Rabu, 6 November 2013

India Raya: Lingkungan Kebudayaan


Penggunaan istilah India Raya merujuk kepada lingkungan kebudayaan Hindu yang diperkenalkan oleh jaringan sarjana Bengal pada 1920-an yang merupakan ahli kepada Masyarakat India Raya yang berpusat di Kolkata, Bengal Barat.

Pemimpin awal gerakan ini termasuklah R.C. Majumdar (1888-1980), ahli filologi Suniti Kumar Chatterji (1890-1977) dan P. C. Bagchi (1898-1956) serta sejarawan Phanindranath Bose dan Kalidas Nag (1891-1966).

Setengah pembentukan sejarah ini diilhamkan dari carigali yang seiringan terjadi di Angkor oleh pakar carigali Perancis dan penulisan dalam bahasa Perancis oleh pengkaji Pengajian India, Sylvain Levi. Sarjana masyarakat menyatakan bahawa penyampaian kebudayaan Hindu di Asia Tenggara lebih bersifat belas kasih berbanding dengan pandangan yang menurut pemahaman penjajahan Barat yang berlaku di Asia Tenggara sekitar kurun ke-20 M.
"Orang Hindu purwa masa lampau itu bukan semata-mata orang yang berkecimpung dalam kerohanian, selalu sibuk dengan masalah mistik dan tak pernah menyusahkan diri dengan persoalan "loka ini"... India juga mempunyai ramai Napoleon dan Charlemagne, Bismark dan Machiavelli. Namun, yang menarik mengenai sejarah Hindu ini, ia tak mempunyai wawasan menjadi kuasa sejagat, tapi lebih menjurus kepada pendudukan secara aman dan belas kasihan. Keadaan ini sangat unik sekali dalam sejarah bangsa manusia. Penjajah dari India tidak memakai pedang atau api di tangan; mereka memakai... senjata kebudayaan dan agama mereka... Samaya ajaran Buddha juga menarik perhatian khusus, dan pengkaji sejarah Perancis terpaksa bersakit-sakitan mengkaji tugu-tugu kebudayaan Hindu dan empayarnya di Timur Jauh".
Istilah ini dipakai dalam penulisan sejarah di India sekitar 1970-an....
"Perluasan budaya dan penjajahan India purwa ditulis oleh R. C. Majumdar, menyimpulkan dengan, "Kita boleh menyimpulkan dengan kajiselidik meluas tentang koloni Hindu di Timur Jauh. Sejak hampir 1,500 tahun lampau, dan sampai ke tahap orang Hindu hilang kemerdekaan mereka semua kepada penjajah Barat di benua nya sendiri, raja-raja Hindu memerintah seluruh Indochina dan pelbagai kepulauan di gugusan kepulauan Hindu, dari Sumatra ke Papua New Guinea. Agama Hindu, budaya Hindu, perundangan Hindu dan kerajaan Hindu membentur kehidupan bangsa-bangsa primitif seluruh rantau yang meluas ini, dan mereka menyerap semangat susila yang lebih tinggi dan rasa kebijaksanaan yang sama tinggi nya dengan orang di India menerusi agama, kebudayaan, dan kesusateraan Hindu. Pendek kata, orang-orang ini diangkat ke lapangan tinggi dalam ketamadunan".
Istilah India Raya dan sebutan tentang penjajahan Hindu yang jelas di Asia Tenggara purwa dikaitkan kedua-duanya dengan semangat kebangsaan India dan juga semangat jati diri Hindu. Namun, ramai juga nasionalis India, seperti Jawaharlal Nehru dan Rabindranath Tagore, walaupun menerima "idealisasi India sebagai pemberi warna tamadun dunia yang tak memaksa dan juga sebagai penggaris pencerahan sedunia, mereka tetap mengelakkan penggunaan istilah "India Raya" ini.

Sebagai tambahan, setengah sarjana melihat proses pembudayaan Hindu-Buddha di rantau Asia Tenggara purwa ini sebagai, "proses kebudayaan sehala yang mana Asia Tenggara merupakan penerima pancaran budaya dari Asia Selatan".

Dalam bidang sejarah kesenian, terutamanya dalam penulisan sarjana Amerika, istilah ini sudah lama ada disebabkan oleh teori kesenian Ananda Coomaraswamy. Coomaraswamy memandang sejaran seluruh India itu sebagai dipengaruhi oleh "kelompok nasionalis kebudayaan Calcutta".

Perluasan Kebudayaan

Dari kurun ke-1 M, India mula memberi pengaruh sangat kuat kepada negara purwa di Asia Tenggara. Laluan perdagangan yang menghubungkan India dengan selatan Myanmar, tengah dan selatan Siam, Kemboja bawah dan Cheampa di selatan Vietnam hari ini serta penempatan serta negara kota di pantai-pantai semua dibangunkan di rantau itu.

Sejak lebih daripada 1000 tahun lalu, orang India beragama Hindu dan Buddha mempengaruhi rantau itu dan merupakan punca utama yang membawa tahap tertentu dalam kesatuan budaya di negara purwa dalam rantau itu. Bahasa Bali dan bahasa Sanskerta serta tulisan Brahmi, bersama dengan ajaran Buddha aliran Therawada, ajaran Buddha aliran Mahayana, ajaran Brahmana, dan agama Hindu sekeliannya, disebarkan dari hubungan terus antara penduduk. Begitu juga dengan sastera suci Hindu seperti Ramayana dan Mahabharata.

Dari kurun ke-5 M sampai ke-13 M, negara-negara kota Asia Tenggara meningkat menjadi empayar penjajah Hindu yang berkuasa pula. Mereka bergiat cemerlang dalam cetusan karya arca dan juga senibina yang berdasarkan ajaran Buddha. Empayar Sriwijaya di selatan dan empayar Angkor di utara bersaing merebut pengaruh. Ciri-ciri yang memberi takrifan kepada hubungan kebudayaan antara Asia Tenggara dengan India Tanah Besar ini adalah daripada falsafah Wedika dan kebudayaan Buddha yang meresap dalam rantau di Myanmar, Thailand, Malaya, Laos, Indonesia dan Kemboja. Tulisan Brahmi ditemui di rantau Asia Tenggara dipakai penganut Hindu di rantau tersebut seperti di Sumatera, di Pulau Jawa, Pulau Bali, Pulau Sulawesi dan kebanyakan rantau di gugusan kepulauan Filipina.

Kesamaan Kebudayaan

Di Atashgah dalam negeri Baku di Azerbaijan contohnya terdapat Pura Api yang semulajadi apinya menjulang di situ. Penganut agama Hindu dan penganut ajaran Zoroaster Persia bersama-sama memuja di situ kerana kesamaan budaya beragama yang menyeru Sang Agni.

Di Batu Malai di Gombak dalam negeri Selangor di Malaysia pula, ada pusat penyemahan bagi dewata Hindu terkenal, Sang Skandha Muruga dibina oleh orang India Selatan semasa samaya British Malaya.

Keagamaan dan Cetera Agama
  • Hampir seluruh Pulau Bali di Indonesia moden mengamalkan agama Hindu dan tradisi Brahmana menurut cara setempat.
  • Garuda yang merupakan wahana Betara Wisnu menjadi lambang diraja Thailand, di Indonesia pula ia dijadikan sebagai lambang republik tersebut dan di Ulan Bator dalam Mongolia pun Garuda menjadi lambang kota tersebut.
  • Keharingan yang merupakan agama tempatan diamalkan oleh orang Dayak di Kalimantan pun digulungkan sebagai satu bentuk kasar bagi agama Hindu di Indonesia.
  • Cetera tempatan di Filipina seperti cetera Yang Maha Agung, Bathala (Betara) dan konsep Diwata (Dewata), serta pemahaman Karma yang wujud sampai kini semua terbit dari konsep agama Hindu dan ajaran Buddha.
  • Cetera lisan orang Melayu pun mengandungi banyak tokoh-tokoh yang dianggap sebagai tokoh keagamaan dalam sastera Hindu seperti Bidadari, Jentayu, Garuda dan Naga walaupun hampir majoritinya menganut agama Islam kini.
Senibina dan Tugu
  • Gaya binaan pura Hindu diperguna di beberapa pura purwa di Asia Tenggara seperti di Angkor Wat, yang ditujukan kepada Betara Wisnu diperguna pakai juga menjadi lambang dalam bendera negara Kemboja. Candi Perambanan di Jawa Tengah, merupakan pura Hindu terbesar sekali di Indonesia, ditujukan bagi Trimurthi sekelian.
  • Candi Borobudur di Jawa Tengah, pun merupakan antara tugu ajaran Buddha terbesar di Pulau Jawa. Ia berupa sebuah mandala batu besar dimahkotakan dengan cetiya dipercayai sebagai gabungan falsafah Buddha di India dengan tradisi megalitik purwa kelompok masyarakat kepulauan Selatan purwa yang membina pusat pemujaan berbentuk piramid bertangga.
  • Menara pada masjid-masjid di negara Indonesia seperti Masjid Agung Demak dan Masjid Kudus menyerupai binaan pura Hindu kerajaan Majapahit.
  • Batu Malai di Gombak, Selangor merupakan salah satu pusat pemujaan terkenal penganut agama Hindu di luar India. Ia merupakan tumpuan utama bagi kebaktian Thaipusham di negara Malaysia yang menarik sekitar 1.5 juta pelawat setiap tahun.
  • Dewasthana Airwata atau Erawan ditujukan buat Betara Bramha di Bangkok, Thailand.
Bahasa
  • Bahasa Siam, bahasa Melayu dan bahasa Jawa menyerap banyak sekali kata pinjaman dari bahasa Sanskerta. Banyak bahasa tempatan di tanah datar di Filipina seperti bahasa Tagalog, bahasa Ilocano dan bahasa Visaya turut menyerap banyak pinjaman bahasa Sanskerta.
  • Nama orang Indonesia sendiri mempunyai terbitan bahasa Sanskerta contohnya seperti Megawati Sukarnoputri, Dewi Sartika, Bambang Susilo Yudhoyono, dan Teuku Wisnu.
  • Papan tanda jalan di Yogyakarta di Indonesia pun ditulis memakai aksara Kawi Jawa yang terbit dari tulisan Brahmi.
  • Nama maharaja Siam dan Thailand, Bhumibol Adulyadej, boleh ditulis semula dalam bahasa Sanskerta: Bhumibala Atulya Teja.
Nama Tempat 
  • Beberapa tempat di Indonesia kini mempunyai nama yang selari dengan nama-nama tempat di India Purwa seperti Mathura (Madura), Sungai Sarayu (Serayu), Sumeru, Kalingga, dan Ayodhya (Ngayogyakarta). 
  • Nama kota purwa di Siam, Sri Ayutthaya juga diterbitkan dari kota Ayodhya dalam Ramayana.
  • Nama tempat seperti Singapura pun jelas datang dari bahasa Sanskerta, begitu juga dengan Jakarta yang digabungkan dari Jaya dan Kreta.
  • Indragiri Hulu dan Indragiri Hilir di Sumatera terbit dari Sungai Indragiri. Indragiri itu ertinya Gunung Betara Indera.
  • Nama tempat di Siam pun mempunyai terbitan Sanskerta, contohnya Rathchaburi (Rajapuri), Buriram (Puri Rama), Nakhon Si Thammarat (Nagara Sri Dharmaraja) dan yang dari bahasa Bali seperti Surat Thani (Surashtra Thani).
  • Kecenderungan memakai neologisme moden dari bahasa Sanskerta pun terusan sampai samaya moden. Pada 1962, negara Indonesia menukar nama jajahan New Guinea dari Belanda menjadi Jayapura. Banjaran Pergunungan Oren ditukar menjadi Pergunungan Jayawijaya. Kini, nama rantau itu separuhnya menjadi Irian Jaya.
  • Kerajaan Malaysia menamakan pusat kerajaan barunya, Putrajaya pada 1999.
Kesenian

Tradisi prahwayangan Hindu dan lakon orang berdasarkan Ramayana dan Mahabharata sering dijalankan di Kemboja, Siam dan di Indonesia.

Leksikon

Sarjana seperti Sheldon Pollock menggunakan istilah Sanskrit Cosmopolis bagi menggambarkan rantau, dan menghujahkan berlaku pertukaran kebudayaan tanpa keperluan melibatkan penghijrahan orang atau penjajahan pun. Pollock (2006) dalam The Language of Gods in the World of Men membuat kajian kes berkenaan rantau ini sebagai sama dengan Eropah Latin. Bahasa Sanskerta menjadi unsur penyatu seperti juga bahasa Latin. 

Bahasa Sanskerta dan bahasa berkaitan juga mempengaruhi jiran berbahasa Sino-Tibet mereka di sebelah utara menerusi penyebaran sastera agama Buddha dalam bentuk terjemahan. Ajaran Buddha juga merebak ke empayar China menerusi bhikkhu penyebar agama Buddha yang beraliran Mahayana dihantar oleh maharaja Asoka menerusi terjemahan bahasa Sanskerta gabungan dan sastera klasik bahasa Sanskerta. Banyak istilah dirubah ejaannya secara terus atau ditambah ke dalam kosa kata bahasa Cina pula. 

Walaupun bahasa Sanskerta yang dipakai penganut ajaran Buddha itu bukan bahasa Sanskerta Wedikaa, tapi tatabahasa dan perkataan dipakai adalah sama, sebab kedua-duanya berhubungan rapat dan disebabkan oleh penyelarasan semula tatabahasa Sanskerta oleh Panini pada peringkat penyusunannya menjadikannya berlainan. Sastera ajaran Buddha yang dikarang memakai bahasa Sanskerta benar umumny ditemui dalam aliran falsafah Buddha seperti aliran Madhyamaka. Keadaan yang sama turut berlaku di Tibet. Banyak sastera Sanskerta hanya selamat dalam terjemahan bahasa Tibet (di Tanjur).

Di Asia Tenggara, bahasa seperti bahasa Siam dan bahasa Lao mempunyai pinjaman banyak dari bahasa Sanskerta. Sama juga dengan bahasa Khemir. Sampai ke tahap paling minimum pun, menerusi bahasa Sanskerta gabungan. Contohnya, dalam bahasa Siam, maharaja Sri Lanka, Rawana digelar sebagai Totsakanth yang datang dari bahasa Sanskerta Dasakantha atau 10 leher.

Banyak bahasa kepulauan selatan meminjam kosa kata Sanskerta, seperti bahasa Jawa Kawi yang hampir separuh daripada kosa katanya itu terbit dari bahasa Sanskerta. Bahasa lain seperi bahasa Melayu klasik, bahasa Indonesia moden, juga mempunyai banyak kosa kata bahasa Sanskerta, di samping dengan serapan baru dari bahasa Arab. Keadaan yang sama jua terjadi dengan bahasa di Filipina seperti bahasa Tagalog, walaupun banyak juga kata serapan bahasa Sepanyol nya sebab penjajahan 300 tahun oleh Sepanyol.

Kata pinjaman dari bahasa Sanskerta yang ditemui dalam kebanyakan bahasa Asia Tenggara seperti bhasa, diperguna juga bagi mengertikan bahasa secara umum. Contohnya bahasa dalam bahasa Melayu, bahasa Indonesia dan bahasa Tausug; basa menurut bahasa Jawa, bahasa Sunda dan bahasa Bali; phasa dalam bahasa Siam dan bahasa Lao; dan pheasa dalam bahasa Khemir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan