Isnin, 7 Oktober 2013

Ullambana Sutra

Swasti Srih!

Pengenalan

Sutra ini merupakan sutra kelompok Mahayana yang mengandungi perbualan ringkas antara baginda Siddhartha Gautama dengan Maudgalyayana mengenai amalan setia bakti terhadap ibu bapa. Dalam sutra ini, baginda Buddha Gautama mengajarkan cara kepada pemuda Brahmana ini mengenai cara membebaskan jiwa ibunya yang terseksa dijelmakan di alam rendah, menerusi semahan makanan kepada para bhikkhu dalam masyarakat Sangha pada bulan ketujoh hari kelima belas. Amalan ini masih lagi diamalkan di Tanah Jepun. Sutra ini kemungkinannya dicatit dalam bentuk tulisan beberapa ratus tahun selepas kemangkatan baginda Siddhartha Gautama Buddha.

Sutra Bicara Buddha: Ullambana Sutra

Makanya, aku mendengar, pada suatu ketika, baginda Buddha berdiam di Srawasti dalam Taman Belas Kasihan Anak Yatim dan Bersunyi Sepi. Mahamaudgalyayana baru sahaja mencapai enam penembusan dan ingin menyeberangi melihat ayahanda dan ibunda bagi membalas budi kebajikan membelanya sampai besar. Dengan menggunakan Mata Jalan beliau, beliau melihat loka dan melihat bahawa ibunda tercinta itu jiwanya terjelma dalam kalangan prettam. Tiada makanan tiada minuman, tinggal tulang dengan kulit sahaja. Mahamaudgalyayana terasa kesihan amat sangat bersedih duka, mengisi mangkuk dengan makanan, dan pergi ke situ ingin memberi makan kepada jiwa ibunda. Tatkala disuapnya makanan ke mulut ibunda, ternampak makanan menjadi arang membara yang tak boleh dimakan. Mahamaudgalyayana berteriak merintih sayu, dan segeralah pulang ke Sang Guru bagi membetulkan keadaan.

Baginda Buddha bersabda, "Dosa ibumu itu mendalam dan berakar teguh. Kau seorang tidak cukup sakti. Walaupun bunyi setia bakti mu itu mampu menyentuh perasaan langit dan bumi, semangat-semangat di kahiyangan, semangat berdiam di bumi, setan pembelit, dan yang di luar jalan, para Brahman, dan Empat Raja Kahiyangan, itu pun masih belum cukup membebaskan ibumu. Maka, perlunya kepada kesaktian jiwa Sangha terkumpul di 10 arah bagi mencapai kebebasan untuk jiwa ibumu. Maka, akan ku ucapkan sabda dharma bagi membantu yang akan menyebabkan mereka yang susah itu hilang kebimbangannya dan kesengsaraannya, dan menghapuskan halangan dari sebab dosa".

Tersebut oleh baginda kepada Maudgalyayana, "Hari kelima belas wulan ketujoh (Aswin) itu adalah Hari Prawarana bagi Sangha yang berkumpul di semua 10 arah. Demi ayahanda dan ibunda tujoh keturunan lampau, begitu juga dengan ayahanda dan ibunda yang masa kini yang dalam kesusahan, mestilah kau sediakan sebejana penuh dengan ratusan rencah dan lima buah-buahan, dan semahan lain seperti colok wangian, minyak, lampu, lilin, tilam dan cadar, semua terbaik dalam loka, kepada Sangha yang tinggi kebajikannya dari 10 arah".

"Pada hari itu, segala perkumpulan suci, sama ada di pergunungan mengamalkan Dhyana Semadhi atau mendapatkan Empat Buah Jalan, atau berjalan di bawah teduhan pohon atau menggunakan kebebasan enam penembusan bagi mengajar dan merubah Pendengar Bunyi dan Yang Dicerahi kepada Syarat, atau yang baru sahaja menjelma menjadi bhikku tatkala pada hakikatnya mereka itu adalah Mahabodhisattwa di Tanah Kesapuloh; semua lengkap dengan rukun murni dan kebajikan bak mahasamudra di Jalan Suci; maka patutlah berkumpul dalam perkumpulan dan semua semacam itu menerima sajian Prawarana".

"Jika seseorang menyemahkan semua itu kepada para Sangha, maka ayahanda dan ibunda, penjaga dari tujoh keturunan lampau, begitu jua enam jenis saudara terdekat akan terbebas daripada tiga jalan kedukaan, dan masa yang sama mencapai kebebasan. Pakaian dan makanan akan muncul tiba-tiba. Jika ibu bapa masih hidup, mereka akan menerima kemewahan dan restu beratus-ratus tahun lamanya. Nenek moyang tujoh keturunan lampau pula akan terjelma dalam sorga. Dilahirkan, dan sendirinya akan masuk dalam bunga cahaya kahiyangan, dan merasai nikmat tak terkira".

Ketika itu, baginda Buddha mengarahkan Sangha sekelian dari 10 arah membaca mantrakatha dan wratam bagi tujuan dana kepada kelurga, ibu bapa dan nenek moyang tujoh keturunan ke atas. Selepas menjalani Dhyana Semadhi, para Sangha menerima suguhan makanan. Pertama kali menerima bejana, mereka menempatkannya di hadapan baginda Buddha dalam cetiya dulu. Bila selesai mantrakatha dan wratam baru mereka mengambil makanan.

Pada masa itu, bhikkhu Maudgalyayana dan perkumpulan Mahabodhisattwa semuanya suka hati dan tangisan sayu Maudgalyayana menangis pun hilang. Ketika ibunda bhikkhu itu mencapai kebebasan jiwa daripada satu kalpa penderitaan sebagai prettam. Beliau menyeru baginda Buddha lalu berkata, "Ibu bapa patik ini sudah menerima sakti kesan pahala dan kebajikan Trirattana, kerana kesaktian jiwa para Sangha 10 arah. Jika di masa depan, pelajar-pelajar Buddha mengamalkan kebaktian menerusi bejana Ullambana ini, adakah mereka mampu menyeberangi memberi semahan untuk ayahanda dan bonda sampai tujoh keturunan semuanya?"

Baginda menjawab, "Memangnya bagus! Aku suka hati kamu bertanya soalan begitu. Memangnya aku ingin berbicara perkara itu, tapi sebelum ku perkatakan kau sudah bertanya. Wahai orang baik-baik, jika para bhikkhu, bhikkhuni, raja-raja, phra kumara, menteri-menteri, pegawai, menteri dalam balai rong seri, menteri beratus dan berpuloh ribu hamba rakyat itu ingin berbakti berbelas kesihan kepada jiwa nenek moyang, yang membela dan melahirkan mereka, sampai tujoh keturunan berlalu pun, pada hari kelima belas wulan ketujoh itu, Hari Kesukaan Buddha, hari Prawarana Sangha, maka letakkanlah makanan beratus-ratus rencah dalam bejana Ullambana, dan semahkan kepada Sangha Prawarana 10 arah. Bacalah wratam supaya disebabkan perkara itu ibu bapa yang kini masih hidup panjang usianya beratus tahun jangan dihinggap penyakit, tanpa duka, tekanan, kerisauan, dan wratam jugalah moga ibu bapa tujoh keturunan lampau itu dibebaskan daripada menjadi prettam, dijelmakan dalam kalangan manusia dan para dewa, dan menerima belas kasih serta suka tanpa batasan".

Baginda Buddha berseru kepada semua lelaki dan wanita baik, "Pelajar-pelajar Buddha yang menjalani latihan kebaktian mestilah berpikir demi berpikir, senantiasa mengingai ibu bapa mereka kini tatkala membuat semahan, begitu juga mengenai nenek moyang tujuh kehidupan lampau, dan demi mereka menjalankan semahan Ullambana dalam bejana kepada para Buddha, dan para Sangha dan seterusnya membalas jasa bakti kedua ibu bapa serta nenek moyang yang memelihara rantai keturunan membela mereka melindungi mereka".

Pada ketika didengarnya oleh bhikkhu Maudgalyayana dan empat lapis perkumpulan pelajar itu seruan baginda Buddha Siddhartha Gautama, maka suka hati gembiranya mereka mengamalkan ajaran kebaktian setulus hati.

Tutup sudah Sutra Ullambana moga beroleh restu sekelian loka... Sadhu.... Sadhu... Sadhu...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan