Rabu, 9 Oktober 2013

Waisnawa di Kemboja


Yang diketahui di Kemboja, seorang raja dalam wangsa Angkor merupakan penganut Waisnawa dan seorang Hindu. Beliau, baginda maharaja Sruyawarman sekitar 1145-1150 M yang membangunkan Angkor Wat bagi ditujukan kepada Betara Wisnu. 

Pembinaan Angkor Wat itu dimulakan di ibu kota di Tonle Sap, dengan lima gopuram tengah merupai Mahameru. Bangunan pura agung itu mempunyai lebih daripada 1860 ukiran apsara, dengan beratus-ratus meter ukiran timbul dewata Hindu dan kehidupan seharian negara baginda. Agak pelik kerana hanya baginda seorang sahaja raja Kemboja yang menjadikan pemujaan kepada Betara Wisnu sebagai keutamaan baginda kerana hampir semua raja-raja Kemboja merupakan pengikut Saiwa. Percandian Angkor yang menghadap ke Barat itu menandakan candi agung itu untuk Betara Wisnu. Pura lain yang menghadap ke Timur itu ditujukan untuk Betara Siwa.

Gambaran baginda di ukiran timbul candi menunjukkan baginda duduk atas pesinggahsanaan kayu dengan bucu-bucu sekelilingnya merupai naga-naga. Kepala baginda ada mahkota kecubung tajam dengan telinga bertindik. Baginda memakai gelang kaki dan gelang tangan menurut adat Hindu lama. Tangan kanan baginda nampaknya memegang ular mati kecil, ertinya kurang jelas. Pinggang baginda digambarkan elok, kakinya berlipat sila.

Gambaran kehidupan di negara baginda, di luar hutan. Dalam istana pula pelayan melayani baginda dengan kipas istana, payung iram-iram dan lain-lain yang menggambarkan kedudukan baginda sebagai maharaja Hindu. Putera raja diusung dengan pelangkin berukir. Pedanda wangsa Brahmana bermisai pun ada menyediakan bahan bagi upacara semayang agama. Sebelah kanan ukiran baginda, ada pelayan balai rong melutut menyemahkan sesuatu. Penasihat istana, melutut, dengan tangan di dada menunjukkan sembah patuh. Sebelah kanan mereka lagi ada perarakan panjang, dengan orang memegang cengkerang, gendang dan gong. Satu lagi pelangkin yang di atasnya ada api diraja menandakan tanda kekuasaan maharaja diusung atas bahu orang.

Dalam galeri ditunjukkan juga, ketenteraan maharaja Suryawarman II. Senapati dengan perisai dan senjata atas gajah naik minyak, dengan senakula berjalan kaki, setiap satu memegang lembing dan perisai. Ketua mereka maharaja sendiri, melihar dari sebelah bahu kiri baginda. Dada baginda memakai baju besi, dengan senjata tajam di tangan. Ini antara gambaran kehidupan penganut Waisnawa terkenal di Kemboja. Yang lain kebanyakannya adalah penganut Saiwa. Mangkat maharaja ini, digelar Paramawisnulokam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan