Kejadian ini diceritakan seorang warga India pada 25 Jan 2010, bernama Sanju Bhat. Kejadian ini berlaku sewaktu beliau dalam kolej kejuruteraan. Ketika itu beliau dalam lawatan ke Puna, tempat yang sangat disukai oleh beliau dan tempat tinggalnya pada cerita disampaikan. Gaya bahasa digunakan adalah dalam ganti nama pertama, pencerita itu sendiri menceritakan.
Ketika itu, waktu cuti semester dan aku bercadang hendak melawat Susila. Dia itu kawan aku dari Mumbai. Dia baru sahaja berpindah ke Puna untuk belajar kejuruteraan dalam salah satu kolej di situ. Dia menyewa rumah banglo di Nigdi bersama beberapa lagi orang rakan kolej. Tempat itu bagus juga tapi agak terasing daripada bandar utama. Lagipun, budak-budak itu memang suka hidup tanpa diganggu dan tempat itu sesuailah dengan muka mereka.
Susila menjemput aku melawat ke rumahnya untuk jangka masa lama juga. Kawan-kawan serumahnya semua sudah balik ke kampung mereka dan akan kembali hanya selepas sebulan cuti semester itu habis. Dia sajalah yang menjadi penunggu rumah itu. Kami bercadang hendak duduk di situ beberapa hari sebelum balik ke Mumbai bersama-sama. Seorang lagi rakan kami, Wikrant yang belajar di Bangalore pun ikut kami juga.
Seperti yang direncanakan, aku sampai di rumah Susila lewat petang. Masa untuk sampai ke tempat dia itu dari Stesyen Puna pun nak dekat sama dengan masa aku naik kereta api dari Mumbai pergi ke Puna. Susila dengan teliti memberi arah pun kepada aku, tapi malang sekali nasib aku, aku tersalah simpang jadi lewat lah aku sampai. Sebab lain aku lewat tu, sebab tak nampak seorang pun di sekitar situ yang boleh aku tanya arah ke tempat Susila. Susila gelak sakan mendengar cerita aku yang menyakitkan hati itu. Aku duduk berehat seketika sebelum mengikut Susila berjalan melihat-lihat banglo itu.
Cantik juga rumah itu dengan ruangan makan sendiri dengan tiga bilik tidur di tingkat bawah. Ada juga teres yang bagus di lantai pertama rumah dan segar sekali sebab angin beredar bebas di situ. Hakikatnya juga, kalau kami tidur bawah tu pun aku rasa cukup seronok sebab ruangan terbuka dan nampak langit. Satu benda yang aku perasan, di kawasan itu tak ada satu rumah pun yang berdekatan. Mungkin beberapa kilometer nanti baru jumpa rumah lain. Susila ada memberitahu aku bahawa kereta api si Wikrant tu akan sampai sekitar jam satu pagi nanti. Sebab aku penat duduk dalam kereta api lama, maka Susila suruh aku berehat sahaja di rumah sementara dia ke stesyen menjemput si Wikrant dengan motorsikal.
Kami selesai makan malam jam 10:00 p.m. Susila merancang nak keluar pukul 11:45 mengambil si Wikrant tu jadi dia akan sampai tepat-tepat pada jam kawan kami itu sampai. Aku pun mendarat atas sofa rumah itu macam rumah sendiri sekitar jam 11:15 dan tertidur pulak. Susila dah keluar mengambil si Wikrant. Selepas sejam tertidur cendranya, aku tiba-tiba terjaga dan ku lihat jam sudah 12:15 am. Seluruh rumah gelap sahaja. Tiba-tiba aku terasa meremang pula. Aku cuba menenangkan hati sendiri. Mengingatkan diri bahawa aku bukannya duduk di Mumbai tapi dalam bandar yang selalu mengalami pemotongan bekalan api seluruh hari. Aku adalah salah seorang dalam penduduk bandar itu, nanti masa berlalulah. Aku pun bersandar di sofa menunggu budak-budak itu sampai balik.
Tak lama lepas itu aku mendengar suara menggumam datang dari luar tingkap bilik tempat aku "landing" itu. Sedikit rasa ingin tahu timbul maka aku pun bergerak sedikit ke tingkap nak melihat apa punca bagi bunyi itu. Bila ku buka panel tingkap itu sedikit aku nampak apa yang terjadi. Bunyi itu tiba-tiba menjadi begitu deras dan pencawang cerucuk terpelanting di panel tingkap, sedikit lagi nak hentam kepala aku. terkejut beruk juga aku, tapi aku masih mengawal diriku. Aku merangkak ke panel tingkap nak melihat siapalah punya kerja itu.
Mata aku mula terbiasa dengan pandangan dalam gelap jadi aku dapat melihat dengan jelas dalam gelap. Sebaik sahaja aku menjeling ke luar tingkap, nampaklah si celaka yang membuat onar di malam hari depan aku. Kelihatannya seorang lelaki kurus sahaja dengan rambut terikat seperti seorang yogi dan berjanggut. Telanjang dia kecuali dengan cawat menutupi bahagian kemaluan. Tubuhnya putih, berdebu dengan abu suci rasanya.
Sejurus itu, aku mula rasa tenang sedikit sebab aku nampak itu manusia yang berdiri dalam 15 m daripada rumah dekat tingkap. Lelaki itu berdiri tak berbuat apa pun kecuali menghayunkan bahan yang nampak macam bergantung-gantung di tangan kanannya sambil senyum kepada aku. Bahan di tangan dia itu yang membuat bunyi menggumam. Sebelum aku sedar, lelaki itu mengutip batu lain, membetulkan benda di tangannya dan membidik untuk melempar lagi. Kali ini, nasib aku baik sebab balingannya itu terkena tingkap lain. Aku mencubit lengan aku semata-mata nak memastikan aku tidak bermimpi. Mungkin aku dalam mimpi buruk kah, dan ia tak mahu berakhir??
Dengan rasa takut nak mampos, aku merangkak ke sudut yang jauh di bilik dan berharap cepat lah budak-budak itu datang supaya aku tak menderita dalam keadaan ini. Tiba-tiba, aku tak dengar sebarang bunyi lagi dalam 10 minit macam tu dan deria aku pun kembali tenang seperti biasa. Aku dengar bunyi tombol digodak-godak. Naluri aku adalah nak meluru sahaja ke pintu membukanya kerana kawan aku mungkin dah sampai. Tapi kemudian aku teringat, si Susila memberitahu yang dia akan kunci pintu dari luar. Jadi, bila dia dan Wikrant balik tidur aku takkan terganggu. Aku terduduk dan kaku kejang tak tahu apakah yang berada di luar cuba nak memecahkan kunci dan masuk. Ada beberapa ketukan pintu juga, tapi kali ini semakin deras daripada sebelumnya diikuti dengan bunyi kayu di tangan orang tadi berputar.
Aku pasti sekejap sahaja dia akan dapat memecahkan pintu dan masuk ke rumah. Kemungkinan yang terbaik buat aku cumalah lari sembunyi atau duduk di teres luas itu. Aku lari ke teres dan mengunci pintu mausk ke teres sambil berdoa kepada Sang Hiyang supaya segeralah sampai balik budak-budak tu!!! Waktu itu aku tak terpikir yang perkara itu adalah perkara ghaib kerana aku pikir itu adalah kejadian orang gila sedang naik minyak, huhu. Bayangkanlah betapa seramnya aku bila aku dengar bunyi itu ada di belakang aku di teres walaupun aku kunci pintu dah!!!!!! Benda itu sedang duduk bersila di hujung dinding teres!!! Tak mungkin dia mampu naik ke teres itu cepat begitu, dan tanpa membuang sebarang bunyi pun. Aku nampak benda itu sedang seronok melihat aku terseksa ketakutan. "Cukuplah!!!" Aku berkata dalam hati. "Aku terpaksa berdepan dengan benda itu, itu sahaja pilihan yang ada pun!" Aku memungut batang besi di sebelah aku, sambil membaca perlahan-lahan, "Om Naamaah Siwaaaya!" lalu meluru kepadanya sekali dengan pecutan adrenalin dalam urat-saraf aku. Tak pernah aku rasa begitu sebelum ini. Aku berhenti 10 kaki dari makhluk itu, dan melontar besi itu kepadanya. Dia mengelak dan dalam cubaan mengelak itu dia terjatuh dari teres. Aku pikir mungkin itu penghabisan bagi kejadian itu. Tapi aku tersedar aku tak dengar pun bunyi benda jatuh ketika makhluk itu terjatuh. Aku mengumpulkan kekuatan lalu bergerak ke bucu teres untuk melihat kalau ada tubuh terbaring di tanah. Bayangkan, terkejutnya aku bahawa aku dapati tak ada sesiapa pun di lantai bawah! Tempat itu kosong tanpa ada sebarang kesan makhluk jatuh pun di bawah. Aku rasa tak mampu mengawal rasa takut sampai terpitam, ketar lutut-lutut ini.
Bila aku terjaga, aku dapati aku sudah ada di ruang tamu dengan Susila dan Wikrant sudah pun sampai duduk di tepi aku. Mereka nampak risau dan memberitahu bahawa terjumpa aku pengsan di teres atas lepas sampai rumah. Aku menceritakan kejadian yang menimpa aku. Susila dengan kesalnya memberitahu bahawa memang salah dia meninggalkan aku seorang di rumah malam itu. Dia berkata bahawa memang dia dan kawana serumah lain ada pernah melihat orang itu, sama seperti aku cerita lebih kurang sebulan lalu. Tapi, sejak itu mereka selalu bersama dan akan keluar dengan kayu besbol untuk mencabar penceroboh itu! Tapi, bila mereka keluar sahaja dilihat langsung tak ada orang. Kemudian, mereka dengar dari orang kampung sekitar bahawa ada seorang lelaki yang disyaki menjalani upacara pengorbanan, memangsakan manusia dan makan mayat telah dilanyak mati dalam satu rusuhan beberapa hari lalu. Disyaki, lelaki itu adalah seorang Aghori. Tak ada sesiapa ditahan pun, dan memang begitulah kejadiannya di kampung-kampung kecil di India. Tapi, susila dan rakan-rakan langsung tak pernah lihat lagi lelaki itu selepas kejadian dia muncul di rumah mereka.
Aku pun membuat sedikit kajian selepas itu mengenai Aghori ini. Yang aku temui, dinyatakan bahawa Aghora ini merupakan kelompok dari aliran agama Hindu yang sesat dan terkeluar dari aturan Brahmana. Aliran agama Hindu lain mengutuk aliran ini sebagai "non-Hindu" sebab amalan melampau yang dijalankan seperti makan orang, hidup di tapak pembakaran mayat, mengambil tuak, dadah dan terlibat dalam upacara hubungan jenis termasuk dengan mayat. Mereka percaya dengan amalan-amalan kiri itu, mereka menjadi dekat dengan Sang Hiyang dan akan mencapai "kesaktian tertinggi".
Mereka selalunya kotor, hampir telanjang dan menyaluti tubuh dengan abu mayat. Pastinya nampak menakutkan! Kehidupan mereka ini diselubungi misteri, jarang kelihatan di umum, dan hidup hanya di tapak pembakaran mayat dan berasingan dari orang lain. Mereka makan mayat, mungkin yang ditarik dari sungai atau dicuri dari tapak pembakaran. Sama ada mayat dimakan menta atau dimasak atas api terbuka, dianggaplah mangsa yang dianggap sebagai "orang mati" itu sebenarnya benda semulajadi yang tak mengandungi nyawa seperti sebelumnya sahaja.
Penjelasan masuk akal bagi kejadian menimpa aku itu mungkin, roh Aghori itu mendapat makanan dari ketakutan yang dibuatnya kepada mangsa dan akan menjadi kuat bila mangsa hilang harapan dan rasa tak mampu melawan ketakutan lagi. Ketika itu juga, aku rasa ada kekuatan dalaman, jadi roh itu hilang genggaman pada semangat aku jadi dia hilang. Lepas kejadian itu, aku segera balik ke rumah dan sampai di Mumbai pagi esoknya. Susila dan kawan-kawan sekolejnya pun pindah terus ke rumah pangsa di tengah bandar Puna selepas kejadian menimpa aku itu. Dari situ baru aku menikmati percutian yang penuh bersejarah dalam hidup aku bersama Susila dan lain-lain rakan pada tahun berikutnya. Inilah pengalaman menakutkan aku di Puna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan