Selasa, 8 Oktober 2013

Sikap Orang Yahudi terhadap Agama Timur

Oleh Rachel Gelfman Schultz
Terjemahan oleh NG untuk Pembaca Hindu Sahaja!


Beberapa dasawarsa yang lalu, ramai orang Barat mula memandang ke agama-agama Timur bagi mencari punca inspirasi dan memperbaiki kelompongan dalam kejiwaan. Orang Yahudi pun tidak ketinggalan. Ramai orang Yahudi Amerika yang berpusu-pusu belajar agama Timur sebagai sebahagian daripada lawan kepada kebudayaan Hippy yang melanda Amerika sekitar tahun 60an sampai 70an. Sampai hari ini pun, ramai orang Israel yang mencari dan cuba menjelajahi budaya lain serta agama lain. Soalannya, bagaimana tradisi orang Yahudi itu bertindakbalas pada trend begini? Apa pendekatan dalam tradisi Yahudi menyentuh kepada pengamalan amalan dari agama Timur?

Rencana ini akan menumpukan hanya kepada agama Hindu dan ajaran Buddha, kerana agama ini selalu diperbincang dalam punca agama Yahudi. Ramai bijak agama mereka menyebut mengenai agama Hindu kerana orang Yahudi dulu ada yang berdagang di India, dan baru-baru ini juga ajaran Buddha banyak mendapat tempat dalam kalangan orang Yahudi dari Amerika Serikat.

Hindu itu Berhala

Punca samaya pertengahan Yahudi menganggap bahawa agama Hindu itu agama berhala. Ia menandakan bahawa semua perundangan tradisional yang mengatur hidup orang Yahudi dengan penyembah berhala turut terpakai kepada orang Hindu. Contoh, orang Yahudi tidak boleh mendapatkan keuntungan daripada bahan pemujaan Hindu atau berbuat perniagaan dengan orang Hindu atau menyertai perayaan Hindu.

Dalam "Panduan bagi Yang Keliru", Maimonid (1135-1204) membahaskan bahawa agama Hindu itu merupakan salah satu daripada agama yang tak menyertai misi bapa Abraham mereka. Menurut Maimonid lagi, orang Hindu itu merupakan saki baki orang Sabian yang memuja ke bintang-bintang, masyarakat beragama berhala yang kemudian berkembang ke seluruh muka bumi. Seorang lagi sarjana Yahudi kurun ke-13 M, Jacob ben Sheshet, turut mengenalpasti kehinduan sebagai penyembahan berhala, dan menyerang orang Yahudi yang mempelajari kebijaksanaan Hindu, kerana dipercayai ia membawa kepada keberhalaan. Kemudian, turut diperbincang mengenai kehinduan dalam konteks berhala. Ezekiel Landau, seorang Rabbi di Prague dalam kurun ke-18 M, memberi aturan tentang seorang Cohen Yahudi yang berkahwin dengan wanita Hindu menurut adat indu termasuk masuk kuil Hindu dan sujud dalamnya, kemudian menceraikan  bininya lalu bertaubat, maka dia masih lagi boleh membaca berkat orang Yahudi dalam jemaahnya. Pendapat Landau ini adalah antara pendapat golongan samaya pertengahan Yahudi yang memberi peraturan agama bahawa pemimpin agama yang sujud ke berhala masih boleh membaca berkat dalam tempat sembahyang mereka. Pendapat umum bahawa dilarang menyembah berhala masih terpakai cuma, pemimpin agama itu cuma melakukan perbuatan sujud bagi menyenangan hati bininya dan bukan sebab dia percaya dengan dewa Hindu itu.

Seorang ahli mistik Yahudi, Rabbi Yehudah Moshe Ftayah, kurun ke-20 M, dalam Minhat Yehudah menggulungkan agama Hindu sebagai berhala juga. Dia memerhatikan bahawa orang Yahudi pergi mencari kebijaksanaan HIndu untuk pandangan dalaman mistik, dan perbuatan itu ditentangnya. Dia menjelaskan bahawa orang ini semua pergi ke pandai agama Hindu selepas para Rabbi tak mau mengajar mistik menurut jalan Yahudi, sebab Rabbi cuma boleh mengajar orang Yahudi yang sudah cukup pengetahuan agama dan yang bersungguh sahaja. Maka, disuruh orang Yahudi itu semua bertaubat semoga boleh belajar mistik menurut agama mereka.

Keterbukaan kepada Agama Timur

Sebalik perundangan agama mereka, sejak dari awal sampai samaya moden, setengah sarjana Yahudi mula melihat agama Timur dengan lebih positif. Di Jerusalem, Moses Mendelssohn, seorang pemikir Yahudi Pencerahan, membahaskan bahawa adalah tidak patut segera mengadili agama lain, utamanya, agama Hindu sebagai agama berhala. Pertamanya, seseorang mesti mengetahui pasal agama itu dan memeriksa sendiri pengamalnya barulah mengadili mereka.

Martin Buber, seorang pemikir kurun ke-20 M, pergi setapak jauh lagi daripada Mendelssohn. Beliau tak menyebut langsung mengenai ciri keberhalaan agama Timur, sebaliknya menyatakan bahawa agama tersebut menyumbang secara positif terhadap pemahaman beliau dalam spiritualiti agama Yahudi sendiri. Buber mengambil contoh perbincangan daripada ajaran Tao dan aliran Dhyana ajaran Buddha dengan bandingan kepada spiritualiti Yahudi. Contohnya, beliau membincangkan bahawa penganut Tao menekankan kepada Yang Satu; satu ciri kesatuan mistik; dalam penelitiannya mengenai mistik aliran Hasidik agama Yahudi. Tapi, beliau mengingatkan bahawa loka ini dipandang sebagai benar dan bukan khayalan menurut agama Yahudi, sementara kelompok orang Cina Tao, Chu'ang Tzu memandang loka ini sebagai tak lebih daripada sebuah mimpi.

Debat: Adakah Agama Timur Bagus untuk Yahudi?

Dengan kebangkitan revolusi spiritual pada 1960an, Rabbi Zalma Schachter-Shalomi dan Chaim Zvi Hollander mendebatkan nilai-nilai aama Timur dalam isu 1974 keluaran Sh'ma. Schachter-Shalomi tetap beranggapan orang Yahudi yang mengamalkan amalan agama Timur sebagai masih Yahudi, dalam batas tertentu. Beliau mengkritik agama Yahudi moden yang terlampau rasional, sampai tiada ruang bagi mistik dan kerohanian, dan menyatakan rasa kesihan kepada orang Yahudi yang terpaksa berpaling ke amalan agama Timur seperti ajaran Buddha bagi mencari inspirasi rohaniah. Namun, Schachter-Shalomi hanya mengisytiharkan agama Timur itu, seperti aliran Dhyana ajaran Buddha, yang tak memerlukan penolakan kepada agama lain.

Hollander, sebaliknya, mendebatkan agama Timur bercirikan berhala, dan menirwacanakan keberhalaan dengan meluas, termasuk cara yang dibuat-buat bagi memuja Tuhan di luar rangka perundangan agama Yahudi. Menurutnya lagi, setengah orang Yahudi yang menggunapakai teknik pertapaan orang Timur untuk mendekatkan diri dengan Tuhan pun turut terlibat dalam keberhalaan. Schachter-Shalomi mencadangkan bahawa menjelajahi agama Timur itu boleh jadi sebahagian daripada taubat dan kembali ke pangkal jalan, dan jalan taubat itu tidak diperintah oleh pemahaman ketat perundangan Yahudi yang diajarkan Hollander, tapi lebih kepada ecenderungan spiritual

Gerakan Pembaharuan Yahudi, menurut kepimpinan Schachter-Shalomi, pada ketikanya menjalinkan juga amalan tapa aliran Buddha Dhyana dalam sembahyang dan perjumpaan keagamaan mereka. Sebab lain yang mungkin bagi sikap toleransi setengah orang Yahudi terhadap aliran Dhyana Buddha, agama Tao dan ajaran Konfusius mungkin sebab tak ada dewata yang dipuja menurut pemahaman orang Barat dalam pengamalan kaedah tapa mereka. Boleh dikatakan, agama ini semua cuma merupakan mod-mod kerohanian, falsafah hidup, atau lebih kepada cara pelbagai memuja Tuhan. Sama seperti seseorang itu boleh jadi seorang yang pragmatik atau seorang eksistentialis tapi juga seorang Yahudi. Seorang itu mungkin boleh jadi seorang Buddha dan juga seorang Yahudi pada suatu masa.

Dialog Antara Agama

Beberapa tahun kebelakangan ini, ada dialog antara penganut agama Yahudi dengan pengamal ajaran agama orang Timur. Yang terkenal sekali seperti yang digambarkan Roger Kamenetz dalam "The Jew in Lotus". Kamenetz menulis bahawa ada delapan orang rombongan orang Yahudi pergi ke Dharamsala berjumpa dengan Dalai Lama ke-14 pada 1990. Mereka mempunyai sikap pelbagai terhadap dialog ini yang membayangkan kepelbagaian sikap orang Yahudi dalam menyigapi dialog antara agama secara umum ini.

Contohnya, Rabbit Yitz Greenberg, seorang rabbi Orthodox Judaisme, menerima dialog dengan penganut ajaran Buddha, tapi masih lagi meletakkan sempadan dalam upacara sembahyang dan tapa bersama. Greenberg menjelaskan, "Ketua Ortodoks Judaisme Moden Rabbi Joseph Soloveitchik membedakan keadilan sosial yang dipunyai kita semua itu sebagai bahasa sejagat, tapi keagamaan itu bahasa yang lebih intim. Cara sembahyang itu menunjukkan bahawa saya dalam rupakara begini, jadi saya rasa tidak selesa berada dalam tapa penganut Buddha".

Schachter-Shalomi pula sebaliknya, melaksanakan upacara sembahyang petang orang Yahudi dalam Gurudwara Sikh, dan menyatakan bahawa guru-guru Sikh dan beliau, "Sama-sama dalam urusan yang ingin melihat nilai-nilai suci supaya jangan hilang. Saya melihat setiap pengamal itu secara semulajadinya menjalankan pekerjaan menurut caranya dan saya pula menurut cara saya walaupun di tempat yang sama. Apabila seorang bukan Yahudi itu mengiktiraf saya, saya pun rasa lebih bertenaga dalam kerja saya. Apabila saya berbuat demikian, maka dia pun rasa seperti saya".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan