Banyak orang cubalah hendak mengelak menyebut mengenai ajaran Buddha dengan orang Melayu utamanya apabila sabdawali Melayu ini dimasukkan menjadi sabdawali yang terkait dengan agama yang satu lagi dari Timur Tengah. Keadaan ini sebenarnya bukannya memperkuat jati diri orang Melayu sebaliknya menjadikan mereka lebih celaru jati diri.
Lalu, ada lah yang tak malu mengakui diri sendiri keturunan nabi Sulaiman, iaitu salah seorang nabi orang Yahudi di Jerusalem yang turut dihormati oleh penganut tiga jalan bapak Abraham itu. Atau pun yang mencampur aduk itihasa ajaran dharma dengan benda merapu kedana dipaksa-paksa juga biar berkait. Tali perkaitan mereka dengan kerajaan empayar lama seakan-akan terputus. Keadaan ini turut terjadi kepada orang Hindu yang menganut agama lain di sebelah Pakistan dan Bangladesh sana yang tiba-tiba mengakui diri sendiri keturunan Arab apabila bercakap dalam bahasa Hindu yang penuh dengan perkataan bahasa Arab, Turki dan Parsi.
Maka, Sriwijaya itu sebuah kerajaan Hindu yang raja-rajanya menganut ajaran Buddha Brahmana. Terlihat pada dokumen Datuk Salimbado Buah Tarok di Sumatera juga mengenai keturunan Sailendrawangsa itu sebenarnya adalah keturunan Kauṇḍiñawangsa. Kauṇḍiña itu sebuah gotra bangsa Hindu yang berjati Brahmana dalam caturwangsa Hindu, yang turut terpakai di Kemboja purwa apabila seorang Brahmana masuk ke hilir Kemboja berwiwaha dengan puteri Nagawangsa. Mengenai keluarga diraja itu, nantilah kita tarukkan teorinya. Semua teori yang dipaparkan itu pada hemat aku adalah saling berkaitan. Bukannya terputus-putus. Yang terputusnya itu terjadi disebabkan oleh sentimen kebangsaan negara moden tuan budiman. Tatkala disebutkan rantau Hindu, kita merujuk rantau Hindu itu menurut Mahabharata. Ia melampaui India, mencakupi Asia Tenggara: Indochina dan kepulauan Selatannya sampai ke sempadan Iran moden.
Agama Utama
Ada dua agama utama di Sriwijaya sebelum kurun ke-13 M. Agamanya itu agama Hindu, tradisinya Hindu dan Brahmana. Ajaran yang dipakai oleh hampir keseluruhan penduduk termasuk keluarga dirajanya itu ajaran baginda Siddhartha Gautama Buddha. Perkaitannya sangat erat dengan benua kecil India serta rantau sekitarnya. Disebut secara umum, agama orang Hindu sampai ke Asia Tenggara seawal tujuh kuron sebelum ketibaan orang Eropah tapi dalam babad tempatan, carigali purwa serta prasasti Hindu di merata-rata rantau Asia ini menyatakan orang Hindu sudah masuk sejak kurun sebelum masehi lagi.
Catitan rekod Cina menyataakan ajaran Buddha dan agama Hindu sudah berada di Sriwijaya itu tenang-tenang sahaja tiada perang pada pengajaran agama. Pengaruh agama ini semua tak ditemui dalam kalangan penduduk di pesisiran pantai tapi dalam tapak istana diraja di perhuluan walaupun di pesisiran itu ramai pedagang dan pelawat luar berkunjung. Ada bukti menyatakan bahawa orang Hindu dan orang Hindu Timur (Asia Tenggara) kunjung mengunjung sesama sendiri dan berlaku pengaruh mempengaruhi sesama mereka. Amalan-amalan keagamaan juga saling mempengaruhi.
Konsep dewaraja, merupakan konsep yang utama dalam pasakan rupakara mandala pengaruh kuasa pusat Sriwijaya. Ia mempunyai kala-kala tertentu dan pemerintahan maharaja silih berganti mengikut negeri-negeri yang menyembah ke kuasa pusat. Konsep ini merupakan konsep bahawa terdapat perhubungan antara raja pemerintah dengan dewata dan Sang Hiyang. Lebih kurang konsep di empayar China sana juga lah. Maharaja itu anak kahiyangan. Maharaja memuja kahiyangan dan terdapat pula mandat kahiyangan yang memastikan wangsa diraja itu berkuasa memerintah. Menurut agama kepercayaan Hindu, matlamat hidup segala yang bernyawa berjiwa itu terkaitlah dengan dharmma, artha dan karma. Dharmma itu tanggungjawab makhluk menurut kedudukan jatinya, artha itu kemakmuran kebendaan dan karma itu tindakan yang memberi kesan kepada persekitaran dan yang memutarkan takdir.
Ajaran Buddha
Kerajaan pusat Sriwijaya dan keluarga dirajanya itu merupakan antara pemain peranan utama penyebaran ajaran Buddha di rantau yang ditundukkan mereka. Bila sahaja ditundukkan Pulau Jawa, Tanah Melayu dan Segenting Kra maka ajaran Buddha disebarkan juga oleh mereka dengan taatnya. Orang yang berdharmayatram ke benua Hindu digalakkanlah supaya tinggal sementara bersama dengan para bhikkhu Buddha di ibu kota mereka di Palembang sebelum pergi ke India sana.
Kerajaan Sriwijaya ini merupakan kubu kuat pengamal ajaran Buddha aliran Mahayana: Mantrayana atau Wajrayana. Ramai pelawat dharmma dan sarjana melawat ibu kota Palembang bagi membuat kajian di situ serta belajar bahasa Sanskerta kerana orang-orang di situ mahir dalam bahasa Sanskerta. Bhikkhu Buddha bergelar I T'sing dari wangsa T'ang di empayar China pernah beberapa kali melawat Sumatera sebelum ke Nalanda Mahawidyalayam di India belajar ajaran Buddha lanjutan sekitar 671 dan 695. Beliau mencatit dalam catitan beliau:
"... ramai raja-raja dan pemerintah di kepulauan dalam lautan selatan itu memberi tabik dan percaya dengan ajaran baginda Buddha. Dalam hati mereka itu tersemai benih-benih kebajikan. Dalam tembok ibukota Sriwijaya ini tinggal berdiam 1000 orang bhikkhu Buddha, yang belajar dengan gigihnya dan menjalani dengan tekun ajaran para Arya... Jika bhikkhu empayar China berniat belayar ke India mencari ajaran Buddha itu, molek benar jika singgah dulu setahun dua di Sriwijaya. Perdalam pengetahuan sebelum sambung pelajaran di India".
Beliau belajar bahasa Sanskerta di Sumatera selama enam bulan dan juga belajar bahasa Melayu Purwa di situ. Sekitar awal kurun ke-7 M, beliau menterjemahkan sutra-sutra Sanskerta berjumlah 400 banyaknya dari empayar Sriwijaya yang antaranya adalah Saranawabhawa Winaya, Awadana: Cetera Kebajikan dan Suwarnaprabhascottamaraja Sutra: Sutra Diraja yang Dimuliakan. Dari India pula, beliau menterjemah ke bahasa Cina antaranya, Sutra Cahaya Keemasan yang sebenarnya ada bahagian yang merupakan penyesuaian bacaan pujian baginda Begawan Kresna kepada Durga Dewi dari Hariwangsa tapi dalam teks bahasa Cinanya itu ditujukan pujian kepada baginda Saraswati Dewi.
Sekitar kurun ke-11 M, seorang lagi cendekiawan bhikkhu Buddha bergelar Atisa Dipangkara Srijñana dari empayar Pala di Bengal masuk ke Sriwijaya belajar agama dengan Phra Guru Dharmakirtti Suwarnadwipa. Beliau turut mengajar di Nalanda di Bihar sana. Di sebelah Sumatera sana pada ketika itu, bhikkhu Buddha mengamalkan ajaran Buddha yang berbentuk murni sebagai latihan walaupun dibenarkan juga melakukan pengubahsuaian kebudayaan. Matawang emas diperguna di pesisir pantai tapi lain pula di perhuluan Sriwijaya di Sumatera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan