dimilikinya tak pernah dirasakan cukup. Manusia takut kematian. Manusia mahu hidup lama panjang usia, sihat, nampak awet muda dan mengumpul harta melimpah ruah. Kita mau menambahkan pengetahuan dan kesedaran. Kita mau mengalami kesukaan dan keseronokan.  

Semua ini menyebabkan kita menghadapi letih lesu bersangatan. Kenapa ya?? Jawapannya ada dalam tiga kenyataan yang disusun padat oleh Mpu Sri Sankara, yang menerangkan dan menjelaskan Adwaita Wedanta kepada orang ramai...

Bramha Satyam. Jagan Mithiya. Jiwo Bramhaiwa na Parah.

Ertinya itu

Sang Pencipta itu Benar. Loka ini maya. Jiwa itu Bramha jua bukannya lain.

Adwaita

Adwaita ini bererti bukan duaan. Ia mempunyai pandangan bahawa Hakikat Mutlak Nan Satu itu, Hakikat bergelar Brahman, Yang Tertinggi itu cuma Satu sahaja. Tak ada suatu pun yang boleh ditambahkan kepada Nya dan Brahman itu berada di merata-rata dan tak terbatas. Tak ada sesuatu pun tempat yang bebas daripada Nya. Makanya, Brahman ini bukannya duaan pada ciri, kerana tak ada satu tempat pun dalam lokamaya ini atau manusia atau sebarang makhluk itu berada di luar lingkungan Brahman. Ia mencakupi semua padanan yang berlawanan dan gambarannya.

Jagat atau loka hakikat ini, relatif tetapi juga berlawanan dengan ciri mutlak Brahman. Dalam keadaan ini, dan dalam perbandingan dengan Brahman, loka ini maya. Tapi maya bukan bererti khayalan atau tak wujud, sepertilah juga mimpi. Mimpi itu mempunyai subjektif hakikatnya sendiri tapi ia pastilah tak benar-benar seperti bila manusia berkeadaan jaga.

Kenyataan ketiga dalam susunan kawi Mpu Sankara itu menyatakan bahawa ciri benar bagi setiap jiwa itu adalah Brahman. Kerana awidya atau kejahilan jiwa yang asal, kita melupakan jati diri kita yang sebenar lantas kita salah paham bahawa kita ini adalah jiwa yang terbatas dan kecil sahaja.

Penyelesaian

Pemakaian yang amali bagi Adwaita Wedanta ini adalah Jnana Yoga. Ini adalah yoga pengetahuan atau kebijaksanaan. Ia adalah jalan terus mengalami kebenaran Adwaita, bererti menyedari Diri sebenar, iaitu Atman. Jnana Yoga ini antara yang sukar dalam segala yoga, walaupun ada amalan lain yang boleh dijalankan bagi membantu manusia mencapai matlamat menyedari jati dirinya. Cara yoga berbeda, termasuklah Hatha Yoga, yang digolongkan dalam Empat Jalan.

Satchitananda Brahman

Walaupun Brahman itu tiada tergambar dengan kata-kata, para resi dan muni dari samay purwa mengisytiharkan berdasarkan pengalaman kerohanian mereka, mengenai gambaran Brahman sebagai Satchitananda....

Sat itu kewujudan murni dan mutlak
Chit itu pengetahuan atau kesedaran murni dan mutlak
Ananda itu anugeraha murni dan mutlak

Ciri sebenar kita itu murni kewujudannya, murni pengetahuannya, dan murni anugerahnya. Dalamnya kita mengetahuinya dan kerana itu kita tidak boleh tinggal sebagai makhluk tidak kekal ini dan mengalami sebarang jenis keterbatasan dalam kewujudan kita. Kita dahagakan pengetahuan yang tak pernah kunjung habis dan keinginan berterusan untuk sentiasa merasai kesukaan. Yoga ini mencari kesukaan dalam Jiwa, atman yang sudah ada di dalam, berbanding dengan mencarinya dengan benda di luar diri kita, dalam bentuk bahan yang dipegang dan dirasai deria tubuh.

Perumpamaan Ular dan Tali

Seorang lelaki, kita panggil saja sebagai Raju, berjalan pada malam harinya di jalan yang gelap. Tiba-tiba sahaja, seekor ular dirasakan mematuk kakinya. Ular itu melingkar di jalan beberapa kaki dari beliau. Raju terduduk lalu meraunglah beliau disebabkan sakit dan mengetahui bahawa hidupnya itu pasti akan berakhir. Dirasai racun patukan ular itu meresap dalam pembuluh darahnya lalu dijeritlah dia meminta tolong. Petani yang lalu berdekatan terdengar teriakan meminta tolong itu lalu datang dengan obor di tangannya cuba melihat di mana ular itu. Tapi demi terlihatnya sahaja didapati bahawa itu bukannya ular pun tapi tali sahaja.

Salah Bayangan

Perumpamaan ini memberi gambaran kepada konsep salah bayangan. Raju yang terlampau takutkan ular, tersilap bayang bahawa tali dekatnya dalam jalan gelap itu ular. Dia yang cuma disentuh oleh cabang-cabang kayu dan pandangan tali yang kabur dalam kelam gelemat itu sudah cukup mencetuskan kehadiran ular yang sebenarnya lebih kepada bayangan mindanya sahaja dan begitu juga dengan kesakitan bisa ular menjalar itu.

Kini, soalannya adalah semasa kejadian, adakah ular itu hakikat atau tidak hakikat? Jawapannya itu subjektif lah. Ular itu benar-benar hakikat bagi Raju. Tapi, secara objektifnya, kehadiran ular itu cuma bayangan khayalan Raju dan dicetuskan oleh minda beliau sendiri.

Begitulah dengan lokamaya ini. Ia mempunyai hakikat subjektifnya sendiri tapi apabila pengetahuan Brahman Agung itu menjelma, maka hakikat berkait ini mula menjadi kurang dan kurang dan hanya hakikat mutlaka Brahman Agung sahaja yang tinggal.

Dalam cetera perumpamaan ini, ular itu cuma wujud pada masa kejadian (masa kini), sementara tali itu wujud pada sebelum (masa lampau), masa kini dan juga masa hadapan (lepas kejadian). Begitu juga, lokamaya ini wujud pada masa kini sahaja, walaupun dalam ketika yang agak lama berada di tempatnya sedangkan Brahman Agung sudah wujud sebelum ciptaan lokamaya ini, wujud kini, dan akan senantiasa wujud walaupun selepas hancur Jagat Raya.

Maya dan Awidya

Brahman Agung itu adalah kesedaran dan kesaktian. Kesaktian ini bergerak dalam banyak cara, termasuklah sebagai sakti kuasa atau makhluk. Sakti begitu merupakan sakti yang menyelubungi sakti, yang menyelubungi kebenaran kesatuan kesedaran. Sakti Maya mencetuskan kejahilan pandangan berasingan dan kepelbagaian bahan dalam lokamaya. Maya ini dalam rupa wanitanya membuat kita percaya bahawa kita ini berbeda daripada loka dan seluruh makhluk lain. Dia membuat kita menjatikan diri kita dengan Upadhi, tubuh, yang tak sempurna dan membawa kesakitan dalam hidup kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan